:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

07 October 2008

Kebajikan Guru Perlu Diutamakan

Cadangan untuk mengadakan sambutan hari guru di Malaysia sebanyak dua kali setahun telah dilontarkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail apabila pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengistiharkan bahawa Sambutan Hari Guru Sedunia adalah pada 5 November walaupun ianya masih lagi di dalam peringkat perbincangan.

Saya bersetuju dengan kata-kata Datuk Razali bahawa sambutan hari Guru adalah sebagai tanda kita menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik namun saya lebih melihat bahawa bukannya sambutan sahaja yang perlu dititikberatkan tetapi tugas yang semakin dibebankan kepada guru perlu juga diambil perhatian.

Bebanan tugas guru bukanlah perkara baru di dalam negara kita kerana sejak beberapa tahun ini, perkara ini telah menjadi tajuk perbincangan hangat setiap kali bermulanya musim persekolahan.

Sebagai contohnya, pada 8 Januari 2006 dalam laporan Berita Harian telah mendedahkan bahawa guru-guru di Malaysia menjalankan tugas secara berlebihan selama 74 jam seminggu sedangkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menetapkan bahawa maksimum jam bekerja adalah 48 jam sahaja.

Ini kerana tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain – pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan; kedua, urusan pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid.

Butir-butir ini terkandung dalam laporan kaji selidik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP bertajuk `Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ meliputi sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknik dan politeknik yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Mengikut laporan yang ditandatangani pada 1 Jun 2005 itu, kaji selidik itu adalah antara usaha NUTP memberi gambaran jelas kepada kementerian supaya sesuatu dapat dilakukan untuk meringankan beban guru. Kaji selidik itu yang membahagikan beban tugas kepada lima bidang itu membuktikan guru turut bertindak sebagai kerani, setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip dan juruhias (rujuk http://dppnjohor.blogspot.com/2006/01/bebanan-kerja-guru-berpunca-daripada.html )

Sebab itu saya katakan bahawa bukannya sambutan Hari Guru yang perlu diutamakan tetapi tugas dan bebanan kerja guru-guru yang perlu diberikan perhatian oleh KPM. Guru-guru adalah manusia biasa yang mempunyai perasaan.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
http://www.minda-kembara.com/

0 komen:

Post a Comment