:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

10 October 2008

Murid belajar dalam khemah

Memeranjatkan! Pelaksanaan PIPP sudah melewati fasa pertama, namun kisah yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Nyatoh, Rantau,Negeri Sembilan ini dilihat sedikit merencatkan kehebatan PIPP. Fikir-fikir dan renung-renungkan.
--------------------------
Sumber: Harian Metro (9/10/08)

SEREMBAN: Sebahagian daripada 418 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nyatoh, Rantau, dekat sini, terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di bawah khemah dan wakaf, berikutan bangunan lama yang menempatkan kelas mereka sebelum ini tidak lagi selamat.


Bangunan setingkat menempatkan lima kelas terpaksa dikosongkan kerana struktur binaan batu dan papan itu tidak lagi selamat dan berbahaya kerana dimakan anai-anai.

Keadaan tidak selesa dihadapi murid tahun dua dan empat sejak pertengahan Ogos lalu selepas pihak pengurusan sekolah mengesan siling atap satu daripada lima kelas di bangunan terbabit hampir runtuh.

Pengurusan sekolah terpaksa mendirikan dua khemah berhampiran kantin bagi membolehkan sesi pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa walaupun dalam keadaan tidak sempurna kerana murid terpaksa belajar tanpa kipas angin manakala murid yang mengikuti kelas di dalam wakaf hanya duduk bersila.

Pengurusan sekolah itu juga sudah meletakkan papan tanda sebagai kawasan larangan di luar bangunan lama yang dibina sejak 1890 itu.

Bagaimanapun, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) sudah mengambil langkah drastik dengan meluluskan pembinaan projek menaik taraf sekolah berkenaan dengan pembinaan dua bangunan baru empat tingkat bagi menggantikan bangunan lama itu.

Pengarah JPNS, Datuk Abdullah Mohammad, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah meluluskan pembinaan bangunan baru yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, bangunan lama akan diruntuhkan dan lima kabin dilengkapi sistem penghawa dingin akan dibekalkan di sekolah itu esok atau lusa bagi membolehkan murid yang ditempatkan di bawah khemah dan wakaf itu dapat belajar dalam keadaan selesa.

0 komen:

Post a Comment