:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

23 November 2008

Bahasa dan perpaduan dari kaca mata Pak Ungku

Bahasa sebagai wadah pupuk perpaduan
Oleh Profesor Diraja Ungku A Aziz

Pendekatan 3 penjuru pastikan pembelajaran rakyat pelbagai kaum berkesan

PERPADUAN negara adalah landasan membentuk negara Malaysia yang kukuh. Maka, isu pembelajaran perlu terpilih sebagai pengaruh terpenting demi pencapaian perpaduan negara itu. Inti pati pelaksanaan dasar itu ialah pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Pencapaian perpaduan negara yang tulen hanya boleh termakbul melalui wahana bahasa Melayu. Namun demikian bahasa Inggeris perlu dipelajari supaya segala faedah globalisasi dapat dinikmati seluruh warga Malaysia.


Kelebihan pendekatan pembelajaran melalui dua bahasa akan tercapai daripada saling pengaruh-mempengaruhi minda (pemikiran) pelajar apabila mereka berpeluang mempelajari sistem itu dalam masa yang sama. Kaedah itu akan menggalakkan minda kanak-kanak serta orang dewasa yang akan memanfaatkan kemudahan berfikir dari ingatan (memori) mereka.

Kefasihan dalam bahasa Melayu dan kemahiran dalam bahasa Inggeris serta pengaruh pengetahuan dua bahasa yang saling mempengaruhi (integrative) adalah kunci utama kejayaan pelaksanaan perpaduan negara.

Sungguhpun tidak dinafikan kemahiran dalam bahasa Inggeris paling penting demi pembangunan ekonomi dan perdagangan, pada masa sama sangat mustahak satu bahasa iaitu bahasa Melayu boleh mengikat bersama semua warga Malaysia tanpa mengira lokasi, kota atau desa, bangsa atau kepercayaan demi memupuk patriotisme dan jati diri warga Malaysia.

Dua bahasa itu, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris harus diajar dan dipelajari sepanjang masa sebelas tahun di sekolah rendah dan menengah dan di mana boleh, tahun pertama pada peringkat universiti. Pembelajaran bahasa demi pembentukan perpaduan negara harus dianggap serius dan bukan dilayan dengan sikap melepaskan batok di tangga. Mata pelajaran kedua-dua bahasa harus dipelajari dua kali seminggu sepanjang sistem pelajaran.

Pembaca harus insaf bahawa kefahaman yang lengkap mengenai tatabahasa dan nahu dalam kedua-dua bahasa sama penting dengan kefahaman kosa kata (vocabulary) dan penyusunan rangkai kata (phraseology) mengikut pemakaian umum.

Dari awal persekolahan, setiap pelajar harus diajar kaedah menulis huruf yang tepat dan betul (chirography) supaya dari hari pertama di sekolah, pelajar akan dilatih menulis huruf dengan gaya yang seragam. Sekarang ada banyak pelajar menulis huruf abjad dengan aneka rupa yang kadang-kadang sukar dibaca.

Guru dan pemimpin politik perlu sedar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris masing-masing terdiri daripada peraturan susunan kata yang menjadi frasa dan frasa menjadi ayat (syntax) dan latar belakang sejarah masing-masing. Berikutan itu, setiap bahasa itu perlu dipelajari mengikut kesesuaian bahasa masing-masing.

Pemangkin bahasa Melayu adalah prinsip imbuhan. Seratus empat puluh tahun dulu, penulis Kamus Bahasa Melayu, William Marsden telah memperkenalkan pema-kaian imbuhan dalam bahasa Melayu sebagai particles atau tambahan. Ada suku kata awalan (prefix), suku kata akhir (suffix) dan suku kata sisipan (infix).

Contohnya seperti awalan kata pe, mer, ber dan sebagainya; suku kata akhir kan, kan...i dan sebagainya; dan suku kata sisipan em, er dan sebagainya.

Makna ayat juga boleh ditentukan mengikut tempat letak kata itu. Umpamanya, 'rumah merah' dibandingkan dengan bahasa Inggeris, red house.

Ada juga perkataan istimewa untuk menunjuk fungsi tempat (place), satuan (singularity) dan jamak (plurality).

Pemakaian imbuhan dalam bahasa Melayu mudah difahami. Kajian dalam Kamus Imbuhan Bahasa Melayu (terbitan Fajar Bakti 2005) membuktikan 95 peratus daripada jumlah kata di dalam kamus berkenaan ada gabungan dengan imbuhan. Daripada kajian 2,323 kata asas (base words) yang terdiri daripada kata nama dan kata kerja 11,405 daripadanya memakai imbuhan.

Kebanyakan perkataan dalam bahasa Melayu terdiri daripada sepasang konsonan yang bersangkut dengan vokal (vowel).

Bagaimanapun, kita tidak ada kesempatan membincangkan bahasa Melayu dari segi kajian terperinci. Perlu difahami kedua-dua bahasa itu mempunyai latar belakang sejarah yang berlainan, lebih dari seribu tahun. Asal-usul kedua-dua bahasa itu berlainan. Namun demikian, kedua-dua bahasa itu mempunyai kuasa menyerap dengan mudah bahasa berlainan sama ada ia datang dari timur atau barat.

Sungguhpun tatabahasa (syntax) dan susunan bahasa (phraseology) berlainan, mujurlah bahasa itu mudah didengar pada telinga serta mudah disebut secara lisan. Ini adalah manfaat besar bagi pembangunan bahasa di Malaysia dan pengukuhan perpaduan negara.

Ada dua perkara lagi yang memerlukan penjelasan iaitu kedua-dua bahasa itu harus dipelajari sehingga tahap boleh difahami dan diguna pakai dengan kemahiran yang sama baiknya. Tahap itu adalah pada peringkat pertengahan sekolah menengah, yakni membaca, menulis dan bertutur dengan fasih.

Soal pemilihan tajuk atau mata pelajaran perlu diagihkan di dalam kurikulum atau mata pelajaran yang mengikut penentuan jadual (timetable).

Semua pelajar di Malaysia wajib diberi peluang mempelajari selain daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, termasuk bahasa ibunda masing-masing. Ini menjadi perkara sensitif di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Namun perlu dibezakan di antara usaha mempelajari sebarang bahasa lain dan dasar pembelajaran yang memakai dua bahasa sebagai wahana perantaraan (medium of instruction).

Sistem pendidikan Malaysia kurang mendapat perhatian mengenai hubungan sebab musabab (causality) di antara pembangunan minda kanak-kanak dengan perkembangan ilmu pengetahuan yang bertimbun tambah dan kebolehan kanak-kanak itu yang sedang membesar dan mengembangkan fikirannya.

Pelajar di sekolah rendah boleh diajar kata nama (noun) dan kata kerja (verb) yang mudah yang terdiri daripada dua atau tiga suku kata. Sambil pelajar itu bertambah matang, mereka boleh mempelajari fikiran atau gagasan (idea) yang lebih canggih yang berkait dengan kata nama serta kata kerja yang lebih rumit.

Pemikiran pelajar boleh dimajukan daripada kata maujud (concrete) kepada kata mujarad (abstract) dan daripada ayat atau frasa yang mudah difahami kepada ayat yang lebih rumit atau canggih.

Ada baiknya jikalau sistem pelajaran Malaysia memberi perhatian lebih fokus kepada pendekatan deduktif daripada pendekatan induktif. Sekarang guru dan pelajar mengenal makna dan fikiran daripada pelbagai contoh dan kurang menumpukan perhatian kepada prinsip atau hukum pemikiran. Umpamanya, pelajar diberi pelbagai contoh ayat tetapi tidak mengenal hukum atau prinsip yang mendorong minda pelajar dan guru. Adalah disyorkan supaya pelajar diberi peluang mengenal hukum, peraturan atau nilai asas dan kemudian pelajar itu kepada contoh makna perkataan dan ayat.

Kaedah ini akan lebih sabit di akal (rasional) dan munasabah dalam sistem pembelajaran yang syumul atau holistik.

Kesimpulannya ialah perpaduan negara akan lebih mudah dan lebih kekal tercapai jikalau pendekatan ini dibahagikan kepada tiga tahap iaitu pemikiran, pembelajaran dan pemakaian.

Sementara itu mungkin ada pembaca yang cuba menegakkan benang basah dengan teguran negatif atau pesimis sambil ia cuba membenam cadangan ini dengan hujah berasaskan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui kaedah dua bahasa (bilingualism) terlalu idealistik dan kurang pragmatis.

Sungguhpun pembaca budiman harus mengkaji butir-butir cadangan kertas ini, mereka tidak harus terjerumus atau sesat dalam hutan rimba yang mengutamakan perhatian kepada soal daun dan ranting dan tidak kepada akar umbi.

Satu daripada jebak paling berbahaya terhadap cadangan ini ialah pengkritik yang berhujah, "Cadangan ini baik, tetapi memerlukan masa lama atau memerlukan fikiran yang terlalu canggih atau sukar difahami". Kumpulan penyokong ini termasuklah orang akademik yang suka berdebat dan berdialog sebagai kegiatan yang tidak membina langsung.

Kepemimpinan akademik tidak harus terjerumus di dalam logomaki (logomachy) iaitu konfrontasi mengenai makna perkataan. Pendekatan pemilihan eksklusif hanya akan membawa kepada konfrontasi "zero-sum" atau jalan buntu.

Sikap suka bertikam lidah tanpa hasil membina atau 'logomachy' mungkin ada hubungannya dengan amalan sikap suka bertengkar di antara satu sama lain tanpa pencapaian hasil yang positif!

Maka, langkah pertama ialah meyakinkan pemimpin politik serta golongan elit profesional bahawa rancangan ini boleh dilaksanakan, kemudian pelajar, guru dan ibu bapa boleh turut bersama. Jikalau tidak, ilmu pedagogi, pembelajaran di Malaysia akan terjerumus ke dalam terowong jalan buntu. Ini mungkin akan dikenali sebagai "Pedagogi di Alam Ajaib" (Pedagogy in Wonderland). Pembaca boleh rujuk kepada buku Alice in Wonderland yang dikarang oleh Lewis Carroll yang diterbitkan 170 tahun dulu yang masih terkenal oleh ramai penganut sastera Inggeris.

Kekurangan ruang menghalang penulis daripada penghuraian lanjutan mengenai perkara sampingan seperti pembelajaran dalam bahasa ibunda yang definisinya masih kabur.

Akhlak, kepercayaan serta pelajaran agama dan pelajaran mengenai ilmu keusahawanan juga harus ditimbang sebagai mata pelajaran penting dalam susunan mata pelajaran sekolah di Malaysia.

Peluang untuk latihan jasmani harus disediakan untuk semua pelajar tanpa mengira umur atau jantina, mengikut falsafah "pembinaan minda yang sihat wujud di dalam badan yang sihat".

Isu sensitif yang sedang memecah-belah masyarakat Malaysia kepada tiga jurang harus dihadapi dengan tenang dan perkasa. Sebenarnya aliran budaya dan pelajaran di Malaysia lebih dipengaruhi kuasa yang cenderung bergerak ke arah luar dari pusat. Ini berlawanan dengan kuasa bergerak ke arah pusat atau paksi.

Berikutan itu, perpaduan negara sentiasa terancam oleh pertumbuhan tekanan di mana kesannya lebih kepada pengaruh yang memecah-belah dan tidak berfungsi.

Manfaat paling baik akan tercapai daripada pengukuhan perpaduan negara melalui pendekatan tiga segi di dalam pembelajaran dua bahasa serta sistem dwibahasa.

Sambil memperkukuh dan meluaskan kosa kata (vocabulary), semua pelajar dan ibu bapa serta guru harus berusaha membuka pintu, tingkap minda dan jarak ufuk budaya dengan harapan bahawa mereka akan mengenal pelbagai bidang pengetahuan, sains dan sastera dalam kedua-dua bahasa termasuk sumber dari bahan terjemahan daripada pelbagai bahasa kepada kedua-dua bahasa itu.

Tabiat membaca harus dinikmati bukan saja untuk kejayaan di dalam peperiksaan, tetapi juga demi penghayatan membaca kerana keseronokannya.

Kepentingan relatif pelbagai mata pelajaran boleh difikirkan selepas tesis yang dianjurkan ini diterima oleh umum. Umpamanya ini bukan masa untuk membuat keputusan sama ada ilmu Sejarah harus dijadikan mata pelajaran wajib berbanding mata pelajaran Biologi atau Geografi!

Tujuan paling penting ialah mencapai kecekapan dalam dua bahasa. Perkara lain boleh diputuskan berdasarkan pemikiran yang munasabah (rasional) tanpa emosi (objektif) yang bukan berdasarkan hujah teori saja.

Peranan guru harus diberi penghormatan yang lebih jika dibandingkan dengan jawatan lain dalam perkhidmatan awam. Pangkat guru harus diberi keutamaan dalam masyarakat, ganjaran lebih menarik serta gelaran yang setaraf dengan perkhidmatan awam supaya ibu bapa dan pemimpin politik boleh memberi sambutan sewajarnya.

Keselamatan dan pembangunan Malaysia memerlukan tindak balas yang jelas, telus dan proaktif supaya masalah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam konteks dua bahasa dapat dijayakan.

Cadangan yang dikemukakan ini membuka peluang untuk semua warga Malaysia menerima satu perubahan pokok yang pasti memuaskan keseluruhan warganya.

Sumber: Rencana Berita Harian Online (http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20081122230250/Article/index_html)

0 komen:

Post a Comment