:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

20 November 2008

Bahasa Melayu tidak boleh majukan bangsa?

Sumber: Utusan Malaysia Online (20 November 2008)

MASYARAKAT terbanyak sibuk membicarakan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Persoalan mereka banyak berkisar tentang wajarkah PPSMI ini diteruskan dalam tahun-tahun mendatang.

Kebimbangan pihak-pihak tertentu terhadap kemungkinan PPSMI akan menjejaskan pencapaian pelajar ditolak sama sekali oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sehinggakan beliau membuat kenyataan bahawa keputusan UPSR yang telah diumumkan baru-baru ini menunjukkan dasar PPSMI ini tidak gagal. (Utusan Malaysia 5 November 2008).


Pada hemat saya penentangan ke atas dasar PPSMI mempunyai dua jenis aliran atau pendapat.

Satu pihak menentangnya kerana dasar ini hanya menimbulkan kesulitan pelajar memahaminya dan menyukarkan guru untuk mengajar. Ringkasnya, PPSMI boleh mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran.

Manakala pihak kedua melihat PPSMI perlu dihentikan kerana ia melibatkan hal jati diri, harga diri bangsa dan maruah negara yang tentunya mencakupi soal maruah bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara yang seakan-akan dinafikan kewujudannya.

Pada mereka, bahasa Melayu mesti didaulatkan dalam segala aspek kehidupan di negara kita, apatah lagi apabila menyentuh soal pengajaran akademik di sekolah.

Kebanyakan mereka mengambil contoh bagaimana nanti pelajar Melayu menjadi mangsa apabila subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

Oleh itu, mereka mahu bahasa Melayu menjadi sebagai bahasa pendidikan, bahasa ilmu dan bahasa pembangunan atau bahasa kemajuan negara sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia.

Rentetan itu, pada mereka bahasa Melayu selayaknya diutamakan, pun begitu subjek Bahasa Inggeris tidak pula dikesampingkan dan boleh dilaksana dan diperkasakan melalui kaedah yang lebih baik dan tersusun agar penguasaan pelajar dalam subjek tersebut lebih berkesan dan maju.

Persepsi, pengetahuan dan sikap yang salah dalam melaksanakan dasar bahasa yang ada itu sehingga akhirnya, mulai tahun 2003 kerajaan membuat keputusan mengubah dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah dan di IPTA, berbalik kepada bahasa Inggeris seperti pada zaman sebelum kemerdekaan tanpa sebab yang munasabah adalah keputusan yang tidak rasional yang dibuat berdasarkan kepercayaan karut bahawa bahasa Melayu tidak boleh memajukan bangsa Melayu atau negara.

Tanggapan mereka, bangsa Melayu tidak akan maju jika tidak menguasai bahasa Inggeris. Ironisnya, hanya orang Melayu yang sanggup berkata demikian.

Masyarakat terbanyak umumnya tidak menolak penggunaan bahasa Inggeris dalam penggunaan harian apatah lagi yang bersangkut paut dengan dasar PPSMI tetapi mereka melihat bahawa bahasa Melayu adalah jati diri yang dapat mengangkasakan tamadun bangsa.

Lantaran itulah, kita mesti yakin bahawa bahasa Melayu adalah bahasa yang paling berkesan untuk digunakan dalam mengajar subjek Matematik dan Sains serta menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan keputusan yang dicapai untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda dan cara terbaik bagi sesebuah bangsa mendalami ilmu pengetahuan.

Jika rakyat pelbagai bangsa baik Melayu, Cina mahupun India, NGO dan organisasi terbanyak menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains, maka siapakah sebenarnya yang beria-ria mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains?

Majoriti penduduk negara ini menolak penggunaan bahasa Inggeris bagi Matematik dan Sains kerana daripada kajian saintifik menunjukkan pembelajaran melalui bahasa ibunda lebih memberi kefahaman dan keberkesanan kepada pelajar. Ini adalah penemuan UNESCO yang membuat kajian yang dibiayai oleh Bank Dunia pada 1997.

Kesedaran mestilah berpasak kukuh bahawa Matematik dan Sains hendaklah diajar dalam bahasa Melayu iaitu bahasa ibunda. Namun, semua yang menuntut baik daripada institusi, kongres, persidangan, NGO dan orang perseorangan tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia.

Peningkatan bahasa Inggeris hendaklah dilakukan menurut pendekatan yang relevan dan sesuai dalam pengajaran bahasa tersebut. Pengajian dalam Matematik dan Sains bersifat teknikal dan tidak banyak membantu meningkatkan bahasa Inggeris. Itulah hakikat yang sering kita nafikan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu berwibawa dalam bidang keilmuan. Kejayaan penggunaannya terbukti di pengajian tinggi sejak hampir 40 tahun lepas. Penukaran pengajian Matematik dan Sains daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi akan memandulkan bahasa tersebut dan hanya menjadi bahasa kelas bawahan.

Malaysia semestinya mempunyai tradisi, nilai, budaya dan jati diri sendiri yang digahkan, termasuk mempunyai bahasa dan dasar pelajaran yang tersendiri.

Malaysia tidak seharusnya bersifat duplikasi dan carbon copy kepada negara tertentu. Kita perlu mempunyai jati diri dan identiti tersendiri dan mampu bersaing dalam pentas globalisasi.

Masyarakat sebenarnya mahukan subjek Matematik dan Sains kembali diajarkan dalam bahasa Melayu. Tidak ada cacatnya penggunaan bahasa tersebut dalam bidang keilmuan selama ini.

Bahasa Melayu terbukti mampu menjadi bahasa ilmu tetapi biarlah bahasa Inggeris dipertingkatkan dan pendekatan yang relevan perlu dibuat.

Mereka yang berkeras mahu menggunakan bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains sebenarnya daripada kalangan orang dalam yang boleh disifatkan sebagai harapkan pagar, pagar makan padi.

Rakyat berhak mendaulatkan bahasanya sendiri sebagai bahasa ilmu yang menjadi jati diri dan kemegahan mereka.

Pada akhirnya, saya secara peribadi ingin mengajak masyarakat dan pimpinan negara melihat isu ini secara ilmiah dan keluar dari kepompong dan ruang lingkup politik kepartian yang kadangkala dilihat terlalu beremosi.

Malah isu ini perlu dilihat dari sudut dan skop yang lebih luas, neraca pertimbangan yang berat dan perspektif yang menyeluruh.

Sayangilah bahasa Melayu. Kalau bukan kita, siapa lagi?

ADNAN AWANG
Dungun

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

0 komen:

Post a Comment