:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

26 November 2008

Banteras ketagihan fantasi siber anak muda

Sumber: Forum Utusan Malaysia Online (25 November 2008)

BEBERAPA ibu bapa telah menulis kepada saya baru-baru ini menyatakan kebimbangan mereka mengenai ketagihan anak muda kepada fantasi siber melalui permainan komputer (computer games) yang terdapat di kafe siber yang mereka kunjungi.

Semakin ramai anak muda mengunjungi kafe siber untuk bermain permainan komputer dengan alasan ingin mendapat ketenangan atau merehatkan minda daripada tekanan alam persekolahan.


Menurut ibu bapa tersebut, bukan ketagihan dadah yang dihadapi anak muda ini tetapi sebaliknya ialah ketagihan kepada permainan siber.

Tidak lama dulu terdapat laporan yang meluas dalam media mengenai pelajar sekolah rendah dan menengah berpakaian seragam sekolah didapati berada di kafe siber tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh ketika dilakukan pemeriksaan oleh jabatan pelajaran.

Inilah hakikatnya pada hari ini. Semakin ramai anak muda telah menjadi penagih kepada fantasi siber. Dan ini adalah masalah yang perlu ditangani oleh sekolah, ibu bapa dan pihak yang berkenaan.

Tidak ada salahnya permainan komputer ini digunakan untuk merehatkan minda tetapi ia hendaklah dilakukan dengan kadar yang sederhana. Sebarang bentuk penagihan adalah tidak baik terutamanya kepada pelajar yang perlu belajar dan menduduki peperiksaan.

Apa yang lebih buruk lagi ialah ketagihan terhadap permainan komputer boleh membawa kepada perjudian yang menjadi punca utama kepada banyak keburukan.

Perjudian siber tidak boleh dibenarkan dan anak muda kita tidak boleh dibiarkan terbabit.

Walaupun saya tidak memusuhi kafe siber, tetapi peraturan yang mengekang operasi mereka terutamanya bersangkutan dengan tempat ia beroperasi dan penguatkuasaan terhadapnya hendaklah diperketatkan untuk mengelak ia menjadi punca kepada penyakit sosial kepada masyarakat.

Bagaimanakah pengusaha kafe siber seperti itu membenarkan pelajar sekolah memasuki premis mereka sedangkan notis di depan pintu dengan jelas menyatakan pelajar yang berpakaian seragam sekolah tidak dibenarkan masuk.

Kafe siber tumbuh bagaikan cendawan di serata pelosok negara dan penguat kuasa tempatan yang mengeluarkan lesen kepada pengusaha kafe siber ini tidak mampu untuk memantau kesan buruk kepada masyarakat yang diujudkan oleh operasi kafe siber ini.

Untuk mengharapkan pengusaha kafe siber beretika dan melakukan pengawalan kendiri untuk menyekat mereka yang di bawah umur 18 tahun daripada memasuki kafe siber adalah mustahil kerana mereka mempunyai kepentingan kewangan terhadap perkara tersebut.

Semua penguat kuasa tempatan perlu memastikan pengusaha kafe siber mematuhi syarat yang dikenakan terhadap permit lesen mereka seperti mengehadkan operasi kepada waktu tertentu dan tidak membenarkan anak di bawah umur memasuki premis mereka.

Walaupun kita mengalu-alukan zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita juga perlu melindungi generasi muda kita daripada pengaruh negatif yang dibawa oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini.

Dengan perkembangan dan kemajuan pendidikan pintar, mendapatkan ilmu dan pengetahuan perlu dilakukan dengan pendidikan moral yang mencukupi.

Walaupun kita perlu menghasilkan pekerja yang mempunyai kepakaran komputer dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini, ia perlu dilakukan tanpa mengorbankan atau mengabaikan keperluan penerapan nilai-nilai moral yang baik.

Dengan kemajuan teknologi maklumat tanpa sempadan, lebih penekanan hendaklah diberikan terhadap penerapan nilai-nilai moral dalam pendidikan untuk mengelakkan munculnya lebih banyak jenayah siber.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi MCPF

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

0 komen:

Post a Comment