:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

18 November 2008

Kementerian promosi bahasa Melayu


Sumber: Utusan Malaysia Online (17 November 2008)

Kementerian Luar akan mengadakan promosi dan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini di negara-negara asing.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, sebanyak 104 buah kedutaan di bawah pihaknya akan digunakan dalam keadaan tertentu bagi tujuan mempromosikan bahasa Melayu mulai tahun depan.


"Kita ada 104 kedutaan di seluruh dunia, tidakkah ini satu jendela yang cukup banyak untuk memperkenalkan seni, budaya dan bahasa kita.

"Di Wisma Putra, melalui jangkauan kedutaan kita di seberang laut, harus mainkan peranan untuk pastikan bahasa Melayu naik dan dikenali sebagai bahasa kebangsaan kita," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Memperkenalkan Penerima S.E.A. Write Awards 2008 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar; Timbalan Ketua Pengarah DBP, Kamarul Zaman Shaharudin dan penerima S.E.A. Write Awards 2008, Prof. Dr. Hatta Azad Khan.

Rais berkata, Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam yang baru ditubuhkan di kementeriannya akan menjalinkan kerjasama dengan DBP bagi memperkenalkan kesusasteraan Melayu atau aspek-aspek berkaitan dengan penulisan antarabangsa bahasa itu.

"Ini bermakna, dalam seminar-seminar berkaitan dengan Parlimen antarabangsa, berkaitan bahasa Melayu, Kementerian Luar boleh memainkan peranan aktif mempromosikan seminar itu dan memberikan panduan antarabangsa untuk menjayakannya," katanya.

Beliau melahirkan keyakinan bahasa Melayu boleh dibawa ke peringkat antarabangsa melalui banyak kaedah lain termasuk melalui bengkel penulisan kreatif dan drama.

"Tertakluk dengan perbincangan kita tetapi bahasa Melayu mesti berada di tahap boleh diserlahkan di arena antarabangsa," katanya.

0 komen:

Post a Comment