:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

15 November 2008

Syor perkenal semula hukuman rotan murid


Sumber: Surat Pembaca Berita Harian Online (15 November 2008)

SEJAK hukuman merotan murid sekolah sebagai hukuman dihentikan lebih 15 tahun dulu, kita dapati perubahan perlakuan dan sifat generasi muda kian berbeza.

Remaja sekarang tiada rasa takut dan hormat, malah berani menentang guru dan ibu bapa. Akibatnya, mereka merosakkan diri sendiri.
Baru-baru ini kecoh lagi dengan kes pelajar perempuan menendang guru.

Apa sudah jadi? Kenapa kerajaan masih tidak faham bahawa sistem mendidik tanpa merotan akan merosakkan proses mendisiplinkan dan usaha menanam sifat mulia kepada pelajar.

Kementerian Pelajaran harus mengakui mereka silap kerana percaya 100 peratus bahawa cara kaunseling yang diamalkan di Amerika Syarikat lebih moden dan tidak kuno.

Kita perlu ada sistem merotan dan kaunseling, barulah kita dapat mendidik dan sekali gus mendisiplinkan anak.

Jika bercakap saja, saya pasti pelajar akan mempermainkan kata-kata guru dan tidak takut melanggar disiplin.

Kenapa Rasulullah SAW pernah bersabda, jika anak tidak solat maka pukullah mereka.

Kenapa Baginda tidak sarankan kita adakan kaunseling dan beri kata nasihat saja?

Sudah tiba masanya kita mengubah sistem pendidikan. Tidak bermakna cara lama itu kuno dan tidak berkesan.

Janganlah hanya kerana ada fahaman baru dari barat kita ikut membabi buta.

Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada remaja sekarang? Mana sifat malu dan takut mereka? Kita terlalu percaya cara Barat.

Akibatnya remaja tidak mempedulikan pendapat ibu bapa dan guru.

Mereka lebih yakin apa yang mereka buat adalah benar dan berpegang kepada konsep hak asasi.

Saya harap pendapat bekas guru diambil kira kerana mereka lebih berpengalaman.

PENDETA KALAM,
Seremban, Negeri Sembilan.

0 komen:

Post a Comment