:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

31 December 2008

PPSMI: NAKHODA BANGSA YANG KELIRU

Sumber: Blog Tanah Nurani

MEMBACA tajuk-tajuk utama akhbar Melayu hari ini, rata-ratanya mengemukakan cerita keputusan PMR semalam. Yang paling menyakitkan hati ialah beriya-iya menjelaskan keputusan subjek sains dan matematik yang diajar dalam BI itu. Keputusan yang menunjukkan kejayaan dan keupayaan pelajar luar bandar dan bandar berdaya saing dalam dunia global. Laporan daripada Pengarah Pelajaran Malaysia dengan angkuhnya menyatakan bahawa pelajar kita lebih hebat daripada pelajar di England dan Australia. Tahniah KPM.

Apakah selepas ini PPSMI ini akan diteruskan setelah berjaya melalui cabaran awal? Sekiranya itu yang berlaku, apakah kaedah yang akan diguna pakai? Bagaimana pula dengan pelaksanaannya? Adakah tindakan ini mengembirakan banyak pihak atau menambahkan lagi luka dan derita bangsa?

>Mungkin ada yang melihat hal ini kecil, remeh atau demi persaingan global. Tetapi bagaimana ukurannya dalam hal-hal roh, maruah dan jati diri bangsa?

Nampaknya slogan 'Malaysia Boleh' yang dicanangkan oleh pemimpin negara rupa-rupanya TIDAK BOLEH dilaksanakan dalam bidang ilmu dan pendidikan negara di Malaysia. 'Malaysia Boleh' hanya slogan sesuai untuk bidang kebudayaan, sukan, politik dan ekonomi sahaja. Akhirnya impian kerajaan untuk melihat nasib Bahasa Melayu terus layu di persada ilmu termakhbul juga. Sayang seribu kali sayang.

Terima kasih kerajaan Malaysia dan terima kasih UMNO kerana berjaya melunaskan impian untuk menguburkan Bahasa Melayu. Selepas ini, jangan lupa untuk menutup segera Dewan Bahasa dan Pustaka. Tutup juga akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Selepas itu, jangan lupa pinda perlembagaan perkara 152 dan 153 sekali. Tukarkan mana-mana istilah dan perkataan yang ada istilah Melayu kepada istilah Yahudi atau Inggeris. Kalau boleh, tukarkan juga nama bangsa Melayu dalam kad pengenalan kepada bangsa Inggeris.

Selanjutnya...

Sistem semakan tiket penempatan guru KPLI menyusahkan

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian (31/12/2008)

RIBUAN bakal guru yang menjalani Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Januari 2008 sudah menamatkan kursus itu awal bulan ini. Pada 20 Disember lalu, semakan keputusan penempatan mengajar untuk bakal guru ini dikeluarkan dan boleh disemak secara talian terus di laman web Kementerian Pelajaran.


Selepas tempat tawaran mengajar diperoleh, tertera beberapa nombor telefon untuk dihubungi bagi mendapatkan maklumat penerbangan. Bagi guru dari Semenanjung yang mendapat tawaran mengajar di Sarawak atau Sabah, mereka perlu menghubungi Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.
Namun dengan ribuan guru yang mendapat tawaran mengajar dan perlu mendaftar pada waktu sama, sering kali talian telefon didapati sibuk. Hingga kini, ramai lagi guru masih belum berjaya menghubungi Bahagian Pengurusan Sekolah Harian untuk mendapatkan maklumat penerbangan mereka.

Saya dapati, sistem yang digunakan ini tidak berkesan. Talian yang disediakan untuk dihubungi lebih kurang 3,000 orang hanyalah enam talian. Bayangkanlah bagaimana satu talian dapat beroperasi untuk menampung 500 panggilan.

Jika satu panggilan mengambil masa layanan selama tiga minit, maka 25 jam diperlukan untuk melayan 500 panggilan. Jika diambil kira lapan jam masa bekerja sehari, maka selepas tiga hari barulah pemanggil terakhir dapat mengetahui nasibnya. Itu pun tidak dikira masa dibazirkan untuk terus mencuba mendail beberapa kali dalam sehari sehingga berjaya.

Kementerian Pelajaran harus memberi khidmat lebih berkesan untuk kemudahan semua. Sistem semakan tiket secara talian terus menerusi laman web adalah lebih mudah dan menjimatkan masa.

Saya pasti ada beberapa sebab kenapa pihak kementerian tidak dapat memaparkan maklumat penerbangan secara talian terus. Tetapi jika sistem telefon tetap juga tidak dapat dielak untuk digunakan, sekurang-kurangnya setiap calon guru diumumkan secara anggaran kasar dulu mengenai tarikh penerbangan masing-masing.

NAIK BELON,
Kuala Lumpur.

Selanjutnya...

12 December 2008

Nantilah dengan kesabaran

Kenaikan angkat pensyarah IPG secara berperingkat

KEMENTERIAN Pelajaran akan menguruskan proses kenaikan pangkat pensyarah institut pendidikan guru (IPG) secara berperingkat selepas institut itu dinaikkan taraf kerana ia membabitkan jumlah tenaga pengajar yang ramai.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian sedar masalah itu dan usaha kenaikan pangkat akan dilakukan tanpa mengambil masa panjang.

"Isu yang dibangkitkan berhubung dengan kenaikan pangkat akan dilaksanakan secara berperingkat kerana membabitkan jumlah pensyarah yang besar.


"Jumlah pensyarah di IPG saja 30,403, tetapi ia perlu dipercepatkan dan sedang diusahakan kementerian," katanya menjawab soalan tambahan Roslan Shaharum (PAS-Bukit Gantang).

Hishammuddin berkata, kementerian berusaha memastikan tenaga pengajar IPG berkualiti dan pelaksanaan program seperti Ijazah Sarjana Muda Perguruan memenuhi keperluan sembilan bidang dalam Kerangka Kelayakan Malaysia.

Katanya, sembilan bidang itu merangkumi misi dan visi, kurikulum, pentaksiran pelajar, pengambilan pelajar, kakitangan akademik, sumber pendidikan, penilaian dan pemantauan tadbir urus serta penambahbaikan.

Untuk meningkatkan kualiti pensyarah IPG, kementerian menyediakan laluan kerjaya lebih menarik dengan mengadakan gred jawatan bermula daripada DG44 hingga DG54 kepada pensyarah akademik.

Pertambahan dan kenaikan gred jawatan di IPG juga diluluskan dalam Anggaran Belanja Mengurus (ABM) 2008 oleh Agensi Pusat terdiri daripada 54 pegawai atau pensyarah ke Gred DG54, 584 orang (DG52), 2,069 orang (DG48) dan 2,469 orang (DG44).

Hishammuddin berkata, pertambahan dan kenaikan gred jawatan juga membabitkan pertambahan 189 Pegawai Pengurusan DG41 dan 279 bagi pegawai serta pembantu pegawai pengurusan DGA32 yang dilakukan secara berperingkat.

Sumber: Berita harian Online (11 Disember 2008)

Selanjutnya...

11 December 2008

Bukan peristiwa yang penting tapi siapa yang berkata...

Seminar Bahasa Melayu: Isu dan Cabaran Pelestarian Bahasa Melayu Dalam Era Globalisasi telah anjuran Universiti Malaysia Terengganu telah berlangsung pada 1 - 3 Disember 2008. Seminar ini dirasmikan oleh YB. Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar.

Banyak kertas kerja yang dibentangkan berkisar kepada pemerkasaan bahasa Melayu dan cabaran yang dihadapi dalam era globalisasi ke arah keutuhan bahasa Melayu yang dicengkam oleh pelbagai isu mutakhir ini.

Pada saya, seminar ini menonjolkan suara-suara pejuang bahasa yang berani dan tegas. Saya percaya, seminar ini (termasuklah apa yang diutarakan oleh sarjana-sarjana bahasa & linguistik) tidak akan mendapat tempat dalam akhbar arus perdana jika tidak kerana dirasmikan oleh YB Datuk Seri Rais Yatim. Saya petik laporan Utusan Malaysia Online berkaitan kenyataan YB. Datuk Seri Rais Yatim.


Rais tidak setuju PPSMI Rais tidak setuju PPSMI

KUALA TERENGGANU 2 Dis. - Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini tidak bersetuju dengan langkah kerajaan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia mendatangkan kerugian dalam usaha pembinaan negara bangsa.

Beliau berkata, dalam tempoh persekolahan peringkat rendah, asas-asas budaya bangsa harus tertanam pada diri kanak-kanak dan bukannya penekanan terhadap aspek-aspek lain.

Katanya, walaupun kanak-kanak Melayu belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, tetapi yang mendukacitakan, pelajaran yang sama tetap diajar dalam bahasa Mandarin di sekolah Cina.

"Pada prinsipnya saya tidak bersetuju, tetapi saya mahu melihat ia diteruskan bagi melihat keberkesanannya," katanya.

Rais berucap merasmikan Seminar Bahasa Melayu: Isu dan Cabaran Pelestarian Bahasa Melayu Dalam Era Globalisasi di Perbadanan Perpustakaan Negeri di sini hari ini.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1203&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm&arc=hive (3 Disember 2008)

Selanjutnya...

Bahasa Melayu: Isu yang tidak berkesudahan

Teliti isu bahasa Melayu hingga ke akar umbi

DR. SHARIFUDIN LUBIS
Pensyarah Kanan,Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.


Isu cabaran dan penghinaan yang dihadapi bahasa Melayu nampaknya tidak pernah reda. Lepas satu isu, satu isu yang lain pula akan muncul. Setiap kali pula media tidak jemu memaparkannya apatah lagi apabila membabitkan kenyataan dan ulasan oleh para pemimpin negara.

Ada dua isu bahasa Melayu yang timbul setakat beberapa hari ini. Satu ialah berkenaan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan para peguam. Satu lagi ialah berkaitan papan tanda kawasan perumahan dan nama jalan sebuah taman perumahan di Ipoh.


Pada pendapat saya, kedua-dua isu terbaru ini dan isu-isu lain yang berkaitan dengan status bahasa Melayu boleh diselesaikan dengan mendiagnosis akar puncanya. Saya menarik perhatian kepada asas pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Negara, Fasal 152.

Masyarakat sering dikhabarkan bahawa kedudukan bahasa Melayu dijamin oleh Perlembagaan. Namun demikian ada sebahagian fasal tersebut yang dengan jelas menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh dilarang daripada digunakan, malah boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja terutama penutur jati masing- masing.

Walaupun banyak pihak (termasuk Datuk Azian Osman - seorang peguam, Senator, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur yang mempertikaikan papan tanda pelbagai bahasa di kawasannya) yang menyangka bahawa Fasal 152 itu begitu luhur dan dapat menjamin kedudukan bahasa Melayu, tetapi hakikatnya ialah bahasa Melayu terpaksa juga bersaing dengan bahasa-bahasa lain.

Dalam era dunia yang sangat dikuasai kapitalis, bahasa Melayu langsung tidak berdaya saing dari segi ekonomi dan menjadikannya bahasa yang tidak berkuasa apa-apa, walaupun seolah-olah selamat dalam Perlembagaan.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kuasa politik orang Melayu merudum semenjak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu. Ternampak jelas perkaitannya; apabila kuasa politik Melayu terjejas, daulat bahasa Melayu turut terheret ke lembah penghinaan.

Tiada sesiapa lagi yang peduli akan nasib bahasa ini kerana 'sudahlah miskin, hina pula'!

Sebelum kita menuding jari kepada pihak lain untuk dipersalahkan, saya fikir elok jika kita sendiri bermuhasabah diri. Kedudukan bahasa Melayu menjadi begitu goyah kerana akarnya tidak kemas. Akar yang dimaksudkan di sini ialah dari segi kedudukan sebenarnya dalam Perlembagaan. Fasal 152 itu menjadi rujukan asas kepada pelbagai dasar bahasa yang terbit kemudian.

Pelbagai pindaan dangkal (terutama beralaskan agenda politik) dibuat dan akhirnya menjadikan status bahasa Melayu tidak ubah seperti 'raja tanpa kuasa'. Jika kita benar-benar mahu memartabatkan bahasa Melayu, perkemaskan intipati fasal tersebut dan buat pindaan terhadap setiap perkataan, ungkapan atau ayat yang boleh menggugat status bahasa Melayu.

Secara sedar atau tidak, syarat yang dikenakan dalam fasal itu membolehkan sekolah beraliran jenis kebangsaan ditubuhkan. Para pemimpin pula tidak wajib menggunakan bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi. Banyak situasi majlis rasmi sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa (yang dihadiri oleh hanya seorang dua orang asing) yang memperlihatkan para pemimpin tertinggi negara tidak menggunakan bahasa Melayu.

Masih ramai pula peguam (rakyat Malaysia dan menerima pendidikan bidang guaman sepenuhnya di Malaysia) tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbicaraan di mahkamah. Kesemua mereka tidak boleh disabitkan sebagai melanggar Perlembagaan kerana Perlembagaan membolehkan bahasa lain selain bahasa Melayu digunakan.

Tidak cukup dengan itu, status bahasa Melayu sebagai akar perpaduan rakyat negara ini juga tidak dipedulikan, terutamanya yang membabitkan dasar-dasar sosial termasuk pendidikan.

Dalam keadaan yang goyah, diperkenalkan pula dasar PPSMI yang menjadikan bahasa Melayu terus terpinggir kerana kehilangan peranannya sebagai bahasa pengantar dominan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Sekali lagi para pemimpin tidak bersikap 'kepimpinan melalui teladan'. Bagaimanakah komunikasi antara rakyat berbilang kaum dapat 'dinyah prejudis' jika bahasa pertuturan mereka berlainan? Jurang komunikasi inilah yang menjadikan isu perpaduan kaum semakin parah.

Satu sahaja jalan bagi menyelesaikan kemelut ini iaitu menerusi jalan politik. Sementara kerajaan yang ada masih mempunyai kuasa majoriti, para pemimpin yang telah diberi mandat haruslah meneliti isu bahasa Melayu ini sehingga ke akar umbinya.

Janganlah bermain retorika politik lagi. Pilihlah; sama ada ikhlas untuk mendaulatkan bahasa Melayu atau 'alang-alang menyeluk pekasam' biarkan kita menjadi seperti Singapura.

Kami para pencinta bahasa Melayu sudah jemu bermain dengan perasaan; seperti kata pantun:

Apa diharap padi seberang,

entah berbuah entahkan tidak,

entah dimakan pipit melayang;

apa diharap bahasa tersayang,

entah bertuah entahkan tidak,

entah semakin bertambah hilang!

Sumber: Rencana Utusan Malaysia Online (11 Disember 2008)

Selanjutnya...