:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

09 April 2009

Seimbangkan skim perkhidmatan awam

Sumber: Forum Utusan Malaysia |7 April 2009|

SEJAK kebelakangan ini timbul banyak rungutan oleh kakitangan Perkhidmatan Awam dari pelbagai skim perkhidmatan.

Antaranya rasa tidak berpuas hati berhubung peluang kenaikan pangkat atau mengenai sesuatu skim perkhidmatan berbanding skim perkhidmatan yang lain walaupun mempunyai kelayakan masuk yang sama.

Sebagai satu contoh, seseorang pemegang ijazah dengan kepujian memasuki Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) akan dibayar gaji permulaan sebanyak RM1,993.63.

Tetapi seorang pemegang ijazah yang sama memasuki Skim Perkhidmatan Pendidikan akan dibayar gaji permulaan sebanyak RM1,695.85 walaupun masing-masing perlu mengikuti kursus Diploma Pentadbiran Awam (enam bulan) dan Diploma Pendidikan (satu tahun). Kenapakah perbezaan seumpama ini boleh berlaku?

Begitu juga dengan Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir (PPT) yang pada asalnya diwujudkan pada September 1957 dengan gelaran Executive Officer (EO).

Dalam skim ini Senior Executive Officer (SEO) dan Higher Executive Officer (HEO) diletakkan dalam bahagian 1 dan diberi kemudahan serta keistimewaan yang sama dengan apa yang dinikmati oleh pegawai dalam bahagian 1 yang lain pada waktu itu.

Pada Januari 1970 jawatan EO telah ditukar kepada jawatan Pegawai Kerja dengan menurun taraf ke Bahagian 2 walaupun masih mengekalkan jawatan Pegawai Kerja Tinggi dalam Bahagian 1.

Pada Januari 1976 taraf Pegawai Kerja Tinggi pula diturun ke Bahagian 2 dan kekal sehingga sekarang di dalam kumpulan sokongan dengan gelaran jawatan Penolong Pegawai Tadbir.

Pada tahun 1988 kerajaan telah membuat penyusunan semula struktur perkhidmatan pentadbiran Persekutuan. Sekali lagi gelaran jawatan Pegawai Kerja telah bertukar kepada nama baru iaitu Pegawai Eksekutif bertaraf diploma - kod gaji B9 dan B3/B1.

Pada masa yang sama penyandang jawatan Pegawai Tadbir Am (PTA) telah ditawarkan ke jawatan PTD manakala penyandang jawatan Pegawai Kerani Rendah (D11) ditawarkan ke jawatan Pegawai Kerani (C11).

Apabila Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan pada 1 Januari 1992 dan diikuti Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 1 November 2002, kerajaan telah membuat penambahbaikan terhadap sebahagian besar skim perkhidmatan dalam sektor awam dengan mewujudkan lebih banyak peluang 'kenaikan pangkat secara lantikan' (KPSL).

Seseorang penjawat awam boleh dinaikkan pangkat setelah lulus peperiksaan khas untuk memasuki skim perkhidmatan yang lebih tinggi tanpa memiliki kelulusan akademik sebagaimana sepatutnya untuk lantikan pertama bagi skim tersebut.

Maka ramailah yang telah berjaya dinaikkan pangkat dengan menggunakan 'sijil/diploma/ijazah KPSL' ini. Alhamdulillah mereka ini dapat melaksanakan tugas dengan baik kerana telah mempunyai pengetahuan dan pengalaman.

Tapi malangnya perkara ini tidak berlaku dalam Skim Perkhidmatan PPT berbanding dengan skim-skim lain seperti Penolong Penguasa Badan Pencegah Rasuah, Penolong Penguasa Kastam, Penolong Penguasa Imigresen, Penolong Pegawai Penguat Kuasa JPJ dan banyak lagi skim lain di mana ramai penyandangnya telah berada di Gred 41, Gred 42 dan Gred 44. Malah sudah ada yang telah meningkat dan tersenyum pada Gred 48.

Soalan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia ialah berapa ramai PPT yang memiliki ijazah/ijazah, lulus KPSL/PTK Aras IV yang telah dipanggil untuk ditemu duga dan seterus berjaya ditawarkan jawatan Pegawai Tadbir (Guna sama Persekutuan) Gred 41 atau jawatan lain dalam 14 skim perkhidmatan yang dibenarkan setelah lulus peperiksaan yang disyaratkan?

Sehubungan itu saya ingin mencadangkan kepada JPA supaya memberi banyak peluang kepada PPT yang telah memenuhi syarat (memiliki ijazah/lulus KPSL/Lulus PTK) untuk dilantik ke Perkhidmatan Pengurusan dan Profesional dengan mewujudkan lebih banyak jawatan Pegawai Tadbir di Jabatan atau Agensi Kerajaan Persekutuan di mana ketua pejabatnya bukan dari kalangan PTD.

Sekadar beberapa contoh seperti di Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Perguruan, Hospital Daerah, Politeknik, Jabatan Penjara atau di mana-mana sahaja yang difikirkan sesuai.

BIJAN
Kota Kinabalu, Sabah

1 komen:

Anonymous said...

kesian ppt dipandang sepi ramai je ada degree berpuluh tahun tapi ditakuk lama

Post a Comment