:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

28 May 2009

Mahu imbangi nisbah guru lelaki, wanita

Sumber: Utusan Malaysia |27 Mei 2009|

Kekurangan guru lelaki adalah antara cabaran paling besar dihadapi Kementerian Pelajaran dan kementerian kini dalam usaha untuk mengimbangkan jurang itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, pada masa ini hampir tiga perempat daripada setiap pengambilan tahunan guru-guru baru terdiri daripada wanita.

"Kebanyakan guru yang mengajar di pedalaman ialah guru lelaki. Jadi sebab itulah kita cuba imbangkan sedikit untuk dapatkan lebih ramai guru lelaki bagi memudahkan kita menghantar guru mengajar di pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini, malam tadi.

Mohd. Puad turut mencadangkan supaya guru menandatangani akujanji bersetuju untuk mengajar di luar bandar dengan tempoh perkhidmatan mereka dinyatakan dengan jelas, umpamanya tiga tahun.

Beliau berkata, akujanji seumpama itu perlu bagi mengelakkan guru yang dihantar bertugas di luar bandar, memohon ditukarkan hanya selepas enam bulan mereka di sana.

Mohd. Puad berkata, selain itu ia juga bagi memastikan seseorang guru itu tidak berkhidmat terlalu lama di kawasan pedalaman.

"Saya sendiri menyaksikan kepayahan guru di pedalaman antaranya seorang guru wanita terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan gelombang telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan suaminya.

"Ada juga kes seorang guru wanita dari sebuah sekolah di Marudi, Sarawak bersalin dalam bot ketika dalam perjalanan ke hospital kerana jarak antara sekolah dan hospital jauh," katanya. -

0 komen:

Post a Comment