:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

20 January 2009

Urusan naik pangkat dg2941 ke DG44

Urusan Kenaikan Pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 ke Gred DG44 Secara Time-Base Khas Untuk Penyandang (KUP) Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Yang Telah Dilantik Sebagai PPPS Gred DG41

Sumber: http://apps.emoe.gov.my/bsm/

Selanjutnya...

15 January 2009

Tolak tradisi ilmu kolonial

Sumber: Rencana Utama Kosmo

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
shaharomtm@yahoo.com


Menjajah sesebuah negara bukan hanya dari segi fizikal atau geo-politik tetapi juga menerusi ilmu kolonis untuk menguasai minda peribumi.

DI Malaysia, penjajah hanya mengambil masa dua abad untuk melakukan analisis tentang struktur sosial Melayu dan peribumi.

DARI segi sejarah, proses pembentukan negara moden cukup bergantung terhadap sumbangan serta kualiti ilmu pengetahuan yang mendukungnya.

Malah, terbinanya negara moden itu adalah berasaskan ilmu pengetahuan yang cukup terperinci lagi mendalam, bukan sahaja bersifat sains sosial dan kemanusiaan, bahkan juga yang bersifat sains tabii.

Mengiringi ilmu pengetahuan dalam menegakkan negara moden tersebut adalah analisis sosial. Kalaulah ilmu pengetahuan mengisi historiografi dan ideologi sesebuah negara, maka analisis sosial pula berperanan sebagai kerangka untuk menilai pertumbuhan negara berkenaan, khususnya dari sudut politik dan ekonomi.

Kalau disingkap kembali sejarah imperialisme dan kolonialisme Barat, kita akan bertemu dengan bukti jelas tentang peri pentingnya ilmu dan analisis sosial untuk pemerintahan melalui wahana ilmu kolonial.

Ia merupakan sesuatu yang penting bagi sesebuah kuasa imperialis mengasaskan kekuasaannya di kawasan jajahannya. Kalau kekuatan ketenteraannya membolehkan sebarang kuasa penjajah menakluki secara fizikal sesebuah ruang geo-politik, melalui ilmu kolonial pula penjajah mampu menakluki ruang epistemologi.

Ia adalah ruang sistem pemikiran dan intelektual masyarakat peribumi yang dijajah. Paling membimbangkan apabila wacana ilmu kolonial telah berakar umbi dalam masyarakat dan sumbangannya telah dianggap sebagai sesuatu yang semula jadi dalam dimensi kehidupan kita.

Paling penting dalam wacana ilmu kolonial ialah metodologi atau pembinaan ilmu yang digunakan dalam menghimpun segala macam fakta dan maklumat, yang komprehensif dari segi kandungan, kuantiti serta kualiti mengenai masyarakat yang dijajah.

Lebih penting lagi sebahagian besar fakta dan maklumat itu masih digunakan hingga sekarang dan dianggap relevan kepada kerajaan pascakolonial di negara-negara yang pernah dijajah.

Seorang sarjana tempatan ternama, Shamsul Amri Baharuddin yang banyak mengkritik tentang wacana ilmu kolonial, dalam tulisannya PascaKolonial dan Ilmu Kolonial: Satu Pandangan telah menegaskan, dalam memantapkan metodologi kolonialisme ilmu, penjajah melakukan dan merancang kaedah-kaedah untuk mengumpul maklumat dan pengetahuan mengenai masyarakat yang dijajah dengan secara praktikal dan strategik melalui langkah-langkah berikut:

Langkah pertama adalah untuk menguasai bahasa anak peribumi untuk membolehkan sang penjajah berkomunikasi dengan masyarakat tempatan dalam usaha mereka menguatkuasakan sistem perundangan yang diimport dari negara asal sang penjajah tersebut.

Langkah kedua adalah menjalankan kaji selidik demi kaji selidik untuk mengumpulkan maklumat terperinci bukan sahaja mengenai kehidupan sosial masyarakat peribumi, bahkan juga maklumat tentang alam sekitar fizikal masyarakat berkenaan.

Pelbagai bentuk peta, daftar serta laporan rasmi terhasil daripada kajian itu yang membolehkan pemerintah kolonial mendapat gambaran terperinci tentang alam sosial dan fizikal masyarakat berkenaan.

Langkah ketiga adalah mengumpul maklumat statistik mengenai tanah jajahan melalui kegiatan banci. Untuk itu, pelbagai kategori sosial diperkenal untuk mengklasifikasi manusia kepada kelompok-kelompok yang mudah dikenal pasti. Himpunan maklumat perangkaan itu bukan sahaja untuk dicerna guna menjadi fakta-fakta, malah lalu diterima sebagai kenyataan sosiologikal mengenai masyarakat yang dijajah tersebut.

Langkah keempat adalah menyimpan pelbagai bahan dan artifak yang telah dikutip daripada kajian dan bancian tersebut untuk dipamer dan ditonton di muzium, zoo, taman bunga dan koleksi peribadi. Ia sebagai membuktikan kepada masyarakat yang menjajah dan dijajah tentang sejarah serta kedudukan peradaban peribumi dalam trajektori evolusi dan hierarki peradaban sejagat.

Melalui langkah itu juga, beberapa imej stereotaip mengenai sesebuah masyarakat peribumi terpahat dan diabadikan dalam bentuk logo, patung dan tugu, kepala surat dan dalam beberapa bentuk lain yang diperakukan sebagai imej rasmi seperti orang Melayu dengan songkok dan sarongnya.

Langkah kelima adalah untuk mengasaskan suatu sistem pengintipan dan perisikan, yang dianggap perlu bagi menjamin keselamatan serta kestabilan politik pemerintahan kolonial tersebut.

Langkah keenam adalah membina suatu perpustakaan historiografi yang dicap sebagai hak milik peribumi yang kemudian dijadikan sebagai bahan pengajaran untuk diperturunkan secara mass consumption melalui sistem pendidikan kolonial guna dihayati oleh masyarakat peribumi sebagai sejarahnya.

Kerangka konseptual yang mengikat perpustakaan historiografi tersebut adalah sistem klasifikasi dan teori sosial Eropah.

Tergambar dalam setiap langkah itu adalah analisis sosial yang membolehkan kuasa kolonial menilai keadaan semasa, menelaah keadaan masa depan, menggubal dan melaksanakan pelbagai polisi yang mengesankan kehidupan masyarakat peribumi tetapi sebahagian besarnya didapati menguntungkan mereka.

Begitu luar biasa sekali kesannya ilmu pengetahuan dan analisis sosial yang telah diaplikasikan mereka sehingga meninggalkan kesan sehingga sekarang.

Dalam kes Malaysia, selama hampir dua abad, suatu himpunan ilmu kolonial mengenai orang Melayu dan kaum peribumi selainnya telah berjaya dikumpulkan oleh penjajah.

Sebahagian daripada ilmu itu diterbitkan sebagai laporan rasmi kerajaan dan ada juga yang diterbitkan sebagai artikel jurnal atau dalam bentuk monograf yang diketengahkan sebagai tulisan ilmiah.

Penerbitan ini kemudian telah tersebar luas di seluruh Eropah dan tanah jajahan Inggeris sebagai sumber akademik yang dianggap otentik mengenai masyarakat peribumi di Malaya.

Ahli tadbir sekali gus sarjana terbesar dalam bidang ilmu kolonial Melayu ialah Stamford Raffles. Beliaulah orang pertama yang telah memperkenalkan konsep the Malay Nation, the Malay race, wilayah Melayu dan mengkonsepsi sejarah orang Melayu berdasarkan teori sosial dan biologi Eropah.

WACANA ilmu kolonial menjadi metadologi penjajah untuk membentuk pemikiran kaum peribumi.

Seorang lagi sarjana tempatan, Allahyarham Prof. Syed Hussein Alatas, yang amat kritikal terhadap wacana ilmu kolonial dan orientalisme, dalam karya besarnya The Myth of the Lazy Native telah mengemukakan teori bahawa anggapan tentang peribumi malas yang selalu digambarkan oleh pihak kolonial sebenarnya satu mitos yang akhirnya berkembang sebagai satu analisis sosial.

Idea kolonial tentang peribumi malas itu adalah hasil daripada kekuasaan kolonial yang pada umumnya terjadi pada abad ke-19 ketika kekuasaan terhadap tanah jajahan mencapai puncaknya dan tatkala eksploitasi kolonial memerlukan penguasaan meluas terhadap daerah tersebut.

Sementara itu Zawiah Yahya dalam kajiannya yang dibukukan, Resisting Colonialist Discourse, telah menganjurkan satu kaedah penolakan wacana ilmu kolonial melalui pendekatan strategi pembacaan.

Strategi tersebut cuba mendedahkan serta merungkai wacana ilmu dan kekuasaan kolonial yang sering disifatkan sebagai universal dan objektif dan menyedarkan masyarakat tentang kehalusan psikologis yang ditanamkan oleh pihak kolonial.

Selanjutnya...

Pakatan Rakyat mahu rombak semula PPSMI

Sumber: Harakahdaily (Khamis Jan 15, 09 | 2:08:21 pm)

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Hrkh) - Pakatan Rakyat hari ini melahirkan komitmen memperjuangkan bahasa Melayu dan mengembalikan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda.

Ketua Umno KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melafazkan komitmen tersebut.

Malah kata Anwar, sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat, perkara pertama yang akan dilakukan mengembalikan bahasa Melayu setelah dipinggirkan dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik.

"Kita dalam Pakatan Rakyat telah mencapai kesepakatan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Perkara itu sudah ditandatangani semua pemimpin utama Pakatan Rakyat.

"Ustaz Abdul Hadi menandatangani bagi pihak PAS, Lim Kit Siang mewakili DAP Imagedan saya sebagai mewakili KeADILan," katanya pada majlis menerima memorandum daripada Gerakan Memansuhkan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sini, hari ini.

Memorandum itu diserah timbalan pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof Dr Shahrin Mohd Zin kepada calon PAS parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Abdul Wahid dijangka akan membawa memorandum tersebut ke parlimen yang menjadi agenda pertama sekiranya dipilih rakyat Kuala Terengganu Sabtu ini.

Memorandum serupa akan diserah NGO terbabit kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini, ketika datang membantu kempen calon BN.

Hadir sama pada majlis itu pejuang-pejuang bahasa Melayu. Antara pemimpin Imagepolitik yang hadir Naib Presiden KeADILan, Mohd Azmin Ali, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim, bekas Yang Dipertua Abim, Dr Sidek Baba, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali dan Abdul Wahid.

Kedatangan Zaid ke majlis itu mengejutkan banyak pihak sehingga semua mata tertumpu kepadanya seketika.

Anwar berkata, amat malang sekali apabila pemimpin Umno mengabaikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu seolah-olah mereka tiada prinsip.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan slogan Bahasa Jiwa Bangsa kini sudah dirosakkan pemimpin negara yang ada sekarang.

Sedangkan katanya negara yang mencapai tamadun besar di dunia menjadikan bahasa ibunda sebagai perantaraan kepada rakyat.

"Ini kerana pembelajaran ilmu dalam bahasa lain terbukti gagal dan tidak mencapai matlamat sebenar," katanya.

Selanjutnya...

09 January 2009

DG2941: Jengah ke blog NUTP

Menjengah ke blog NUTP seketika; nampaknya isu dg2941 masih panas dan sudah tentu NUTP antara sasarannya. Berikut dipetik beberapa luahan pengunjung blog tersebut:

Blogger salfida75 said...

Assalamualaikum semua..

Saudara salfida75

Terima kasih atas pandangan saudara. Apa yang saudara katakan mengenai tuntutan gaji 1.7.2007 mengenai NUTP adalah tidak tepat.

Terima kasih kembali kepada SUA.

Saya mohon maaf jika maklumat saya itu tidak tepat tetapi apakah peranan NUTP ketika itu? Yang dikatakan suara guru yang paling berpengaruh? Apa yang berlaku sebenarnya..mohon SUA beri gambaran sedikit agar ahli semua maklum atau mungkin kita tidak sedar kewujudan masalah ini..jadi kita kena mengaku dan akur bahawa kita terlepas pandang.Namun apa yang saya dapat buat kesimpulan daripada pandangan2 sahabat2 di blog2 seolah2 100% kesilapan terletak ditangan JPA bukan CEUPACS atau kesatuan lain. Bukankah permohonan maaf lebih mulia daripada membenarkan fitnah2 dan tafsiran tidak menentu meliar tanpa arah.

Cuma saya nak dapat kepastian satu lagi tentang senarai Pemimpin-pemimpin NUTP yang memegang jawatan di CEUPACS spt Lt.Kdr.(B) Hashim bin Adnan (Naib Presiden Gred Pendidikan),Sdr Tey Meng Seng (Naib Presiden PnP), Sdr Kuna Cegeram A/L Tanimala (Timbalan SUA),Sdr Harry Tan Huat Hock (Pen. Setiausaha PnP) dan Sdr Mokhatar bin Ahmad (Pen. Setiausaha Gred Pendidikan..adakah mereka ini baru dilantik untuk sesi 2008/2009 atau sebelum ini sudah ada AJK NUTP lain berada di dalam CEUPACS-rujuk halaman 11,Buletin NUTP Oktober 2008.

Apapun mohon jasa baik puan ambil maklum cadangan di atas. Saya bukan hendak menghentam NUTP cuma ingin membantu menyelesaikan kemelut ini agar dapat gambaran sebenar untuk semua pihak lagipun tiada apa faedah pun saya dapatuntuk fitnah dan sabotaj NUTP sbb banyak perjuangan NUTP telah berjaya membela guru. Selamat Maju Jaya.

Tue Jan 06, 06:57:00 PM 2009

Blogger cg khrie said...

Isu pelarasan gaji 1.7.2007 pada saya bukannya kesilapan JPA. Saya bersetuju dgn pandangan safilda. Tuntutan pelarasan gaji adalah dibuat oleh Cuepacs dan NUTP merupakan antara kesatuan yang mempunyai kedudukan (wakil) dalam Cuepacs.

Tuntutan yang dikemukakan sudah pasti diketauhui secara mendalam (sepatutnya) kesannya kepada keseluruhan kakitangan awam termasuklah kalangan dg2941. Dalam hal ini NUTP sudah pasti maklum dengan keadaan yang bakal berlaku kepada kalangan ahli2nya dg2941.

Secara kasarnya, niat tuntutan yang difahami oleh saya adalah bermatlamat untuk merapatkan jurang gaji antara kakitangan sokongan dengan profesional. Dalam hal ini bermakna kepentingan kumpulan sokongan adalah merupakan fokus utama. Hal sama juga berlaku dalam tuntutan penmabahbaikan PTK seperti mana yang Cuepacs umumkan.

Lebih meragukan tentang dg2941, setelah rungutan dan pelbagai kekecewaan ditimbulkan oleh guru2 yg terlibat, penyelesaian yang cuba diberikan jauh menyimpang daripada masalah sebenar yang wujud. Oleh itu, ketidakpuasan hati dan kekecewaan kalangan dg2941 walau diberi 1 hkg dan 3:1 masih tidak ada kesudahan yang memuaskan hati.
Menyedihkan juga tidak nampak pun kesungguhan Cuepacs dalam menangani isu ini, sedangkan jika melibatkan isu2 kumpulan sokongan cuepacs akan segera ke hadapan untuk membantu penyelesaiannya.

Hanya janji2 penyelesaian oleh NUTP yang agak menyenangkan sedikit hati kumpulan ini walaupun sudah beberapa kali dikecewakan dengan janji2 hampa.

Apa2pun tahniah kepada NUTP yang berkali2 cuba menyelesaikan isu2 guru.

Wed Jan 07, 09:46:00 PM 2009

Blogger noor said...

Berkenaan dengan isu pelarasan gaji 1.1.2007 yang ditimbulkan oleh Safilda75 dan Cg Khrie, saya telah terhidu akan kecelaruan gaji guru DG29/41 yang akan timbul sebelum ia diputuskan lagi. Ketika itu ia masih dalam cadangan.
Saya ada mengajukan masalah yang akan timbul ini kepada KPPK Kebangsaan tetapi jawapan yang saya terima adalah amat mengecewakan. Saya diminta untuk menerima dahulu cadangan ini dan jangan membantahnya kerana ia masih dalam cadangan. Pihak KPPK khuatir kalau isu itu diperbesarkan maka cadangan kenaikan gaji itu tidak akan diluluskan oleh kerajaan.
Ini menunjukkan bahawa KPPK memang sudah tahu apa yang akan berlaku berdasarkan laporan saya. Oleh itu saudara saudari fikirkanlah sendiri apakah prinsip perjuangan KPPK. Saya tidak mahu menjadi dalang memburuk-burukan KPPK kerana saya juga ahlinya selama 10 18 tahun dan saya tetap akan menjadi ahli kerana ini sahaja kesatuan guru yang aktif kita ada.

Thu Jan 08, 09:32:00 AM 2009

Blogger crkb said...

Assalamualaikum...

Terlebih dahulu, selamat tahun baru 2009 dan selamat kembali bertugas dengan penuh dedikasi.Sesungguhnya kami kaum guru tidak pernah perperasaan untuk menyimpang dari menjalankan tugas hakiki kami walau apa yang melanda dalam profesion perguruan akihr-akhir ini.Tahniah juga buat NUTP atas usaha memperjuangkan nasib kaum guru di Malaysia.

Saya ingin berkongsi permasalah / kejanggalan dalam isu DG29/41 dengan mengambil contoh nyata terhadap saya dan "couresmate" saya di universiti dulu (cuti separuh gaji - belajar sepenuh masa).
Rakan saya gagal dalam beberapa matapelajaran menyebabkan dia kena sambung satu semester.Tahun berikutnya beliau sekali lagi tidak dapat "grad" kerana belum lulus MUET tapi beliau meneruskan perkhidmatan PPBS DG29.Jadi beliau ketinggalan 2 tahun daripada saya.Dalam pada itu beliau sempat mengambil PTK (PTK baru diperkenalkan ketika itu),dan lulus, dinaikkan ke gred DG32.Semasa dlm gred 32, gaji beliau lebih tinggi dari saya dan sekarang setelah bertukar ke DG41, mata gaji beliau berada di P1T13 sedangkan saya baru di T9...
Ini belum lagi dibuat perbandingan dengan rakan-rakan yang tidak sambung belajar atau yang buat PJJ dan baru dilantik ke DG41 ( yang sempat merasa DG32) kerana gaji mereka jauh lebih tinggi kerana saya dah pun berkhidmat selama 13 tahun dalam kategori C2/DGA6/DGA29 sebelum sambung belajar.

Pada pendapat saya isu 2941 ini timbul kerana kadar pelarasan gaji yang tidak tepat.Sepatutnya kaedah merapatkan jurang gaji perlu diperbetulkan bukan dengan cara menaikkan gaji semata-mata.Sepatutnya diberi peluang/galakan/kemudahan/insentif dengan lebih banyak (paksa mereka) belajar untuk mendapat gaji yang lebih tinggi.Bukan dengan kaedah memberi kadar peratusan kenaikan gaji yang tidak sama.Dalam masa yang sama, buat rombakan semula terhadap kenaikan gaji supaya sekata 25% untuk semua kategori.

Harap ada pihak atasan yang buka mata...

Selamat bertugas dengan penuh rasa tanggungjawab.

Thu Jan 08, 10:25:00 PM 2009

Selanjutnya...

Berdiri tidak sama tinggi; duduk pun tidak sama rendah!

Daripada Blog Utusan Pengarah, Institut Peradaban Melayu, UPSI7 Januari 2009.

Apabila bahasa Inggeris digunakan bagi mengajarkan sains dan matematik, sekalipun dengan persetujuan penduduk luar bandar, maka situasi yang sangat memudaratkan penduduk luar bandar akan wujud.

Kanak-kanak dari bandar, lebih-lebih lagi yang menuturkan bahasa Inggeris di rumah seperti dalam golongan kelas menengah akan lebih mudah belajar. Pengetahuan dan kemahiran bahasa Inggeris mereka dapat memudahkan proses mereka belajar.

Kanak-kanak luar bandar, termasuk anak-anak penduduk pekan kecil, pinggir bandar dan kelas menengah yang tidak menuturkan bahasa Inggeris di rumah akan terpaksa belajar sebuah bahasa lain dahulu sebelum dapat belajar.

Ini bermakna dasar pendidikan begini secara sistematis menyulitkan keadaan untuk kanak-kanak luar bandar dan yang tidak mengetahui bahasa tersebut.

Dijangka, dasar ini akan secara sistematis mencicirkan kanak-kanak luar bandar tersebut.

Bahasa yang paling berkesan mengajarkan ilmu adalah melalui bahasa ibunda.

Selanjutnya...

03 January 2009

Kembali ke sekolah dengan penuh komitmen

Ahad nanti akan bermula sesi persekolahan di Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala sesi persekolahan negeri-negeri lain akan menyusul keesokannya.


Selamat kembali kepada rutin yang diamanahkan dengan penuh keazaman untuk memajukan anak didik dan profesion keguruan.

Paling penting jangan kecewa dengan beberapa isu yang masih belum diselesaikan, seperti PPSMI, dg2941, PTK dan proses kenaikan pangkat. Isu-isu ini perlu dilaungkan, biarpun adakala kita disalah anggap sebagai tidak bersyukur atau tidak ikhlas dalam menjalankan tugas. Sebenarnya keikhlasan dalam tugas dan tuntutan terhadap hak yang dinafikan adalah perkara yang berbeza.

Usaha meningkatkan profesionalisme juga perlu dilakukan. Jangan sesekali berasa selesa dengan ilmu dan kemahiran dalam p&p yang dimiliki. Tidak dinafikan ada di antara kita yang cukup selesa dengan penguasaan ilmu kerana sudah bertahun-tahun mengajar di kelas dan mata pelajaran yang sama. Keselesaan ini sebenarnya boleh menggugat profesionalisme jika tidak dimurnikan dengan pelbagai kemahiran sampingan yang boleh membantu menambahbaik proses p&p.

Mudah-mudahan 2009 akan membawa perubahan yang baik kepada kita dan perkhidmatan.

Selanjutnya...

Aset atau Liabiliti?

Sumber: http://www.yadim.com.my/Komentar/UlasanFull.asp?Id=592

Oleh ZALILA ISA


Seramai 4,749 orang pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun hadapan. Ini merupakan angka rasmi yang dilaporkan oleh majikan, kebanyakannya dalam industri elektronik kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini.

Majlis Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramalkan gawat pada suku tahun pertama dan kedua 2009.

Ini merupakan kesan daripada krisis ekonomi global. Kelembapan ekonomi menyebabkan pemberhentian pekerja merupakan langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan kos.

Ketika ini, masyarakat mula bimbang. Menekuni nasib mereka yang entah stabil atau tidak dengan kegawatan ekonomi ini. Masing-masing mula mencari jalan terbaik sebagai satu jaminan agar mereka tidak diberhentikan kerja ataupun jika diberhentikan, mereka akan dapat hidup dengan cara yang lain.

Masyarakat mula memikirkan hal-hal yang berkaitan. Ini termasuklah nasib pekerja yang diberhentikan, peluang pekerjaan lain serta masalah yang bakal timbul jika masalah pemberhentian ini tidak ditangani sebaiknya.
Bagi pekerja yang diberhentikan, mereka perlu memastikan pihak majikan memberi notis pemberhentian dan membayar faedah pemberhentian kerja seperti mana yang ditetapkan dalam Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Kerja [Faedah-Faedah Penamatan dan Hentikerja Sementara] 1980 di bawah Akta kerja 1995.

Selain itu, wujud beberapa cadangan yang tujuannya mahu memelihara nasib pekerja yang bakal diberhentikan kelak. Sebagi contoh, cadangan MEF bagi menubuhkan satu Tabung Pemberhentian Pekerja yang memperoleh dananya melalui caruman pekerja dan majikan sama seperti caruman KWSP dan Perkeso. Pengurusan dana ini boleh ditadbir oleh PERKESO bagi memastikan caruman terhadap pekerja dapat dilakukan.

Kerajaan juga dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru dan disaran melaksanakan skim latihan semasa kerja bagi mengurangkan jumlah pemberhentian pekerja. Latihan berkenaan penting untuk para pekerja mempelajari dan menguasai kemahiran baru seiring dengan permintaan pasaran. Dengan ini pergantungan kepada pekerja asing akan berkurang.

Hal wang faedah pemberhentian kerja harus digunakan sebaiknya. Sebaiknya bermaksud memikirkan cara terbaik membelanjakan wang itu dan sebolehnya biarlah wang itu memberi pulangan yang berbaloi.

Pelbagai cara boleh dilaksanakan sebaik diberhentikan kerja. Perlu diingat perkara ‘berbakti dengan tanah’ juga boleh diambil kira bagi memenuhi tuntutan kehidupan. Sudah ramai petani yang berjaya dalam bidang pertanian yang semakin berpotensi besar.

Hal kewangan setelah tidak bekerja harus dipandang teliti. Menguruskan kewangan sebaiknya bakal menghindar segala kemungkinan yang negatif.
Itu persediaan bagi mereka yang bakal diberhentikan kerja. Bagaimana pula dengan mereka yang masih bekerja?

Hidup Untuk Bekerja, Hargai Pekerjaan

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud; "Allah mencintai apabila tugas diamanahkan kepada kamu maka laksanakanlah tugas tersebut dengan cemerlang yang mungkin". (Al-Baihaqi)

Mengapa kita perlu bekerja? Dalam bidang pekerjaan sama ada dalam bentuk organisasi kecil dan besar ataupun bekerja sendiri, persoalan yang sama akan timbul iaitu untuk apa kita bekerja.

Setiap orang punya sebab tersendiri untuk bekerja. Apa yang pasti dengan bekerja kita akan memperolehi gaji (berbentuk wang), yang akan digunakan untuk memperbaiki diri, membangunkan keluarga, bangsa dan negara. Terlebih baik jika tujuan bekerja itu dilaksanakan kerana ibadah kepada Allah s.w.t. Mencari rezeki yang halal dituntut dalam Islam, dan bertepatan dengan firman Allah dalam surah Taubah, ayat 105 yang bermaksud,"Katakanlah (Wahai Muhammad), beramal dan bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan."

Ini bermakna, Allah menciptakan manusia bukan sahaja untuk menjadi hamba yang bertaqwa kepadanya. Kehidupan umat Islam harus dilengkapi dengan hal-hal duniawi dan ukhrawi kerana pertalian antara keduanya tidak akan terputus.

Firman Allah dalam surah Jumuah, ayat 10 yang bermaksud; "Dan apabila solat telah ditunaikan, maka bertaburanlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya. Semoga kamu berjaya."

Oleh hal yang demikian, setelah kita menetapkan apakah tujuan kita bekerja, maka perkara yang harus kita tanyakan pada diri sendiri adalah matlamat kerjaya yang telah dipilih dan juga perancangan kerjaya yang akan disusun untuk membentuk manusia yang berjaya di dunia dan akhirat.

Melihat kepada situasi pemberhentian kerja secara beramai-ramai, betapa bersyukurnya mereka yang masih punya pekerjaan. Melihat pengangguran yang berlaku di negara ini juga seharusnya memberitahu secara jelas betapa pekerjaan amat penting dalam meneruskan kelangsungan hidup sesiapa sahaja.

Menghargai pekerjaan bukan semudah yang disangka. Konsisten dalam semangat bekerja sering terganggu oleh beberapa hal yang sebenarnya kecil. Dalam hal ini, terlebih penting adalah jatidiri serta pandangan hidup seseorang terhadap perjalanan hidupnya.

Secara sedarnya, dalam kehidupan terutama masyarakat Islam, beberapa perkara harus dijadikan pegangan dalam bekerja iaitu bekerja kerana Allah s.w.t yang ditunjangi keimanan (kerja sebagai ibadah), bekerja dalam bentuk pasukan (amal jama’i) dan juga bekerja dengan kasih sayang.

Kerana itu, dalam bekerja setiap individu punya peranan dan kekuatan tersendiri. Dan kekuatan itu membentuk organisasi seterusnya negara, bangsa dan tamadun.

Dalam sesebuah organisasi, pelaksanaan konsep syura, ukhuwah dan saling bekerjasama yang diterapkan akan membentuk satu kekuatan ekonomi yang akan saling memberi pulangan yang bernilai dalam setiap individu. Hal ini harus ditikberatkan tidak kira kedudukan seseorang itu sebagai majikan (pemimpin) atau pekerja (pengikut).

Bagi individu yang bekerja sendiri pula, tidak kiralah sebagai petani, peniaga atau apa-apa sahaja, mereka masih terikat dengan konsep bekerja sebagai ibadah, merancang kerja serta bantu-membantu dengan pihak yang lain. Hal ini tidak boleh dinafikan kerana setiap manusia tidak boleh hidup dengan sendiri.

Melengkapkan diri dengan kekuatan hati untuk bekerja tidak semudah yang disangka apatah lagi dengan segala ujian dan halangan yang pasti datang merencahkan perjalanan kehidupan.
Individu yang bekerja terutamanya, sewajarnya memiliki sahsiah sawiyyah iaitu sahsiah yang seimbang. Sahsiah seimbang ini boleh dicapai apabila setiap individu mempunyai keupayaan mengadaptasi persekitaran dengan dirinya.

Bersikap dinamik, bijaksana, fleksibel, bertanggungjawab, redha dengan kerjanya, berilmu dan beramal, berwawasan dan sentiasa berdaya saing serta paling utama melaksanakan tugas atas landasan ‘ibadah’ kepada Allah s.w.t.

Pekerja yang begini juga akan menjadi aset yang berharga bukan sahaja kepada organisasi kerjanya tetapi juga kepada masyarakat. Kekuatan dalaman ini akan membentuk diri yang cekal dan sentiasa melihat peluang yang baik dihadapannya walaupun diberhentikan kerja. Apabila khidmatnya tidak diperlukan di organisasi itu, pekerja cemerlang ini tidak akan lelah mencari peluang lain yang boleh digunakan untuk mencari rezeki. Hal ini boleh dikaitkan dengan pepatah lama yang berbunyi, “benih yang baik, tercampak ke laut akan menjadi pulau”.

Sudah tentu hal ini berbeza dengan pekerja yang tidak mempunyai sahsiah yang baik. Tidak dapat membezakan kerja rasmi dengan hal peribadi malahan pula sering mencampuradukkan kedua-dua hal itu sehingga memporakperandakan kerja yang harus dilaksanakan. Bersikap tidak baik sesama rakan sekerja malah tidak amanah dalam melaksanakan tugas harian merupakan sikap yang sering berlaku pada mereka yang tidak menghargai rezeki yang diberi. Pekerja sebegini menjadi liabiliti kepada organisasi seterusnya memberi pengaruh yang buruk terhadap orang lain dan jatuh bangunnya sesebuah organisasi.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berhormat Tuan Haji Shabudin Yahaya, dalam satu kursus yang diadakan baru-baru ini, menjelaskan terdapat ‘pengangguran tidak ketara’ yang sering berlaku sehingga sesebuah organisasi dilihat tidak produktif.

Pengangguran tidak ketara ini juga dianalogikan sebagai pekerja berbudaya ‘Camel Trophy’, ‘Malboro’ dan ‘Salem High Country’. Kedengaran agak melucukan tetapi itulah hakikatnya. Budaya ini disamakan dengan sikap suka berjalan atau merayau-rayau ke meja kerja rakan pejabat yang lain, mengumpat dan memperkatakan tentang rakan sepejabat yang lain serta ada juga pekerja yang mengambil sikap endah tak endah dengan persekitarannya (tidak ambil tahu hal orang lain).

Dalam ertikata yang lain, berlaku ‘pengangguran tidak ketara’ walaupun bergelar pekerja.

Menurut beliau lagi, pekerja begini selalunya tidak akan ambil kisah dengan hadis nabi yang bermaksud;

"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.iaitu masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa mudamu sebelum datang masa tua, dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Hal yang berkaitan `masa` dan `pengisiannya` ini amat bermakna buat mereka yang masih bekerja, bakal diberhentikan atau buat mereka yang masih belum bekerja. Apapun kerja yang dilaksanakan, jadikan diri sebagai aset yang bermakna bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada diri sendiri dan masyarakat. Banyak cara yang boleh dilaksanakan agar kita mampu menjadi aset yang berharga dan bukannya liabiliti yang akhirnya bukan sahaja merugikan diri sendiri malah agama, bangsa dan negara.

Selanjutnya...