:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

27 February 2009

Godam: 'Gelora penolakan PPSMI buat renungan semua'

Sumber: Berita Harian |19 Februari 2009

GELOMBANG penolakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semakin hangat dirasai dengan kehadiran beberapa kelompok pejuang bahasa Melayu yang menyatakan pendirian mereka secara terbuka berhubung perkara ini.

Lebih menyentap hati senario terkini penolakan PPSMI ialah kehadiran kalangan veteran pejuang bahasa Melayu termasuk mereka yang pernah menerajui badan bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),

Pembabitan tokoh seperti Datuk Dr Hassan Ahmad dalam Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan kenyataan berulang kali Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, dengan hujah menolak andaian PPSMI meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, perlu direnung sedalam-dalamnya.

Hendaknya kesediaan GMP menyerahkan kajian pasukan penyelidik 50 pensyarah dari tujuh universiti di bawah seliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dilihat Kementerian Pelajaran sebagai usaha jujur mereka menolak dengan hujah berdasarkan fakta.

Kajian Pembina yang membabitkan pelajar Tingkatan Empat di 70 sekolah menengah dan murid Tahun Lima di 90 sekolah rendah dengan rumusan PPSMI gagal memberi manfaat khususnya kepada pelajar luar bandar semua bangsa, perlu diberi perhatian.

Tindakan GMP dengan keanggotaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik dan keengganan mereka diperalatkan mana-mana parti politik serta kesediaan bekerjasama dengan kerajaan dalam menyelesaikan kemelut ini, perlu dinilai dengan sejujur-jujurnya.

Jika masih ada pihak berasa pejuang bahasa Melayu terlalu taksub dengan perjuangan mereka, tidak dapatkah kelompok yang melemparkan tuduhan ini melihat kewarasan lontaran pandangan tokoh intelektual disegani, Ungku Aziz .

Tentu sebagai mantan Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaya, pusat pengajian tinggi tertua di Malaysia, beliau tidak beromong kosong dan meskipun Ungku Aziz bergerak bersendirian dalam perkara ini, kenyataannya berhubung ketidakwajaran meneruskan PPSMI, tidak pernah berubah.

Mengapa tidak pengakuan berhubung kejayaan Universiti Malaya melahirkan pakar bidang di kalangan pelajar Melayu yang pernah mengikuti kursus di Pusat Asasi Sains yang mengajar Sains dan Matematik sepenuhnya dalam bahasa Melayu bermula 1974, dilihat dengan jernih hati.

Suatu yang pasti, tiada walau sekelumit niat di kalangan pejuang bahasa Melayu yang menolak PPSMI untuk menidakkan wibawa Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Hussein dan seperti diakuinya sendiri, dasar berkenaan berkuat kuasa sebelum beliau menyandang ‘kerusi’ sekarang.

Dasar berkenaan dikuatkuasakan ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, menerajui pemerintahan negara dan corak kepimpinan pada dekad terbabit menyaksikan tiada seorang pun menteri Kabinet tanpa mengira bangsa, berani mengemukakan pandangan berbeza.

Malah, ketika Wacana Kembara Bahasa 2005 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Unit Sastera, Berita Harian, di Kuantan, Pahang, pada 10 hingga 12 September 2005, panel yang bersuara mengenai perkara ini dinasihatkan melupakan ‘topik’ terbabit.

Sebagai pengamal media di akhbar Melayu, penulis tidak mahu melihat bahasa Melayu ditalkinkan hanya kerana dasar terdahulu yang silap, tetapi diteruskan juga kerana termakan momokan bahawa rakyat Malaysia tidak mampu maju, jika tidak fasih berbahasa Inggeris.

Kebimbangan ini bukan kerana tempoh perkhidmatan yang berbaki tidak sampai tiga suku dekad,

tetapi berpunca daripada keengganan melihat industri buku, majalah, komik dan akhbar negara ini, antara teras ekonomi utama yang dikuasai bangsa Melayu di Malaysia, berkubur!

Pasti sedih melihat bahasa Melayu dihumban dan dibunuh bangsanya sendiri selepas diangkat sebagai bahasa rasmi negara serta dipilih sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan negara sejak merdeka 52 tahun lalu, menerusi Perlembagaan Negara, oleh pemimpin terdahulu.

Hendaknya Kementerian Pelajaran terbuka akal budinya untuk menilai segala protes terhadap PPSMI dan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu mereka, gah pada nama, tetapi dari segi pencapaian, nol.

Tentu rakyat Malaysia lebih rela dikaitkan dengan negara seperti Korea, China, Jepun dan Perancis, meskipun penguasaan bahasa Inggeris rakyatnya tidak sebaik mana, tetapi ternyata mereka mampu gah sebagai pencipta sehingga mampu melebarkan sayap ekonominya ke negara orang; segala-galanya kerana dada diterangi ilmu dalam bahasa ibunda sendiri!.

Selanjutnya...

PPSMI: Kembali ke Pangkal Jalan

Sumber: Berita Harian | 19 Februari 2009
Oleh: Salbiah Ani


Kementerian Pelajaran diminta melihat rasional di sebalik protes

KEMENTERIAN Pelajaran diminta melihat protes penolakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu (PPSMI) sebagai usaha mempertahankan bahasa Melayu dengan fungsi bahasa ilmu dan bukan penentangan kepada menteri mahupun kementerian terbabit.

Seorang bapa, Khairul Anwar (bukan nama sebenar) yang ditemui meminta Kementerian Pelajaran melihat rasional di sebalik penentangan PPSMI di kalangan pejuang bahasa Melayu negara ini sebagai turut mewakili kemelut yang dihadapi sebahagian besar ibu bapa tidak berkemampuan.

“Kami juga mahu anak cemerlang dalam pelajaran apalagi dalam kedua-dua subjek berkenaan. Bagaimana anak kami mahu cemerlang jika mereka tidak faham bahasa yang digunakan untuk PPSMI. Kami pula tidak mampu menghantar mereka untuk mendapatkan tuisyen,” katanya.

Muhammad Basiron (bukan nama sebenar), berkata beberapa anaknya terbabit secara langsung dengan dasar PPSMI dan beliau sudah melihat sendiri kesulitan yang terpaksa dihadapi anak-anaknya bagi memahami subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Dasar ini tidak adil untuk anak-anak yang seluruh isi keluarga tidak memahami bahasa Inggeris. Bukan anak-anak saya malas belajar, tetapi halangan bahasa menyebabkan minat mereka mati. Jika dulu ceria mengulang kaji pelajaran, kini seperti bosan dan terpaksa. Saya pula tidak mampu menghantar mereka tuisyen kerana bilangan ahli keluarga yang ramai dan bergaji kecil,” ujarnya.

Norhayati Salleh (bukan nama sebenar) berkata, beliau mendengar sendiri keluhan anaknya mengenai guru yang mengajar kedua-dua subjek berkenaan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris kerana pelajar tidak faham.

“Masa yang diambil untuk memahami sesuatu topik menjadi panjang disebabkan masalah bahasa. Bukan saja guru tertekan dengan situasi ini, tetapi murid turut menerima tempiasnya kerana mereka terkial-kial sama dan akibatnya minat serta tumpuan terjejas.

“Ada juga sesetengah guru tidak menguasai bahasa Inggeris, tetapi terpaksa mengajar meskipun bukan bidangnya kerana mengikut suami berpindah dan kekosongan di sekolah kebetulan hanya untuk kedua-dua subjek berkenaan,” jelasnya.

Seorang ibu, Jamaliah Sidek (bukan nama sebenar) berkata, meskipun beliau tidak menafikan niat baik Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar melalui kedua-dua subjek berkenaan, tetapi baginya PPSMI gagal mencapai matlamat.

“Hendak dikatakan anak saya cemerlang dalam bahasa Inggeris tidak juga. Saya sendiri yang membantu mereka, ada kalanya terpaksa merujuk kamus dan lebih banyak masa terpaksa diluangkan untuk memastikan anak-anak dapat menyelesaikan kerja sekolah.

“Ada baiknya Kementerian Pelajaran memastikan pendekatan pengajaran subjek Bahasa Inggeris yang diberi tumpuan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar kerana kaedah sekarang, kurang membantu ke arah ini,” ujarnya.

Sumber memberitahu Sastera, sesetengah guru PPSMI gembira menerima tanggungjawab terbabit kerana mereka menerima imbuhan lumayan bagi kedua-dua subjek berkenaan, meskipun sedar ada kalanya keupayaan diri terbatas.

“Saya diberitahu guru PPSMI tanpa ijazah mendapat imbuhan tambahan 10 peratus daripada gaji mereka manakala berijazah lima peratus dan kerana itu mereka bersedia dan ternanti-nantikan peluang untuk mengajar kedua-dua subjek berkenaan,” jelasnya.

Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi, pula mengulangi pendirian persatuan terbabit yang mahu PPSMI dimansuhkan segera demi kepentingan pelajar yang tidak menguasai bahasa Inggeris.

“Dalam suasana ketidaktentuan politik negara, isu lompat parti dan peralihan kuasa di Perak serta krisis institusi diraja yang menggamit tumpuan umum, selain masalah ekonomi yang menggugat kestabilan negara, isu penolakan PPSMI tidak sewajarnya dipandang sepi,” katanya.

Baginya, perangkaan yang dikeluarkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) iaitu 625,987 calon menjawab dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk kedua-dua subjek itu berbanding 1,037,232 kertas Sains dan Matematik yang sah diperiksa pada UPSR lalu, ia suatu yang mendukacitakan.

Justeru, PKPIM berpendapat, sewajarnya PPSMI segera dimansuhkan bagi memulihkan prestasi dan kefahaman Sains dan Matematik di kalangan pelajar dan serentak itu memperkasakan program pemantapan Bahasa Inggeris di sekolah dalam usaha mengantarabangsakan pendidikan negara.

Selanjutnya...

Majlis Permuafakatan PIBG Nasional Sokong Mansuh PPSMI


PIBG seluruh negara bantah PPSMI

Sumber: Malaysiakini.com | Feb 26, 09

Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.

Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.

"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.

Selanjutnya...

24 February 2009

Menghimpun Sokongan Supaya PPSMI dimansuhkan

Sumber: Utusan Pengarah,IPM UPSI
24/02/2009

GMP dalam jarayawara bersama wartawan di Johor Bahru pada 22 Februari 2009.

Mengatur strategi menjelang 7 Mac 2009

Mengatur strategi menjelang 7 Mac 2009

Sekarang saya faham, kata wartawan yang datang bertanya. GMP bukanlah menolak bahasa Inggeris. Cuma jangan diajarkan sains dan matematik dalam bahasa yang tidak difahami oleh murid … mungkin juga gurunya.

Ya, betul pelik. Bertambah pelik pula prestasi peperiksaan mereka sangat baik!



Ramai dalam gelap

Ramai dalam gelap

Hadirin penyokong tetap ramai. 3,000! Cuma mereka lebih selesa berada dalam ‘gelap.’

image1158

Apabila Sasterawan Negara merayu …

Lalu, aku sayu dan aku pilu;
lalu, aku ragu dan aku malu …

Buah ranum pada tangkai;
bahasa gugur dari hati,
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?

Lalu pemimpin angkuh berkata …

Aku apa peduli
Kalaupun Shakespear turun ke bumi!

Lalu Sasterawan Negara bersumpah lagi …

Jangan berikan undi,
pada mereka yang menghina bahasa sendiri.

Jangan diundi pemimpin yang …
bertelinga satu,
berlidah dua.

image11571

Inggeris maju dengan bahasa ibundanya …
Korea maju dengan bahasa ibundanya
China, Taiwan, Jepun …
DAP tetap memperjuangkan bahasa ibunda bersama GMP.

YB Dr. Boo Cheng How, ADUN Kulai

image1162

Jangan diharap padi seberang,
Entah dapat dimakan entah tidak.
Jangan diharap bahasa orang.
Entah difaham entah tidak.

Tuan Haji Muhammad Sabu

Selanjutnya...

21 February 2009

Masalah disiplin mula menjurus kepada kes jenayah

Episod disiplin pelajar 2009 mula menampakkan riaknya, dalam dua hari tiga kes berat terjadi. Dua kes cuba membakar kereta guru dan satu kes pukul jelas menunjukkan bahawa masalah disiplin kini berada di tahap yang amat membimbangkan. Ketiga-tiga kes yang berlaku adalah di bawah kategori kanun keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara.

Rujuk berita berikut:


Pelajar "bom" kereta guru


ALOR STAR: Ketegasan seorang guru disiplin di sebuah sekolah di Ayer Hitam, dekat sini, mendisiplinkan pelajar bermasalah dibalas dengan kenderaan miliknya dilontarkan bom petrol, malam kelmarin.

Bom petrol itu dilontarkan pada kereta guru berkenaan sebagai amaran berikutan tindakannya merotan pelajar yang melanggar peraturan ketika sesi persekolahan.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, guru terbabit sedang menonton televisyen bersama keluarga di rumahnya di Kampung Teluk Tui, Jerlun, dekat sini, sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan di hadapan rumah.

Bakar kereta guru

Menurut sumber, guru berusia 40-an itu meluru keluar dari rumahnya sebelum melihat Proton Wiranya disambar api pada tayar belakang di bahagian kiri.

SEGAMAT: Teguran keras terhadap seorang pelajar tingkatan lima gagal menyiapkan carta perdagangan membawa kepada pengalaman menakutkan kepada seorang guru wanita Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bentara Dalam dekat sini.

Ini berikutan keretanya baru beberapa bulan dibeli dipercayai cuba dibakar kira-kira jam 9 pagi semalam.

Perbuatan itu dikatakan angkara pelajar terbabit selepas beberapa pelajar lain melihat dia berlari dalam keadaan mencurigakan berhampiran kereta guru berkenaan, tidak lama sebelum kebakaran pada tayar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina itu.

Dua pelajar yang kebetulan melalui tempat meletak kenderaan berhadapan koperasi sekolah itu memaklumkan kejadian berkenaan kepada mangsa, Haniza Rohhani, 37, lalu berjaya mengelak kebakaran lebih serius.

Angkara geng sekolah

KUALA LUMPUR: Berebut seorang gadis dipercayai menjadi punca sekumpulan 24 remaja membelasah seorang pelajar tingkatan empat sehingga koma berhampiran sebuah sekolah menengah di Cheras.

Mangsa, Mohd Azlin Mohamad, 16, cedera teruk di belakang kepala apabila lima lelaki daripada kumpulan itu disyaki memukulnya dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain menendang tanpa belas kasihan.

Kumpulan lelaki itu, termasuk beberapa pelajar sekolah itu melarikan diri meninggalkan mangsa berlumuran darah di tempat kejadian.

Dalam kejadian jam 9.30 malam Jumaat lalu, Azlin bersama beberapa rakannya menunggu di depan sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah dengan seorang remaja lelaki yang dikatakan keluar bersama teman wanitanya.

Selanjutnya...

19 February 2009

Memorandum GMP kepada Ahli Parlimen Malaysia


MANSUHKAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)

Kami dari Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) memohon pertimbangan pihak kerajaan dan sokongan Wakil Rakyat dalam Parlimen supaya keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dimansuhkan untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh beratus ribu pelajar kita, terutama di sekolah kebangsaan di luar bandar, dan untuk mengelak kemungkinan bahasa Melayu dan bahasa Ibunda termusnah sebagai bahasa ilmu, khususnya sebagai bahasa sains, akibat keputusan yang tidak munasabah itu.

Baca selengkapnya di http://universitipts.com/index.php/site/comments/isi_memorandum_gmp_kepada_ahli_ahli_parlimen_malaysia/


Type your summary here = Selanjutnya taip di sini untuk paparan penuh.

Selanjutnya...

Tidak celik huruf tetapi mampu mengikuti PPSMI?


Sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/

Baca juga catatan Puan Ainon di http://universitipts.com/index.php/site/comments/gmp_di_parlimen/

Syabas, Puan. Jikalau saya berada di tempat puan, saya pun sukar mengawal amarah. Saya berpesan pada diri saya sendiri: teruskanlah perjuangan sambil berusaha meningkatkan kesabaran.

Langkah YB Bung Mukhtar panjang sebab Kinabatangan tempatnya. Dia ada kuasa, wang dan pengikut yang memudahkannya bergerak. Saya tabik padanya kerana dia memahami keupayaan penduduk di kawasannya.

Kebetulan, saya juga mengetahui serba sedikit keupayaan murid-murid di kawasannya. Saya pernah berkubang di sana selama lima tahun. Tahulah saya serba sedikit denai di Batu Putih, Kuamut, Karamuak, Minusuh, Pinangah dan lain-lain. Tahulah juga saya serba sedikit hutan, sungai dan tasik ladam seperti di Sukau. Kenal juga saya kawan-kawan YB yang dalam PRU dahulu menongkah pasang seperti rakan saya Tuan Haji Ahmad Abdul dan rakannya Dr. Hasbullah Haji Taha.

Kebetulan, saya pernah menggubal kurikulum dan bertugas sebaga penggerak program yang berkaitan dengan usaha mencelikhurufkan murid terutama di kawasan pedalaman di negerinya. Jadi, maklumlah juga saya akan keupayaan murid-murid sekolah rendah di kawasannya walaupun saya tidak sempat melakukan kajian.

Sehubungan dengan hal itu, saya menghormati YB kita itu kerana “dia sudah membuat kajian di kawasannya, di mana hasil kajian itu semua orang di Kinabatangan mahu supaya PPSMI diteruskan.” Syabas, YB!

Jikalau ada kesempatan, tanyalah YB itu akan keupayaan murid-murid di kawasannya untuk mengikuti PPSMI. Dia wajar menjawab pertanyaan ini kerana, setahu saya, terlalu banyak murid yang mengikuti PPSMI itu tidak celik huruf.

Jadi, benarkah murid-murid mahu PPSMI? Mampukah murid-murid itu mengikuti PPSMI? Gurukah yang berkata murid mereka mahu PPSMI? Ibu bapakah yang berkata anak mereka mahu PPSMI? Atau hanya YB sahaja yang berkata begitu? Sebagai pengkaji, kita percaya YB dapat memberikan penjelasan yang memuaskan. Kita ingin tahu juga.

url sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/02/tidak-celik-huruf-tetapi-mampu.html

Selanjutnya...

17 February 2009

Alahai Yang Berhormat! Alang-alang berperibahasa, biar betul!

Sumber: http://profabdullah1.wordpress.com/2009/02/17/alahai-yang-berormat-alang-alang-berperibahasa-biar-betul/

Dalam Dewan Rakyat pagi tadi ada ahli Yang Berhormat menyifatkan tindakan Gerakan Mansuhkan PPSMI ini bagai rumah siap tukul baru berbunyi.

Pertama, kami sudah bersuara sejak 1996 lagi. Lihat Mengapa Kami Bantah, bantahan sudah dihantar sejak September 2002.

Kedua, PPSMI ini belum siap, Yang Berhormat.

KETIGA, yang paling penting adalah, peribahasa ini lazim juga digunakan sebagai petua sebelum menjalankan kerja, Jangan nanti rumah siap, tukul baru berbunyi. Maksudnya, rancang dan rundingkan supaya mendapat muafakat dahulu sebelum berbuat sesuatu, supaya tidak ada bantahan kemudian.

Ternyata inilah kes pembentukan dan pelaksanaan dasar PPSMI. Sebelum dibentuk dasar ini, rundingan tidak dibuat. Sekarang berbagai bantahan timbul apabila dilaksanakan. Begitu maksudnya.

Dan sekiranya disebut semasa melakukan sesuatu, atau selepas sesuatu dilakukan, seperti Itulah, rumah siap, sekarang tukul berbunyi, maksudnya adalah kerja yang tidak sempurna dilakukan.

Situasi sekarang, lebih tepat dikatakan rumah belum pun siap, tukul tidak berhenti-henti berbunyi! bermaksud, kerja yang belum pun sempurna dijalankan, dan orang tidak habis-habis mengkritik.

Peribahasa ini boleh juga membawa maksud seperti yang YB andaikan, iaitu orang sengaja membangkitkan kritikan yang tidak wajar setelah selesai sesuatu dilakukan.

Tetapi dalam kes PPSMI ini, maksud seperti yang YB andaikan itu tidak berlaku.

Yang lebih mudah difahami adalah Jikalau sesat dihujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.

Selanjutnya...

GMP menghangatkan Parlimen

PERJUANGAN Gerakan Memansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI - GMP) kini memasuki fasal ketiga dan lebih kritikal apabila pagi ini jawatankuasa GMP yang diketuai oleh Pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad telah melangkah masuk ke lobi parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen bagi mendesak PPSMI dimansuhkan.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimne Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamazah, Ketua Pemuda Pas, Sallahuddin Ayub adalah antara ahli-ahli Parlimen yang diserahkan memorandum yang mengandung 12 muka surat berkenaan yang merupakan sinopsis mengenai isu PPSMI.

Kemuncak penyerahan memorandum itu pada sebelah pagi tadi ialah kepada Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein, yang tiba-tiba meminta agar jawatankuasa GMP berjumpa dengan beliau. Hishamuddin menerusi seorang pegawainya meminta Dr Hassan menemui Hishamuddin untuk menyerahkan memorandum berkenaan selepas beliau selesai menjawab soalan di Dewan.

Memorandum itu berjaya diserahkan di muka pintu Dewan sebaik menteri pelajaran itu keluar dari Dewan. Sambil menerima memorandum itu Hishamuddin dalam gelak tawa besar sambil memberi semangat agar ianya diteruskan!

Kata-kata Hishamuddin itu mempunyai konotasi, menteri pelajaran itu seolah-olah memperli usaha GMP berkenaan dan tidak mahu melayani dengan sewajarnya. Sebelum ini GPM sudah beberapa kali minta untuk berjumpa dengan menteri pelajaran itu tetapi tidak dilayani.

Apa yang diharapkan GMP kepada menteri itu semasa penyerahan memorandum kepada Hishamuddin tadi benar-benar mengecewakan ahli GMP dan pendokong bahasa yang lain sehingga seorang ahli GMP mengatakan anak bangsawan tidak layak menjadi menteri pelajaran!

Penyerahan memorandum hari ini adalah sebagai kesenimbungan usaha GMP turun padang untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matemetik dimansuhkan serta merta di mana majlis perasmiannya acara turun padang itu bermula di kompleks beli belah di Sogo dua minggu lalu. Kesanggupan GMP menjejaki tangga parlimen pagi ini juga melambangkan kesungguhan dan keprihantinan para pejuang bahasa agar PPSMI dihapuskan.

Antara tokoh bahasa dan sastera yang turut sama mengiringi Dr Hassan menyerahkan memorandu ialah Sasterwan Negara A Samad Said, timbalan pengerusi GPM, Prof Shahril Md Zain, Prof Hassan Abdullah, penulis dan pelopor pemikiran leteral, Ainon Mohd, Setiausaha Peguam Pembela Muslim, Radzi Mustafa, Hasni Abas dan lain-lain.

Satu yang sangat jelas rata-rata yang menerima memorandum hari ini adalah ahli-ahli Parlimen pembangkang saja, sebaliknya ahli Umno semacam cuba mengelak diri daripada terbabit dengan isu berkenaan. Ada juga ahli Parlimen pembangkang hanya sekadar jadi pemerhati sahaja tidak berani atau bersungguh untuk mendokong GMP.

Penyerahan memorandum itu mungkin bukan cerita hangat di parlimen padi tadi, tetapi apa yang hangat dan sempat menjadi perhatian hingga terbawa ke dalam sidang parlimen ialah bagaimana ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mukhtar Raden ‘diserang’ oleh ahli jawatankuasa GMP berhubung ucapannya di parlimen yang menyifatkan mereka yang menyerahkan memorandum itu sebagai anasir yang cuba mengeruhkan keadaan.

Kata-kata Bung Mokhtar itu benar-benar menyinggung dan menyakit hati jawatankuasa GMP dan pencinta bahasa lain menyebabkan sebaik mereka melihat Bung Mukhtar keluar dewan mereka menyerbu ke arah Bung Mokhtar.

Serbuan yang berlaku di birai kafeteria ahli parlimen itu mulanya seolah bercanda sahaja apabila ada yang bertanya mengenai rasional Bung Mukhtar yang menggunakan istilah anasir itu kepada para pejuang bahasa. “Apakah Yang Berhomat bermaksud para professor dan ahli akademik ini semua sebagai anasir jahat,” begitulah satu persoalan diajukan kepada Bung Mokhtar.
Bung cuba menjawab dan menenangkan keadaan, dengan berselindung dengan kata-kata; “semua kita sayangkan bahasa Melayu..” Tetapi belum sempat beliau meneruskan kata-kata beliau sudah diserang dengan kata-kata agak keras Bung Mukhtar sebagai kurang ajar oleh Datuk Abu Bakar Chik salah seorang ahli GMP yang begitu tersinggung dengan ucapan Bung Mukhtar.
“Yang berhormat sudah kurang ajar,” kata Abu Bakar Chik sambil menujukkan telunjuk menghampiri ke muka Bung Mokhtar dan meminta ia menarik balik. Muka Bakar Chik kelihatan merah padam dan geram.

Tidak cukup dibelasah dengan kata-kata oleh Abu Bakrt Chik Pengerusi GMP, Datuk Dr Hassan Ahmad sendiri pula mendekati Bung Mukhtar untuk kali kedua. Sebelum itu Hassan sudah dilihat menghampiri Bung Mukhtar tetapi mundur semula apabila terlalu ramai sangat mahukan penjelasan daripada ahli parlimen dari Sabah itu.

Apabila Bakar Chik mundur, Dr Hassan masuk dan menyoal Bung Mukhtar dengan beberapa persoalan termasuk sejauh manakah penguasaan bahasa Ienggeris di kalangan murid-murid sekolah di Sabah. “Apakah Yang Berthomat pandai berbahasa Inggeris?” tanya Hassan dan menyebabkan Bung Mukhtar terdiam.

Hassan juga mendesak supaya Bung Mukhtar menarik balik ucapannya yang menyifatkan GMP sebagai anasir. “Saya harap Yang Berhormat tarik balik kata-kata itu,” tegas Hassan serius. Bung Mukhtar kelihatan keberatan dan memberi jaminan akan menarik balik.

Sebaik memasuki Dewan selepas itu Bung Mukhtar yang mendapat kesempatan untuk berucap terus melaporkan kepada Dewan apa yang berlaku sekejap tadi. Katanya, “saya telah diserang di luar tadi oleh satu kumpulan. Seorang berpakai kupiah dan saya memanggilnya haji telah mengatakan saya kurang ajar,” cerita Bung Mukhtar merujukkan kepada sikap Abu Bakar Chik.

Ketika ini ahli GMP sudah pun meninggal Parlimen selepas tugasan mereka menyerahkan memorandum itu sudah selesai. Ahli Parlimen terakhir menerima memorandum itulah, Tengku Razaleigh Hamzah. Menurut Tengku Razaleigh isu PPSMI ini sudah lama diperjuangkan beliau hairan kenapa ia tidak diselesaikan lagi. [parlimen 3:00 pm
17/02/09]

Sumber:http://msomelayu.blogspot.com/2009/02/langsung-dari-parlimen.html

Selanjutnya...

Sokong usaha GMP

Sumber: Malaysiakini.com

GMP kesal dengan sikap Bung Mokhtar

Jimadie Shah Othman | Feb 17, 09 4:35pm

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kesal dengan tindakan ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar kerana "tidak menunjukkan akhlak yang mulia" dengan menggelar pejuang bahasa sebagai "anasir".
"Sebagai seorang pemimpin yand duduk di dewan yang mulia (parlimen), beliau (Bung Mokhtar) sepatutnya berbahasa dengan cara yang baik, dengan ketinggian akhlak dan adap sopan," kata setiausaha gerakan itu, Hasni Abas.

parliament 170209 argument between bung mokthar dan gerakan memansuhkan ppsmiSehubungan itu, Hasni mendesak ahli Parlimen itu membuat permohonan maaf secara terbuka "sebagai orang yang berbudi bahasa".

Dalam kejadian kira-kira Jam 12 tengah hari tadi, Bung Mokhtar ditemui pemimpin GMP - diketuai pengerusinya, Datuk Hassan Ahmad - ekoran kenyataannya di dalam dewan hari ini yang didakwa menyifatkan pejuang bahasa sebagai "anasir".

Bung Mokhtar dipercayai mengulas tindakan GMP hadir ke Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum mendesak pemansuhan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kepada ahli Parlimen pelbagai parti.

parliament 170209 wakil gerakan memansuhkan ppsmiKetika dihubungi Malaysiakini petang ini, Hasni berkata, ahli-ahli parlimen lain yang ditemui mereka tidak berkelakuan sebegitu - termasuk pemimpin Umno lain - seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Menteri Pelajaran sendiri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Hasni yang berada di situ ketika kejadian itu, juga menjelaskan, dalam pertemuan ringkas hampir sepuluh minit itu, wujud ketegangan apabila kedua-dua pihak berselisih pandangan.

'Minta keluar'


Perkara itu, katanya, menyebabkan Bung Mokhtar meminta mereka keluar dari parlimen atau beliau akan memanggil pengawal bagi menghalau mereka.

Ketika kejadian, tambah Hasni, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Abu Bakar Chik dan tokoh bahasa, Ainon Mohd paling lantang ke depan berhujah dengan Bung Mokhtar.

parliament 170209 gerakan memansuhkan ppsmi pcSasterawan Negara A Samad Said, profesor matematik Shahril Mohd Zain, profesor bahasa Abdullah Hassan turut berada di situ ketika peristiwa itu berlaku.

Mengulas respons pemimpin-pemimpin BN yang menerima memorandum itu, beliau berkata: "Biasalah, mereka kata akan telitilah."

Pagi tadi, GMP menggerak kira-kira 20 aktivis bahasa dan sastera berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen, meminta mereka menyuarakan bantahan terhadap PPSMI di dalam persidangan dewan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS turut menerima memorandum tersebut di sebelah pagi bagi kali kedua selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

url sumber: http://www.malaysiakini.com/news/98474

Selanjutnya...

12 February 2009

‘Tiada sijil lahir boleh bersekolah’

Sumber: Berita Harian 12 Februari 2009

TAWAU: Semua pelajar tanpa sijil kelahiran, tetapi seorang daripada ibu bapanya adalah warga negara Malaysia, berhak meneruskan pelajaran ke peringkat menengah secara automatik.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan menghalang pelajar meneruskan pelajaran ke peringkat menengah disebabkan masalah seperti itu boleh mengganggu proses pembelajaran kanak-kanak berkenaan.

“Saya nak nyatakan di sini bahawa jika ini ialah satu dasar (yang diguna pakai sebelum ini), hari ini juga saya tukarkan dasar itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Balung, dekat sini, semalam.

Hishammuddin mengulas mengenai keluhan ramai ibu bapa di sini yang mendakwa ada sekolah tidak membenarkan anak mereka memasuki sekolah menengah kerana tidak memiliki sijil kelahiran, walaupun seorang daripada ibu bapa mereka ialah warga negara Malaysia.

“Sebagai Menteri Pelajaran, saya ingin menyatakan bahawa dasar berkenaan bukan sesuatu yang saya persetujui dan sekiranya dasar seperti itu wujud, kita tukar hari ini juga.

“Ini ialah satu perkara yang adil kerana saya difahamkan proses itu mengambil masa sedikit di Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapat sijil lahir dan ini menjadi kekangan kepada anak kita ke sekolah,” katanya. - Bernama

Url sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20090212000313/Article/index_html

Selanjutnya...

11 February 2009

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan

Yang kita perjuangkan bukan sekadar bahasa

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Pengarah
Institut Peradaban Melayu
Universiti Pendidikan Sultan Idris

> Baca kupasan
Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan di sini <http://profabdullah1.wordpress.com/2009/02/10/12-yang-kita-perjuangkan-bukan-sekadar-bahasa/>

Selanjutnya...

Bagaimana acuan begitulah kuihnya

Sumber: Artikel Harian Metro <http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Hati/20090211091717/Article/index_html>

Anak cermin ibu bapa


TABIAT kerap berubah dalam kehidupan kanak-kanak. Semakin lama diamalkan, semakin sukar untuk sesuatu tabiat itu dikikis.

Tabiat positif boleh membentuk keperibadian seseorang misalnya tabiat makan yang betul, membaca doa sebelum tidur, bangun awal dan bersenam setiap pagi.

Malangnya, sesetengah tabiat kanak-kanak pula bercorak negatif dan selalunya tidak kekal tetapi ada berterusan bertahun-tahun lamanya.

Tabiat biasa ditunjukkan kanak-kanak

Tabiat yang ditunjukkan kanak-kanak adalah sesuatu perkara yang lazim tetapi kadangkala cukup merunsingkan ibu bapa.

Umpamanya, kanak-kanak pada usia dua tahun memang sering menunjukkan sikap panas baran jika kemahuannya tidak dituruti. Pada usia semuda ini, dia hanya mementingkan diri sendiri.

Mereka sering mengatakan "tidak mahu" atau menggeleng kepala.

Tabiat ini adalah normal. Ibu bapa tidak perlu membuang banyak masa memujuk rayu anak mereka. Seeloknya, turutkan saja kemahuan mereka tetapi jika kemahuan itu tidak wajar, tidak perlu dilayan.

Kanak-kanak ini akan tahu akhirnya, menunjukkan sikap panas baran tidak membawa faedah. Di samping memberi pendidikan dan nasihat, pemikirannya akan cepat matang. Tabiat panas baran akan beransur-ansur hilang dan dia akan lebih tahu menggunakan bahasa untuk menyatakan kehendaknya.

Kadangkala, tabiat yang dipamerkan seseorang kanak-kanak itu tidak sesuai lagi bagi usianya. Umpamanya, kanak-kanak berusia lima tahun menunjukkan sikap panas baran.

Seeloknya, dapatkan nasihat pakar yang arif mengenai perkembangan dan tingkah laku kanak-kanak supaya asas tingkah laku si anak dapat difahami sekali gus dapat menggunakan kaedah keibubapaan yang efektif.

# Tabiat tidur


Ada sesetengah tabiat itu boleh terbentuk sejak bayi lagi misalnya bayi berusia setahun sering terjaga pada waktu malam untuk menyusu.

Lazimnya, bayi tidak lagi berjaga malam menjelang usianya lapan bulan. Jika ia berlaku, kemungkinan bayi itu sering diberikan susu botol apabila menangis pada waktu malam.

Jika bayi menangis waktu malam, ibu bapa atau penjaga hendaklah menidurkannya semula dengan menepuk badan atau membuainya. Bayi perlu dilatih supaya mudah melelapkan mata.

Tabiat tidur malam juga boleh dibentuk. Contohnya, bayi mungkin hanya terlelap apabila televisyen terpasang. Selepas dia tertidur, pindahkan dia ke tempat tidur.

Ada juga kanak-kanak yang hanya boleh tidur nyenyak selepas dibacakan buku cerita.

# Tabiat makan

Tabiat makan yang betul mudah dipupuk. Peraturan makan diperkenalkan sejak kecil akan mendorong mereka mengamalkannya sehingga dewasa. Misalnya, tabiat membasuh tangan sebelum makan, menggunakan sudu dan garpu, minum air hanya selepas makan dan seumpamanya.

Kanak-kanak yang tidak digalakkan makan sayur-sayuran mungkin tidak akan menggemarinya apabila besar. Makan bersama keluarga dan berdoa sebelum makan akan menjadi tabiat jika dibiasakan.

Anak-anak sering mencontohi perkara yang diamalkan ibu bapa. Jadi, tidak menghairankan jika mereka turut menggemari makanan yang digemari ibu bapa mereka selain makanan disediakan di rumah yang juga mempengaruhi tabiat makan anak-anak.

# Tabiat menjerit

Kanak-kanak sering terikut-ikut dengan tingkah laku dan bahasa digunakan orang dewasa di sekelilingnya. Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dikatakan selalu menjerit dan menggunakan perkataan yang kurang manis didengar.

Ibu bapa adalah contoh kepada anak-anak. Jika mereka mempunyai sifat seperti murah hati, pelembut, bersopan santun, suka menolong orang dalam kesusahan dan suka membaca, amalan ini akan mudah diterap kepada anak. Sebaliknya, jika ibu bapa suka bergaduh dan pemarah, ciri negatif itu mungkin akan dipelajari anak-anak.

# Tabiat mengambil barang orang lain

Kanak-kanak bawah usia dua tahun lazimnya tidak boleh membezakan barang milik orang lain dengan barang milik sendiri. Oleh itu, apabila ternampak sesuatu yang menarik minatnya, dia akan mengambil tanpa memikirkan perbuatan itu salah.

Ada kalanya tabiat itu wujud akibat perasaan kurang selesa, serba kekurangan atau bosan.

Selanjutnya...

NUTP minta lagi...macam mana DG2941 yang belum selesai?

Permintaan NUTP agar guru penolong Kanan di sekolah menengah dinaikkan gred amatlah disokong. Walaupun begitu, secara peribadi saya amat musykil dengan permintaan itu kerana beberapa isu belum lagi menampakkan jalan penyelesaiannya. Antaranya isu DG2941, isu pemberian 3:1 (DG2941 ke DG44), isu guru tingkatan 6 dan isu kenaikan gred pensyarah IPG. Ramai yang terlibat masih tertanya-tanya perkembangan dan usaha yang telah NUTP lakukan.
-------
Sumber: Berita Harian Online 8 Februari 2009
NUTP minta selaras gred
Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman

Martabat guru Penolong Kanan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya gred guru Penolong Kanan di sekolah menengah di seluruh negara diselaraskan kepada gred DG48 sejajar dengan peranan, beban kerja serta tanggungjawab mereka yang berat.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata penyelarasan gred itu bertujuan mengekalkan keseimbangan dalam klasifikasi perkhidmatan berikutan guru Penolong Kanan di setiap sekolah menjalankan tanggungjawab dan komitmen sama.


"Setiap sekolah biasanya mempunyai tiga guru Penolong Kanan iaitu Penolong Kanan Kokurikulum yang memegang gred DG41 serta Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Penolong Kanan Pentadbiran yang masing-masing memegang gred DG44.

"Kami berpendapat gred mereka perlu diselaraskan kerana mereka bersama-sama memikul tanggungjawab besar membabitkan pencapaian sekolah dan ia tidak perlu dijadikan subjek untuk meletakkan gred berbeza terhadap mereka," katanya selepas melancarkan Tabung Untuk Kanak-Kanak Palestin di Gaza di sini, semalam.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menambah bilangan Jemaah Nazir yang kini seramai 450 orang kepada 1,000 orang selain menaikkan gred mereka yang berada pada DG41.

"Peranan mereka (Jemaah Nazir) amat penting dalam bekerjasama dengan Bahagian Sekolah, selain dari tugas biasa mereka (Jemaah Nazir) membuat penaziran dan menyalurkan cadangan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan profesion guru," katanya.

Langkah itu katanya, penting kerana selain Bahagian Sekolah, Jemaah Nazir juga membantu menangani kes disiplin pelajar.


Selanjutnya...