:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

15 November 2008

Ketegasan pertahan martabat bahasa kebangsaan di sekolah perlu

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian Online (15 November 2008)

SAYA terpanggil untuk mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong yang mengatakan kertas soalan lukisan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diterjemahkan ke bahasa Mandarin dan Tamil bermula tahun ini.

Timbalan Menteri berkenaan mendakwa pelajar di 65 sekolah menengah Cina di Melaka seakan-akan 'gempar' menerima kertas terbabit kerana mereka tidak memahami bahasa kebangsaan.

Apa yang sudah berlaku dengan tahap pengajaran Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan di negara ini? Timbul pertanyaan adakah pengajaran bahasa Melayu sekadar mahu lulus dan adakah 'masuk telinga kanan keluar telinga kiri.'

Perkara ini boleh dianggap satu tindakan yang kurang bijaksana apabila ia membelakangkan ketinggian undang-undang seperti Perkara 152, Akta Pelajaran dan dua penyata 'keramat' iaitu Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib.

Kementerian Pelajaran harus bertindak segera untuk membetulkan keadaan itu, bukan hanya mahu mendengar kejayaan demi kejayaan anak bangsa 'Malaysia' kita dalam UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Sekolah vernakular ini seharusnya dimantapkan dengan mengambil kira tenaga pengajar dan kaedah pengajaran sistematik yang dilaksanakan di sekolah jenis kebangsaan.

Perlu diingatkan, Kementerian Pelajaran harus memastikan sedikit sebanyak silibus pengajaran di antara sekolah menengah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan perlu disamakan.

Hal ini merujuk cara pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan di sekolah vernakular ini.

Satu perkara yang menjadi tanda tanya, adakah pelajar Melayu di sekolah vernakular juga menghadapi masalah yang sama dengan pelajar Cina dan India yang dikatakan tidak memahami pembelajaran bahasa kebangsaan.

Adakah kertas soalan lukisan SPM ini mempunyai 'bahasa saintifik' sehingga sangat sukar difahami pelajar.

Perkara ini ditimbulkan bukan untuk menyalahkan pelajar di sekolah vernakular, tetapi bagaimana pembawaan bahasa kebangsaan dalam pembelajaran di sekolah vernakular.

Isu ini seperti mengimbau kembali detik terpalit sejarah hitam bahasa kebangsaan, apabila bahasa Inggeris mengambil tempat dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Ia bukan bermaksud menidakkan bahasa Tamil dan Mandarin, tetapi keperluan semasa anak bangsa yang akan melanjutkan pelajaran lebih tinggi yang menetapkanpelajar mesti lulus bahasa Melayu bagi melanjutkan pelajaran di universiti amnya.

Kita berharap Kementerian Pelajaran dapat membendung permasalahan ini agar tidak berulang dan keputusan Kementerian Pelajaran dalam isu ini seharusnya bersifat 'menang-menang,' iaitu dari satu pihak, bahasa kebangsaan dalam pembelajaran terus maju dan di satu pihak yang lain dapat mengembangkan bahasa vernakular dalam kefahaman anak bangsa kita di sekolah jenis kebangsaan.

KHAIRUL ZAIM MOHD SHAARI,
Bahasa Melayu Universiti Malaya (2006)

2 komen:

Anonymous said...

Kaum imigran yang telah menjadi rakyat negara ini sekian lama patutnya dah reti bahasa Melayu. Menteri Pelajaran yang berkenaan pula janganlah buat bengong hingga tidak tahu peranan bahasa kebangsaan. Rakyat mesti kuasai bahasa Melayu.Tolong bersikap tegas dalam bahasa.

Anonymous said...

terima kasih kerana prihatin dalam isu kita ini...tapi tahun depan dijangkakan masih KPM meneruskan PPSMI..

zaim-pejuangmudamelayu.blogspot.com

Post a Comment