:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

Search this blog

Loading...

www.pendidikmy.net

27 March 2009

Dasar 40:60 pelajar sastera-sains belum tercapai

Sumber: Utusan Malaysia |27 Mac 2009|

KUALA LUMPUR 26 Mac - Dasar 40:60 bagi pelajar sastera-sains masih belum tercapai walaupun selepas 42 tahun pelaksanaannya.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, penglibatan para pelajar dalam bidang sains dan teknologi masih kurang, berbanding jumlah mereka yang menuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

''Laporan Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia 2004 menunjukkan graduan sains dan teknologi yang dihasilkan oleh IPTA hanyalah 32.4 peratus berbanding keperluan 60 peratus dalam bidang ini,'' katanya ketika berucap pada majlis perasmian seminar Sains Yang Menarik di sini baru-baru ini.

Menurutnya, penglibatan dan pencapaian pelajar dalam bidang sains dan teknologi di negara ini juga masih belum berada pada tahap yang membanggakan.

Malah, beliau berkata, kefahaman dan keupayaan masyarakat terhadap bidang berkenaan juga masih jauh ketinggalan.

Turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Tambah beliau, para penyelidik dalam bidang sains di Malaysia juga masih terlalu rendah dan nisbah penyelidik dalam 10,000 penduduk negara ini hanyalah 0.3 peratus.

''Perbezaan peratusan ini amat ketara berbanding 15-18 peratus penyelidik di Perancis dan Jerman Timur serta antara 28-30 peratus di Jepun dan Amerika Syarikat,'' ujarnya.

Selain itu, Ahmad Sarji berkata, kurangnya kefahaman masyarakat dalam bidang sains menimbulkan banyak salah faham dalam bidang tersebut.

''Ibu bapa dan pelajar beranggapan bahawa bidang atau mata pelajaran Sains adalah 'sukar'.

''Laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi 2004 menunjukkan 42.3 peratus rakyat Malaysia berpendapat mata pelajaran sains merupakan satu mata pelajaran yang sukar,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tenaga pengajar hendaklah mencari formula bagaimana mewujudkan 'the scientific mind' di kalangan pelajar.

Sementara itu, Syed Ali dalam ucap utamanya pada majlis itu berkata, universiti kini tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada pendidikan secara menyeluruh tetapi sekadar lubuk latihan bagi pengamal sains.

''Kebanyakan penuntut yang ada bukan lagi untuk memperoleh pemikiran saintifik zaman ini, tetapi beranggapan memiliki ilmu sains tersebut akan memberikan mereka pekerjaan yang baik,'' ujarnya.

1 komen:

Anonymous said...

salam.. saya ada kerja skola yg nk di siapkan.. dan ia berkaitan tentang dasar 40:60 sastera-sains.. dimana dpt sye cri maklumat tentang dasar ini??? sila e-mailkan ke e-mail sye..
iwan_indepent@yahoo.com.my

Post a Comment