:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

21 March 2009

Kokurikulum bantu pelajar bebas masalah sosial

Sumber: Utusan Malaysia |18 Mac 2009|

Aktiviti kokurikulum yang dijalankan secara proaktif diyakini dapat membantu pihak sekolah mengatasi masalah sosial khususnya gejala buli di kalangan pelajar.

Perunding Psikologi K & A Applied Psychology Consultancy, Khairol Anuar berkata, beliau bersetuju jika aktiviti kokurikulum sama ada sukan, badan beruniform atau persatuan diberi penekanan yang sama seperti akademik.

Katanya, sekolah biasanya lebih menitik beratkan mengenai hal akademik dan ada yang tidak mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada pelajar.

"Kebanyakan pelajar hari ini lebih menghabiskan masa dengan permainan berkomputer dan keadaan ini membuatkan mereka kurang berinteraksi dengan orang ramai.

"Bila libatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, pelajar akan bergaul dengan ramai kawan, mewujudkan sifat kepimpinan dan kemanusiaan yang murni, bijak komunikasi dan tidak mudah melenting," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau diminta mengulas pendapat seorang pembaca melalui Forum, Utusan Malaysia sebelum ini yang mahukan Kementerian Pelajaran memastikan sekolah memberi penekanan kepada aktiviti kokurikulum.

Khairol berkata, pada masa yang sama, sekolah perlu bijak menyediakan peralatan atau kelengkapan seperti uniform bagi memenuhi aktiviti kokurikulum supaya tidak membebankan ibu bapa.

Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, tidak dinafikan kebanyakan sekolah kini mewajibkan pelajarnya menyertai aktiviti kokurikulum, namun ia perlu dipertingkatkan.

"Masalah sosial seperti kes buli berlaku kerana pelajar hanya melihat hidup melalui skop sekolah dan tidak faham konteks hidup bermasyarakat.

"Sekolah perlu mempertingkatkan pengisian aktiviti kokurikulum dari segi nilai, kualiti dan kerohanian," katanya.

Pada masa yang sama, jelasnya, aktiviti berkenaan dapat mengisi masa terluang mereka dengan kegiatan berfaedah.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohammad berkata, aktiviti kokurikulum memang sudah lama diwajibkan oleh sekolah ke atas pelajar, cuma masalahnya ialah tempoh pelaksanaan.

Menurutnya, setiap hari persekolahan guru perlu memastikan pelajar diberi pelbagai pendedahan berguna dan waktu yang ada untuk aktiviti kokurikulum amat terhad.

"Pendedahan yang diberikan sekolah ketika aktiviti ini lebih kepada asas untuk membentuk disiplin pelajar," katanya.

Dalam memastikan pelajar mempunyai nilai yang baik, tegas beliau, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memantau kegiatan yang dilakukan anak mereka ketika di luar sekolah.

"Ibu bapa jangan meletakkan 100 peratus tanggungjawab kepada sekolah, sebaliknya perlu turut memainkan peranan untuk membina modal insan terbaik dalam diri pelajar," tambahnya

0 komen:

Post a Comment