:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

09 April 2009

Bahasa cetus minda pencipta

Sumber: Berita Harian |9 April 2009|

Oleh Nazmi Yaakub


Pengalaman Jerman dan Jepun diketengahkan sebagai bukti hujah

KEPENTINGAN penyampaian ilmu dalam bahasa ibunda seperti dibuktikan Jerman dan Jepun apabila berjaya menjadi bangsa yang maju mendapat perhatian pada Forum Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI): Antara Inovasi dan Konfrontasi dalam Pendidikan.

Forum di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini, turut membawa lebih 100 khalayak untuk melihat hakikat himpunan ilmu dalam bahasa ibunda dapat memberi dorongan kepada kedua-dua bangsa terbabit untuk tidak terperangkap menjadi bangsa pengguna, sebaliknya berubah kepada bangsa pencipta.

Pensyarah Upsi, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, menekankan pentingnya pengajaran dan pembelajaran di sekolah menggunakan bahasa ibunda untuk memastikan himpunan ilmu dalam bahasa berlaku dan menyumbang kepada pembinaan kepustakaan dalam bahasa sendiri, tanpa perlu terlalu bergantung kepada bahasa lain.

‘Dengan cara ini kita tidak hanya menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi dari luar. Hal ini pernah berlaku di Eropah pada zaman sebelum pembaharuan apabila orang Inggeris belajar dalam bahasa Latin, manakala bangsa Jerman pula terpaksa meminjam bahasa Perancis untuk proses mendalami ilmu,” katanya pada forum anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPPUPSI) yang dipengerusikan Pensyarah Upsi, Ariff Mohamad.

Situasi itu menyebabkan ahli falsafah Jerman mempersoalkan sebab bangsa Jerman sepandai orang Perancis, tetapi negara mereka tidak semaju jirannya itu dengan memberi jawapan bahawa ia berpunca daripada tindakan belajar dalam bahasa lain sehingga Jerman menukarkan sistem pendidikannya ke bahasa sendiri.

Prof Emeritus Abdullah merumuskan himpunan ilmu dalam bahasa ibunda, mendorong bangsa itu untuk bukan saja mempelajarinya dengan menerima bulat-bulat, bahkan merangsang mereka untuk mempersoalkannya kembali sehingga ia menjadi soalan bersifat setempat.

“Apabila belajar ilmu biologi, kita tidak lagi hanya mengkaji tumbuhan dan haiwan di Barat saja. Sebaliknya kita mengkaji flora dan fauna negara sendiri. Dengan itu akan ada kesan seperti di Thailand sehingga terhasil durian Thai dan lahir keghairahan menghasilkan durian tanpa duri. Saintis Barat tidak akan beri perhatian pada perkara seperti ini,” ujarnya.

Bahkan, Prof Abdullah yakin bahawa himpunan ilmu tempatan akan menumbuhkan kreativiti pribumi kerana bangsa berkenaan akan memberi tumpuan kepada perkara yang berkaitan dengan budayanya seperti dipamerkan bangsa Jepun yang berjaya memacu kejayaan negara melalui kesetiaan kepada bahasa sendiri..

“Selain budaya kaizen, bangsa Jepun terkenal dengan bonsai iaitu mengecilkan apa saja bersaiz besar sehingga mereka berjaya menghasilkan banyak teknologi baru. Teknologi yang asal dipinjam daripada bangsa lain, apabila dibawa masuk ke Jepun, diubah dan dipasarkan ke pasaran dunia seperti ketuhar gelombang mikro,” jelasnya.

Pandangan itu, diperkukuhkan rakan sejawatannya, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron yang mengkaji kesan dasar PPPSMI di sekolah rendah dan menengah, apabila merumuskan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda atau keluarga untuk belajar Sains dan Matematik, prestasinya meningkat berbanding kelompok yang menggunakan bahasa kedua.

“Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengesyorkan bahasa keluarga digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memudah serta mengukuh kefahaman konsep subjek. PPSMI tidak membantu meningkatkan penguasaan bahasa kedua mahupun menambahbaikkan kefahaman pelajar,” katanya.

Kajian Prof Isahak berdasarkan kerja lapangan turut menunjukkan dasar PPSMI lebih menguntungkan pelajar yang sudah menguasai bahasa Inggeris, terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga yang ibu bapa menggunakan bahasa berkenaan di rumah.

“Bahasa Inggeris menjadi bahasa keluarga kepada masyarakat bandar yang ibu bapanya golongan profesional, tetapi masyarakat bandar bukan profesional tidak mendapat manfaat. Kesannya, pelajar di luar bandar atau bandar yang keluarganya bukan profesional, bukan saja lemah dalam bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, pada tahun pertama, bahkan bertimbun-timbun apabila naik ke tahun berikutnya,” katanya.

3 komen:

D'Rimba said...

Hebatnyaaaaaaaaaaaaaa

Anonymous said...

Memang hebat.....
Tetapi adakah kita sudah bersedia utk memiliki sikap bekerja spt org German & Jepun? 1. 10 - 12 jam sehari
2. Pendekkan tempoh mesyuarat tepi tembok/tingkap & pelbg mesy. yg tiada kaitan dgn kerja secara realiti tanpa bersunggut?
3.Kaki mengampu yg mendpt nama atas usaha org lain.
4.Komited 100% thdp tugas/tgjwb.
5.Tiada lagi "usahawan sampingan dgn katalog jualan langsung" di waktu pejabat.
6.Komited kearah peningkatan produktiviti organisasi.
7.Sanggup menerima teguran positif
8.Utamakan kerjaya demi agama, bangsa & negara
9. Ikhlas & jujur thdp amanah yg dipikul & gaji HALAL yg diterima setiap bulan utk menyara anak2 & keluarga
Sesungguhnya, kegagalan menguasai B.Ing seharusnya tidak dijadikan alasan utk memansuhkan PPSMI tetapi adakah kita sbg ibubapa kpd anak2 generasi akan dtg sudah memberikan persediaan yg cukup utk mrk mghadapi cabaran dunia yg semakin jauh dihadapan?
11. Adakah kita bangsa yg mudah berpuashati?
12. Kita fikir2..& renung2kan adakah tindakan kita skg adil kpd anak2 kita?

Anonymous said...

woi anonymous ke atas,
orang Jerman ketika belajar sains guna bahasa Perancis pun gagal maju walaupun mereka rajin.Tetapi,apabila diubah sains dalam bahasa Jerman,barulah muncul pencipta dan pemenang hadiah Nobel.Jika Jerman guna bahasa Perancis untuk belajar sains sampai sekarang,sudah tentu sekarang ni Jerman setaraf dengan Malaysia je.

Post a Comment