:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

27 April 2009

Penilaian Sekolah

Sumber: Berita Harian |27 April 2009|

Guru semakin mudah kesan tahap pencapaian pelajar ikut minat, bakat

CADANGAN kerajaan menstruktur sistem pendidikan dengan memberi tumpuan penilaian di peringkat sekolah memberi peluang guru menilai prestasi anak didik masing-masing berdasarkan kebolehan dan keupayaan mereka.

Pengstrukturan itu perlu mengambil kira pelbagai aspek pencapaian dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan awam.

Tokoh pendidik, Prof Datuk Dr Isahak Haron, berkata menerusi pendidikan holistik, guru dapat mengenal pasti tahap pencapaian serta kebolehan setiap pelajar berdasarkan minat dan kebolehan masing-masing.

Katanya, pencapaian akademik, kecenderungan serta minat individu itu berbeza. Jika proses pembelajaran bersifat statik dengan mengukur prestasi berdasarkan peperiksaan, keadaan ini dikhuatiri tidak memberi peluang pelajar lemah akademik mengembangkan bakat dimiliki.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, antara bakat yang dapat dinilai guru ialah seni dan sukan.

Kelebihan itu perlu digilap di peringkat awal supaya kebolehan yang ada dapat menjana pelbagai kegiatan sebaik pelajar menamatkan proses pendidikan formal.

“Proses pembelajaran tanpa bergantung kepada sistem peperiksaan ini dilaksanakan di negara maju dan hasilnya mereka dapat mengklasifikasikan murid berdasarkan kebolehan dan keupayaan pelbagai bidang tidak hanya kepada kecemerlangan akademik.

“Peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lebih bersifat standard dan setara. Pencapaian diperoleh hanya memberi gambaran awal kepada kecemerlangan akademik semata-mata.

“Sedangkan mereka yang kurang menyerlah dalam akademik mungkin mempunyai kebolehan serta bakat luar biasa yang tidak dimiliki individu yang cemerlang dalam peperiksaan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Isahak berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan kerajaan mengkaji keperluan tiga peperiksaan awam iaitu UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan yang dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong, baru-baru ini, berkata kementerian tidak menolak kemungkinan memansuhkan PMR dan UPSR dirombak semula menerusi proses transformasi pendidikan negara.

Penelitian itu katanya, bagi mengubah sistem pendidikan negara yang kini bergantung kepada peperiksaan.

Menerusi proses penilaian semula sistem pendidikan, Isahak berkata, guru perlu diberi latihan khas dalam menilai prestasi pelajar, selain mengenal pasti keistimewaan serta kelebihan dimiliki untuk dioptimumkan kebolehan berkenaan.

Beliau berkata, sistem pendidikan perlu lebih anjal dengan memberi tumpuan keperluan perkembangan murid pada peringkat awal yang sesuai untuk individu berkenaan.

Menerusi kaedah ini, katanya, proses pembelajaran menjadi lebih seronok dan tidak memberi tekanan kepada murid kerana mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada minat dalam sesuatu bidang.

Apa yang lebih penting ialah, katanya, menerusi proses penilaian di peringkat sekolah, guru tidak boleh membandingkan pencapaian setiap murid kerana mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaannya sendiri.

“Berbanding Kurikulum Baru Sekolah Rendah ia memberi penekanan kepada usaha memperkasakan kemahiran membaca, menulis dan mengira iaitu proses asas pembelajaran sebelum murid layak menduduki ujian pertama pada Tahun Enam iaitu UPSR, kemudian diikuti Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.

“Pada peringkat peperiksaan sekolah rendah, guru dapat menggunakan ujian pusat bagi menapis murid yang hendak belajar ke sekolah berasrama penuh dan ia penanda aras dalam proses pemilihan berkenaan,” katanya.

Mengulas sikap ibu bapa yang begitu mementingkan kecemerlangan akademik pula, Isahak berkata, keadaan kini menuntut perubahan sikap di kalangan masyarakat supaya tidak memberi penekanan kepada pencapaian baik dalam teori iaitu akademik sebaliknya lebih terbuka menerima tahap pencapaian anak masing-masing.

Beliau berkata, penilaian di peringkat sekolah lebih sesuai berbanding peperiksaan berpusat kerana guru mengajar berdasarkan sukatan yang ditetapkan.

Guru katanya, pula perlu kreatif dan inovatif dalam melaksanakan modul penilaian kepada murid berdasarkan kepada sukatan pelajaran.

Proses penilaian murid tanpa bergantung kepada peperiksaan berpusat itu, diharap dapat melahirkan generasi muda berkebolehan dalam pelbagai bidang bagi memenuhi tenaga profesional, sekali gus sebagai penggerak ekonomi negara.

0 komen:

Post a Comment