:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

22 June 2009

Sila ke pendidikmy.net

Laman Pendidik versi baru sudah boleh diakses

http://www.pendidikmy.net


Type your summary here = Selanjutnya taip di sini untuk paparan penuh.

Selanjutnya...

12 June 2009

BI wajib SPM: Sediakah kerajaan?

Sumber: Forum Utusan Malaysia |12 Jun 2009|

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat berbincang sama ada Bahasa Inggeris (BI) wajib lulus sebagai syarat lulus SPM. Ini kali pertama kita dengar kerajaan secara tulus bertanya kepada rakyat sebelum membentuk satu dasar perdana yang melibatkan rakyat.

Petanda baik bagi kita apabila kerajaan mula memikirkan apakah langkah yang setara dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu jika dimansuhkan, ia menjamin penguasaan BI generasi masa hadapan.

Kepentingan BI tidaklah sama timbangannya dengan Bahasa Malaysia (BM). BM adalah struktur tunjang pembinaan sebuah negara bangsa yang berdaulat. Malah bangsa Melayu itu sendiri akan hilang punca jika salah satu ciri-ciri Melayu iaitu bahasa Melayu, agama Islam dan amalan budaya Melayu itu hilang. Jika salah satu komponen itu hilang kita akan kata seseorang itu 'Melayu ragu.'

Dalam hasrat meletakkan BI sebagai wajib lulus untuk lulus SPM, adakah kerajaan benar-benar bersedia untuk pelaksanaannya? Bersedia dalam konteks perancangan strategik yang melibatkan sumber kewangan, tenaga pengajar, kemudahan peralatan, modul yang berkesan serta menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran.

Kedua, adakah rakyat terbanyak khususnya di luar bandar bersedia menerima cabaran ini?

Jawapannya mungkin 'ya' mungkin 'tidak'. Jika begitu keadaannya, kerajaan dan rakyat berada dalam keadaan was-was.

Sesuatu dasar yang diputuskan dalam keadaan ragu-ragu dan bercelaru akan timbul masalah besar kemudian hari.

Dalam merancang dasar strategik, kita hendaklah mengelakkan diri daripada memasang perangkap kepada anak bangsa. Kita wajar mampu melihat jauh ke hadapan akan halangan-halangan yang memerangkap anak bangsa kita.

Kita amat sedar dengan kemampuan kerajaan yang terbatas, apa akan jadi kepada sebilangan besar pelajar yang gagal SPM nanti kerana gagal menguasai bahasa penjajah itu?

BI menjadi penghalang besar anak bangsa kita tidak layak masuk institusi pengajian tinggi (IPT). Tidakkah kita menepuk kepala suatu hari nanti apabila IPT dipenuhi oleh orang lain sedangkan bangsa kita terkial-kial - terperangkap dalam jebak BI yang kita cipta sendiri?

Pada waktu itu kita sibuk mencari formula baru sedangkan satu atau dua generasi menjadi mangsa.

Satu Malaysia sedar BI adalah subjek maha penting untuk dipadankan dengan landskap dunia hari ini. Agenda bangsa tidak sehala dan dapat diselesaikan dengan satu jalan.

Dengan itu dicadangkan BI adalah mata pelajaran wajib untuk SRP dan SPM. Bagaimanapun ia bukan syarat wajib lulus bagi SPM.

Kedua, BI wajar diterapkan ke dalam jadual waktu pelajar setiap hari bersekolah dengan pelbagai kaedah seperti public speaking, presentation, report writting, debate dan lain-lain di samping modul teras BI.

Kelengkapan alat bantuan mengajar dipertingkatkan. Makmal Bahasa diperkembangkan ke sekolah-sekolah seluruh negara dan dilengkapkan dengan alat pandang dengar (audio visual) dan teknologi terbaru.

Ketiga, kerajaan menyediakan peruntukan masa tidak kurang empat hingga enam jam sebulan kelas tambahan BI di Makmal Bahasa kepada semua pelajar. Sediakan tenaga pengajar khas dan terlatih di Makmal Bahasa.

Jika persediaan sudah sampai ke peringkat ini dan tiada sebuah sekolah yang tertinggal maka kerajaan bolehlah menimbangkan syarat wajib lulus BI bagi SPM.

Tidak ada sebab rakyat menolak sebarang dasar jika rakyat mampu dan tidak menjadi beban fikiran dan halangan untuk kejayaan. Sama-samalah kita merenung ke dalam diri, apakah kekuatan dan kelemahan kita dalam menghadapi cabaran mendatang.

Semoga jerat yang kita pasang tidak menjerat kaki kita sendiri. Tidak perlu mengejar bayang.

AZIZAN YAAKOB
Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur

Selanjutnya...

Cadangan wajib lulus MUET syarat masuk universiti

Sumber: Malaysiakini |11 Jun 2009|

Pemuda Umno mencadangkan supaya pelajar diwajibkan lulus ujian bahasa Inggeris MUET sebagai syarat memasuki universiti tempatan.

"Ia bertujuan untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah dan universiti," kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Ketika ini, katanya, 70 peratus pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus ujian bahasa Inggeris dan 30 peratus lagi gagal dalam subjek itu.

"Mereka yang gagal itu kerana lemah dalam kefahaman bahasa Inggeris," katanya.

Pada masa ini, para mahasiswa hanya diwajibkan lulus MUET semasa pengajian untuk layak mendapatkan ijazah.

Mengenai pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Khairy berkata, Pemuda Umno akan mendapatkan hasil kajian dari kementerian pelajaran mengenainya.

Katanya, Pemuda Umno perlu menlihat kajian yang lebih saintifik sama ada dari kumpulan yang menyokong atau menentang PPSMI.

Perlu kajian berkecuali

"Kita perlukan kajian yang berkecuali, kajian yang menyokong dan menentang dasar itu mungkin prejudis.

"Kelemahan PPSMI ialah guru-gurunya tidak dapat menyampaikan maklumat dalam bahasa Inggeris kepada pelajarnya di kawasan tertentu, kawasan luar bandar umpamanya," katanya.

Mengenai cadangan mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM, Khairy berkata, walaupun bersetuju tetapi Pemuda Umno tidak mahu ia dibuat secara terburu-buru.

Khairy berkata, kementerian pelajaran mesti menyediakan cukup guru bahasa Inggeris untuk mengajar subjek tersebut.

"Kita perlukan tenaga pengajar yang cukup dan terlatih dan kalau tidak cukup, boleh mengambil guru dari Australia dan England.

"Boleh juga mengambil guru bahasa Inggeris yang sudah bersara untuk mengajar subjek tersebut," katanya selepas mesyuarat exco pergerakan itu di ibunegara hari ini.

Khairy juga berkata, kementerian pelajaran perlu mencari kaedah untuk mempertingkatkan pendedahan kepada subjek bahasa Inggeris.

Kaedah itu, katanya, termasuk jam pertuturan yang lebih banyak dan lebih menyeluruh lagi.

Selanjutnya...

'Longgar syarat ambil guru lelaki'

Sumber: Berita Harian |12 Jun 2009|

Nisbah pendidik agak membimbangkan

LANGKAWI: Kementerian Pelajaran akan mencari kaedah terbaik, termasuk kemungkinan memberi sedikit kelonggaran dalam pengambilan guru lelaki sebagai langkah menarik minat golongan itu menyertai profesion perguruan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, jika langkah itu dilaksanakan, tempoh kursus yang perlu dihadiri mereka mungkin akan dilanjutkan atau ditambah bagi mengelak kelayakan dimiliki guru lelaki dipersoalkan.

"Saya bukan katakan untuk turunkan gred kelayakan pengambilan guru, cuma mungkin ada sedikit kelonggaran untuk mengambil golongan lelaki yang kurang kelayakan bagi menyertai bidang perguruan.

"Malah, beberapa tindakan lain juga boleh diambil untuk meningkatkan kemahiran mereka termasuk memperkenalkan insentif tertentu, demi merapatkan jurang nisbah antara guru lelaki dan perempuan di negara ini.

"Ini bukan soal diskriminasi atau berlaku adil kepada mana-mana jantina. Bagi saya, nisbah guru lelaki iaitu 20, berbanding 80 guru wanita di negara ini suatu yang agak membimbangkan dan perlu diambil kira," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Kilim Geo-Forest Park, di sini, semalam. Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abd Rahman dan keluarga.

Semalam, Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan penyertaan lelaki termasuk bukan Melayu dalam profesion perguruan.

Aminah dilaporkan berkata, UPSI melahirkan kira-kira 3,500 bakal guru sekolah menengah setiap tahun, bagaimanapun hanya satu perlima adalah bukan Melayu dan 23 peratus daripadanya lelaki.

Muhyiddin berkata, keperluan kepada guru lelaki di negara ini adalah tinggi, terutama dalam menempatkan guru ke lokasi terpencil atau pedalaman.

"Kita tidak boleh hantar guru perempuan ke pedalaman kerana ia sukar. Saya tidak kata guru perempuan tidak layak kerana mereka lakukan tugas dengan baik selama ini," katanya.

Mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), Muhyiddin berkata, beliau akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat bagi menerangkan kedudukan terkini isu berkenaan.

Beliau berkata, ia meliputi kedudukan dan pendirian kementerian berhubung isu berkenaan, selain hasil kajian terkini pihaknya berdasarkan maklum balas diterima.

"Saya sedar ada yang menyokong dan ada yang tidak. Bagaimanapun, kami di kementerian mempunyai pandangan tersendiri mengenainya.

"PPSMI sekarang ini bukan soal untuk diteruskan atau tidak, tetapi berkisar isu sampingan lain seperti tenaga pengajar untuk mengendalikannya.

"Saya percaya ada jalan untuk laksanakan dan saya akan bentangkan isu berkenaan kepada Perdana Menteri secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, katanya, beliau mendapat banyak maklumat mengenai cadangan menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Semua orang setuju Bahasa Inggeris penting.... tiada siapa pun yang mengatakan Bahasa Inggeris tidak perlu dan maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kementerian tidak akan membuat keputusan terburu-buru mengenai pelaksanaannya dan masih mempelawa orang ramai memberi pandangan berhubung syarat mewajibkan calon lulus dalam mata pelajaran itu.

Selanjutnya...

Sumber: Berita Harian |12 Jun 2009|

Sarawak bersetuju dengan cadangan menjadikan Bahasa Inggeris (BI) sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Openg, berkata ini kerana BI sudah menjadi bahasa atau mata pelajaran kedua penting di negeri ini, sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Sarawak memang mengalu-alukan cadangan berkenaan, ekoran semua pihak menyedari kepentingan penguasaan BI pada masa kini dan akan datang.

Katanya, penguasaan BI yang baik akan memudakan penduduk negeri ini berkomunikasi dengan lebih berkesan terutama di peringkat antarabangsa .

"Untuk masa depan negeri dan negara ini, adalah lebih baik kita menggunakan bahasa ibunda dan BI serta ditambah satu lagi mata pelajaran Bahasa Mandarin.

"Dengan penguasaan BI dan Mandarin, penduduk negeri ini akan semakin mudah untuk berkomunikasi dengan rakan perniagaan mereka di China berbanding sekarang," katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu isu itu dibincangkan orang ramai dan seterusnya kerajaan mendapat maklum balas sebelum diwajibkan.

Selanjutnya...

Kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris era 60-an lebih berkesan

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |11 Jun 2009|

SAYA bekas pelajar aliran Inggeris pada 60-an yang menjalani kelas peralihan selama setahun sebelum melangkah ke Tingkatan Satu aliran Inggeris pada tahun berikutnya.

Ketika berada di kelas peralihan, kami menggunakan dua buku teks, iaitu English Book One dan English Book Two keluaran Oxford of London sebagai bahan pembelajaran untuk mengenal dan memahami penggunaan tata bahasa Bahasa Inggeris.

Kedua-dua buku teks itu sangat padat dan lengkap dengan pelbagai tata bahasa yang diperlukan dalam mengenal dan memahami bahasa Inggeris secara lengkap dan lebih dekat.

Malangnya buku berkenaan sudah tiada dalam simpanan sebaik saja saya memberi pinjam kepada pelajar kelas peralihan tahun berikutnya dan beliau tidak memulangkannya semula selepas tamat belajar.

Saya sudah lama cuba mencari buku itu jika ada dijual di mana-mana kedai buku dan ingin memberikannya kepada anak sebagai buku tambahan dan rujukan, sama ada murid sekolah rendah atau menengah.

Saya mencadangkan supaya kedua-dua buku itu diguna pakai semula sebagai buku teks untuk pelajar bermula daripada Tahun Dua, atau Tahun Tiga sehingga ke Tahun Enam.

Saya yakin dan percaya dengan menggunakan buku itu selama tiga atau empat tahun berturut-turut sebagai bahan pembelajaran akan lebih memahirkan pelajar kita dalam memahami tata bahasa Bahasa Inggeris.

Di dalamnya sarat dengan pelajaran ‘penjodoh bilangan, perbuatan, bangun kena buat, past tense, present tense, past perfect tense, seruan, tanda soal dan pelbagai tata bahasa yang diperlukan ketika bertutur atau menulis.

Pada pandangan saya, sistem pembelajaran sekarang terlalu pantas dan cuba mengambil jalan pintas, iaitu murid-murid diberikan kerja latihan yang membabitkan tata bahasa yang tinggi sedangkan pengenalan secara lengkap dan sempurna tidak didedahkan kepada mereka.

Saya terkilan apabila menyemak buku latihan dan buku teks sekolah rendah begitu tinggi tahap pembelajarannya sehingga adakala saya sendiri pun tak tahu nak menyelesaikannya.

Saya berpendapat, kalau sistem itu tidak diubah kepada sistem lebih mudah dan sesuai, kefahaman pelajar tidak kemana.

Apa yang saya lihat ialah sistem yang digunakan itu seolah-olah pelajar menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan di rumah.

Sekali lagi saya menyarankan agar kedua-dua buku itu digunakan.

ARJUNA TAPA,
Kuala Lumpur.

Selanjutnya...

02 June 2009

Syor jurnal guna bahasa Melayu

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |31 Mei 2009|

PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) menyambut baik cadangan Menteri Pengajian Tinggi supaya pensyarah universiti menulis buku, jurnal dan sebagainya dan menjadi antara kriteria utama bagi kenaikan pangkat.

PLM sejak dulu lagi mencadangkan perkara serupa. Perkara ini sepatutnya dijadikan Petunjuk Prestasi Utama, PPU atau KPI bagi semua pensyarah. Cuma pensyarah perlu digalakkan menulis kepakaran bidangnya dalam bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa Inggeris semata-mata kerana hanya dengan cara itu ilmu tinggi berbahasa Melayu akan bertambah.

Jika terus-terusan mereka menulis hanya dalam bahasa Inggeris, maka kepustakaan bahasa Inggeris yang sudah banyak itu saja yang bertambah dan semakin kaya, sedangkan keluhan akan kurangnya bahan ilmiah berbahasa Melayu tidak diubati walaupun disedari sejak lama dan yang mengeluh itu juga mungkin pihak yang sama.

Bahasa hanya akan terangkat jika menjadi bahasa ilmu dan kepustakaannya melimpah. Justeru peranan pensyarah, profesor dan pakar bidang amat relevan bagi memperbanyak lagi bahan rujukan berbahasa Melayu khususnya di negara ini.

Merit lebih juga sepatutnya diberi untuk usaha sedemikian bagi kenaikan pangkat kepada profesor madya dan profesor. Malah untuk lebih berkesan lagi bagi setiap penulisan yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris hendaklah mewajibkan ada terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Usaha itu juga perlu didukung semua badan penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia, Institut Teknologi Nuklear Malaysia dan lain-lain.

Dewan Bahasa dan Pustaka juga mungkin perlu menghidupkan kembali unit terjemahannya yang begitu aktif dan berkesan pada satu ketika dulu yang dapat menghasilkan begitu banyak bahan ilmu berbahasa Melayu.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.

Selanjutnya...

Pulangan lanjut pelajaran tidak setimpal

Sumber: Forum Utusan Malaysia |1 Jun 2009|

TULISAN Ridzuan Mahmud dari Kuala Lumpur bertajuk CUEPACS abaikan lulusan universiti bertarikh 26 Mei lalu mengimbau kenangan sedih, pilu tahun 2007 setelah pelarasan gaji dibuat atas tuntutan CUEPACS.

Saya adalah salah seorang kakitangan kerajaan yang bernasib malang. Saya menyahut cabaran kerajaan supaya kakitangan awam meningkatkan ilmu pengetahuan untuk diri, bangsa dan negara.

Saya tidak pernah menyalahkan kerajaan kerana saya tahu ia adalah ketidakprihatinan manusia sendiri. Saya pasrah dengan rezeki yang Allah telah tentukan untuk saya.

Mungkin disebabkan kes saya ini hanya satu dalam seribu jadi semua pihak tidak begitu sensitif dalam membuat sebarang tuntutan.

Untuk pengetahuan, saya adalah seorang guru DGA29 yang telah menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan cuti separuh gaji pada tahun 2001, iaitu sebanyak RM551.65 sebulan.

Saya terpaksa berulang-alik dari UPSI ke Terengganu setiap minggu kerana saya ada tanggung jawab lain terhadap suami, tiga anak saya yang masih kecil yang berumur antara tiga bulan hingga lima tahun. Juga tanggung jawab terhadap kedua orang tua yang semakin uzur.

Syukur kerana saya diberi pinjaman PTPTN yang membolehkan saya menampung kehidupan saya selama tiga tahun pengajian. Terima kasih PTPTN.

Akhirnya saya dapat menghabiskan pengajian saya tanpa menyusahkan pensyarah, UPSI dan juga kerajaan. Pada tahun 2004, saya dapat menggenggam segulung ijazah yang kini menjadi perangsang kepada anak-anak saya untuk berjaya.

Namun begitu selama tiga tahun pengajian, saya dapati banyak kerugian yang saya alami.

Di antaranya ialah:

*Saya kehilangan separuh dari gaji saya.

*Gaji saya selama 3 tahun adalah statik.

*Saya terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN yang menampung pengajian saya.

*Saya kehilangan masa bersama keluarga terutama dengan anak-anak yang sedang membesar.

*Paling menyedihkan, saya terlepas ke gred DG32.

Jika masa boleh diputarkan semula, saya tidak mungkin memilih untuk belajar sepenuh masa. Lebih baik saya belajar secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang tidak membebankan saya dan memberikan banyak faedah. Di antaranya ialah:

*Bergaji penuh.

*Gaji tidak statik.

*Belajar di maktab yang berdekat dengan rumah.

*Tidak perlu berhutang kerana bergaji penuh.

*Dapat DG32 apabila cukup 10 tahun.

*Tidak membazir wang dan masa.

Pada 16 Mei 2004 saya melapor diri di sebuah sekolah menengah di Besut, Terengganu. Saya menyimpan hasrat untuk menabur bakti yang tidak terhingga untuk anak-anak bangsa saya.

Saya ditawarkan dengan gred DG41 pada mata gaji PIT4 dengan gaji RM1710.60. Pada masa yang sama kawan-kawan saya yang tidak menyambung pengajian memperoleh gaji pada gred DG32 pada mata gaji PiTI dengan gaji RM1932.85 tanpa bersusah payah menimba ilmu.

Pada tahun 2007 pula satu kejutan yang amat tidak munasabah dibuat oleh CUEPACS apabila menuntut pelarasan gaji yang tidak selaras dan tidak peka kepada keadaan semasa.

Bayangkan saya yang sudah bergaji kecil mendapat 15 peratus kenaikan dan kawan-kawan saya mendapat 25 peratus kenaikan.

Orang yang tidak bersekolah pun boleh menghitung perbezaan gaji antara saya dengan kawan-kawan saya. Betapa beruntungnya mereka yang tidak menyambung pengajian.

Ini tidak termasuk peluang kenaikan pangkat menjadi guru kanan.

Hari ini saya sekali lagi kecewa apabila CUEPACS menuntut kenaikan gaji khas untuk pekerja sokongan sahaja.

Dengan kata lain, sebagai kakitangan kerajaan tak payah nak susah-susahkan diri untuk belajar.

Tanpa berbuat demikian pun nasib mereka terus beruntung dan sentiasa dibela sehinggakan mereka yang hanya kelulusan SPM mempunyai gaji jauh lebih tinggi berbanding gaji yang berkelulusan ijazah.

Wajarkah perkara ini berlaku dan haruskah berlaku?


Besut, Terengganu">

Selanjutnya...

Antara guru, pegawai kerajaan

Sumber: Forum Utusan Malaysia |1 Jun 2009|

Saya adalah salah seorang kaki tangan kerajaan. Isu CUEPACS Abaikan Lulusan Universiti tulisan Ridzuan Mahmud, Kuala Lumpur dan jawapan PTK Bukan Penentu Kenaikan Pangkat oleh Nik Noraini Nik Ya, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Perkhidmatan Awam yang disiarkan di ruangan ini 26 Mei lalu mendorong saya meluahkan isi hati.

Terlebih dahulu saya ingin mengulas tulisan Saudara Ridzuan Mahmud yang menyatakan bahawa golongan pendidik DG 41 dan DG 44 menerima arahan daripada pegawai Pejabat Pendidikan yang mempunyai gred lebih rendah.

Saya sangat bersetuju. Ada ketikanya suara mereka lebih tinggi daripada kami. Kami pula kelihatan seperti kerani bergred rendah.

Sebenarnya bukan itu sahaja. Kami (golongan pengurusan dan profesional) yang berkhidmat di sekolah tidak mendapat hak yang sepatutnya seperti yang diterima oleh rakan-rakan kami yang sama kategori tetapi berkhidmat di jabatan atau kementerian.


Kalau mereka boleh duduk di bilik masing-masing kerana sudah menjadi penolong pengarah sekurang-kurangnya pada gred 41 dan 44, kami di sekolah jauh sekali.

Kami duduk bersesak-sesak dalam satu bilik. Lebih 10 tahun berkhidmat pun masih lagi menjadi guru biasa. Tetapi kami tak kisah kerana ini pilihan kami. Berkhidmat untuk negara.

Kenaikan pangkat rakan kami di jabatan atau kementerian juga lebih cepat berbanding kami.

Kami di sekolah terpaksa menunggu lebih lama ke jawatan sekurang-

kurangnya Penolong Kanan kerana kekosongan yang terhad.

Oleh itu, tidak hairanlah sebahagian besar daripada kami yang pencen dengan jawatan guru biasa sahaja.

Perkara ini hendak buat tak kisah pun tidak boleh juga kerana kami beranggapan kami juga berhak seperti rakan kami di jabatan atau kementerian.

Berilah kami hak yang sama rata dengan rakan-rakan kami di jabatan atau kementerian.

Menteri Pelajaran sebelum ini dan Menteri Pelajaran terkini telah pun mengumumkan pertambahan jawatan Guru Cemerlang dan memperkenalkan jawatan Guru Tingkatan Enam sebagai membantu kenaikan pangkat golongan pendidik. Tetapi perkara yang berlaku tidak seperti yang dikatakan.

Pada tahun 2007, kami beramai-ramai mengisi permohonan jawatan Guru Cemerlang sebagai menyahut seruan Menteri Pelajaran.

Selepas dinilai Jemaah Nazir dan mereka berpuas hati dengan prestasi kami, keputusan yang dinanti dengan penuh debaran tidak kunjung tiba.

Teruk sangatkah kami ini sehingga tidak layak dilantik sebagai Guru Cemerlang sedangkan saban tahun kami melahirkan pelajar cemerlang dan ramai yang memasuki IPT?

Seterusnya saya ingin merujuk tulisan Nik Noraini Nik Ya yang mengatakan bahawa PTK bukan penentu kenaikan pangkat. Terdapat syarat-syarat lain seperti kecekapan, kelayakan, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, sifat-sifat peribadi dan lain-lain.

Sedap hati membacanya. Tetapi kenapakah permohonan kami untuk jawatan Guru Tingkatan Enam ditolak kerana semata-mata telah dilantik ke DG 44, dan tidak atau belum mempunyai keputusan DG 44 pada aras III atau IV, sedangkan kami telah mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengajar kelas tingkatan enam lebih daripada 10 tahun.

Saya terkilan rakan DG 41 yang baru tiga tahun mengajar tingkatan enam (syarat permohonan tiga tahun mengajar tingkatan enam dan lulus PTK) telah dilantik ke jawatan ini dan diberikan kenaikan ke DG 44.

Dengan kata lain, guru yang baru posting pada tingkat DG 41 dengan mudahnya dinaikkan ke DG 44 hanya dalam tempoh tiga tahun.

Bukan iri hati tetapi di manakah logiknya?

Kami yang baru dilantik ke DG 44 awal tahun ini setelah melalui time base selama 10 tahun diketepikan oleh kerajaan.

Kami diminta memohon semula selepas lulus PTK DG 44 yang akan diambil pada Ogos nanti.

Lantikan mungkin akan hanya dibuat pada tahun hadapan. Itu pun kalau kuota 5:3:2 di sekolah masih belum dipenuhi. Kalau kuota DG 48 Guru Tingkatan Enam sudah dipenuhi alamat gigit jarilah kami.

Pada peringkat permulaan ini semua guru yang sedang mengajar tingkatan enam masih dibenarkan mengajar tingkatan enam sehingga 2011.

Selepas itu apakah nasib kami apabila kami tidak dilantik tetapi telah mengajar pelajar tingkatan enam berbelas tahun lamanya? Malah ada dalam kalangan kami merupakan pemeriksa kertas STPM.

Tidakkah ini merugikan? Bukan kenaikan DG yang kami rebut tetapi minat kami yang lebih mendalam untuk mengajar pelajar tingkatan enam ini harap dipertimbangkan.

Jangan jadikan jumlah kami yang ramai ini sebagai alasan untuk menidakkan hak kami. Mohon Menteri Pelajaran membantu kami merungkai masalah ini.

Bukit Mertajam
Pulau Pinang

Selanjutnya...

4 subjek teras SPM?

Sumber: Utusan Malaysia |1 Jun 2009|

MUAR 31 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan muktamad untuk mengurangkan bilangan subjek teras dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada enam kepada empat subjek akan diumumkan pada waktu terdekat ini.

Menteri Pelajaran itu menegaskan, pengurangan bilangan subjek teras berkenaan akan membolehkan calon-calon SPM mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut.

Beliau berkata, langkah tersebut diyakini dapat melegakan kebimbangan sesetengah pihak yang berasa khuatir dengan keputusan kerajaan baru-baru ini untuk mengehadkan pengambilan tidak melebihi 10 mata pelajaran dalam SPM.


‘‘Kalau hendak diikutkan yang sedia ada sekarang ini, ada enam subjek teras, jadi mungkin kita akan kurangkan kepada empat sahaja subjek teras.

‘‘Kalau empat subjek teras bermakna ada enam lagi subjek (untuk elektif), jadi dia boleh memilih subjek bahasa Tamil, Mandarin atau agama, masih ada ruang untuk dia buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.

Enam mata pelajaran teras bagi pelajar yang menduduki SPM pada masa ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Semalam, Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan mengehadkan pengambilan tidak lebih 10 mata pelajaran di kalangan calon SPM mulai tahun depan adalah hasil kajian mendalam pelbagai pihak.

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan fokus tidak harus terhadap bidang akademik semata-mata sebaliknya penekanan yang sama perlu diberikan perkara lain.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihaknya sedia maklum keputusan berkenaan menimbulkan rasa bimbang di kalangan sesetengah pihak termasuk dibantah oleh MIC baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun kebimbangan itu wujud namun beliau yakin ia tidak menjejaskan pencapaian calon-calon SPM.

‘‘Saya tak bimbang tentang perkara itu tapi penjelasan muktamad akan dibuat dalam terdekat ini untuk beritahu kedudukan yang terakhir sekali,’’ katanya.

Selanjutnya...