Sumber: Forum Utusan Malaysia |1 Jun 2009|
TULISAN Ridzuan Mahmud dari Kuala Lumpur bertajuk CUEPACS abaikan lulusan universiti bertarikh 26 Mei lalu mengimbau kenangan sedih, pilu tahun 2007 setelah pelarasan gaji dibuat atas tuntutan CUEPACS.
Saya adalah salah seorang kakitangan kerajaan yang bernasib malang. Saya menyahut cabaran kerajaan supaya kakitangan awam meningkatkan ilmu pengetahuan untuk diri, bangsa dan negara.
Saya tidak pernah menyalahkan kerajaan kerana saya tahu ia adalah ketidakprihatinan manusia sendiri. Saya pasrah dengan rezeki yang Allah telah tentukan untuk saya.
Mungkin disebabkan kes saya ini hanya satu dalam seribu jadi semua pihak tidak begitu sensitif dalam membuat sebarang tuntutan.
Untuk pengetahuan, saya adalah seorang guru DGA29 yang telah menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan cuti separuh gaji pada tahun 2001, iaitu sebanyak RM551.65 sebulan.
Saya terpaksa berulang-alik dari UPSI ke Terengganu setiap minggu kerana saya ada tanggung jawab lain terhadap suami, tiga anak saya yang masih kecil yang berumur antara tiga bulan hingga lima tahun. Juga tanggung jawab terhadap kedua orang tua yang semakin uzur.
Syukur kerana saya diberi pinjaman PTPTN yang membolehkan saya menampung kehidupan saya selama tiga tahun pengajian. Terima kasih PTPTN.
Akhirnya saya dapat menghabiskan pengajian saya tanpa menyusahkan pensyarah, UPSI dan juga kerajaan. Pada tahun 2004, saya dapat menggenggam segulung ijazah yang kini menjadi perangsang kepada anak-anak saya untuk berjaya.
Namun begitu selama tiga tahun pengajian, saya dapati banyak kerugian yang saya alami.
Di antaranya ialah:
*Saya kehilangan separuh dari gaji saya.
*Gaji saya selama 3 tahun adalah statik.
*Saya terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN yang menampung pengajian saya.
*Saya kehilangan masa bersama keluarga terutama dengan anak-anak yang sedang membesar.
*Paling menyedihkan, saya terlepas ke gred DG32.
Jika masa boleh diputarkan semula, saya tidak mungkin memilih untuk belajar sepenuh masa. Lebih baik saya belajar secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang tidak membebankan saya dan memberikan banyak faedah. Di antaranya ialah:
*Bergaji penuh.
*Gaji tidak statik.
*Belajar di maktab yang berdekat dengan rumah.
*Tidak perlu berhutang kerana bergaji penuh.
*Dapat DG32 apabila cukup 10 tahun.
*Tidak membazir wang dan masa.
Pada 16 Mei 2004 saya melapor diri di sebuah sekolah menengah di Besut, Terengganu. Saya menyimpan hasrat untuk menabur bakti yang tidak terhingga untuk anak-anak bangsa saya.
Saya ditawarkan dengan gred DG41 pada mata gaji PIT4 dengan gaji RM1710.60. Pada masa yang sama kawan-kawan saya yang tidak menyambung pengajian memperoleh gaji pada gred DG32 pada mata gaji PiTI dengan gaji RM1932.85 tanpa bersusah payah menimba ilmu.
Pada tahun 2007 pula satu kejutan yang amat tidak munasabah dibuat oleh CUEPACS apabila menuntut pelarasan gaji yang tidak selaras dan tidak peka kepada keadaan semasa.
Bayangkan saya yang sudah bergaji kecil mendapat 15 peratus kenaikan dan kawan-kawan saya mendapat 25 peratus kenaikan.
Orang yang tidak bersekolah pun boleh menghitung perbezaan gaji antara saya dengan kawan-kawan saya. Betapa beruntungnya mereka yang tidak menyambung pengajian.
Ini tidak termasuk peluang kenaikan pangkat menjadi guru kanan.
Hari ini saya sekali lagi kecewa apabila CUEPACS menuntut kenaikan gaji khas untuk pekerja sokongan sahaja.
Dengan kata lain, sebagai kakitangan kerajaan tak payah nak susah-susahkan diri untuk belajar.
Tanpa berbuat demikian pun nasib mereka terus beruntung dan sentiasa dibela sehinggakan mereka yang hanya kelulusan SPM mempunyai gaji jauh lebih tinggi berbanding gaji yang berkelulusan ijazah.
Wajarkah perkara ini berlaku dan haruskah berlaku?
Besut, Terengganu">
www.pendidikmy.net
02 June 2009
Pulangan lanjut pelajaran tidak setimpal
29 May 2009
CUEPACS abaikan lulusan universiti
Sumber: Forum Utusan Malaysia |26 Mei 2009|
Saya secara peribadi berbangga menjadi seorang warga kakitangan Kerajaan Malaysia walaupun tidak berjawatan tinggi. Namun khidmat bakti, komitmen dan taat setia kepada kerajaan tidak pernah berbelah bahagi.
Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan Datuk Seri Najib bin Tun Razak yang dikenali pembela kakitangan kerajaan sejak menerajui Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelajaran mahupun sebagai Perdana Menteri.
Namun persoalan saya apakah hala tuju perjuangan kepimpinan CUEPACS yang dilihat hanya memperjuangkan penambahbaikan bagi kakitangan sokongan sahaja. Adakah nasib kami lepasan universiti tidak layak untuk diperjuangkan?
Untuk makluman, golongan kami ibarat telah dijadikan anak tiri. Tuntutan pelarasan gaji yang diluluskan oleh kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, hasil perjuangan CUEPACS, telah menjadikan gaji antara kami lebih rendah berbanding gaji rakan yang tidak ke universiti.
Ini berlaku hasil gerakan mata gaji 25 peratus bagi kumpulan sokongan dan hanya 15 peratus untuk kami. Kemudian beberapa keistimewaan kenaikan pangkat dipermudahkan ke gred 32 dan sehingga ke gred 38 yang mana jumlah gaji hampir menyamai gaji Pengetua Gred DG 48!
Saya berpendapat kedudukan ini amatlah unik di mana golongan yang belajar tinggi mendapat gaji lebih rendah berbanding mereka yang tidak ke menara gading. Jika tidak, masakan heboh saban hari golongan guru DG 41 yang melanjutkan pelajaran meminta pihak berwajib menimbang kedudukan mereka yang rendah gaji, bukan oleh rakan yang sama keluar maktab, malah gaji junior dari maktab pun melebihi mata gajinya.
Memang lebih pelik jika berkhidmat di sekolah, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG 41, mahu pun DG 44, akan menerima arahan dan tugasan daripada pegawai di Pejabat Pelajaran yang mempunyai gred DG 29 atau DG 32 walau pun penstrukturan baru ada menunjukkan penambahan pegawai DG 41.
Berita terbaru menambahkan lagi keistimewaan kumpulan sokongan di mana 15 tahun berkhidmat automatik mendapat kenaikan pangkat. Itu belum lagi tuntutan yang akan dibuat untuk memohon penambahan Elaun Cola dan Elaun perumahan bagi kumpulan sokongan ini.
Tahniah diucapkan kepada kepimpinan CUEPACS yang menjadi pembela golongan sokongan. Namun pastikan mereka itu menjadi nadi penggerak utama dasar dan menjadi penyokong setia kerajaan di waktu senang dan susah serta tidak menjadi duri dalam daging kerajaan pada waktu pilihan raya nanti.
RIDZUAN MAHMUD
Kuala Lumpur
28 May 2009
Anjakan gaji bermula lewat
Sumber: Forum Utusan Malaysia |28 Mei 2009|
ISTERI saya merupakan seorang guru gred DGA32. Baru-baru ini, beliau telah menerima surat kelulusan anjakan gaji kerana telah lulus PTK pada tahun 2008.
Namun apa yang mengecewakan beliau ialah anjakan gajinya itu hanya bermula pada bulan Oktober 2009. Untuk makluman, isteri saya merupakan antara segelintir guru yang lulus PTK yang kali pertama diadakan iaitu pada tahun 2003 dengan keputusan IV. Walaupun lulus PTK yang kali pertama diadakan tetapi beliau cuma dinaikkan ke gred DGA32 bermula pada November 2004 dengan anjakan gaji ke gred DGA32 diubah ke bulan Oktober.
Situasi ini amat berbeza dengan sebahagian besar guru DGA29 yang lulus PTK dengan keputusan III pada tahun 2004 dan dinaikkan ke gred DGA32 berkuat kuasa pada Januari 2005. Beza cuma sebulan berbanding isteri saya selama sepuluh bulan. Logik ke lulus PTK kali pertama dengan keputusan IV, tetapi diberi kenaikan gred sepuluh bulan berikutnya, berbanding lulus PTK tahun 2004 dengan keputusan III tetapi diberi kenaikan gred selepas hanya dalam sebulan.
Apabila keputusan PTK 2008 diumumkan, sekali lagi isteri saya lulus dengan keputusan IV. Begitu juga rakan-rakannya yang dinaikkan gred selepas mendapat keputusan III pada PTK 2004 dahulu.
Tetapi rakan-rakannya yang cuma lulus III pada 2004 dan dinaikkan ke gred DGA32 mendapat anjakan gaji berkuat kuasa pada Januari 2009 sedangkan isteri saya pula pada Oktober 2009. Tidakkah pelik situasi ini? Seorang yang lulus PTK 2003 dan dinaikkan ke gred DGA32 pada November 2004 serta mendapat gaji yang lebih tinggi pada masa itu tiba-tiba mendapati orang yang lulus pada tahun berikutnya dengan keputusan III pula akan mendapat gaji yang lebih daripadanya pada tahun 2009.
Situasi ini akan menjadikan guru DGA32 yang lulus PTK tahun 2003 berasa seolah-olah nasib mereka terabai sedangkan mereka lulus dengan keputusan IV. Sebaliknya guru DGA29 yang dinaikkan ke gred DGA32, hanya lulus dengan keputusan III, pula yang lebih beruntung.
Saya amat berharap pihak-pihak seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kesatuan guru seperti KPPK meneliti masalah isteri saya ini.
Perak.">