:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

29 May 2009

CUEPACS abaikan lulusan universiti

Sumber: Forum Utusan Malaysia |26 Mei 2009|

Saya secara peribadi berbangga menjadi seorang warga kakitangan Kerajaan Malaysia walaupun tidak berjawatan tinggi. Namun khidmat bakti, komitmen dan taat setia kepada kerajaan tidak pernah berbelah bahagi.

Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan Datuk Seri Najib bin Tun Razak yang dikenali pembela kakitangan kerajaan sejak menerajui Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelajaran mahupun sebagai Perdana Menteri.

Namun persoalan saya apakah hala tuju perjuangan kepimpinan CUEPACS yang dilihat hanya memperjuangkan penambahbaikan bagi kakitangan sokongan sahaja. Adakah nasib kami lepasan universiti tidak layak untuk diperjuangkan?


Untuk makluman, golongan kami ibarat telah dijadikan anak tiri. Tuntutan pelarasan gaji yang diluluskan oleh kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, hasil perjuangan CUEPACS, telah menjadikan gaji antara kami lebih rendah berbanding gaji rakan yang tidak ke universiti.

Ini berlaku hasil gerakan mata gaji 25 peratus bagi kumpulan sokongan dan hanya 15 peratus untuk kami. Kemudian beberapa keistimewaan kenaikan pangkat dipermudahkan ke gred 32 dan sehingga ke gred 38 yang mana jumlah gaji hampir menyamai gaji Pengetua Gred DG 48!

Saya berpendapat kedudukan ini amatlah unik di mana golongan yang belajar tinggi mendapat gaji lebih rendah berbanding mereka yang tidak ke menara gading. Jika tidak, masakan heboh saban hari golongan guru DG 41 yang melanjutkan pelajaran meminta pihak berwajib menimbang kedudukan mereka yang rendah gaji, bukan oleh rakan yang sama keluar maktab, malah gaji junior dari maktab pun melebihi mata gajinya.

Memang lebih pelik jika berkhidmat di sekolah, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG 41, mahu pun DG 44, akan menerima arahan dan tugasan daripada pegawai di Pejabat Pelajaran yang mempunyai gred DG 29 atau DG 32 walau pun penstrukturan baru ada menunjukkan penambahan pegawai DG 41.

Berita terbaru menambahkan lagi keistimewaan kumpulan sokongan di mana 15 tahun berkhidmat automatik mendapat kenaikan pangkat. Itu belum lagi tuntutan yang akan dibuat untuk memohon penambahan Elaun Cola dan Elaun perumahan bagi kumpulan sokongan ini.

Tahniah diucapkan kepada kepimpinan CUEPACS yang menjadi pembela golongan sokongan. Namun pastikan mereka itu menjadi nadi penggerak utama dasar dan menjadi penyokong setia kerajaan di waktu senang dan susah serta tidak menjadi duri dalam daging kerajaan pada waktu pilihan raya nanti.

RIDZUAN MAHMUD
Kuala Lumpur

Selanjutnya...

28 May 2009

SPM: Maksimum 10 Subjek

Sumber: Malaysiakini |28 Mei 2009|

Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan.

Serentak dengan itu, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek di Nilai hari ini, lapor Bernama.

Muhyidin, yang juga menteri pelajaran berkata, daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek.

Ini juga akan mengatasi masalah pada sesetengah subjek yang kekurangan guru, malahan ibu bapa dapat menjimatkan wang daripada terpaksa membayar lebihan subjek perlu diambil apabila menghantar anak mereka ke kelas tuisyen, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian amat serius untuk merapatkan jurang di antara pelajar bandar dan luar bandar walapun perbezaan jurang ini tidak sejauh mana.

"Sebenarnya jurang ini tidak terlalu jauh tetapi masih ada perbezaan yang agak ketara dari sudut lain dan ini dilihat dari segi keputusan peperiksaan," katanya.

Pembaharuan yang dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-10 membabitkan pembangunan prasarana, tenaga guru dan cara pembelajaran murid, katanya.

"Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar ini terdapat ramai orang bumiputera Melayu, bumiputera yang agak miskin, kurang berkemampuan.

"Kita mahu pembangunan sekolah-sekolah di luar bandar sama tahapnya baik dari segi infrastruktur, cara pembelajaran sebagaimana yang terdapat di kawasan-kawasan yang sudah maju," kata Muhyiddin.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan guru-guru yang berkelayakan untuk mengajar bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di pedalaman merupakan cabaran utama bagi kementeriannya melaksanakan pembaharuan itu.

Walaupun kementerian ada menawarkan elaun sebanyak RM1,500 sebagai insentif sejak dari tahun lalu untuk mereka datang ke kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak, tetapi masih banyak cabaran lain perlu ditangani.

Beliau sedang memikirkan cara untuk menyenangkan kehidupan guru-guru yang dihantar ke kawasan pedalaman ini kerana walaupun mendapat elaun, kementerian sedar masalah lain seperti perumahan menjadi asas utama perlu diatasi.

Selanjutnya...

Lanjut 6 bulan PPSMI, ahli akademik marah!

Sumber: Harakahdaily |27 Mei 2009|

Tindakan kerajaan melanjutkan tempoh sehingga enam bulan sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan kemarahan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia China, Universiti Pengajian Asing Beijing, Prof. Dr Awang Sariyan.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily mempersoalkan sehingga bila kerajaan akan yakin hasil pemikiran dan kajian ahli ilmu sehingga memerlukan tempoh yang begitu lama untuk membuat keputusan mengenai dasar tersebut.

"Sebenarnya saya sudah jemu untuk memberi komen mengenai isu ini. Kami di kalangan pejuang bahasa sudah kering tekak dan sudah memberi semua hujah. Sudah bertimbun kertas kerja, memorandum dan buku yang kita kemukakan. Adakah itu tidak cukup untuk kerajaan membuat keputusan?

"Apa yang meragukan ialah kajian Kementerian Pelajaran Malaysia yang memilih-milih responden untuk menguatkan hujah mereka utk meneruskan PPSMI. Nasib dasar di negara kita samalah dengan kisah Yunani purba iaitu kisah seorang putera raja yg dihukum menolak batu ke puncak bukit. Setiap kali batu sampai di puncak, dewa menekan dari atas dan batu pun melorot balik. Ditolak lagi, begitu juga jadinya hingga akhirnya tak pernah lepas batu itu ke sebelah lereng. Kerana apa? Kerana ada kuasa yang menekan usaha melepaskan batu ke lereng satu lagi,"tegasnya.

Jelas Awang, kisah tersebut samalah dengan nasib dasar-dasar di negara ini seperti dasar ekonomi, dasar kebudayaan, dasar pendidikan dan dasar bahasa.

Beliau berpandangan dasar tersebut ibarat batu yang ditolak ke puncak bukit iaitu yang hampir berjaya atau separuh berjaya ditolak ke puncak, ditekan ke bawah semua dan berulang kali.

"Itulah tragedi dalam negara atau masyarakat yang tidak melandaskan sesuatu keputusan pada ilmu dan pemikiran yang jelas. Di satu sisi kita bercakap tentang dasar pembinaan jati diri bangsa dan negara termasuk melalui dasar bahasa, dasar pendidikan serta dasar kebudayaan.Tetapi di sisi lain keputusan tidak selaras dengan dasar, lebih condong kepada asas pragmatisme melulu,"katanya.

Sementara itu Ahli Jawatan Kuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Suhaizan Kaiat berpandangan jika diimbas kembali janji Menteri Pelajaran sebelum ini, Dato' Seri Hishamudin Hussin, kajian mengenai dasar tersebut telah selesai.

Namun katanya, apabila menteri bagi kementerian tersebut bertukar kajian bagi dasar tersebut masih dilanjutkan sedangkan pelbagai kajian telah dilaksanakan termasuk enam rundingan meja bulat.

Sehubungan itu katanya, sekiranya pada Disember nanti baru keputusan bagi dasar tersebut akan diputuskan, ia akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk penyediaan buku-buku teks dan rujukan

Selanjutnya...

Guru mohon pertukaran dilulus

Ramai kalangan guru yang menghadapi masalah seperti yang diutarakan oleh pengirim dalam ruangan forum Utusan Malaysia ini. Guru yang ditempatkan berjauhan dengan keluarga memang mematuhi peraturan penempatan mereka. Mereka juga mengikut prosedur untuk memohon pertukaran tetapi pelbagai masalah pula yang timbul. Hal demikian menjadi antara punca yang menjejaskan emosi guru-guru dalam melaksanakan tugas mereka.

Sumber:
Forum Utusan Malaysia |28 Mei 2009|

SAYA guru PPPS DG41, kini berkhidmat di SMK Kuala Krau, Temerloh, Pahang sejak Januari 2006 dan telah berkhidmat selama empat tahun. Saya dukacita apabila permohonan pertukaran saya (dari negeri Pahang ke Johor) buat kali ketiga tidak diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya telah memohon pertukaran pada sesi Jun 2008, Januari 2009 dan Jun 2009, tetapi permohonan saya tidak diluluskan.

Saya memohon pertukaran atas sebab-sebab berikut:

# Saya di Temerloh, Pahang manakala isteri dan anak di Kulai, Johor. Isteri saya baru melahirkan anak (April 2009) setelah dua kali keguguran. Isteri tinggal bersendirian dan terpaksa mengurus anak tanpa suami. Bagaimana jika sesuatu berlaku sewaktu ketiadaan saya?

# Isteri saya juga seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Indahpura, Kulai, Johor. Sekolah jenis ini hanya ada dua buah sahaja iaitu di Kulai, Johor dan Shah Alam, Selangor. Apabila berada dalam situasi begini, kenapa pertukaran daripada pihak suami tidak dipertimbangkan dengan sewajarnya?

# Saya terpaksa berulang-alik dari Kuala Krau, Temerloh, ke Kulai, Johor sejauh lebih 950 kilometer (pergi dan balik - bersamaan 13 jam setiap perjalanan) setiap minggu untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Ini melibatkan banyak belanja dan masa.

Masalah yang saya hadapi membuatkan saya tertekan dari segi emosi dan fizikal. Lazimnya pada setiap hari Isnin dan Selasa saya keletihan (fizikal dan mental) kerana perjalanan yang jauh di hujung minggu. Diakui, ia menyebabkan tumpuan saya pada tugas utama untuk mengajar terjejas.

Saya amat mengharapkan pihak-pihak yang berkenaan seperti Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh, Jabatan Pelajaran Pahang serta Kementerian Pelajaran dapat memberi pertimbangan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap permohonan saya.


Kuala Krau,
Pahang

Selanjutnya...

Anjakan gaji bermula lewat

Sumber: Forum Utusan Malaysia |28 Mei 2009|

ISTERI saya merupakan seorang guru gred DGA32. Baru-baru ini, beliau telah menerima surat kelulusan anjakan gaji kerana telah lulus PTK pada tahun 2008.

Namun apa yang mengecewakan beliau ialah anjakan gajinya itu hanya bermula pada bulan Oktober 2009. Untuk makluman, isteri saya merupakan antara segelintir guru yang lulus PTK yang kali pertama diadakan iaitu pada tahun 2003 dengan keputusan IV. Walaupun lulus PTK yang kali pertama diadakan tetapi beliau cuma dinaikkan ke gred DGA32 bermula pada November 2004 dengan anjakan gaji ke gred DGA32 diubah ke bulan Oktober.

Situasi ini amat berbeza dengan sebahagian besar guru DGA29 yang lulus PTK dengan keputusan III pada tahun 2004 dan dinaikkan ke gred DGA32 berkuat kuasa pada Januari 2005. Beza cuma sebulan berbanding isteri saya selama sepuluh bulan. Logik ke lulus PTK kali pertama dengan keputusan IV, tetapi diberi kenaikan gred sepuluh bulan berikutnya, berbanding lulus PTK tahun 2004 dengan keputusan III tetapi diberi kenaikan gred selepas hanya dalam sebulan.

Apabila keputusan PTK 2008 diumumkan, sekali lagi isteri saya lulus dengan keputusan IV. Begitu juga rakan-rakannya yang dinaikkan gred selepas mendapat keputusan III pada PTK 2004 dahulu.

Tetapi rakan-rakannya yang cuma lulus III pada 2004 dan dinaikkan ke gred DGA32 mendapat anjakan gaji berkuat kuasa pada Januari 2009 sedangkan isteri saya pula pada Oktober 2009. Tidakkah pelik situasi ini? Seorang yang lulus PTK 2003 dan dinaikkan ke gred DGA32 pada November 2004 serta mendapat gaji yang lebih tinggi pada masa itu tiba-tiba mendapati orang yang lulus pada tahun berikutnya dengan keputusan III pula akan mendapat gaji yang lebih daripadanya pada tahun 2009.

Situasi ini akan menjadikan guru DGA32 yang lulus PTK tahun 2003 berasa seolah-olah nasib mereka terabai sedangkan mereka lulus dengan keputusan IV. Sebaliknya guru DGA29 yang dinaikkan ke gred DGA32, hanya lulus dengan keputusan III, pula yang lebih beruntung.

Saya amat berharap pihak-pihak seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kesatuan guru seperti KPPK meneliti masalah isteri saya ini.


Perak.">

Selanjutnya...

Mahu imbangi nisbah guru lelaki, wanita

Sumber: Utusan Malaysia |27 Mei 2009|

Kekurangan guru lelaki adalah antara cabaran paling besar dihadapi Kementerian Pelajaran dan kementerian kini dalam usaha untuk mengimbangkan jurang itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, pada masa ini hampir tiga perempat daripada setiap pengambilan tahunan guru-guru baru terdiri daripada wanita.

"Kebanyakan guru yang mengajar di pedalaman ialah guru lelaki. Jadi sebab itulah kita cuba imbangkan sedikit untuk dapatkan lebih ramai guru lelaki bagi memudahkan kita menghantar guru mengajar di pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini, malam tadi.

Mohd. Puad turut mencadangkan supaya guru menandatangani akujanji bersetuju untuk mengajar di luar bandar dengan tempoh perkhidmatan mereka dinyatakan dengan jelas, umpamanya tiga tahun.

Beliau berkata, akujanji seumpama itu perlu bagi mengelakkan guru yang dihantar bertugas di luar bandar, memohon ditukarkan hanya selepas enam bulan mereka di sana.

Mohd. Puad berkata, selain itu ia juga bagi memastikan seseorang guru itu tidak berkhidmat terlalu lama di kawasan pedalaman.

"Saya sendiri menyaksikan kepayahan guru di pedalaman antaranya seorang guru wanita terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan gelombang telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan suaminya.

"Ada juga kes seorang guru wanita dari sebuah sekolah di Marudi, Sarawak bersalin dalam bot ketika dalam perjalanan ke hospital kerana jarak antara sekolah dan hospital jauh," katanya. -

Selanjutnya...

25 May 2009

Ke mana hilangnya Yayasan Guru?

Sumber: Forum Utusan Malaysia |22 Mei 2009|

BELUM terlambat rasanya saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh negara dengan tema pada tahun 2009 ini Guru Pembina Negara Bangsa. Saya mengharapkan ucapan sebegini akan disampaikan dalam ruangan ini oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB ).

Malangnya selepas beberapa hari sambutan Hari Guru berlalu namun kelibat dari YGMB pun tak kelihatan. Slogan Bersatu Maju pun tak wujud lagi.

Saya sebagai salah seorang ahli seumur hidup YGMB terus tertanya-tanya ke mana perginya yayasan yang tidak dapat dikesan ini. Telefon pun tidak ada dalam perkhidmatan lagi.

YGMB satu ketika dulu mempunyai 141,056 hingga 165,687 ahli seumur hidup dan 75,369 orang ahli biasa (data 30 September 1998). Ahli seumur hidup membayar antara RM200 /RM500 sahaja, manakala ahli biasa membayar RM24 setahun. Pelbagai insentif berbentuk kebajikan ahli telah ditawarkan.

Mengikut data 24 Oktober 2007, YGMB mempunyai wang tunai sebanyak RM8.678 juta yang disimpan dalam bentuk akaun semasa dan akaun tetap. Sementara unit saham melalui terbitan awam pula sebanyak 3.6 juta.

Mengikut laporan 1999 YGMB mempunyai pelaburan jangka panjang dalam bentuk simpanan tetap sebanyak RM5.8 juta, melabur dalam BSKL sebanyak RM7.4 juta dan dalam anak-anak syarikat sebanyak RM4.5 juta. Pelaburan harta tetap YGMB di Pusat Bandar Melawati dengan harga RM2.1 juta dan sebuah bangunan kedai empat tingkat di Seberang Perai dengan harga RM1.38 juta.

Sementara mengikut struktur korporat, YGMB mempunyai 100% Pegangan Guru Malaysia Sdn. Bhd., 20% dalam Permodalan Guru Malaysia Bhd., 55% dalam YGMB-Asha Holidays Sdn. Bhd., 100% dalam Promojati Arif Sdn. Bhd., dan 100% dalam Rata Intelek Sdn. Bhd.

Persoalannya, sebagai ahli seumur hidup, saya dan mungkin juga semua ahli YGMB tidak pernah lagi mendapat maklumat terkini tentang perjalanan YGMB. Mungkin guru-guru terlalu sibuk dengan kerenah pendidikan masa kini hingga terlupa kewujudan YGMB dan YGMB pula mengambil jalan mudah dengan buat bodoh saja.

Sebenarnya saya pun dah tak kisah lagi. Cuma kalau YGMB dah muflis declare sajalah. Keluarkan penyata kewangan dan maklumkan ahli-ahli. Itu pun susah ke? Orang tubuhkan yayasan kita nak tubuhkan yayasan tapi akhirnya tak dapat dikesan. Ada juga ura-ura nak tubuhkan Bank Guru. Tak ada maknanya. Tak payahlah.

Selamat Hari Guru kepada para guru khususnya kepada ahli-ahli YGMB. Ayuh kita bina negara bangsa.

GURU SEMENTARA
Kuala Lumpur

Selanjutnya...

24 May 2009

Lagi Tokoh Sastera Tolak PPSMI

Sumber: Malaysiakini |23 Mei 2009|

Walaupun tersohor dan disebut-sebut sebagai calon Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan mungkin mengalami laluan sukar mencapainya.

Beliau semakin lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) - hari ini di depan 200 penulis muda dunia sastera Melayu.

"Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara," katanya dalam ucap utama di perhimpunan terbesar sasterawan muda Malaysia.

"Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal.

"Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka.

"Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini.

"Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik."

Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa – menyampaikan ucapannya berjudul 'Arah dan Cabaran Penulis Muda' di Melaka pagi ini.

Dalam ucapannya kira-kira sejam, beliau menegur ahli politik Melayu dalam kerajaan yang menjadi pencetus utama timbulnya rasa tidak yakin terhadap bahasa mereka sendiri.

"Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa bangga (terhadap) bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa," katanya.

Anwar berkata, sikap pemimpin tersebut digambarkan melalui penggunanan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi dan tidak bersungguh-sungguh membina jati diri kolektif pelajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang tunggal.

"Mereka mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid (pertama) berbanding bahasa bangsanya," katanya.

Teks ucapannya juga boleh diperolehi di blognya.

Kritikan Anwar hari ini yang pertama dilontar di depan khalayak sebesar itu, selain wawancara di sebuah tabloid politik dan dialog-dialog kumpulan kecil masyarakat sastera.

Walaupun pelbagai pihak dan tokoh budaya sebelum ini lantang menuntut pemansuhan dasar kontroversi itu – sehingga membawa kepada demonstrasi besar 7 Mac lalu – Anwar dilihat tidak lantang sebelum ini.

Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus.

Selain Anwar, tokoh-tokoh lain yang disebut layak untuk Sasterawan Negara penyair Datuk Baharuddin Zainal dan novelis Zaharah Nawawi.

Malaysiakini difahamkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 selama tiga hari sejak pagi tadi akan merumuskan satu resolusi membantah dasar PPSMI.

Awal bulan ini, kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup termasuk Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain menolak dasar kontroversi itu - pertama kali gabungan tokoh besar budayawan Melayu secara terbuka dan berani menentang dasar kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelajaran dijangka akan mencapai keputusan berhubung PPSMI dalam tempoh enam bulan lagi, lapor laman web The Star petang ini.

Timbalan menterinya Dr Puad Zarkashi berkata keputusan itu diambil bagi memastikan para pelajar tidak mengalami keadaan rugi semuanya, apabila gagal menguasai Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Selanjutnya...

Sesat di hujung jalan

Sumber: Blog M.A.R.N.I

Akhbar hari ini
melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran akan mengkaji semula had jumlah mata pelajaran yang diambil oleh calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengenalan sistem 'sijil terbuka' kepada calon peperiksaan SPM sejak beberapa tahun yang lalu adalah dengan tujuan yang sangat baik. Ia memberi peluang kepada pelajar kita memperbaiki keputusan peperiksaan SPM mereka tahun demi tahun tanpa had.

Sistem ini juga memberi peluang kepada calon persendirian mengambil peperiksaan mengikut kebolehan mereka, iaitu tidak terikat dengan jumlah mata pelajaran yang wajib diambil seperti calon-calon yang mendaftar di sekolah.

Selain itu, sistem ini juga memberi peluang kepada para pelajar sekolah mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran lain, selain yang ditawarkan oleh pihak sekolah.

Namun, kecenderungan baru mula timbul apabila para pelajar begitu bersungguh-sungguh mencipta rekod berbelas dan berpuluh A dalam peperiksaan tersebut. Secara peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan kecenderungan pelajar kita mengejar jumlah A yang banyak kerana ia tidak mencerminkan kebijaksanaan mereka (boleh baca tulisan saya di sini).

Justeru, kajian semula tentang sistem ini wajar dibuat memandangkan kesan sampingannya bukan sahaja melibatkan pelajar lain secara keseluruhannya, tetapi juga melibatkan penawaran biasiswa dan kedudukan serta persaingan para pelajar dari sekolah berasrama penuh yang kebanyakannya adalah pelajar bumiputera.

Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Jika sistem lama terbukti sebagai sistem yang terbaik, tidak rugi untuk kita berpatah balik.

Begitu juga dengan PPSMI. Hapuskanlah PPSMI kerana ia bukan satu dasar yang baik untuk pelajar kita.

Selanjutnya...

20 May 2009

Drama hanya memalukan guru

Sumber: Forum Utusan Malaysia |20 Mei 2009|

TARIKH 16 Mei 2009 adalah hari keramat bagi kaum guru. Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran di Kuala Terengganu dengan tema "Guru Pembina Negara Bangsa".

Malang sekali guru dimalukan dengan drama televisyen yang disiarkan oleh TV3, pukul 10.00 malam 16 Mei 2009. Drama mengisahkan guru bernama Farhana yang kononnya bertugas di sebuah sekolah menengah di pedalaman di Negeri Sembilan.

Pada pengamatan saya yang bertugas sebagai guru selama 31 tahun, pakaian cikgu Farhana di dalam drama itu bukanlah pakaian seorang guru di dalam kelas sewaktu pengajaran dan pembelajaran. Pakaian tersebut amat sesuai dipakai untuk ke kelab malam.

Kepada pengarah dan penerbit drama berkenaan, janganlah dimalukan kaum guru dengan contoh pakaian yang tak masuk akal sewaktu bertugas. Kami ada etika berpakaian ketika bertugas dan kami juga ada akal fikiran yang dapat menilai yang mana baik yang mana buruk untuk dipakai.

Saya ingin bertanya, apakah pengarah dan penerbit drama ini tidak pernah melihat pakaian kaum guru sewaktu bersekolah dahulu?

Kami kaum guru bukan harapkan sanjungan dan pujian tapi janganlah dimalukan sebegitu rupa. Saya amat sedih kerana apa yang digambarkan dalam drama tersebut begitu terpesong dengan tema hari guru yang dilaung-laungkan pada tahun ini.

GURU SAKO
Jelebu, Negeri Sembilan

Selanjutnya...

Guru lepasan diploma dilupakan

Sumber: Forum Utusan Malaysia |20 Mei 2009|

KITA berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di atas pengumuman beliau pada majlis Perasmian Hari Guru 2009 di Kuala Terengganu 16 Mei lalu mengenai begitu banyak peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru Lepasan Ijazah (PPPS).

Mereka ini kebanyakannya bertugas di sekolah-sekolah menengah, menjadi pegawai di Kementerian Pelajaran (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pensyarah di Institut Perguruan dan Kolej Matrikulasi di seluruh Malaysia.

PPPS ini ada juga yang sudah mula bertugas di sekolah rendah. Tetapi mereka ini adalah kelompok guru-guru lepasan diploma yang menyambung pelajaran secara dalam perkhidmatan dan masih baru serta ada yang belum dilantik dan disahkan dalam jawatan.

Pengumuman Muhyiddin itu sememangnya begitu menggembirakan guru-guru PPPS kerana peluang mereka untuk meningkat ke gred yang lebih tinggi begitu luas dan terbuka.

Tetapi bagaimana pula nasib rakan-rakan guru-guru lepasan diploma (PPPLD) yang rata-rata berada di sekolah rendah, terutama di kawasan-kawasan pedalaman yang terpaksa meredah kesusahan? Mereka ini ada juga yang ditempatkan di KPM, JPN dan PPD tetapi hanyalah sebagai runner kepada pegawai-pegawai atasan.

Bagi saya, jasa dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka ini amat berat dan sentiasa menjadi perhatian dan penilaian daripada semua pihak kerana merekalah pelaksana segala teori-teori, dasar-dasar, rekaan-rekaan dan ciptaan-ciptaan para kaum intelektual atasan.

Sesungguhnya guru lepasan diploma inilah yang sentiasa diasak oleh pelbagai pihak dengan arahan-arahan yang kadang-kala sesak nafas dibuatnya. Bidang ko-kurikulum seperti aktiviti sukan dan badan beruniform, ramailah guru-guru PPPLD ini yang menjadi tunggak utama.

Oleh itu, kita sangat dukacita dengan nasib yang menimpa golongan guru PPPLD ini. Mereka seperti tiada pembelaan.

Pada pelancaran Hari Guru 2009 baru-baru ini, tidak ada langsung habuan yang menggembirakan mereka, seolah-olah mereka ini tidak wujud. Mereka dilupa dan disisih untuk mendapat sedikit habuan.

Setahu saya, pihak kesatuan guru telah pun mengemukakan beberapa memorandum dan permohonan yang dirasakan relevan untuk guru PPPLD ini peroleh.

Sebagai contoh, perubahan laluan kerjaya PPPLD dijadikan lima gred (GGA 29, DGA 32, DGA 34, DGA 36 dan DGA 38) dari tiga gred (DGA 29, DGA 32 dan DGA 34).

Selain itu tambahan elaun kepada guru-guru penolong kanan, wujudkan ketua bidang, elaun keraian guru besar dimasukan dalam slip gaji, kaji semua habuan serta kemudahan bagi guru di pedalaman dan banyak lagi masalah dan rintihan yang telah dikemukakan.

Mungkin kertas kerja yang dikemukakan tidak begitu kemas dan ilmiah kerana yang ramai menjadi pemimpin kesatuan guru adalah daripada kalangan guru-guru PPPLD.

Mereka ini mungkin hanya tahu berhujah secara lisan tetapi tidak secara kertas kerja yang ilmiah. Maklum sajalah, penyedia kertas kerja tersebut tidak ada ijazah.

Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dengan apa yang diberi kepada guru setakat hari ini. Tetapi harapan kami agar pihak atasan berhati-hati ketika hendak memberi habuan atau hadiah agar tidak ada yang tercicir dan tergores hati.

MOHAMAD ISMAIL
Setiausaha Agung Kongres
Kesatuan Guru Dalam
Perkhidmatan Pelajaran
Malaysia (KONGRES)

Selanjutnya...

Luahan Kenaikan Pangkat

Sumber: Forum Guru Sambung Belajar

Tue May 19, 2009 7:48 AM

Komen :
ni cerita sensasi tetapi BENAR! baca, jgn tak baca.

tiga tahun dulu kawan satu sekolah aku punya le suka lulus PTK 4/4, maka beranjak le gaji dia secara melintang, tiba2 tahun berikutnya dia dapat "backdated" dg44. korang percaya tak, dia kena bayar balik kat kerajaan, sbb gaji dg41 + melintang dia lebih tinggi dari starting dg44!! aku pun pening macam tak percaya je..

berita TERKINI, bila kena kat batang hidung aku sendiri, baru le aku faham.

tahun lepas (2008) aku dapat melengkapkan PTK aku dengan jayanya (4/4) setelah berjuang dr tahun 2003. punya le suka tak payah le aku nak cerita. maka awal tahun ini sibuk le kerani kewangan buat pelarasan dan sedikit tunggakan mula dari 01.07.2008. (gaji pokok dr rm28++ ke rm30++) punya le suka Tuhan saja yang tahu, tapi pegawai meja memang sentiasa tak tahu.

tiba2 seminggu yg lalu, aku dapat surat dr. kementerian. korang tau tak surat ape? aku dilantik ke dg44 berkuatkusa 16.05.2008!! syukur alhamdulillah... suka? pasti suka...

aku mula le menyemak tangga gaji bagi dg44.. ape??? terbeliak bijik mata ku. starting dg44 hanya rm29++.. hacur leburnya perasaan ku! nak lulus PTK 4/4 ambil masa 5 tahun (7 atau 8 kali ambil, aku pun tak ingat) tiba2 keputusan itu lempar kat tong sampah saja. baru le aku tahu benda ni boleh berlaku...

di sini aku nak ingatkan korang yang dah hampir sampai sempadan 41/44 atau 44/48, pikirlah 2/3 kali jika nak ambil PTK pada waktu itu.

aku sepatutnya dapat "backdated" tahun 2006 dalam sistem "7+3", tapi pasai apa diaorang tetapkan tarikh 16.05.2008 pun kita org tak faham!! nanya la kita orang 2941...

dulu masa tahun 2002, aku dapat anugerah cemerlang, tapi tak boleh dapat menegak/melintang sbb katanya semua gaji telah dibuat pelarasan dalam sistem SSM. semua yg dapat anugerah cemerlang tahun tu kebanyakannya teraniya. yg lulus PTK 4/4 tahun 2003 dapat tunggakan. apa kena mengena anugerah cemerlang tahun 2002 dengan PTK 2003??? nanya punya kes!! udah le dulu tak merasa 29_32, sbb sambung belajar, ni duduk di 41 pun banyak yg karut-marut...

Penulis :asyik terkena 2941

Selanjutnya...

12 May 2009

Kenang jasa guru


Sumber: Berita Harian |12 Mei 2009|

Oleh Norliza Abdullah


GURU ibarat lilin yang menerangi, tugas murni mereka kini semakin dianggap sepi. Tidak dinafikan sebagai manusia biasa mereka juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang dilihat sebagai menghukum untuk kebaikan. Bagaimanapun tindakan itu dihakimi masyarakat tanpa memikirkan kesannya kepada institusi pendidikan. Ikuti pandangan peranan guru dan cabarannya oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayub kepada wartawan unit pendidikan, Norliza Abdullah.

HARI Guru yang jatuh pada 16 Mei setiap tahun disambut meriah di seluruh negara. Pelajar meraikan jasa guru dan ibu bapa mengucapkan terima kasih kepada golongan pendidik itu, manakala Kementerian Pelajaran juga mengadakan pelbagai acara bagi meraikannya.

Sempena hari bersejarah ini marilah kita merenung pepatah Melayu ‘Guru ibarat lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain’. Pengertian ini sangat mendalam. Ia bermakna, guru sedia berkorban, masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya.

Namun, kebelakangan ini, rasa hormat dan sayangkan guru semakin terhakis bukan saja pelajar atau murid sudah tidak begitu hormat kepada mereka, malah ibu bapa juga menunjukkan sikap angkuh dan rendahkan guru, kadang-kadang di hadapan pelajar sendiri.

Oleh itu, amatlah wajar sekali kita mengembalikan rasa hormat kepada guru dalam apa cara sekalipun di Hari Guru ini untuk mengenang jasa mereka kita.

Guru adalah manusia biasa, ada kala mereka melakukan kesilapan, tetapi berapa kerat yang berbuat begitu?

Boleh dikatakan 99 peratus daripada lebih 360,000 guru di Malaysia adalah mereka yang sentiasa mempunyai rasa tanggungjawab dan detik hati kecil untuk membantu anak didiknya berjaya.

Tidak ada guru yang akan berfikiran sebaliknya malangnya masyarakat suka dan cepat melihat keburukan daripada kebaikan dengan memberi tumpuan kepada kejadian yang dilaporkan media mengenai keburukan dan menghukum dengan pandangan serong serta prasangka, khususnya ibu bapa.

Keadaan ini membimbangkan kerana kerap berlaku ibu bapa tanpa usul periksa hanya mendengar sebelah pihak dan menyerang guru dengan mengambil tindakan yang menjejaskan kewibawaan mereka.

Kata orang ‘hormat’ tidak boleh diminta kerana ia adalah balasan daripada rasa hormat ditunjukkan. Kini profesion perguruan diberi pengiktirafan kerajaan dengan adanya Skim Gred Khas C dan Pengetua Jusa C serta gred lain yang membolehkan ramai guru menikmati gaji lebih tinggi berbanding 10 atau 20 tahun lalu.

Latihan diterima semakin tinggi dan kini semua guru sekolah menengah dan hampir 50 peratus di sekolah rendah mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda, berbanding 10 tahun lalu di mana kelayakan mereka sekadar diploma atau sijil perguruan.

Dengan adanya latihan dan kelayakan lebih tinggi, guru lebih berpengetahuan mendidik pelajar di sekolah. Ramai juga di kalangan mereka kini mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Saya rasa bangga kerana guru mempunyai kelayakan akademik tinggi berbanding rakan mereka di negara membangun lain, seperti India, Pakistan, Thailand, Indonesia, malah China sekali pun. Dari segi kelayakan, guru kita cukup berkelayakan.

Tetapi mengapakah kita masih mendengar rungutan dan laporan pelbagai masalah di sekolah? Bagi saya ada pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan.

Paling utama ialah desakan dan harapan ibu bapa, mereka sentiasa mahu anak masing-masing berjaya, mencapai gred A dan cemerlang dalam peperiksaan.

Tetapi mereka tidak melakukan sesuatu bagi membantu dan mendidik anak yang sentiasa dahagakan kasih sayang, memberi masa berkualiti kepada anak untuk memberi teguran dan nasihat.

Ibu bapa mungkin mampu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen kerana mahukan keputusan cemerlang. Tetapi sejauh mana mereka mampu memberi perhatian mendidik supaya mempunyai akhlak baik, berdisiplin dan berbudi bahasa.

Di sekolah, guru tetap mendidik, tetapi mereka juga memerlukan masa mengajar silibus yang padat. Cabaran yang mereka hadapi amat berat. Oleh itu, ibu bapa mestilah bersama-sama melaksanakan tanggungjawab membina budi pekerti dan disiplin pelajar supaya mereka dapat dilahirkan sebagai modal insan berjaya dan cemerlang.

Tanggungjawab guru pada abad ke-21 lebih mencabar berbanding dekad sebelumnya. Cabaran daripada kesan globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menuntut mereka terus gigih berusaha bagi mendidik anak bangsa yang mampu bersaing.

Guru harus mempunyai semangat dan daya juang tinggi. Tidak ada sikap tidak boleh, tidak yakin, tiada masa, tiada kemahiran dan sebagainya. Ciri guru yang lebih berdaya saing ialah mempunyai keyakinan diri, kemahiran terkini, masa yang mencukupi, kreatif dan inovatif, menolak segala alasan dan menerima segala cabaran.

Hal ini bertepatan ungkapan “Teachers open the door. You enter by yourself”, yang bermaksud, guru sedia memberi segala ilmu yang ada dan terpulang pelajar mencorakkan keadaan yang akan datang. Oleh itu, kita menjadi saksi bahawa profesion perguruan bukanlah satu pekerjaan mudah dan boleh dipandang ringan.

Walau apa sekalipun, setiap guru mesti bersedia menghadapi cabaran mendatang, sama ada daripada murid, ibu bapa atau ahli masyarakat pelbagai lapisan dengan tabah, profesional, beretika dan jujur serta penuh berakauntabiliti. Dengan itu guru sudah menjunjung profesionnya ke tahap tinggi.

Selanjutnya...

Disiplin guru bentuk kejayaan kita

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |12 Mei 2009|

MASIH terngiang-ngiang di telinga penulis ucapan bertalu-talu anak murid pada sambutan Hari Guru ketika penulis menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun lalu.

Sambil dihulurkan pelbagai hadiah dan kad ucapan, mereka tidak henti-henti bersalaman dan menguntum senyuman.

Lebih menyentuh perasaan, apabila ada murid yang berasal daripada keluarga miskin turut bersusah payah mencarikan hadiah untuk penulis.

Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan murid membalas jasanya.

Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru lain membaca ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan mempunyai nilai yang unik.

Bak kata sesetengah orang, selain doktor, guru adalah insan yang akan memahat erat ‘jawatan’ dengan namanya sehinggalah ke akhir hayatnya.

Bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, sambutan Hari Guru yang ke-38 tahun ini menyerlahkan hakikat bahawa menjadi guru bukan tugas mudah dan menuntut kecekalan serta semangat mendidik yang tinggi.

Guru adalah orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak bangsa.

Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehingga formula saintifik dan teks kesusasteraan, guru tidak akan jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

Begitu juga dalam usaha membentuk modal insan cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid.

Oleh itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan murid.

Namun, tidak semua pihak terutama ibu bapa dan murid faham niat murni guru, lantas mengambil pelbagai tindakan ‘terburu-buru’ dengan menghukum dan mengheret guru ke pengadilan.

Itu adalah antara cabaran yang perlu dilalui guru zaman sekarang dan guru perlu terus menunjukkan wibawa diri dan memartabatkan profesion keguruan mereka.

Selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan budi dan jasa guru yang diibaratkan lilin membakar diri demi menerangi kehidupan anak bangsanya.

Mungkin ada di kalangan kita yang tersenyum sendirian apabila terkenangkan betapa dulu kita amat membenci guru yang garang dan merotan serta mendenda atas sebab kenakalan diri sendiri.

Apabila sudah dewasa, baru kita sedar tanpa tunjuk ajar dan bimbingan guru, pasti kita terumbang-ambing menghadapi gelora kehidupan yang penuh berliku. Terima kasih cikgu.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
Universiti La Trobe,
Melbourne, Australia.

Selanjutnya...

Hargai guru di pedalaman

Sumber: Forum Utusan Malaysia |11 Mei 2009|

Apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, mengumumkan cadangan menaikkan elaun bagi guru-guru di pedalaman, saya rasa sangat gembira dan teruja walaupun saya tidak bertugas di pedalaman.

Sebelum ini saya telah berkhidmat di pedalaman selama 10 tahun. Saya hanya menikmati elaun pedalaman pada penghujung perkhidmatan saya di pedalaman. Saya mengerti dan faham akan kesusahan guru-guru yang berada di pedalaman.

Sempena Hari Guru yang bakal menjelang bulan ini, sewajarnya penghargaan seperti menaikkan elaun diberikan kepada guru-guru yang bersedia berkhidmat di kawasan pedalaman.


Tidak semua guru yang sanggup berkhidmat di pedalaman dan ada yang liat hendak berkhidmat di sana dengan pelbagai alasan. Ada pula yang mendirikan rumahtangga supaya cepat berpindah dengan alasan mengikut suami.

Ini semua kerana ketakutan dan kegusaran sesetengah bakal guru dan guru yang sering dihidangkan dengan jerit perih guru di pedalaman.

Memang benar guru yang berkhidmat di pedalaman banyak menghadapi rintangan. Sepuluh tahun saya berdepan dengan pelbagai masalah ketika berkhidmat di pedalaman. Dalam sebulan hanya sekali kami ke bandar, itu pun sebab urusan pembayaran bil, urusan bank dan sebagainya. Kami hanya ada hari Sabtu untuk berurusan.

Selepas pihak bank mengumumkan hari Sabtu adalah hari tidak bekerja maka kami bergegas ke bandar selepas waktu kelas pada hari Jumaat.

Itu pun bagi yang jarak perjalanan yang dekat mungkin sempat berurusan pada hari Jumaat. Tetapi bagi jarak sekolah terlalu jauh dan memakan masa lebih lapan jam tentulah tidak sempat untuk berbuat demikian. Maka terpaksalah memohon ihsan daripada kawan-kawan yang berada di bandar.

Yang lebih perit lagi apabila kami terpaksa menyewa kereta pacuan empat roda untuk kembali ke sekolah dengan bayaran yang sangat mahal. Kadang-kadang kami terpaksa ke bandar bersendirian atas urusan berkursus dan sebagainya.

Perbelanjaan bulanan akan meningkat sekiranya banyak kursus yang perlu dihadiri. Walaupun ada tuntutan perjalanan dibuat tapi ia masih tidak dapat menampung perbelanjaan sebenar yang dikeluarkan.

Bagi guru-guru yang menggunakan pengangkutan air mereka lebih terdedah kepada bahaya. Begitu juga dengan guru-guru yang merentas laluan balak dan sebagainya.

Kepada Menteri Pelajaran yang baru (Tan Sri Muhyiddin Yassin) saya mencadangkan agar guru-guru ini diberi insurans percuma.

Paling memeritkan juga apabila kami di pedalaman tidak mendapat bekalan makanan segar. Kadang-kadang nak makan ikan dan ayam pun susah, apatah lagi nak mendapatkan bekalan sayuran.

Ada pun makanan dihantar, hanya mencukupi untuk murid-murid bagi yang berasrama. Guru-guru pula susah hendak mendapatkan bekalan. Hanya bergantung kepada makanan tin sahaja.

Bersempena Hari Guru ini, saya menyeru kepada pihak Kementerian Pelajaran agar guru-guru yang berkhidmat di luar bandar diberi peruntukan untuk makan bersama murid asrama.

Saya mewakili rakan-rakan saya yang berkhidmat di pedalaman berharap agar Kementerian Pelajaran tidak menganggap isu ini sebagai isu remeh. Disebabkan masalah makanan ini maka saya sekarang menghadapi masalah kesihatan.

Menurut Dr. Mohd. Puad dalam Utusan Malaysia, ada guru yang sanggup memanjat pokok untuk mendapatkan liputan talian telefon. Begitulah rutin harian kami sekiranya hendak berhubung dengan keluarga yang berada jauh.

Ia bukan luar biasa bagi guru-guru di pedalaman tetapi sangat luar biasa bagi orang luar yang tidak tahu pengorbanan guru-guru di pedalaman.

Malah kami hanya berbekalkan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik yang kadang-kala tidak beroperasi disebabkan tiada bekalan minyak atau minyak tidak dapat dihantar kerana masalah-masalah teknikal.

Ada kalanya generator rosak berminggu-minggu hinggakan guru-guru di pedalaman terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam.

Dalam keadaan dunia yang semakin panas, kami di pedalaman tidak pernah menggunakan pendingin udara atau kipas untuk menghilangkan peluh, hanya berbekalkan buku sebagai kipas pada waktu malam.

Malah ada sekolah yang tiada bekalan air bersih dan hanya bergantung kepada air sungai atau air bukit sahaja. Semua ini menuntut pengorbanan yang tidak terhingga demi untuk mendidik anak bangsa.

Itulah di antara pengorbanan yang kami lakukan untuk murid-murid di pedalaman. Kalau hendak saya tuliskan di sini rasa-rasanya satu muka surat pun tidak memadai.

Saya merasa cukup bangga dengan saranan Timbalan Menteri Pelajaran berkenaan dengan elaun pedalaman tersebut. Saya mahu memberikan sokongan saya kepada rakan-rakan saya yang berkhidmat di pedalaman.

Tetapi saya juga menyeru agar Kementerian Pelajaran tidak lupa kepada guru-guru yang berkhidmat di bandar yang ketika ini juga berdepan dengan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat. Jarak sekolah yang jauh dan sewa rumah yang semakin tinggi juga harus diberi perhatian.

Mungkin sesetengah masyarakat beranggapan bahawa tugas guru sangat mudah kerana berkhidmat hanya setengah hari sahaja. Tetapi bagi yang tahu (terutama yang mempunyai ahli keluarga seorang guru) tentu akan menyokong saranan ini.

Tugas guru tidak berakhir pada pukul 1 petang malah kadang-kala sampai pukul 10.00 malam terutama yang memberikan kelas tambahan. Namun kami rela menjadi lilin membakar diri untuk menjadikan anak bangsa Malaysia menjadi rakyat yang berakhlak mulia dan pintar.

CIKGU LEEZA

Sarawak

Selanjutnya...

09 May 2009

Sains, Matematik dalam BM

Sumber: Utusan Malaysia |9 Mei 2009|

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LIPIS 8 Mei - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi (gambar) secara peribadi menyokong usaha mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu.

Tegas beliau, kedua-dua subjek itu harus diajar semula ke dalam bahasa Melayu bagi memartabatkan semula bahasa kebangsaan selain meningkatkan jati diri generasi muda.

''Kita bimbang pada masa akan datang generasi hari ini khususnya orang Melayu akan tercari-cari identiti dan budaya bangsa yang hilang akibat mengagungkan bahasa Inggeris," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilanjutkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan hasil kajian yang telah dibuat.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya bersedia untuk 'menunggu lebih lama' bagi memastikan keputusan yang akan dibuat tidak flip flop.

Menurutnya, hasil kajian itu hanya akan dibentangkan ke Kabinet apabila beliau berpuas hati.

Selasa lalu, lima Sasterawan Negara buat pertama kalinya menyatakan pendirian bersama menolak PPSMI, malah dua daripada mereka iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Muhammad Salleh sedia ditarik balik gelaran berkenaan jika keadaan memerlukan.

Mengulas lanjut, Puad memberitahu, bagaimanapun, segala keputusan berhubung PPSMI akan diumumkan oleh Kabinet selepas kajian mendalam berhubung perkara itu selesai.

''Satu pengumuman penting mengenai PPSMI akan dibuat tidak lama lagi setelah mengambil pandangan semua pihak termasuk intelektual Melayu dan pejuang bahasa.

"Saya mahu isu PPSMI ini segera diselesaikan kerana penangguhan akan merugikan semua pihak terutama generasi muda hari ini," katanya.

Beliau menambah, segala keputusan yang dibuat oleh Kabinet berhubung PPSMI tidak akan menyebabkan perbelanjaan yang dikeluarkan selama ini sebagai membazir.

''Peruntukan besar untuk pengurusan dan pembelian peralatan komputer tidaklah membazir kerana ia masih boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Selanjutnya...

05 May 2009

5 sasterawan negara tolak PPSMI


Sumber: Malaysiakini |5 Mei 2009|

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.

Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA pagi ini.

Alasan-alasan itu, antaranya:

  • Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.

  • Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".

  • Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.

Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya. [Baca teks penuh di sini]

Buang gelaran rasmi

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.

Sementara Muhammad pula berkata: "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya."

"Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya.

"Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?" soalnya.

"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."

Surat kepada PM

Muhammad juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan A Samad sebelum ini yang lebih ke depan.

"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau suratkhabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi.

"Saya pernah siapkan surat kepada (bekas perdana menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu.

"Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak A Samad untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Muhammad berkata:

"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu, silakan," katanya, seorang penulis terkenal dengan esei budaya.

Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.

Akan terus lawan

a samad saidA Samad (foto kanan) menambah, kesemua sasterawan negara "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.

"Kita tidak boleh harap semua sasterawan negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain.

"Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," kata pengarang itu yang terkenal dengan novel Salina.

Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, A Samad memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi "perlawanan" yang lebih hebat "jika tidak bersedia tunduk" pada desakan membatalkan PPSMI.

"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut.

"Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."

Muhammad pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.

Pertikai meja bulat

anti ppsmi group pc 050509Muhyiddin semalam berkata kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.

Mengulas kenyataan menteri itu, Muhammad mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.

"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa orang bersetuju.

"Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap bahasa kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah.

"Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi, macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.

Kejutkan dunia sastera

ppsmi march 070309 crowd.jpgAwal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.

Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.

Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.

Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.

Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.

Selanjutnya...