Laman Pendidik versi 1 di Geocities.com tidak dikemaskini lagi kerana pihak Geocities akan menamatkan perkhidmatan percumannya pada 26 Okotober 2009. Usaha mengumpul bahan-bahan di sana sedang dilakukan.
Laman Pendidik versi 2 d Blogspot.com pula akan kemaskini secara tidak berkala. Walau bagaimanapun bahan-bahan di sini akan dikekalkan.
Laman Pendidik versi 3 telah beroperasi sepenuhnya dengan menggunakan hosting dan domain berbayar. Maklumat di LPv3 sentiasa dikemaskini. Sila ke http://www.pendidikmy.net
Harap maklum. Terima kasih atas sokongan.
www.pendidikmy.net
11 October 2009
MAKLUMAN: Laman Pendidik Versi 3 (www.pendidikmy.net)
24 May 2009
Sesat di hujung jalan
Sumber: Blog M.A.R.N.I
Akhbar hari ini melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran akan mengkaji semula had jumlah mata pelajaran yang diambil oleh calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengenalan sistem 'sijil terbuka' kepada calon peperiksaan SPM sejak beberapa tahun yang lalu adalah dengan tujuan yang sangat baik. Ia memberi peluang kepada pelajar kita memperbaiki keputusan peperiksaan SPM mereka tahun demi tahun tanpa had.
Sistem ini juga memberi peluang kepada calon persendirian mengambil peperiksaan mengikut kebolehan mereka, iaitu tidak terikat dengan jumlah mata pelajaran yang wajib diambil seperti calon-calon yang mendaftar di sekolah.
Selain itu, sistem ini juga memberi peluang kepada para pelajar sekolah mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran lain, selain yang ditawarkan oleh pihak sekolah.
Namun, kecenderungan baru mula timbul apabila para pelajar begitu bersungguh-sungguh mencipta rekod berbelas dan berpuluh A dalam peperiksaan tersebut. Secara peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan kecenderungan pelajar kita mengejar jumlah A yang banyak kerana ia tidak mencerminkan kebijaksanaan mereka (boleh baca tulisan saya di sini).
Justeru, kajian semula tentang sistem ini wajar dibuat memandangkan kesan sampingannya bukan sahaja melibatkan pelajar lain secara keseluruhannya, tetapi juga melibatkan penawaran biasiswa dan kedudukan serta persaingan para pelajar dari sekolah berasrama penuh yang kebanyakannya adalah pelajar bumiputera.
Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Jika sistem lama terbukti sebagai sistem yang terbaik, tidak rugi untuk kita berpatah balik.
Begitu juga dengan PPSMI. Hapuskanlah PPSMI kerana ia bukan satu dasar yang baik untuk pelajar kita.
24 April 2009
Pemantapan Bahasa Melayu Melalui PIPP
Sumber: Saya dan Bahasa
Artikel ringkas ini telah disiarkan oleh akhbar dalam talian Sinar Harian dalam kolum Rencana Komuniti (20 April 2009).
Pemantapan Bahasa Melayu Melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
20/4/2009 12:59:12 AM
Pengirim: Bukhari
Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan juga asas perpaduan terus diberi penekanan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan(PIPP), iaitu membina Negara Bangsa. Kesungguhan untuk melaksanakan fokus ini dijelaskan sebagai cabaran untuk memastikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan.
Beberapa langkah ke arah memperkasakan dan menjulang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu talah digariskan dalam PIPP . Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diberi tanggungjawab penuh untuk memperlengkapkan korpus Bahasa Kebangsaan, menyebarkan maklumat berkaitan Bahasa Kebangsaan, menggalakkan dan mengiktiraf penggunaan Bahasa Kebangsaan, meningkatkan penggunaan dan kemahiran berbahasa dalam Bahasa Kebangsaan, dan meningkatkan bahan bacaan dan rujukan dalam Bahasa Kebangsaan. Agenda tersebut akan disokong melalui usaha penterjemahan buku-buku ilmu dan karya agung yang dikendalikan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Manakala Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) pula berperanan memperbanyakkan penerbitan buku judul umum, penerbitan buku dalam bentuk digital, pengiktirafan terhadap buku-buku terbitan tempatan dan usaha mempromosi buku-buku terbitan tempatan ke pesta-pesta buku antarabangsa.
Langkah-langkah tersebut merupakan lanjutan ke arah memantapkan lagi pelaksanaan beberapa dasar terhadap Bahasa Melayu sebelum ini yang didapati tidak menampakkan keberkesanannya. Umpamanya Dasar Buku Negara dan kadar penterjamahan karya-karya asing ke dalam Bahasa Melayu yang masih belum mencapai tujuannya. Ini diakui dalam fasal 4.1 pelan ini, iaitu dalam konteks Dasar Buku Negara usaha memperkasakan Bahasa Melayu masih belum dapat dibanggakan kerana jumlah penerbitan buku terutama buku judul umum oleh penerbit tempatan secara umumnya masih lagi rendah berbanding dengan Korea Selatan, Jepun dan China. Selain itu, usaha penterjemahan daripada bahasa asing kepada Bahasa Melayu juga masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.
Usaha-usaha menggalakkan penerbitan buku-buku judul umum dan penterjemahan karya asing kepada Bahasa Melayu merupakan suatu yang boleh dibanggakan kerana akan memperbanyakkan bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Melayu. Usaha ini sewajarnya dilihat sebagai satu langkah berterusan untuk memantapkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah. Hal ini sejajar dengan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.
Selain itu, bagi menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu, pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan juga dilaksanakan oleh sekolah, Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, DBP, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk memperkasakan Bahasa Kebangsaan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan merangkumi usaha-usaha untuk mengukuhkannya dalam kurikulum dan kokurikulum, aktiviti pembangunan dan pengembangan Bahasa Kebangsaan, aktiviti kesusasteraan termasuk perkhemahan sastera, sayembara puisi, deklamasi sajak, pertandingan berbalas pantun, syarahan serta pertandingan menulis cerpen dan puisi. Melalui PIPP juga, pembaharuan terhadap gerakan memperkasakan Bahasa Melayu dilakukan dengan menyenaraikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) sebagai salah satu perayaan utama Kementerian Pelajaran Malaysia dan seterusnya dijadikan salah satu daripada perayaan nasional.
Berdasarkan perancangan dan usaha-usaha yang dipaparkan dalam PIPP, jelas usaha memartabatkan Bahasa Melayu tetap menjadi agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal ini kerana Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan bahasa pengantar dalam pendidikan sewajarnya terus diperkasakan dan dimantapkan agar kedudukannya terus utuh dan peranannya sebagai alat perpaduan juga semakin berkesan.
04 April 2009
Cara Surf Website yang di blok di IPT/Sekolah
Sumber: solehpolysas
Bagaimana hendak surf website seperti myspace, youtube, friendster dan banyak lagi di sekolah/IPT?
Dahulu saya juga pelajar IPT, jadi saya tahu bagaimana rasanya jika tidak dapat surf web-web tersebut. Ramai yang nak sangat masuk web tersebut, tetapi guna proxy pun dah xboleh. Tidak mengapa, cuba pula cara ini.
Anda gunakan Ultrasurf, kita lihat masih di block atau tidak. Buat masa ini semuanya tidak ada masalah, sentiasa okey dan anda boleh melayari web-web yang di block oleh sekolah/IPT/Pejabat anda. hehe...
Ini hanya sekadar perkongsian, segala akibat atau keburukan yang dihadapi adalah tanggungjawab anda sendiri. Resiko tanggung sendiri ya..
Download di Ultrasurf.
Cara menggunakannya :
Anda download dahulu file ultrasurf,
kemudian anda extract dahulu, dan klik dua kali pada installer ultrasurf,
selepas keluar gambar seperti ini
Sudah keluar gambar seperti ini?
Jika ya, anda minimizekan windows ultrasurf. Jangan anda close pulak.
Baiklah sekarang anda sudah free untuk surf kemana-mana web dengan selamat.
Selamat mencuba ya..
Tips dibawakan oleh Team 4kit.net
21 March 2009
98% Mengalami Masalah Dalam PPSMI
Sumber: Blog Bahasa dan Budaya
Disesuaikan daripada artikel Muhammad Arif Ismail, HarakahDaily.net| Sabtu 21 Mac 2009 | 24 Rabi’ul Awal 1430 Hijrah|
BANGI, 19 Mac (Hrkh) - Satu kajian yang dilakukan oleh seorang profesor linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia, mendapati 98 peratus guru mengatakan murid mereka mengalami masalah dalam mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Kajian tersebut dijalankan pada tahun 2004 ketika dasar PPSMI baru dilaksanakan dengan melibatkan 900 orang responden yang terdiri daripada guru dan murid di seluruh Malaysia.
“Saya meminta soalan kajian ini diseludup ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia supaya tidak disekat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Walaupun ada bantahan yang mengatakan dasar ini baru dilaksanakan, tidak ada apa faedahnya membuat kajian itu, tetapi ia diteruskan juga.” tegas beliau.
Beliau menyampaikan laporan tersebut dalam Seminar Hala Tuju Dasar PPSMI dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diadakan di Dewan Teater, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) pada 14 Mac lalu.
Hadir sama dalam seminar tersebut adalah Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Tuan Hasni Abbas; Timbalan Pengerusi GMP, Dr Shahril Zain, Naib Pengerusi GMP, Prof. Abdullah Hassan dan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.
Antara hadirin
Antara hadirin
Seminar ini dianjurkan oleh Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa) dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB).
Beliau juga melaporkan dapatan selanjutnya, iaitu “sebanyak 96 peratus guru tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa ramai pelajar mereka semakin berminat terhadap bahasa Inggeris.”
Dan juga beliau menyatakan “94 peratus guru tidak percaya bahawa keputusan peperiksaan murid dalam sains dan matematik yang diajarkan dan diperiksa dalam bahasa Inggeris itu sangat membanggakan.”
Seterusnya, “84 peratus guru menyatakan tidak setuju dengan semua pelajaran mesti diajarkan menggunakan bahasa Inggeris.”
Malah kajian itu menghasilkan dapatan bahawa “75 peratus daripada guru itu tidak bersetuju bahawa belajar sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris itu tidak mendatangkan masalah pemahaman,” katanya.
Kajian beliau juga menunjukkan bahawa “murid yang sudah mahir berbahasa Inggeris di rumah yang mencapai tahap yang baik, dan mereka ini adalah dari bandar dan bukan dari Sekolah Kebangsaan Menengah dari luar bandar. Pada beliau, “sekolah luar bandar inilah lubuk anak Melayu.”
Oleh sebab itu sekolah dalam bandar inilah yang mendapat manfaatnya, bukan sekolah di luar bandar.
Ternyatalah, murid yang malang dan yang tertinggal dalam pelaksanaan dasar ini adalah murid luar bandar. Dan 70 peratus daripada populasi rakyat Malaysia di laur bandar ini adalah kebanyakannya anak Melayu,” kata beliau. (mns)
20 March 2009
Fikir Sebelum Mendukung Biawak Hidup
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
1. Memang banyak bakal guru tidak memahami dasar PPSMI yang diwujudkan pada tahun 2002 dan mula dilaksanakan pada tahun 2003 itu. Mereka ibarat orang ketinggalan komuter.
2. Ada banyak sebab mereka ketinggalan. Di sini dikemukakan dua sebab penting. Yang pertama, mereka sibuk. Yang kedua, mereka berpegang pada amalan bahawa semua yang dari atas itu baik. Hal ini sesuai dengan ajaran yang terserap dalam kalbu mereka. Ajaran itu ialah turuti apa-apa sahaja arahan dari atas dan mengangguk-angguk sahaja apabila mendengar suara orang atas.
3. Bakal guru itu orang muda. Sebahagian besar mereka belum mempunyai maklumat lengkap tentang dasar ini. Maka, eloklah mereka mengakses maklumat yang begitu banyak di Internet. Setelah mereka benar-benar memahami dasar itu serta pro dan kontranya, baru mereka boleh mengisytihar diri sebagai penyokong atau sebaliknya. Itu barulah dikatakan membuat keputusan dengan berdasarkan ilmu.
4. Memang ada orang menyokong sesuatu dasar secara sembarangan. Ada juga orang menyokong sesuatu dasar kerana kepentingan diri. Tidak kurang pula orang menyokong sesuatu dasar kerana takut. Persoalannya, adakah orang muda yang akan bergelar guru termasuk dalam golongan penakut?
5. Sebenarnya, ada perbezaan antara penyokong dengan pendukung. Penyokong ialah penegak dasar. Penyokong berpendirian, berprinsip dan sebagainya. Lazimnya penyokong sanggup mati mempertahankan pendiriannya. Sekadar contoh, Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Al-Maududi, Mariam Jamilah dan Ibrahim Libya berpendirian.
6. Mungkin ada ahli bahasa tidak bersetuju dengan pandangan ini. Mereka mungkin berkata kamus mentakrifkan penyokong sebagai pengikut. Konotasi pengikut ialah orang biasa, bukan penegak dasar. Namun, kamus juga mencatatkan sokong ialah tiang atau tonggak. Penyokong juga bermaksud alat untuk menyokong. Alat itu dapat bernama tiang, tonggak atau topang.
7. Mari kita gantikan perkataan penyokong dengan tonggak. Tonggak asal dasar itu ialah mantan Perdana Menteri. Kini tonggak itu ialah Perdana Menteri. Kalau bukan dia, siapa lagi? Menteri yang berkenaan ialah topang. Topang lain yang mengukuhteguhkan tonggak itu ialah pengurusan tertinggi kementerian yang berkenaan dan para pegawainya.
8. Cuba bayangkan, hari ini mantan Perdana Menteri menyatakan bahawa dia menarik diri daripada menyokong dasar itu. Dia mahu dasar itu dimansuhkan demi ketenangan jiwa senjanya. Jikalau dia berkata demikian, dasar itu akan goyah dan bakal tumbang. Begitulah pentingnya tonggak seperti Perdana Menteri.
9. Lain halnya dengan pendukung. Katakanlah 1,000 pendukung di Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa mereka berhenti menjadi pendukung. Mulai saat itu mereka masuk dalam kelompok pembantah. Perbuatan mereka bagai sejuta orang kanak-kanak menghembuskan angin daripada mulut untuk menumbangkan tugu negara. Oleh sebab itu, untuk menggugat dasar kita perlukan gelombang besar. Gelombang besar itu kini berupa gabungan pelbagai unsur. Antara lain namanya termasuklah surat terbuka, memorandum, saman, gerakan, laporan kajian, perhimpunan dan kongres.
10. Pendukung rendah sedikit tarafnya. Kebanyakan pendukung ialah pelaksana. Pelaksana mungkin menopang dan mungkin juga tidak menopang dasar itu. Sebagai bakal guru, pelajar yang berkenaan mesti mendukung sesuatu dasar walaupun dasar itu bagaikan biawak hidup yang siap untuk mencakar belakang mereka. Oleh sebab mereka sendiri memilih untuk menjadi guru, mereka sudah menandatangani perjanjian dan mereka sudah melafazkan ikrar, maka mereka hendaklah menepati janji dan ikrar itu. Mereka kenalah mendukung biawak hidup.
11. Pendukung pun ada kategorinya. Pendukung totok seakan-akan tonggak atau topang juga. Lihatlah ibu tulen mendukung bayi. Tidak akan dilepaskannya bayi daripada dukungannya kendatipun nyawanya terancam. Pendukung seperti ini tidak banyak.
12. Ada pula pendukung hipokrit. Jangan lupa, hipokrit itu bersinonim dengan munafik. Apabila ada faedah atau habuan, si hipokrit bersungguh-sungguhlah mendukung dasar itu. Jumlah mereka sedikit tetapi pengaruh mereka besar. Jikalau dasar itu dimansuhkan, mereka akan gulung sehelai atau semua tikar.
13. Yang banyak ialah pendukung kasta rendah. Jumlah mereka banyak, sangat banyak. Mereka mendukung dasar itu tanpa rela dengan pengawasan yang rapi oleh pemantau atau pemerhati. Di belakang pemantau atau pemerhati, mereka letakkan dasar itu di atas lantai. Dalam golongan ini termasuklah juga pendukung yang mementingkan habuan. Mereka mempertontonkan dukungan apabila ada habuan. Jikalau tiada habuan, dukungan itu dikesampingkan.
14. Ada sekumpulan lagi pendukung yang tidak berapa faham sebab-sebab mereka mendukungnya. Apa-apa yang orang atas buat mereka ikut atau kata ya, ya, ya. Orang lurus bendul itu pandainya mengangguk sahaja.
15. Tidak dinafikan ada juga pendukung itu memang topang. Mereka dalam golongan ini hebat. Hebat itu dapat positif dan dapat juga negatif. Kelompok hebat yang pertama adalah seperti dalam senarai orang berprinsip di atas. Mari kita tambah senarai itu. Hitler, Yahudi dan George Bush hebat. Muammar al-Qadhafi dan Saddam hebat. Ustaz Ashaari Muhammad, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Karpal Singh pun hebat. Baka guru dalam kelompok mana? Kita khuatir bakal guru termasuk dalam kelompok Bush. Waduh, Bush sudah dibaling dengan kasut!
16. Akhirulkalam, fahamilah dasar itu secara mendalam. Fahamilah pertentangan dasar itu dengan Perlembagaan, Akta Pendidikan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Fahamilah implikasi dasar itu terhadap martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Fahamilah implikasi dasar itu terhadap masa hadapan generasi muda kini dan generasi yang akan datang.
17. Bahan untuk memahami perkara-perkara ini melambak di Internet. Surat terbuka ada, memorandum ada, laporan kajian ada, artikel sanggahan Dato’ Baha Zain ada, tulisan panjang sanggahan Dr. Shaharil ada, laporan polis ada, usul PEMBINA ada, resolusi kongres ada, e-buku Mengapakah Kami Bantah ada dan bermacam-macam lagi ada. Bakal guru berijazah atau pemilik SPM dengan deretan A pasti mampu mengakses banyak lagi sumber lain tanpa perlu disuap-suap. Telitilah bahan-bahan itu, bukalah minda dan kemudian tetapkan pendirian dengan berdasarkan ilmu pengetahuan.
13 March 2009
Hati-hati guna Facebook, MySpace...
Sumber: Utusan Malaysia |10/03/09|
Tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai tempat memperjuangkan wadah dan pemikiran masing-masing. Yang penting, ia percuma dan itulah yang saya ingin kongsikan.
Lamab web sosial sekarang tidak ubah seperti blog. Dengan menggunakan umpan yang paling senang iaitu percuma, berduyun-duyun pengguna Internet akan berusaha untuk mendapat satu account bagi diri masing-masing.
Laman web sosial yang sedang meletup sekarang ialah Facebook.
Sebenarnya, ada sebahagian dark side yang tidak diketahui oleh jutaan pengguna Internet di dunia ini mengenai Facebook. Ini adalah satu teori konspirasi yang telah pun menjadi fakta benar.
Jika ada antara kita yang telah meletakkan butir-butir peribadi sebenar dalam Facebook, maknanya tiada apa lagi yang kita boleh lakukan.
Sedarkah kita siapa sebenarnya di belakang Facebook? Sedarkah kita bahawa semua data yang kita berikan itu telah pun disimpan oleh pihak perisikan antarabangsa?
Mereka boleh mengakses semua butiran mengenai kita dan dengan mudah mendapat semua butir diri tanpa perlu bertanya kepada orang lain. Dan yang lebih menyedihkan lagi, ramai daripada kita terutamanya rakyat Malaysia sudah memberikan 100 peratus informasi dan butiran diri mereka dengan tepat.
Dalam keghairahan yang kita sendiri wujudkan terhadap Facebook, kita sedikitpun tidak membaca dasar ataupun polisi yang Facebook letak dalam laman web mereka. Yang kita tahu hanyalah percuma dan sikap ramah dan jujur kita itulah yang boleh memakan diri kita sendiri sebenarnya.
Bagi pengguna kebanyakan, mungkin ia tidak akan membawa keuntungan kepada pihak itu tetapi bagi mereka yang mempunyai title sebagai professional seperti doktor, peguam, profesor, saintis dan lain-lain, mereka inilah yang dicari-cari.
Pernahkah kita atau mereka fikirkan mengenai risiko yang mereka letakkan ke atas diri mereka sendiri?
l Semua data mengenai aktiviti dimasukkan.
l Semua data mengenai kejayaan diri dimasukkan.
l Alamat, bandar, nombor telefon, kelab, pekerjaan, rekod pendidikan, minat, aktiviti harian, habis diberikan begitu sahaja.
Data-data ini akan disimpan oleh pihak perisikan sebagai data yang boleh dijadikan statistik untuk kegunaan mereka pada masa depan.
Malah, maklumat mengenai keluarga juga dimasukkan dengan selamba.
Bagi saya, bersosial di laman web tidaklah salah, tetapi berhati-hatilah dengan semua privasi diri sendiri. Jangan sesekali memberikan maklumat penting. Palsukan semua maklumat yang dirasakan tinggi privasinya.
Maklumlah.. rakyat Malaysia inikan cepat terpengaruh. Apalagi dengan benda percuma sebegini.
MAN MAD
Kuala Lumpur
DG2941 vs DG32
Sumber: Blog dg2941
Luahan dalam blog NUTP
crkb said...
Tawaran perlantikan ke DG41 adalah pada P1T13 berkuatkuasa 2008. Jadi pada Julai 2009 tangga gaji beliau adalah di P1T14. Untuk pengetahuan umum, beliau mula mengajar pada tahun 1996 dan dilantik ke DG32 pada 2006.
Perbandingan dengan kes saya, dilantik ke DG41 pada 1/9/2004 (rasanya sama kes dengan Sdra/i emdsedau, yg genap 10 tahun dlm DG29 pada 1997, belajar sepenuh masa di Universiti dan diarah berkhidmat di sekolah menengah) pada bulan Julai nanti baru berada di P1T10.
.
12 March 2009
SPM: Pelajar Maahad Perempuan dapat 20A
tapi mungkin tak masuk dalam senarai kot...
sebab sekolah Agama di bawah kerajaan Negeri Kelantan (YIK) kan...
Sumber: Pinkturtle
SPM: Pelajar Maahad Perempuan dapat 20A
KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Normadiha Nik Mohamad Kamal, 18 mendapat 20A (19A1, 1A2) dipercayai pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan.
nelayan dari Kampunug Sabak, Pengkalan Chepa menerima slip keputusan tersebut daripada anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah di sekolah tersebut hari ini.
http://www.harakahdaily.net
Menurut seorang ustazah yang mengajar di maahad Muhammadi Perempuan yang saya hubungi sebentar tadi ,beliau mengatakan ramai wartawan datang ke sekolahnya pagi ini termasuk dari Bernama,The Star,berita harian metro dan yang sewaktu dengannya.Dan setakat yang dia tahu Nik Normadiha adalah pelajar terbaik bagi negeri kelantan dan peringkat Kebangsaan bagi tahun 2008 .
.........................................
Kan dah kata tadi,confirm Nik Normadiha tak tersenarai dan tidak di hebohkan dalam akhbar2 arus perdana yang merapu ni… walaupun dapat 34 A sekalipun ,mana ada dalam senarai untuk dihebohkan…
kalau tak caya tengok laporan bernama di bawah…
paling-paling tinggipun 16A … 2 orang 15A…
Kalau tak silap apa yang cikgu-cikgu beritahu tadi , Di Sekolah-sekolah Agama bawah YIK di kelantan 17A 18A pun ada. berapa ramai tak pasti.. kalau 15A ke bawah tu tak payah ceritalah… boleh rujuk pihak Yayasan Islam Kelantan…
6,277 Calon SPM Dapat Gred A
PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) — Sejumlah 6,277 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 5,060 calon pada 2007.
Daripada jumlah itu seramai 1,676 memperoleh gred 1A dalam semua mata pelajaran berbanding 892 pada tahun sebelumnya.
Ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata 181,416 atau 46.7 peratus calon lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding pada 2007 iaitu seramai 175,452 calon.
“Daripada kumpulan calon cemerlang pula, tiga pelajar berjaya memperoleh gred 1A dalam semua 16 mata pelajaran yang diambil, dua memperoleh 15 1A dan enam pelajar mendapat 14 1A,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini.
Beliau berkata dua daripada pelajar yang memperoleh 16 1A itu dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan Selangor dan seorang lagi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teong Hua, Sibu, Sarawak.
Seramai 442,936 calon menduduki SPM 2008 berbanding 439,255 calon pada 2007 manakala bagi calon istimewa pula, seramai 435 calon menduduki peperiksaan itu berbanding 355 calon pada tahun sebelumnya.
Di kalangan pelajar istimewa, calon rabun penglihatan Mohd Shafiq Sahdon dari Sekolah Menengah Sains Kluang, Johor memperoleh 12 A manakala pelajar cacat pendengaran Aghilan Narayanan dari SMK Jalan Bukit, Kajang Selangor memperoleh 11 A.
Alimuddin berkata pencapaian daripada aspek mata pelajaran teras iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu menunjukkan peningkatan manakala Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam menunjukkan sedikit penurunan.
Beliau berkata seramai 60,902 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred 6C dalam semua mata pelajaran yang diambil dan seramai 2,589 calon gagal atau mendapat gred 9G.
Bagi calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119, seramai 182,270 calon berjaya dianugerahkan Cambridge Assessment (CA) dan daripada jumlah itu 12,645 memperoleh gred 1A atau 2A dan 87,383 calon memperoleh sekurang-kurangnya gred 6C.
Calon yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan pula seramai 87,355 dan seramai 30,046 berjaya mendapat sijil London Chambers of Commerce and Industry (LCCI).
Seramai 20,347 calon juga layak mendapat pengecualian menduduki kertas Certified Accounting Technicial One (CAT 1) daripada The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) England.
08 March 2009
Memorandum Membantah PPSMI
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun
08/03/2009
(Puji-pujian dikeluarkan daripada teks untuk bacaan umum)
MENGAPA PATIK SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI
Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:
1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius. Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.
2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)? Tidak mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M.Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falasfah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?
3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?
4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun! Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.
5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPMSI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu. Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan. Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi. Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.
7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu. Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.
Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.
8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.
9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.
10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai ‘otak’ atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memafami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].
HASIL KAJIAN
11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar. Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang menundum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.
12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.
APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?
13. Perkara yang sangat merungsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu ‘sudah berjaya’ atau ‘akan berjaya’, para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C). Kalau cara yang ‘mengelat’ ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.
GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS
14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.
15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.
16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk memperbaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (‘foreign language’) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V. Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.
17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.
Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.
Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalaian mengadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.
Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wabillah hitaufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Patik sekalian yang berdatang sembah:
tt-memorandum-a
10 rabi’ul Awal 1430 bersamaan 7 Mac 2009.
..........................
Sumber: http://profabdullah1.wordpress.com/
24 February 2009
Menghimpun Sokongan Supaya PPSMI dimansuhkan
Sumber: Utusan Pengarah,IPM UPSI
24/02/2009
GMP dalam jarayawara bersama wartawan di Johor Bahru pada 22 Februari 2009.
Mengatur strategi menjelang 7 Mac 2009
Sekarang saya faham, kata wartawan yang datang bertanya. GMP bukanlah menolak bahasa Inggeris. Cuma jangan diajarkan sains dan matematik dalam bahasa yang tidak difahami oleh murid … mungkin juga gurunya.
Ya, betul pelik. Bertambah pelik pula prestasi peperiksaan mereka sangat baik!
Ramai dalam gelap
Hadirin penyokong tetap ramai. 3,000! Cuma mereka lebih selesa berada dalam ‘gelap.’
Apabila Sasterawan Negara merayu …
Lalu, aku sayu dan aku pilu;
lalu, aku ragu dan aku malu …
Buah ranum pada tangkai;
bahasa gugur dari hati,
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?
Lalu pemimpin angkuh berkata …
Aku apa peduli
Kalaupun Shakespear turun ke bumi!
Lalu Sasterawan Negara bersumpah lagi …
Jangan berikan undi,
pada mereka yang menghina bahasa sendiri.
Jangan diundi pemimpin yang …
bertelinga satu,
berlidah dua.
Inggeris maju dengan bahasa ibundanya …
Korea maju dengan bahasa ibundanya
China, Taiwan, Jepun …
DAP tetap memperjuangkan bahasa ibunda bersama GMP.
YB Dr. Boo Cheng How, ADUN Kulai
Jangan diharap padi seberang,
Entah dapat dimakan entah tidak.
Jangan diharap bahasa orang.
Entah difaham entah tidak.
Tuan Haji Muhammad Sabu
19 February 2009
Tidak celik huruf tetapi mampu mengikuti PPSMI?
Sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/
Baca juga catatan Puan Ainon di http://universitipts.com/index.php/site/comments/gmp_di_parlimen/
Syabas, Puan. Jikalau saya berada di tempat puan, saya pun sukar mengawal amarah. Saya berpesan pada diri saya sendiri: teruskanlah perjuangan sambil berusaha meningkatkan kesabaran.
Langkah YB Bung Mukhtar panjang sebab Kinabatangan tempatnya. Dia ada kuasa, wang dan pengikut yang memudahkannya bergerak. Saya tabik padanya kerana dia memahami keupayaan penduduk di kawasannya.
Kebetulan, saya juga mengetahui serba sedikit keupayaan murid-murid di kawasannya. Saya pernah berkubang di sana selama lima tahun. Tahulah saya serba sedikit denai di Batu Putih, Kuamut, Karamuak, Minusuh, Pinangah dan lain-lain. Tahulah juga saya serba sedikit hutan, sungai dan tasik ladam seperti di Sukau. Kenal juga saya kawan-kawan YB yang dalam PRU dahulu menongkah pasang seperti rakan saya Tuan Haji Ahmad Abdul dan rakannya Dr. Hasbullah Haji Taha.
Kebetulan, saya pernah menggubal kurikulum dan bertugas sebaga penggerak program yang berkaitan dengan usaha mencelikhurufkan murid terutama di kawasan pedalaman di negerinya. Jadi, maklumlah juga saya akan keupayaan murid-murid sekolah rendah di kawasannya walaupun saya tidak sempat melakukan kajian.
Sehubungan dengan hal itu, saya menghormati YB kita itu kerana “dia sudah membuat kajian di kawasannya, di mana hasil kajian itu semua orang di Kinabatangan mahu supaya PPSMI diteruskan.” Syabas, YB!
Jikalau ada kesempatan, tanyalah YB itu akan keupayaan murid-murid di kawasannya untuk mengikuti PPSMI. Dia wajar menjawab pertanyaan ini kerana, setahu saya, terlalu banyak murid yang mengikuti PPSMI itu tidak celik huruf.
Jadi, benarkah murid-murid mahu PPSMI? Mampukah murid-murid itu mengikuti PPSMI? Gurukah yang berkata murid mereka mahu PPSMI? Ibu bapakah yang berkata anak mereka mahu PPSMI? Atau hanya YB sahaja yang berkata begitu? Sebagai pengkaji, kita percaya YB dapat memberikan penjelasan yang memuaskan. Kita ingin tahu juga.
url sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/02/tidak-celik-huruf-tetapi-mampu.html
09 January 2009
Berdiri tidak sama tinggi; duduk pun tidak sama rendah!
Daripada Blog Utusan Pengarah, Institut Peradaban Melayu, UPSI7 Januari 2009.
Apabila bahasa Inggeris digunakan bagi mengajarkan sains dan matematik, sekalipun dengan persetujuan penduduk luar bandar, maka situasi yang sangat memudaratkan penduduk luar bandar akan wujud.
Kanak-kanak dari bandar, lebih-lebih lagi yang menuturkan bahasa Inggeris di rumah seperti dalam golongan kelas menengah akan lebih mudah belajar. Pengetahuan dan kemahiran bahasa Inggeris mereka dapat memudahkan proses mereka belajar.
Kanak-kanak luar bandar, termasuk anak-anak penduduk pekan kecil, pinggir bandar dan kelas menengah yang tidak menuturkan bahasa Inggeris di rumah akan terpaksa belajar sebuah bahasa lain dahulu sebelum dapat belajar.
Ini bermakna dasar pendidikan begini secara sistematis menyulitkan keadaan untuk kanak-kanak luar bandar dan yang tidak mengetahui bahasa tersebut.
Dijangka, dasar ini akan secara sistematis mencicirkan kanak-kanak luar bandar tersebut.
Bahasa yang paling berkesan mengajarkan ilmu adalah melalui bahasa ibunda.
31 December 2008
PPSMI: NAKHODA BANGSA YANG KELIRU
Sumber: Blog Tanah Nurani
Apakah selepas ini PPSMI ini akan diteruskan setelah berjaya melalui cabaran awal? Sekiranya itu yang berlaku, apakah kaedah yang akan diguna pakai? Bagaimana pula dengan pelaksanaannya? Adakah tindakan ini mengembirakan banyak pihak atau menambahkan lagi luka dan derita bangsa?
>Mungkin ada yang melihat hal ini kecil, remeh atau demi persaingan global. Tetapi bagaimana ukurannya dalam hal-hal roh, maruah dan jati diri bangsa?
Nampaknya slogan 'Malaysia Boleh' yang dicanangkan oleh pemimpin negara rupa-rupanya TIDAK BOLEH dilaksanakan dalam bidang ilmu dan pendidikan negara di Malaysia. 'Malaysia Boleh' hanya slogan sesuai untuk bidang kebudayaan, sukan, politik dan ekonomi sahaja. Akhirnya impian kerajaan untuk melihat nasib Bahasa Melayu terus layu di persada ilmu termakhbul juga. Sayang seribu kali sayang.
Terima kasih kerajaan Malaysia dan terima kasih UMNO kerana berjaya melunaskan impian untuk menguburkan Bahasa Melayu. Selepas ini, jangan lupa untuk menutup segera Dewan Bahasa dan Pustaka. Tutup juga akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Selepas itu, jangan lupa pinda perlembagaan perkara 152 dan 153 sekali. Tukarkan mana-mana istilah dan perkataan yang ada istilah Melayu kepada istilah Yahudi atau Inggeris. Kalau boleh, tukarkan juga nama bangsa Melayu dalam kad pengenalan kepada bangsa Inggeris.
14 October 2008
DG2941 kesudahan yang mengecewakan?
Sumber: Blog 2941
Mon Oct 13, 2008 10:00 AM
Mon Oct 13, 2008 1:15 AM
Kerajaan sudah membuat kesilapan paling besar semasa membuat kenaikan gaji dulu yang tidak setara.. Kenaikan 5% untuk guru siswazah.. 10% untuk guru bukan siswazah dan ada golongan yang dapat kenaikan sehingga 25%.... Maka timbullah masalah gaji DG32 yang lebih tinggi dari gaji guru siswazah dan sebagainya.. Setelah membuat tindakan yang maha bodoh itu maka berlumba-lumbalah pula sekarang... pihak NUTP dan sebagainya untuk menutup kelemahan ini.. Macamana korang adjust pun masalah ni tak akan selesai selagi target korang untuk merapatkan jurang perbezaan antara kelas pendidikan... Kalau memang begitula maka terimalah yang gaji guru 32 lebih banyak dari guru DG29 yang melanjutkan pelajaran dan baru dapat DG41... Kalaula memang nak rapatkan jurang betul.. tak ada pula pihak yang mempertikaikan elaun-elaun yang dinikmati oleh DG48 dan DG44 yang secara relatifnya lebih tinggi berganda-ganda dari DG41..
Lagi... bekerja dalam kerajaan yang sama, kelulusan yang sama namun gaji, elaun dan syarat kenaikan pangkat yang berlainan..Pelik..Pelik.. Patutla golongan pendidik banyak yang cuba untuk memilih kerajaan yang lain atas alasan tangga gaji dan syarat kenaikan pangkat mereka yang berlainan dari pekerja kerajaan Barisan Nasional...
Penulis :Bukan Guru BM
06 October 2008
Kenapa berblog?
Cuti Aidil Fitri ini telah memberi kesempatan kepada saya untuk mengemaskini laman Pendidik. Setelah sebulan tidak dikemaskini walaupun saya selalu menjenguk dan meneliti ruang 'sembang santai'. Sebulan tidak terasa berlalu kerana beberapa tugasan lain yang lebih menuntut tumpuan saya.
Salam Aidil fitri, maaf zahir dan batin.