www.pendidikmy.net
08 July 2009
Debaran PPSMI...
12 June 2009
Cadangan wajib lulus MUET syarat masuk universiti
Sumber: Malaysiakini |11 Jun 2009|
Pemuda Umno mencadangkan supaya pelajar diwajibkan lulus ujian bahasa Inggeris MUET sebagai syarat memasuki universiti tempatan.
"Ia bertujuan untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah dan universiti," kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.
Ketika ini, katanya, 70 peratus pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus ujian bahasa Inggeris dan 30 peratus lagi gagal dalam subjek itu.
"Mereka yang gagal itu kerana lemah dalam kefahaman bahasa Inggeris," katanya.
Pada masa ini, para mahasiswa hanya diwajibkan lulus MUET semasa pengajian untuk layak mendapatkan ijazah.
Mengenai pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Khairy berkata, Pemuda Umno akan mendapatkan hasil kajian dari kementerian pelajaran mengenainya.
Katanya, Pemuda Umno perlu menlihat kajian yang lebih saintifik sama ada dari kumpulan yang menyokong atau menentang PPSMI.
Perlu kajian berkecuali
"Kita perlukan kajian yang berkecuali, kajian yang menyokong dan menentang dasar itu mungkin prejudis.
"Kelemahan PPSMI ialah guru-gurunya tidak dapat menyampaikan maklumat dalam bahasa Inggeris kepada pelajarnya di kawasan tertentu, kawasan luar bandar umpamanya," katanya.
Mengenai cadangan mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM, Khairy berkata, walaupun bersetuju tetapi Pemuda Umno tidak mahu ia dibuat secara terburu-buru.
Khairy berkata, kementerian pelajaran mesti menyediakan cukup guru bahasa Inggeris untuk mengajar subjek tersebut.
"Kita perlukan tenaga pengajar yang cukup dan terlatih dan kalau tidak cukup, boleh mengambil guru dari Australia dan England.
"Boleh juga mengambil guru bahasa Inggeris yang sudah bersara untuk mengajar subjek tersebut," katanya selepas mesyuarat exco pergerakan itu di ibunegara hari ini.
Khairy juga berkata, kementerian pelajaran perlu mencari kaedah untuk mempertingkatkan pendedahan kepada subjek bahasa Inggeris.
Kaedah itu, katanya, termasuk jam pertuturan yang lebih banyak dan lebih menyeluruh lagi.
02 June 2009
Syor jurnal guna bahasa Melayu
Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |31 Mei 2009|
PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) menyambut baik cadangan Menteri Pengajian Tinggi supaya pensyarah universiti menulis buku, jurnal dan sebagainya dan menjadi antara kriteria utama bagi kenaikan pangkat.
PLM sejak dulu lagi mencadangkan perkara serupa. Perkara ini sepatutnya dijadikan Petunjuk Prestasi Utama, PPU atau KPI bagi semua pensyarah. Cuma pensyarah perlu digalakkan menulis kepakaran bidangnya dalam bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa Inggeris semata-mata kerana hanya dengan cara itu ilmu tinggi berbahasa Melayu akan bertambah.
Jika terus-terusan mereka menulis hanya dalam bahasa Inggeris, maka kepustakaan bahasa Inggeris yang sudah banyak itu saja yang bertambah dan semakin kaya, sedangkan keluhan akan kurangnya bahan ilmiah berbahasa Melayu tidak diubati walaupun disedari sejak lama dan yang mengeluh itu juga mungkin pihak yang sama.
Bahasa hanya akan terangkat jika menjadi bahasa ilmu dan kepustakaannya melimpah. Justeru peranan pensyarah, profesor dan pakar bidang amat relevan bagi memperbanyak lagi bahan rujukan berbahasa Melayu khususnya di negara ini.
Merit lebih juga sepatutnya diberi untuk usaha sedemikian bagi kenaikan pangkat kepada profesor madya dan profesor. Malah untuk lebih berkesan lagi bagi setiap penulisan yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris hendaklah mewajibkan ada terjemahannya dalam bahasa Melayu.
Usaha itu juga perlu didukung semua badan penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia, Institut Teknologi Nuklear Malaysia dan lain-lain.
Dewan Bahasa dan Pustaka juga mungkin perlu menghidupkan kembali unit terjemahannya yang begitu aktif dan berkesan pada satu ketika dulu yang dapat menghasilkan begitu banyak bahan ilmu berbahasa Melayu.
KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.
28 May 2009
Lanjut 6 bulan PPSMI, ahli akademik marah!
Sumber: Harakahdaily |27 Mei 2009|
Tindakan kerajaan melanjutkan tempoh sehingga enam bulan sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan kemarahan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia China, Universiti Pengajian Asing Beijing, Prof. Dr Awang Sariyan.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily mempersoalkan sehingga bila kerajaan akan yakin hasil pemikiran dan kajian ahli ilmu sehingga memerlukan tempoh yang begitu lama untuk membuat keputusan mengenai dasar tersebut.
"Sebenarnya saya sudah jemu untuk memberi komen mengenai isu ini. Kami di kalangan pejuang bahasa sudah kering tekak dan sudah memberi semua hujah. Sudah bertimbun kertas kerja, memorandum dan buku yang kita kemukakan. Adakah itu tidak cukup untuk kerajaan membuat keputusan?
"Apa yang meragukan ialah kajian Kementerian Pelajaran Malaysia yang memilih-milih responden untuk menguatkan hujah mereka utk meneruskan PPSMI. Nasib dasar di negara kita samalah dengan kisah Yunani purba iaitu kisah seorang putera raja yg dihukum menolak batu ke puncak bukit. Setiap kali batu sampai di puncak, dewa menekan dari atas dan batu pun melorot balik. Ditolak lagi, begitu juga jadinya hingga akhirnya tak pernah lepas batu itu ke sebelah lereng. Kerana apa? Kerana ada kuasa yang menekan usaha melepaskan batu ke lereng satu lagi,"tegasnya.
Jelas Awang, kisah tersebut samalah dengan nasib dasar-dasar di negara ini seperti dasar ekonomi, dasar kebudayaan, dasar pendidikan dan dasar bahasa.
Beliau berpandangan dasar tersebut ibarat batu yang ditolak ke puncak bukit iaitu yang hampir berjaya atau separuh berjaya ditolak ke puncak, ditekan ke bawah semua dan berulang kali.
"Itulah tragedi dalam negara atau masyarakat yang tidak melandaskan sesuatu keputusan pada ilmu dan pemikiran yang jelas. Di satu sisi kita bercakap tentang dasar pembinaan jati diri bangsa dan negara termasuk melalui dasar bahasa, dasar pendidikan serta dasar kebudayaan.Tetapi di sisi lain keputusan tidak selaras dengan dasar, lebih condong kepada asas pragmatisme melulu,"katanya.
Sementara itu Ahli Jawatan Kuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Suhaizan Kaiat berpandangan jika diimbas kembali janji Menteri Pelajaran sebelum ini, Dato' Seri Hishamudin Hussin, kajian mengenai dasar tersebut telah selesai.
Namun katanya, apabila menteri bagi kementerian tersebut bertukar kajian bagi dasar tersebut masih dilanjutkan sedangkan pelbagai kajian telah dilaksanakan termasuk enam rundingan meja bulat.
Sehubungan itu katanya, sekiranya pada Disember nanti baru keputusan bagi dasar tersebut akan diputuskan, ia akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk penyediaan buku-buku teks dan rujukan
24 May 2009
Lagi Tokoh Sastera Tolak PPSMI
Sumber: Malaysiakini |23 Mei 2009|
Walaupun tersohor dan disebut-sebut sebagai calon Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan mungkin mengalami laluan sukar mencapainya.
Beliau semakin lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) - hari ini di depan 200 penulis muda dunia sastera Melayu.
"Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara," katanya dalam ucap utama di perhimpunan terbesar sasterawan muda Malaysia.
"Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal.
"Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka.
"Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini.
"Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik."
Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa – menyampaikan ucapannya berjudul 'Arah dan Cabaran Penulis Muda' di Melaka pagi ini.
Dalam ucapannya kira-kira sejam, beliau menegur ahli politik Melayu dalam kerajaan yang menjadi pencetus utama timbulnya rasa tidak yakin terhadap bahasa mereka sendiri.
"Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa bangga (terhadap) bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa," katanya.
Anwar berkata, sikap pemimpin tersebut digambarkan melalui penggunanan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi dan tidak bersungguh-sungguh membina jati diri kolektif pelajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang tunggal.
"Mereka mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid (pertama) berbanding bahasa bangsanya," katanya.
Teks ucapannya juga boleh diperolehi di blognya.
Kritikan Anwar hari ini yang pertama dilontar di depan khalayak sebesar itu, selain wawancara di sebuah tabloid politik dan dialog-dialog kumpulan kecil masyarakat sastera.
Walaupun pelbagai pihak dan tokoh budaya sebelum ini lantang menuntut pemansuhan dasar kontroversi itu – sehingga membawa kepada demonstrasi besar 7 Mac lalu – Anwar dilihat tidak lantang sebelum ini.
Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus.
Selain Anwar, tokoh-tokoh lain yang disebut layak untuk Sasterawan Negara penyair Datuk Baharuddin Zainal dan novelis Zaharah Nawawi.
Malaysiakini difahamkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 selama tiga hari sejak pagi tadi akan merumuskan satu resolusi membantah dasar PPSMI.
Awal bulan ini, kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup termasuk Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain menolak dasar kontroversi itu - pertama kali gabungan tokoh besar budayawan Melayu secara terbuka dan berani menentang dasar kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelajaran dijangka akan mencapai keputusan berhubung PPSMI dalam tempoh enam bulan lagi, lapor laman web The Star petang ini.
Timbalan menterinya Dr Puad Zarkashi berkata keputusan itu diambil bagi memastikan para pelajar tidak mengalami keadaan rugi semuanya, apabila gagal menguasai Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
09 May 2009
Sains, Matematik dalam BM
Sumber: Utusan Malaysia |9 Mei 2009|
Oleh HARIS FADILAH AHMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LIPIS 8 Mei - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi (gambar) secara peribadi menyokong usaha mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu.
Tegas beliau, kedua-dua subjek itu harus diajar semula ke dalam bahasa Melayu bagi memartabatkan semula bahasa kebangsaan selain meningkatkan jati diri generasi muda.
''Kita bimbang pada masa akan datang generasi hari ini khususnya orang Melayu akan tercari-cari identiti dan budaya bangsa yang hilang akibat mengagungkan bahasa Inggeris," katanya.
Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilanjutkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan hasil kajian yang telah dibuat.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya bersedia untuk 'menunggu lebih lama' bagi memastikan keputusan yang akan dibuat tidak flip flop.
Menurutnya, hasil kajian itu hanya akan dibentangkan ke Kabinet apabila beliau berpuas hati.
Selasa lalu, lima Sasterawan Negara buat pertama kalinya menyatakan pendirian bersama menolak PPSMI, malah dua daripada mereka iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Muhammad Salleh sedia ditarik balik gelaran berkenaan jika keadaan memerlukan.
Mengulas lanjut, Puad memberitahu, bagaimanapun, segala keputusan berhubung PPSMI akan diumumkan oleh Kabinet selepas kajian mendalam berhubung perkara itu selesai.
''Satu pengumuman penting mengenai PPSMI akan dibuat tidak lama lagi setelah mengambil pandangan semua pihak termasuk intelektual Melayu dan pejuang bahasa.
"Saya mahu isu PPSMI ini segera diselesaikan kerana penangguhan akan merugikan semua pihak terutama generasi muda hari ini," katanya.
Beliau menambah, segala keputusan yang dibuat oleh Kabinet berhubung PPSMI tidak akan menyebabkan perbelanjaan yang dikeluarkan selama ini sebagai membazir.
''Peruntukan besar untuk pengurusan dan pembelian peralatan komputer tidaklah membazir kerana ia masih boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.
05 May 2009
5 sasterawan negara tolak PPSMI
Sumber: Malaysiakini |5 Mei 2009|
Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.
Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA pagi ini.
Alasan-alasan itu, antaranya:
- Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.
- Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".
- Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.
Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya. [Baca teks penuh di sini]
Buang gelaran rasmi
Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".
"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.
Sementara Muhammad pula berkata: "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya."
"Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya.
"Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?" soalnya.
"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."
Surat kepada PM
Muhammad juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan A Samad sebelum ini yang lebih ke depan.
"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau suratkhabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi.
"Saya pernah siapkan surat kepada (bekas perdana menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu.
"Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak A Samad untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Muhammad berkata:
"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu, silakan," katanya, seorang penulis terkenal dengan esei budaya.
Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.
Akan terus lawan
a samad saidA Samad (foto kanan) menambah, kesemua sasterawan negara "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.
"Kita tidak boleh harap semua sasterawan negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain.
"Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," kata pengarang itu yang terkenal dengan novel Salina.
Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, A Samad memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi "perlawanan" yang lebih hebat "jika tidak bersedia tunduk" pada desakan membatalkan PPSMI.
"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut.
"Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."
Muhammad pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.
Pertikai meja bulat
anti ppsmi group pc 050509Muhyiddin semalam berkata kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.
Mengulas kenyataan menteri itu, Muhammad mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.
"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa orang bersetuju.
"Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap bahasa kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah.
"Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi, macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.
Kejutkan dunia sastera
ppsmi march 070309 crowd.jpgAwal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.
Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.
Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.
Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.
Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.
27 April 2009
Berkatalah murid tentang PPSMI
Pandangan seorang murid sekolah menengah berkaitan isu PPSMI. Telitilah hujahnya.
Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |27 April 2009|
PPSMI elak dipolitikkan
KERTAS kerja Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sudah sedia untuk dibentangkan dan hasilnya memang dinantikan. Banyak pihak menyokong tidak kurang membangkang PPSMI.
Kadang-kadang apabila politik menjadi keutamaan, isu PPSMI yang menjadi penentu masa hadapan generasi diperjudikan begitu saja tanpa melihat akibat dan kesannya.
Pada pandangan saya, kerajaan sewajarnya membuat pertemuan meja bulat dengan semua pihak yang menyokong dan membangkang PPSMI. Panelnya daripada wakil pelajar sekolah supaya mereka boleh membuat keputusan tepat.
Saya khuatir jika suara membangkang menenggelamkan suara yang menyokong akan tergambar bahawa seolah-olah tiada sesiapa menyokong PPSMI ini.
MOHD SYAMEER FIRDAUS,
Pelajar sekolah menengah.
24 April 2009
Pemantapan Bahasa Melayu Melalui PIPP
Sumber: Saya dan Bahasa
Artikel ringkas ini telah disiarkan oleh akhbar dalam talian Sinar Harian dalam kolum Rencana Komuniti (20 April 2009).
Pemantapan Bahasa Melayu Melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
20/4/2009 12:59:12 AM
Pengirim: Bukhari
Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan juga asas perpaduan terus diberi penekanan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan(PIPP), iaitu membina Negara Bangsa. Kesungguhan untuk melaksanakan fokus ini dijelaskan sebagai cabaran untuk memastikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan.
Beberapa langkah ke arah memperkasakan dan menjulang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu talah digariskan dalam PIPP . Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diberi tanggungjawab penuh untuk memperlengkapkan korpus Bahasa Kebangsaan, menyebarkan maklumat berkaitan Bahasa Kebangsaan, menggalakkan dan mengiktiraf penggunaan Bahasa Kebangsaan, meningkatkan penggunaan dan kemahiran berbahasa dalam Bahasa Kebangsaan, dan meningkatkan bahan bacaan dan rujukan dalam Bahasa Kebangsaan. Agenda tersebut akan disokong melalui usaha penterjemahan buku-buku ilmu dan karya agung yang dikendalikan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Manakala Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) pula berperanan memperbanyakkan penerbitan buku judul umum, penerbitan buku dalam bentuk digital, pengiktirafan terhadap buku-buku terbitan tempatan dan usaha mempromosi buku-buku terbitan tempatan ke pesta-pesta buku antarabangsa.
Langkah-langkah tersebut merupakan lanjutan ke arah memantapkan lagi pelaksanaan beberapa dasar terhadap Bahasa Melayu sebelum ini yang didapati tidak menampakkan keberkesanannya. Umpamanya Dasar Buku Negara dan kadar penterjamahan karya-karya asing ke dalam Bahasa Melayu yang masih belum mencapai tujuannya. Ini diakui dalam fasal 4.1 pelan ini, iaitu dalam konteks Dasar Buku Negara usaha memperkasakan Bahasa Melayu masih belum dapat dibanggakan kerana jumlah penerbitan buku terutama buku judul umum oleh penerbit tempatan secara umumnya masih lagi rendah berbanding dengan Korea Selatan, Jepun dan China. Selain itu, usaha penterjemahan daripada bahasa asing kepada Bahasa Melayu juga masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.
Usaha-usaha menggalakkan penerbitan buku-buku judul umum dan penterjemahan karya asing kepada Bahasa Melayu merupakan suatu yang boleh dibanggakan kerana akan memperbanyakkan bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Melayu. Usaha ini sewajarnya dilihat sebagai satu langkah berterusan untuk memantapkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah. Hal ini sejajar dengan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.
Selain itu, bagi menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu, pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan juga dilaksanakan oleh sekolah, Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, DBP, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk memperkasakan Bahasa Kebangsaan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan merangkumi usaha-usaha untuk mengukuhkannya dalam kurikulum dan kokurikulum, aktiviti pembangunan dan pengembangan Bahasa Kebangsaan, aktiviti kesusasteraan termasuk perkhemahan sastera, sayembara puisi, deklamasi sajak, pertandingan berbalas pantun, syarahan serta pertandingan menulis cerpen dan puisi. Melalui PIPP juga, pembaharuan terhadap gerakan memperkasakan Bahasa Melayu dilakukan dengan menyenaraikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) sebagai salah satu perayaan utama Kementerian Pelajaran Malaysia dan seterusnya dijadikan salah satu daripada perayaan nasional.
Berdasarkan perancangan dan usaha-usaha yang dipaparkan dalam PIPP, jelas usaha memartabatkan Bahasa Melayu tetap menjadi agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal ini kerana Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan bahasa pengantar dalam pendidikan sewajarnya terus diperkasakan dan dimantapkan agar kedudukannya terus utuh dan peranannya sebagai alat perpaduan juga semakin berkesan.
Bahasa Kebangsaan Bahasa Ilmu
Artikel ini dipetik dari http://ketuaperusuh.wordpress.com/ dan disunting sedikit oleh pendidikmy.
Sejak PPSMI dilaksanakan, saya telah menjelajah terlalu banyak kawasan luar bandar (terutamanya di pantai timur) dan menjengah beberapa sekolah rendah demi untuk melihat sendiri apa sebenarnya yang berlaku diperingkat sekolah. Hampir 99% pelajar sekolah rendah dikawasan luar bandar dilihat tercicir dari menguasai ilmu Matematik dan Sains hasil dari perlaksanaan PPSMI.
Saya mendapat pendidikan awalan didalam bahasa penjajah (Bahasa Inggeris), namun begitu jiwa saya begitu kental untuk memastikan bahawa Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tetap menjadi pilihan utama dalam pencernaan ilmu.
PPSMI ini sebenarnya bertujuan mematikan usaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) menjadi bahasa ilmu. PPSMI ini saya klasifikasikan sebagai “Tiga Kebodohan” atau “Tiga Kedunguan”.
Jika sebelum perlaksanaan PPSMI, seorang pelajar mungkin akan lemah hanya dalam salah satu daripada 3 matapelajaran (Bahasa Inggeris, Matematik atau Sains) namun setelah perlaksanaan PPSMI, seorang pelajar mungkin akan lemah dalam ketiga-kita matapelajaran secara serentak hasil dari kelemahan beliau menguasai Bahasa Inggeris.
“Tiga Kebodohan” atau ‘Tiga Kedunguan” inilah yang terpaksa kita hadapi sekiranya Kementerian Pelajaran (Pendidikan?) bertegas untuk terus melaksanakan PPSMI. Pernah saya menulis mengenai sikap banyak pihak di Kementerian Pelajaran (Pendidikan?) yang berterusan mengeluarkan idea-idea baru tanpa kajiselidik dan perbincangan yang menyeluruh. Terlalu banyak pihak yang angkuh di Kementerian Pelajaran (Pendidikan?) yang sebenarnya mencacatkan seluruh institusi berkenaan. Setiap kali bertukar Menteri Pelajaran (Pendidikan?), setiap kali itu jugalah seluruh polisi dan gagasan serta wawasan Kementerian bertukar tanpa perancangan kukuh.
Malah golongan pendidik, ibubapa dan para akademik tidak pernah diambil kira pandangan sebelum sesuatu resolusi atau idea diterapkan kedalam sistem pendidikan negara. Nampaknya mereka ini amat suka bereksperimen sehinggakan caca-marba sistem pendidikan negara. Sikap terlalu bereksperimen inilah yang sebenarnya menjadi duri dalam daging yang jika dihalusi sebenarnya menguntungkan pihak-pihak yang berkepentingan (penerbit buku teks, penyedia bahan dan sebagainya) yang menjadi dedalu kepada Kementerian Pelajaran (Pendidikan?)
Kita boleh lihat insiden yang melibatkan beberapa juta wang rakyat hangus apabila pengenalan modul pengajaran berasaskan multimedia (kecoh sekitar 1996 dan 1997) sedangkan hasilnya masih tidak dapat dilihat dengan berkesan disekolah-sekolah setelah lebih 10 tahun diusahakan. Para pendidik rata-ratanya memilih untuk membuat pengajaran dan pembelajaran secara tradisional dengan menyuntik sedikit elemen yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi pendidikan.
Jika kita lihat rata-rata warga Malaysia yang berumur sekitar 30 tahun keatas biasanya boleh berkomunikasi didalam Bahasa Inggeris sedangkan mereka dahulu belajar menggunakan sistem KBSR fasa pertama yang mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Terlalu ramai para jurutera, peguam, akauntan, pakar komputer dan para professional lainnya yang fasih berbahasa Inggeris sedangkan mereka terdidik didalam bahasa pengantar Bahasa Melayu.
Oleh yang demikian, maka bukanlah penggunaan Bahasa Kebangsaan itu mengekang pelajar daripada menguasai ilmu melainkan ianya adalah pemudahcara bagi para pelajar mencerna ilmu. Bahasa Inggeris hanyalah bahasa kedua yang sepatutnya boleh dikuasai dengan mudah oleh mana-mana pihak walaupun beliau menuntut ilmu dalam Bahasa Kebangsaan.
Janganlah biarkan pelajar kita mengalami sindrom “Tiga Kebodohan” atau “Tiga Kedunguan”.
Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa - ISIS
22 April 2009
5 kesilapan pemikiran penyokong PPSMI
Sumber: http://marni-ameera.blogspot.com
Dalam ucap utama Datuk Hassan Ahmad sempena Wacana Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu semalam, beliau menggariskan 5 kesilapan minda dan pemikiran yang dimiliki oleh para penyokong ppsmi.
Kesilapan pertama:
Mereka tidak tahu dan tidak percaya bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ilmu. Mereka menyangka bahasa Melayu hanya berkembang sebagai bahasa ilmu tinggi selepas Tanah Melayu merdeka.
Hakikatnya, bahasa Melayu telah berkembang sebagai bahasa ilmu sejak zaman Kerajaan Melayu Srivijaya di Palembang, iaitu seawal abad ke 7 lagi. Bahasa Inggeris adalah bahasa primitif semasa bahasa Melayu telah mula berkembang sebagai bahasa ilmu.
Kesilapan kedua:
Mereka menyangka, seperti juga sangkaan dan dan kepercayaan penjajah Inggeris dan orientalis klasik Barat dahulu kala, bahawa ilmu di dunia ini hanya terdapat dalam bahasa Inggeris.
Kata mereka lagi, bahasa Melayu terpaksa meminjam ratusan ribu istilah daripada bahasa Inggeris. Maka mereka berpendapat adalah lebih mudah belajar sahaja sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Hakikatnya, jika tidak meminjam, bahasa Melayu tidak akan dapat berkembang dan akhirnya akan mati. Bahasa Inggeris sendiri dahulunya meminjam 85% istilah dari bahasa Greek, Latin dan bahasa-bahasa lain. Bahkan, bahasa Inggeris telah meminjam istilah dari 350 buah bahasa lain di dunia.
Jadi, apa salahnya jika bahasa Melayu meminjam istilah dari bahasa Inggeris pula? Begitulah bahasa dibina!
Kesilapan ketiga:
Mereka menyangka orang yang membantah ppsmi adalah orang yang anti bahasa Inggeris, penentang kemajuan dan fanatik atau nasionalis ultra bahasa Melayu.
Hakikatnya, penentang ppsmi adalah orang yang fasih dan mahir dalam penguasaan bahasa Inggeris, bahkan lebih baik dari penyokong ppsmi sendiri.
Penentang ppsmi hanya mempersoalkan mengapa selepas 11 tahun belajar bahasa Inggeris di sekolah, pelajar masih gagal menguasai bahasa itu? Sudah tentu jawapannya adalah silap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan ia mesti dibaiki.
Orang yang berfikiran keliru sahaja yang mengatakan bahawa pelajar kita akan lebih mahir dalam bahasa Inggeris melalui ppsmi.
Kesilapan keempat:
Mereka berkata bahawa menguasai bahasa Inggeris tidak akan menjejaskan martabat bahasa Melayu atau mengubah identiti mahupun jati diri bangsa Melayu.
Belajar bahasa bererti kita mempelajari budaya. Semua orang tahu bahawa apabila kita belajar bahasa Inggeris, maka jati diri atau identiti atau budaya dan nilai Islam kita akan ikut berubah.
Ada bezanya antara "I think" dengan "Saya rasa". Jika melalui ungkapan "I think" seseorang itu menyampaikan pendapat hanya dengan pertimbangan akal, maka orang Melayu mengatakan "Saya rasa" kerana pendapat yang diberikan bukan sekadar mengikut pertimbangan akal, bahkan juga pertimbangan hati dan perasaan. Itulah budaya Melayu yang dicerminkan melalui bahasa.
Kesilapan kelima:
Masalah kesilapan maklumat – kebanyakan orang, khususnya Melayu – yang menyokong ppsmi tidak tahu mengapakah mereka menyokongnya. Mereka tidak mendapat maklumat yang benar tentang keburukan dan kelemahan dasar itu.
Mereka tidak faham isu yang sebenar. Mereka dipengaruh oleh data, maklumat dan penerangan rasmi pegawai kerajaan yang menjalankan tugas menurut perintah pembuat dasar, bukan mengikut akal fikir masing-masing.
Segala masalah, kelemahan pelajar, kegagalan pelajar luar bandar, sekolah di kawasan hulu, dan masalah puluhan ribu guru yang gagal mengajar sains dan matematik dengan baik dalam bahasa Inggeris tidak didedahkan di media arus perdana.
Guru-guru yang terlibat secara langsung dengan ppsmi menyokong usaha ppsmi kerana mereka menerima imbuhan berbentuk elaun khas mengajar.
Kesimpulan yang dibuat oleh Datuk Hassan Ahmad dalam kertas kerjanya adalah kita memerlukan dasar bahasa dan pendidikan dalam bahasa Melayu yang jelas dan tegas.
Kita juga memerlukan pemimpin negara dan para menteri serta pegawai yang cekap dan cukup ilmu pengetahuannya untuk melaksanakan dasar dengan tegas, berani dan benar.
Ppsmi mesti dimansuhkan!
(Disalin dari teks Ucap Utama Datuk Hassan Ahmad dan ditambah dengan ucapan tanpa teks beliau pada majlis tersebut).
Syor tambah waktu mengajar untuk kuasai bahasa Inggeris
Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |21 April 2009|
KEPUTUSAN Kementerian Pelajaran mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sememangnya dinantikan ibu bapa dan warga pendidik.
Pembelajaran kedua-dua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris tidak dinafikan ada kebaikannya terutama pada zaman teknologi ini.
Namun, bila direnung secara mendalam, sedarkah kita berapa sangat jumlah pelajar cemerlang dalam mata pelajaran berkenaan dibandingkan dengan pelajar yang gagal menggunakan bahasa itu dalam peperiksaan.
Jumlah pelajar yang sepatutnya cemerlang dalam Matematik dan Sains selepas menggunakan bahasa Inggeris bukan saja menurun, malah tidak menguasai kemahiran dan mata pelajaran itu.
Jangan lihat jumlah yang berjaya saja, tetapi juga yang kecundang akibat penggunaan bahasa Inggeris kerana mereka juga anak bangsa yang akan membentuk masyarakat masa depan.
Tidakkah mereka akan menyalahkan pihak berkenaan? Jangan kerana hendakkan pembaharuan dalam pendidikan di negara ini, kita mengabaikan dan alpa mengenai kepentingan dan situasi kehidupan masyarakat kita sendiri.
Justeru, demi kepentingan peningkatan ilmu, saya merayu keagungan, kekayaan bahasa Melayu itu dikembalikan semula dalam proses pengajaran mata pelajaran di sekolah kecuali bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ada baiknya jumlah waktu mengajar mata pelajaran itu ditambah sama seperti jumlah mata pelajaran Bahasa Melayu. Rasanya, masih belum terlambat bagi Kementerian Pelajaran menarik balik penggunaan bahasa Inggeris itu.
Sebagai renungan, bahasa Melayu adalah adalah bahasa ketiga terbanyak penggunaannya di Asia Tenggara. Masyarakat kampung dan luar bandar mengharapkan perubahan daripada pihak Kementerian Pelajaran bagi membolehkan ilmu pengetahuan dan kejayaan anak mereka lebih terjamin.
ISMIJORAN,
Taman Puteri, Kuching.
09 April 2009
Bahasa cetus minda pencipta
Sumber: Berita Harian |9 April 2009|
Oleh Nazmi Yaakub
Pengalaman Jerman dan Jepun diketengahkan sebagai bukti hujah
KEPENTINGAN penyampaian ilmu dalam bahasa ibunda seperti dibuktikan Jerman dan Jepun apabila berjaya menjadi bangsa yang maju mendapat perhatian pada Forum Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI): Antara Inovasi dan Konfrontasi dalam Pendidikan.
Forum di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini, turut membawa lebih 100 khalayak untuk melihat hakikat himpunan ilmu dalam bahasa ibunda dapat memberi dorongan kepada kedua-dua bangsa terbabit untuk tidak terperangkap menjadi bangsa pengguna, sebaliknya berubah kepada bangsa pencipta.
Pensyarah Upsi, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, menekankan pentingnya pengajaran dan pembelajaran di sekolah menggunakan bahasa ibunda untuk memastikan himpunan ilmu dalam bahasa berlaku dan menyumbang kepada pembinaan kepustakaan dalam bahasa sendiri, tanpa perlu terlalu bergantung kepada bahasa lain.
‘Dengan cara ini kita tidak hanya menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi dari luar. Hal ini pernah berlaku di Eropah pada zaman sebelum pembaharuan apabila orang Inggeris belajar dalam bahasa Latin, manakala bangsa Jerman pula terpaksa meminjam bahasa Perancis untuk proses mendalami ilmu,” katanya pada forum anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPPUPSI) yang dipengerusikan Pensyarah Upsi, Ariff Mohamad.
Situasi itu menyebabkan ahli falsafah Jerman mempersoalkan sebab bangsa Jerman sepandai orang Perancis, tetapi negara mereka tidak semaju jirannya itu dengan memberi jawapan bahawa ia berpunca daripada tindakan belajar dalam bahasa lain sehingga Jerman menukarkan sistem pendidikannya ke bahasa sendiri.
Prof Emeritus Abdullah merumuskan himpunan ilmu dalam bahasa ibunda, mendorong bangsa itu untuk bukan saja mempelajarinya dengan menerima bulat-bulat, bahkan merangsang mereka untuk mempersoalkannya kembali sehingga ia menjadi soalan bersifat setempat.
“Apabila belajar ilmu biologi, kita tidak lagi hanya mengkaji tumbuhan dan haiwan di Barat saja. Sebaliknya kita mengkaji flora dan fauna negara sendiri. Dengan itu akan ada kesan seperti di Thailand sehingga terhasil durian Thai dan lahir keghairahan menghasilkan durian tanpa duri. Saintis Barat tidak akan beri perhatian pada perkara seperti ini,” ujarnya.
Bahkan, Prof Abdullah yakin bahawa himpunan ilmu tempatan akan menumbuhkan kreativiti pribumi kerana bangsa berkenaan akan memberi tumpuan kepada perkara yang berkaitan dengan budayanya seperti dipamerkan bangsa Jepun yang berjaya memacu kejayaan negara melalui kesetiaan kepada bahasa sendiri..
“Selain budaya kaizen, bangsa Jepun terkenal dengan bonsai iaitu mengecilkan apa saja bersaiz besar sehingga mereka berjaya menghasilkan banyak teknologi baru. Teknologi yang asal dipinjam daripada bangsa lain, apabila dibawa masuk ke Jepun, diubah dan dipasarkan ke pasaran dunia seperti ketuhar gelombang mikro,” jelasnya.
Pandangan itu, diperkukuhkan rakan sejawatannya, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron yang mengkaji kesan dasar PPPSMI di sekolah rendah dan menengah, apabila merumuskan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda atau keluarga untuk belajar Sains dan Matematik, prestasinya meningkat berbanding kelompok yang menggunakan bahasa kedua.
“Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengesyorkan bahasa keluarga digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memudah serta mengukuh kefahaman konsep subjek. PPSMI tidak membantu meningkatkan penguasaan bahasa kedua mahupun menambahbaikkan kefahaman pelajar,” katanya.
Kajian Prof Isahak berdasarkan kerja lapangan turut menunjukkan dasar PPSMI lebih menguntungkan pelajar yang sudah menguasai bahasa Inggeris, terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga yang ibu bapa menggunakan bahasa berkenaan di rumah.
“Bahasa Inggeris menjadi bahasa keluarga kepada masyarakat bandar yang ibu bapanya golongan profesional, tetapi masyarakat bandar bukan profesional tidak mendapat manfaat. Kesannya, pelajar di luar bandar atau bandar yang keluarganya bukan profesional, bukan saja lemah dalam bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, pada tahun pertama, bahkan bertimbun-timbun apabila naik ke tahun berikutnya,” katanya.
27 March 2009
Penguasaan BI guru disasarkan
Sumber: Utusan Malaysia |27 Mac 20099|
KOTA BHARU 26 Mac – Tahap penguasaan bahasa Inggeris (BI) bagi semua guru di negeri ini disasarkan mencecah 100 peratus pada tahun depan, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Ishak Ismail.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, sasaran itu melibatkan lebih 1,500 guru di 547 sekolah rendah dan menengah yang dipertanggungjawabkan bagi mengajar dalam dua mata pelajaran itu.
Menurut beliau, untuk mencapai sasaran, pelbagai jenis program latihan dan bimbingan yang dipertingkatkan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini antaranya Sistem Bimbingan Taulan (SBT) yang melibatkan pembelajaran sesama warga pendidik.
“Melalui SBT, guru yang mahir dalam BI akan menjadi pembimbing kepada rakan-rakan yang kurang menguasainya terutama sekali mereka yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik.
“Dengan cara ini, kita dapat menyediakan barisan pendidik yang berkemampuan dan memastikan para pelajar tidak ketinggalan daripada menguasai BI dengan baik,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika Seminar Pemantapan Mata Pelajaran Matematik dan Sains Dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009 yang disertai 300 pendidik daripada semua sekolah seluruh negeri di sini kelmarin.
Ishak berkata, Kelantan merupakan antara negeri yang mencatatkan keputusan cemerlang untuk Sains dan Matematik dalam UPSR lepas walaupun kedua-dua subjek itu diajar dalam BI.
Pencapaian subjek Sains tahun 2008 mencatat keputusan kelulusan 82.40 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 75.92 peratus, manakala bagi subjek Matematik pula 82.38 peratus berbanding 83.9 peratus pada tahun 2007.
Justeru, katanya, keputusan itu sebagai bukti PPSMI perlu diteruskan dan JPN sendiri akan memastikan ia dijayakan dengan baik dengan langkah-langkah yang sewajarnya.
“Selain pelbagai jenis program, setiap guru yang mengajar dalam BI akan diberi elaun sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok mereka sebagai insentif.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu ada pihak yang menyalah anggap pemberian insentif ini kerana walaupun tidak diberikan, guru-guru ini akan tetap mengajar dalam BI,” jelasnya.
Sementara itu, jelasnya, tidak ada sebarang tentangan yang dihadapi JPN di negeri ini untuk memastikan PPSMI berjaya dilaksanakan.
Beliau berkata, JPN bersedia bersemuka dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri untuk menerangkan bagaimana keprihatinan jabatannya untuk memastikan tidak ada pelajar di negeri ini yang ketinggalan.
21 March 2009
98% Mengalami Masalah Dalam PPSMI
Sumber: Blog Bahasa dan Budaya
Disesuaikan daripada artikel Muhammad Arif Ismail, HarakahDaily.net| Sabtu 21 Mac 2009 | 24 Rabi’ul Awal 1430 Hijrah|
BANGI, 19 Mac (Hrkh) - Satu kajian yang dilakukan oleh seorang profesor linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia, mendapati 98 peratus guru mengatakan murid mereka mengalami masalah dalam mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Kajian tersebut dijalankan pada tahun 2004 ketika dasar PPSMI baru dilaksanakan dengan melibatkan 900 orang responden yang terdiri daripada guru dan murid di seluruh Malaysia.
“Saya meminta soalan kajian ini diseludup ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia supaya tidak disekat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Walaupun ada bantahan yang mengatakan dasar ini baru dilaksanakan, tidak ada apa faedahnya membuat kajian itu, tetapi ia diteruskan juga.” tegas beliau.
Beliau menyampaikan laporan tersebut dalam Seminar Hala Tuju Dasar PPSMI dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diadakan di Dewan Teater, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) pada 14 Mac lalu.
Hadir sama dalam seminar tersebut adalah Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Tuan Hasni Abbas; Timbalan Pengerusi GMP, Dr Shahril Zain, Naib Pengerusi GMP, Prof. Abdullah Hassan dan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.
Antara hadirin
Antara hadirin
Seminar ini dianjurkan oleh Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa) dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB).
Beliau juga melaporkan dapatan selanjutnya, iaitu “sebanyak 96 peratus guru tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa ramai pelajar mereka semakin berminat terhadap bahasa Inggeris.”
Dan juga beliau menyatakan “94 peratus guru tidak percaya bahawa keputusan peperiksaan murid dalam sains dan matematik yang diajarkan dan diperiksa dalam bahasa Inggeris itu sangat membanggakan.”
Seterusnya, “84 peratus guru menyatakan tidak setuju dengan semua pelajaran mesti diajarkan menggunakan bahasa Inggeris.”
Malah kajian itu menghasilkan dapatan bahawa “75 peratus daripada guru itu tidak bersetuju bahawa belajar sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris itu tidak mendatangkan masalah pemahaman,” katanya.
Kajian beliau juga menunjukkan bahawa “murid yang sudah mahir berbahasa Inggeris di rumah yang mencapai tahap yang baik, dan mereka ini adalah dari bandar dan bukan dari Sekolah Kebangsaan Menengah dari luar bandar. Pada beliau, “sekolah luar bandar inilah lubuk anak Melayu.”
Oleh sebab itu sekolah dalam bandar inilah yang mendapat manfaatnya, bukan sekolah di luar bandar.
Ternyatalah, murid yang malang dan yang tertinggal dalam pelaksanaan dasar ini adalah murid luar bandar. Dan 70 peratus daripada populasi rakyat Malaysia di laur bandar ini adalah kebanyakannya anak Melayu,” kata beliau. (mns)
20 March 2009
Fikir Sebelum Mendukung Biawak Hidup
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak
1. Memang banyak bakal guru tidak memahami dasar PPSMI yang diwujudkan pada tahun 2002 dan mula dilaksanakan pada tahun 2003 itu. Mereka ibarat orang ketinggalan komuter.
2. Ada banyak sebab mereka ketinggalan. Di sini dikemukakan dua sebab penting. Yang pertama, mereka sibuk. Yang kedua, mereka berpegang pada amalan bahawa semua yang dari atas itu baik. Hal ini sesuai dengan ajaran yang terserap dalam kalbu mereka. Ajaran itu ialah turuti apa-apa sahaja arahan dari atas dan mengangguk-angguk sahaja apabila mendengar suara orang atas.
3. Bakal guru itu orang muda. Sebahagian besar mereka belum mempunyai maklumat lengkap tentang dasar ini. Maka, eloklah mereka mengakses maklumat yang begitu banyak di Internet. Setelah mereka benar-benar memahami dasar itu serta pro dan kontranya, baru mereka boleh mengisytihar diri sebagai penyokong atau sebaliknya. Itu barulah dikatakan membuat keputusan dengan berdasarkan ilmu.
4. Memang ada orang menyokong sesuatu dasar secara sembarangan. Ada juga orang menyokong sesuatu dasar kerana kepentingan diri. Tidak kurang pula orang menyokong sesuatu dasar kerana takut. Persoalannya, adakah orang muda yang akan bergelar guru termasuk dalam golongan penakut?
5. Sebenarnya, ada perbezaan antara penyokong dengan pendukung. Penyokong ialah penegak dasar. Penyokong berpendirian, berprinsip dan sebagainya. Lazimnya penyokong sanggup mati mempertahankan pendiriannya. Sekadar contoh, Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Al-Maududi, Mariam Jamilah dan Ibrahim Libya berpendirian.
6. Mungkin ada ahli bahasa tidak bersetuju dengan pandangan ini. Mereka mungkin berkata kamus mentakrifkan penyokong sebagai pengikut. Konotasi pengikut ialah orang biasa, bukan penegak dasar. Namun, kamus juga mencatatkan sokong ialah tiang atau tonggak. Penyokong juga bermaksud alat untuk menyokong. Alat itu dapat bernama tiang, tonggak atau topang.
7. Mari kita gantikan perkataan penyokong dengan tonggak. Tonggak asal dasar itu ialah mantan Perdana Menteri. Kini tonggak itu ialah Perdana Menteri. Kalau bukan dia, siapa lagi? Menteri yang berkenaan ialah topang. Topang lain yang mengukuhteguhkan tonggak itu ialah pengurusan tertinggi kementerian yang berkenaan dan para pegawainya.
8. Cuba bayangkan, hari ini mantan Perdana Menteri menyatakan bahawa dia menarik diri daripada menyokong dasar itu. Dia mahu dasar itu dimansuhkan demi ketenangan jiwa senjanya. Jikalau dia berkata demikian, dasar itu akan goyah dan bakal tumbang. Begitulah pentingnya tonggak seperti Perdana Menteri.
9. Lain halnya dengan pendukung. Katakanlah 1,000 pendukung di Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa mereka berhenti menjadi pendukung. Mulai saat itu mereka masuk dalam kelompok pembantah. Perbuatan mereka bagai sejuta orang kanak-kanak menghembuskan angin daripada mulut untuk menumbangkan tugu negara. Oleh sebab itu, untuk menggugat dasar kita perlukan gelombang besar. Gelombang besar itu kini berupa gabungan pelbagai unsur. Antara lain namanya termasuklah surat terbuka, memorandum, saman, gerakan, laporan kajian, perhimpunan dan kongres.
10. Pendukung rendah sedikit tarafnya. Kebanyakan pendukung ialah pelaksana. Pelaksana mungkin menopang dan mungkin juga tidak menopang dasar itu. Sebagai bakal guru, pelajar yang berkenaan mesti mendukung sesuatu dasar walaupun dasar itu bagaikan biawak hidup yang siap untuk mencakar belakang mereka. Oleh sebab mereka sendiri memilih untuk menjadi guru, mereka sudah menandatangani perjanjian dan mereka sudah melafazkan ikrar, maka mereka hendaklah menepati janji dan ikrar itu. Mereka kenalah mendukung biawak hidup.
11. Pendukung pun ada kategorinya. Pendukung totok seakan-akan tonggak atau topang juga. Lihatlah ibu tulen mendukung bayi. Tidak akan dilepaskannya bayi daripada dukungannya kendatipun nyawanya terancam. Pendukung seperti ini tidak banyak.
12. Ada pula pendukung hipokrit. Jangan lupa, hipokrit itu bersinonim dengan munafik. Apabila ada faedah atau habuan, si hipokrit bersungguh-sungguhlah mendukung dasar itu. Jumlah mereka sedikit tetapi pengaruh mereka besar. Jikalau dasar itu dimansuhkan, mereka akan gulung sehelai atau semua tikar.
13. Yang banyak ialah pendukung kasta rendah. Jumlah mereka banyak, sangat banyak. Mereka mendukung dasar itu tanpa rela dengan pengawasan yang rapi oleh pemantau atau pemerhati. Di belakang pemantau atau pemerhati, mereka letakkan dasar itu di atas lantai. Dalam golongan ini termasuklah juga pendukung yang mementingkan habuan. Mereka mempertontonkan dukungan apabila ada habuan. Jikalau tiada habuan, dukungan itu dikesampingkan.
14. Ada sekumpulan lagi pendukung yang tidak berapa faham sebab-sebab mereka mendukungnya. Apa-apa yang orang atas buat mereka ikut atau kata ya, ya, ya. Orang lurus bendul itu pandainya mengangguk sahaja.
15. Tidak dinafikan ada juga pendukung itu memang topang. Mereka dalam golongan ini hebat. Hebat itu dapat positif dan dapat juga negatif. Kelompok hebat yang pertama adalah seperti dalam senarai orang berprinsip di atas. Mari kita tambah senarai itu. Hitler, Yahudi dan George Bush hebat. Muammar al-Qadhafi dan Saddam hebat. Ustaz Ashaari Muhammad, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Karpal Singh pun hebat. Baka guru dalam kelompok mana? Kita khuatir bakal guru termasuk dalam kelompok Bush. Waduh, Bush sudah dibaling dengan kasut!
16. Akhirulkalam, fahamilah dasar itu secara mendalam. Fahamilah pertentangan dasar itu dengan Perlembagaan, Akta Pendidikan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Fahamilah implikasi dasar itu terhadap martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Fahamilah implikasi dasar itu terhadap masa hadapan generasi muda kini dan generasi yang akan datang.
17. Bahan untuk memahami perkara-perkara ini melambak di Internet. Surat terbuka ada, memorandum ada, laporan kajian ada, artikel sanggahan Dato’ Baha Zain ada, tulisan panjang sanggahan Dr. Shaharil ada, laporan polis ada, usul PEMBINA ada, resolusi kongres ada, e-buku Mengapakah Kami Bantah ada dan bermacam-macam lagi ada. Bakal guru berijazah atau pemilik SPM dengan deretan A pasti mampu mengakses banyak lagi sumber lain tanpa perlu disuap-suap. Telitilah bahan-bahan itu, bukalah minda dan kemudian tetapkan pendirian dengan berdasarkan ilmu pengetahuan.
18 March 2009
4% sahaja kuasai BI melalui PPSMI
Jangan yang dikendong berciciran dan yang dikejar tak dapat...Banyak kajian telah dilakukan antaranya oleh Prof. Emeritus Isahak Haron dan Prof. Nurhashimah Jalaludin. Sempena Kongres Kebudayaan Melayu Kedua baru-baru ini, Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) pula telah membentangkan hasil kajian yang dilakukan pada Jun-Disember 2008.
Sumber: Malaysiakini |18 MAc 2009|
Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI
Jimadie Shah Othman | Mar 18, 09 12:13pm
Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelari dua subjek tersebut.
"Sumbangan PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik.
Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
"PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."
Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).
Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.
Kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003.
"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.
"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik.
Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam.
Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris.
Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Pejabat Daerah dan sekolah tertentu.
Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Rauf Yusoh yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini.
Laporan eksekutif kajian itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.
Kongres itu turut meluluskan resolusi yang membawa akibat pemansuhan PPSMI apabila mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti.
Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas.
Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Rauf berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000.
Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara.
Seramai 553 guru – termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah – turut dipilih sebagai sampel.
Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu.
"Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya.
16 March 2009
Kongres: PPSMI Umpama 'Jolok Sarang Tebuan'
Sumber: Malaysiakini |16 Mac 2009|
Kongres Kebudayaan Melayu Ke-2 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini, dijangka meluluskan sekurang-kurangnya empat resolusi penting esok, antara lain, menyentuh dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Empat resolusi tersebut adalah resolusi yang dibincangkan di peringkat awal oleh panitia kongres tersebut.
Berhubung isu PPSMI, kongres tersebut menyifatkan dasar PPSMI seolah-olah "menjolok sarang tebuan" dan menyentuh kesucian Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana perkara tersebut tidak harus disentuh oleh mana-mana, pihak termasuk parti politik di Malaysia.
Dalam masa yang sama, ia juga memberi peluang kepada pihak lain untuk mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan.
Kongres juga menggariskan banyak cara yang lebih berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris di kalangan orang Melayu.
Kongres ini yang disifatkan sebagai kesinambungan kongres yang pertama yang berlangsung di Melaka pada 1957, turut akan meluluskan usul untuk mempertahankan kemuliaan kemuliaan Raja-raja dan pihak istana Melayu.
Tentang multi-kultural
Ini kerana institusi tersebut merupakan titik perpaduan seluruh bangsa dan titik pertemuan sejarah tanahair yang panjang.
Persidangan yang bertemakan "Di Mana Bumi Dipijak" juga dijangka meluluskan usul menentang keras multi-kultural dan serta berpegang teguh kepada usul kongres Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, antara lain, yang menyatakan bahawa budaya Melayu menjadi teras kebudayaan Malaysia.
Perhimpunan itu yang turut dijangka meluluskan usul sejarah dan tamadun Melayu, harus dilihat secara global iaitu ia tidak harus dikurung dalam konteks negara-bangsa Malaysia sahaja.
Ini kerana semua kebudayaan bangsa serumpun di sekitar Malaysia harus dipelajari dan fahami.
Kongres ini yang berlangsung di Wisma Sejarah, di Jalan Tun Razak adalah anjuran Gabungan Penulis Nasianal (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), akan berakhir tengahari esok.
Upacara perasmian pembukaan konges tersebut dirasmikan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
14 March 2009
Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik
Sumber: Rencana Berita Harian |4 Mac 2009|
Dr Isahak Haron
Kajian TIMSS 2007 mendedahkan kemerosotan prestasi pelajar Malaysia dalam dua subjek teras lebih ketara
WALAUPUN Kementerian Pelajaran menerima pelbagai maklum balas mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kerajaan masih menangguhkan keputusan sama ada mengekal atau kembalikan mengguna bahasa Malaysia.
Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh. Apakah hasil kajian antarabangsa mengenai prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains? Pada 2007, kajian penting antarabangsa mengenai pencapaian Matematik dan Sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) dilaksanakan membabitkan 59 negara oleh Trends in Internationhal Mathematics and Science Study (TIMSS 2007).
Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata.
Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.
Di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, ada negara yang skor purata pencapaian pelajarnya meningkat sedikit atau menurun sedikit.
Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah signifikan, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu.
Berdasarkan laporan itu, hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003.
Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain.
Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori Matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).
Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus).
Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori pencapaian Sains juga merosot secara mendadak.
Ulasan laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian Matematik dan Sains ialah di kebanyakan negara, pelajar yang menyatakan mereka belajar Matematik dan Sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing.
Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan.
Peranan penting bahasa keluarga dalam pembelajaran akademik, misalnya Matematik dan Sains, banyak dikaji. Hasil kajian ini menunjukkan kemahiran kognitif (berfikir) akademik berkembang terutama melalui bahasa pertama.
Apabila pelajar cuba belajar bahasa kedua dan terus belajar misalnya Matematik dan Sains melalui bahasa kedua, pelajar akan menggunakan kemahiran kognitif akademik yang lemah, iaitu pelajar sukar mempelajarinya.
Pendidikan dalam bahasa keluarga amat kritikal untuk kanak-kanak mencapai tahap kematangan mental iaitu kemahiran memahami dan membina konsep secara membina misalnya proses pembelajaran dalam subjek Matematik dan Sains.
Penjelasan ini relevan dalam konteks hasil kajian dan ulasan TIMSS yang menunjukkan pencapaian Matematik dan Sains pelajar mengguna bahasa keluarga untuk pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran ini secara purata lebih tinggi berbanding mereka yang belajar subjek berkenaan dalam bahasa kedua. Ini kerana bahasa keluarga di sekolah memudahkan pelajar memahami konsep subjek berkenaan.
Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.
Bagaimana kes Singapura? Penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains di Singapura adalah hampir sama dengan bahasa keluarga kebanyakan pelajar, sejak lebih 30 tahun lalu dan bahasa Inggeris meluas diguna dalam komunikasi harian di Singapura.
Berdasarkan dapatan kajian ini, Unesco mencadangkan bahasa keluarga digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah bagi memudah dan mengukuh kefahaman konsep kepada pelajar.
Malah, semua negara dalam Kesatuan Eropah menerima dasar untuk mengajar mata pelajaran utama seperti Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda, manakala bahasa kedua wajib yang boleh dipilih ialah bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.
Di Malaysia, pada 2003, pelajar tingkatan dua yang menjadi sampel kajian TIMSS 2003 belum terbabit dalam dasar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka belajar dalam bahasa Malaysia dan prestasi mereka dalam kajian TIMSS bagi kedua-dua kohort 1999 dan 2003 itu adalah baik dan membanggakan.
Ia kerana pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu memudahkan kebanyakan pelajar mempelajari dan memahami Matematik dan Sains.
Kajian sekumpulan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006 menunjukkan 70 hingga 80 peratus pelajar Tingkatan Dua menyatakan mereka sukar mengikuti pengajaran guru Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Berdasarkan huraian di atas, kita boleh buat kesimpulan bahawa faktor utama yang boleh dihubungkait dengan kemerosotan mendadak prestasi Matematik dan Sains pelajar Malaysia dalam kajian TIMSS 2007 ialah pertukaran penggunaan bahasa penghantar Matematik dan Sains di sekolah dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, iaitu bahasa kedua atau asing bagi kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu.
Penggunaan bahasa Inggeris menyukarkan kebanyakan pelajar belajar dan memahami Matematik dan Sains. Sukar kita mencari sebab lain yang munasabah kenapa kemerosotan mendadak ini berlaku dalam TIMSS 2007 berbanding dengan 2003 dan 1999.
Bagi Matematik jatuh dari 508 mata pada 2003 ke 474 pada 2007; dan bagi Sains pula jatuh dari 510 pada 2003 ke 471 pada 2007. Kemerosotan mendadak ini adalah yang terbesar di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian. Prestasi pelajar kita dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia juga merosot.
Perlu diingat bahawa Matematik dan Sains di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) diajar dalam bahasa Cina, bukan dalam bahasa Inggeris. Bagi sekolah kebangsaan (SK) pula, semua murid belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris iaitu bukan bahasa keluarga mereka.
Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 secara bandingan menunjukkan peratus murid SRJKC mencapai gred cemerlang meningkat, sementara prestasi murid SK pula merosot. Kebanyakan murid SK sukar memahami Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, dan 70 peratus daripada mereka memilih membaca dan menjawab soalan Sains UPSR dalam bahasa Melayu. Lebih 90 peratus murid SRJK Cina memilih menjawab Matematik dan Sains UPSR dalam bahasa Cina, tidak dalam bahasa Inggeris.
Kesan negatif ketara berikutan pelaksanaan PPSMI adalah pendidikan Matematik dan Sains di Sekolah Kebangsaan, sekolah yang lebih 90 peratus murid Melayu/Bumiputera menerima pendidikan Matematik dan Sains.
Sepanjang enam tahun lalu mereka belajar dua mata pelajaran penting ini dalam bahasa Inggeris (bukan bahasa keluarga). Pembelajaran dan prestasi mereka lemah. Dasar PPSMI ini tidak menjejaskan pembelajaran dan prestasi murid SRJKC kerana mereka terus belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan ditambah dengan istilah Inggeris.
Kajian UPSI (2008) mendapati lebih 70 peratus pelajar Melayu/Bumiputera di SK terutama golongan sosioekonomi rendah di bandar dan luar bandar berdepan kepayahan belajar kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini akan berterusan.
Oleh kerana asas Matematik dan Sains pada peringkat rendah ini lemah, kelemahan ini secara kumulatif dibawa ke peringkat menengah dan tinggi. Golongan yang mendapat faedah daripada pelaksanaan PPSMI ini ialah 20 hingga 30 peratus pelajar daripada keluarga profesional, menengah dan bandar, yang sebahagian besarnya mengguna bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa keluarga.
Adalah satu 'anggapan palsu' (fallacy) bahawa kecekapan dalam bahasa Inggeris itu menjadi prasyarat penting untuk membolehkan pelajar meneruskan pelajaran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Yang sebenarnya adalah sebaliknya. Pengetahuan yang kukuh dalam Matematik dan Sains pada peringkat rendah dan menengah menjadi prasyarat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang sains dan teknologi, bukan bahasa Inggeris.
Ertinya jika pelajar lemah dalam pengetahuan Matematik dan Sains, mereka sukar melanjutkan pelajaran peringkat tinggi dalam bidang sains dan teknologi, bukan kelemahan dalam bahasa Inggeris. Pengetahuan yang kukuh dalam Sains dan Matematik (sebelum terlaksana PPSMI) membolehkan pelajar kita menyambung pelajaran tinggi dengan mudah di United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Korea, Jerman, Russia, selain dalam bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia.
Dengan mudah mereka belajar bahasa kedua untuk meneruskan pengajian mereka sebab pengetahuan Matematik dan Sains mereka kukuh. Perkembangan latihan modal insan dalam sains, teknologi dan profesional akan terjejas teruk terutama di kalangan bangsa Melayu/Bumiputera.
Dasar PPSMI mengecilkan peratus dan bilangan pelajar Melayu yang cekap dalam Matematik dan Sains untuk pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Strategi pembangunan modal insan melalui dasar PPSMI adalah strategi yang salah untuk membina keupayaan modal insan sains dan teknologi anak bangsa.
Ia terus membantut keupayaan ekonomi mereka dan perkembangan ekonomi seterusnya. Ini akan melebar jurang antara kaum dan kelas sosioekonomi dan boleh menjejaskan kestabilan negara.
Strategi yang munasabah dan realistik untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan bermakna bagi pelajar kita ialah kembali semula kepada dasar mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu kerana hasil Kajian TIMSS 1999 dan 2003 membuktikan prestasi pelajar kita dalam Matematik dan Sains dalam kohort yang diajar dalam bahasa Melayu itu tinggi.
Sebaliknya kohort yang diajar dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 2007 itu prestasi ujian Matematik dan Sains TIMSS 2007 mereka merosot dengan ketara, kerana kebanyakan mereka sukar belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Pelaksanaan dasar kembali mengguna bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik tidaklah sesukar seperti yang cuba digemburkan. Baiki kurikulum dan pendekatan bahasa Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah rendah dan menengah kita. Ini tidak sukar dilaksanakan.
Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron ialah Profesor pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim merangkap Ketua Pengkaji Kesan PPSMI Terhadap Prestasi Mata Pelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Rendah dan Menengah 2008
