:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

Showing posts with label menteri. Show all posts
Showing posts with label menteri. Show all posts

12 June 2009

BI wajib SPM: Sediakah kerajaan?

Sumber: Forum Utusan Malaysia |12 Jun 2009|

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat berbincang sama ada Bahasa Inggeris (BI) wajib lulus sebagai syarat lulus SPM. Ini kali pertama kita dengar kerajaan secara tulus bertanya kepada rakyat sebelum membentuk satu dasar perdana yang melibatkan rakyat.

Petanda baik bagi kita apabila kerajaan mula memikirkan apakah langkah yang setara dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu jika dimansuhkan, ia menjamin penguasaan BI generasi masa hadapan.

Kepentingan BI tidaklah sama timbangannya dengan Bahasa Malaysia (BM). BM adalah struktur tunjang pembinaan sebuah negara bangsa yang berdaulat. Malah bangsa Melayu itu sendiri akan hilang punca jika salah satu ciri-ciri Melayu iaitu bahasa Melayu, agama Islam dan amalan budaya Melayu itu hilang. Jika salah satu komponen itu hilang kita akan kata seseorang itu 'Melayu ragu.'

Dalam hasrat meletakkan BI sebagai wajib lulus untuk lulus SPM, adakah kerajaan benar-benar bersedia untuk pelaksanaannya? Bersedia dalam konteks perancangan strategik yang melibatkan sumber kewangan, tenaga pengajar, kemudahan peralatan, modul yang berkesan serta menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran.

Kedua, adakah rakyat terbanyak khususnya di luar bandar bersedia menerima cabaran ini?

Jawapannya mungkin 'ya' mungkin 'tidak'. Jika begitu keadaannya, kerajaan dan rakyat berada dalam keadaan was-was.

Sesuatu dasar yang diputuskan dalam keadaan ragu-ragu dan bercelaru akan timbul masalah besar kemudian hari.

Dalam merancang dasar strategik, kita hendaklah mengelakkan diri daripada memasang perangkap kepada anak bangsa. Kita wajar mampu melihat jauh ke hadapan akan halangan-halangan yang memerangkap anak bangsa kita.

Kita amat sedar dengan kemampuan kerajaan yang terbatas, apa akan jadi kepada sebilangan besar pelajar yang gagal SPM nanti kerana gagal menguasai bahasa penjajah itu?

BI menjadi penghalang besar anak bangsa kita tidak layak masuk institusi pengajian tinggi (IPT). Tidakkah kita menepuk kepala suatu hari nanti apabila IPT dipenuhi oleh orang lain sedangkan bangsa kita terkial-kial - terperangkap dalam jebak BI yang kita cipta sendiri?

Pada waktu itu kita sibuk mencari formula baru sedangkan satu atau dua generasi menjadi mangsa.

Satu Malaysia sedar BI adalah subjek maha penting untuk dipadankan dengan landskap dunia hari ini. Agenda bangsa tidak sehala dan dapat diselesaikan dengan satu jalan.

Dengan itu dicadangkan BI adalah mata pelajaran wajib untuk SRP dan SPM. Bagaimanapun ia bukan syarat wajib lulus bagi SPM.

Kedua, BI wajar diterapkan ke dalam jadual waktu pelajar setiap hari bersekolah dengan pelbagai kaedah seperti public speaking, presentation, report writting, debate dan lain-lain di samping modul teras BI.

Kelengkapan alat bantuan mengajar dipertingkatkan. Makmal Bahasa diperkembangkan ke sekolah-sekolah seluruh negara dan dilengkapkan dengan alat pandang dengar (audio visual) dan teknologi terbaru.

Ketiga, kerajaan menyediakan peruntukan masa tidak kurang empat hingga enam jam sebulan kelas tambahan BI di Makmal Bahasa kepada semua pelajar. Sediakan tenaga pengajar khas dan terlatih di Makmal Bahasa.

Jika persediaan sudah sampai ke peringkat ini dan tiada sebuah sekolah yang tertinggal maka kerajaan bolehlah menimbangkan syarat wajib lulus BI bagi SPM.

Tidak ada sebab rakyat menolak sebarang dasar jika rakyat mampu dan tidak menjadi beban fikiran dan halangan untuk kejayaan. Sama-samalah kita merenung ke dalam diri, apakah kekuatan dan kelemahan kita dalam menghadapi cabaran mendatang.

Semoga jerat yang kita pasang tidak menjerat kaki kita sendiri. Tidak perlu mengejar bayang.

AZIZAN YAAKOB
Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur

Selanjutnya...

02 June 2009

Syor jurnal guna bahasa Melayu

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |31 Mei 2009|

PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) menyambut baik cadangan Menteri Pengajian Tinggi supaya pensyarah universiti menulis buku, jurnal dan sebagainya dan menjadi antara kriteria utama bagi kenaikan pangkat.

PLM sejak dulu lagi mencadangkan perkara serupa. Perkara ini sepatutnya dijadikan Petunjuk Prestasi Utama, PPU atau KPI bagi semua pensyarah. Cuma pensyarah perlu digalakkan menulis kepakaran bidangnya dalam bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa Inggeris semata-mata kerana hanya dengan cara itu ilmu tinggi berbahasa Melayu akan bertambah.

Jika terus-terusan mereka menulis hanya dalam bahasa Inggeris, maka kepustakaan bahasa Inggeris yang sudah banyak itu saja yang bertambah dan semakin kaya, sedangkan keluhan akan kurangnya bahan ilmiah berbahasa Melayu tidak diubati walaupun disedari sejak lama dan yang mengeluh itu juga mungkin pihak yang sama.

Bahasa hanya akan terangkat jika menjadi bahasa ilmu dan kepustakaannya melimpah. Justeru peranan pensyarah, profesor dan pakar bidang amat relevan bagi memperbanyak lagi bahan rujukan berbahasa Melayu khususnya di negara ini.

Merit lebih juga sepatutnya diberi untuk usaha sedemikian bagi kenaikan pangkat kepada profesor madya dan profesor. Malah untuk lebih berkesan lagi bagi setiap penulisan yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris hendaklah mewajibkan ada terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Usaha itu juga perlu didukung semua badan penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia, Institut Teknologi Nuklear Malaysia dan lain-lain.

Dewan Bahasa dan Pustaka juga mungkin perlu menghidupkan kembali unit terjemahannya yang begitu aktif dan berkesan pada satu ketika dulu yang dapat menghasilkan begitu banyak bahan ilmu berbahasa Melayu.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.

Selanjutnya...

4 subjek teras SPM?

Sumber: Utusan Malaysia |1 Jun 2009|

MUAR 31 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan muktamad untuk mengurangkan bilangan subjek teras dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada enam kepada empat subjek akan diumumkan pada waktu terdekat ini.

Menteri Pelajaran itu menegaskan, pengurangan bilangan subjek teras berkenaan akan membolehkan calon-calon SPM mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut.

Beliau berkata, langkah tersebut diyakini dapat melegakan kebimbangan sesetengah pihak yang berasa khuatir dengan keputusan kerajaan baru-baru ini untuk mengehadkan pengambilan tidak melebihi 10 mata pelajaran dalam SPM.


‘‘Kalau hendak diikutkan yang sedia ada sekarang ini, ada enam subjek teras, jadi mungkin kita akan kurangkan kepada empat sahaja subjek teras.

‘‘Kalau empat subjek teras bermakna ada enam lagi subjek (untuk elektif), jadi dia boleh memilih subjek bahasa Tamil, Mandarin atau agama, masih ada ruang untuk dia buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.

Enam mata pelajaran teras bagi pelajar yang menduduki SPM pada masa ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Semalam, Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan mengehadkan pengambilan tidak lebih 10 mata pelajaran di kalangan calon SPM mulai tahun depan adalah hasil kajian mendalam pelbagai pihak.

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan fokus tidak harus terhadap bidang akademik semata-mata sebaliknya penekanan yang sama perlu diberikan perkara lain.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihaknya sedia maklum keputusan berkenaan menimbulkan rasa bimbang di kalangan sesetengah pihak termasuk dibantah oleh MIC baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun kebimbangan itu wujud namun beliau yakin ia tidak menjejaskan pencapaian calon-calon SPM.

‘‘Saya tak bimbang tentang perkara itu tapi penjelasan muktamad akan dibuat dalam terdekat ini untuk beritahu kedudukan yang terakhir sekali,’’ katanya.

Selanjutnya...

28 May 2009

Mahu imbangi nisbah guru lelaki, wanita

Sumber: Utusan Malaysia |27 Mei 2009|

Kekurangan guru lelaki adalah antara cabaran paling besar dihadapi Kementerian Pelajaran dan kementerian kini dalam usaha untuk mengimbangkan jurang itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, pada masa ini hampir tiga perempat daripada setiap pengambilan tahunan guru-guru baru terdiri daripada wanita.

"Kebanyakan guru yang mengajar di pedalaman ialah guru lelaki. Jadi sebab itulah kita cuba imbangkan sedikit untuk dapatkan lebih ramai guru lelaki bagi memudahkan kita menghantar guru mengajar di pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini, malam tadi.

Mohd. Puad turut mencadangkan supaya guru menandatangani akujanji bersetuju untuk mengajar di luar bandar dengan tempoh perkhidmatan mereka dinyatakan dengan jelas, umpamanya tiga tahun.

Beliau berkata, akujanji seumpama itu perlu bagi mengelakkan guru yang dihantar bertugas di luar bandar, memohon ditukarkan hanya selepas enam bulan mereka di sana.

Mohd. Puad berkata, selain itu ia juga bagi memastikan seseorang guru itu tidak berkhidmat terlalu lama di kawasan pedalaman.

"Saya sendiri menyaksikan kepayahan guru di pedalaman antaranya seorang guru wanita terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan gelombang telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan suaminya.

"Ada juga kes seorang guru wanita dari sebuah sekolah di Marudi, Sarawak bersalin dalam bot ketika dalam perjalanan ke hospital kerana jarak antara sekolah dan hospital jauh," katanya. -

Selanjutnya...

24 May 2009

Sesat di hujung jalan

Sumber: Blog M.A.R.N.I

Akhbar hari ini
melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran akan mengkaji semula had jumlah mata pelajaran yang diambil oleh calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengenalan sistem 'sijil terbuka' kepada calon peperiksaan SPM sejak beberapa tahun yang lalu adalah dengan tujuan yang sangat baik. Ia memberi peluang kepada pelajar kita memperbaiki keputusan peperiksaan SPM mereka tahun demi tahun tanpa had.

Sistem ini juga memberi peluang kepada calon persendirian mengambil peperiksaan mengikut kebolehan mereka, iaitu tidak terikat dengan jumlah mata pelajaran yang wajib diambil seperti calon-calon yang mendaftar di sekolah.

Selain itu, sistem ini juga memberi peluang kepada para pelajar sekolah mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran lain, selain yang ditawarkan oleh pihak sekolah.

Namun, kecenderungan baru mula timbul apabila para pelajar begitu bersungguh-sungguh mencipta rekod berbelas dan berpuluh A dalam peperiksaan tersebut. Secara peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan kecenderungan pelajar kita mengejar jumlah A yang banyak kerana ia tidak mencerminkan kebijaksanaan mereka (boleh baca tulisan saya di sini).

Justeru, kajian semula tentang sistem ini wajar dibuat memandangkan kesan sampingannya bukan sahaja melibatkan pelajar lain secara keseluruhannya, tetapi juga melibatkan penawaran biasiswa dan kedudukan serta persaingan para pelajar dari sekolah berasrama penuh yang kebanyakannya adalah pelajar bumiputera.

Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Jika sistem lama terbukti sebagai sistem yang terbaik, tidak rugi untuk kita berpatah balik.

Begitu juga dengan PPSMI. Hapuskanlah PPSMI kerana ia bukan satu dasar yang baik untuk pelajar kita.

Selanjutnya...

09 May 2009

Sains, Matematik dalam BM

Sumber: Utusan Malaysia |9 Mei 2009|

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LIPIS 8 Mei - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi (gambar) secara peribadi menyokong usaha mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu.

Tegas beliau, kedua-dua subjek itu harus diajar semula ke dalam bahasa Melayu bagi memartabatkan semula bahasa kebangsaan selain meningkatkan jati diri generasi muda.

''Kita bimbang pada masa akan datang generasi hari ini khususnya orang Melayu akan tercari-cari identiti dan budaya bangsa yang hilang akibat mengagungkan bahasa Inggeris," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilanjutkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan hasil kajian yang telah dibuat.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya bersedia untuk 'menunggu lebih lama' bagi memastikan keputusan yang akan dibuat tidak flip flop.

Menurutnya, hasil kajian itu hanya akan dibentangkan ke Kabinet apabila beliau berpuas hati.

Selasa lalu, lima Sasterawan Negara buat pertama kalinya menyatakan pendirian bersama menolak PPSMI, malah dua daripada mereka iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Muhammad Salleh sedia ditarik balik gelaran berkenaan jika keadaan memerlukan.

Mengulas lanjut, Puad memberitahu, bagaimanapun, segala keputusan berhubung PPSMI akan diumumkan oleh Kabinet selepas kajian mendalam berhubung perkara itu selesai.

''Satu pengumuman penting mengenai PPSMI akan dibuat tidak lama lagi setelah mengambil pandangan semua pihak termasuk intelektual Melayu dan pejuang bahasa.

"Saya mahu isu PPSMI ini segera diselesaikan kerana penangguhan akan merugikan semua pihak terutama generasi muda hari ini," katanya.

Beliau menambah, segala keputusan yang dibuat oleh Kabinet berhubung PPSMI tidak akan menyebabkan perbelanjaan yang dikeluarkan selama ini sebagai membazir.

''Peruntukan besar untuk pengurusan dan pembelian peralatan komputer tidaklah membazir kerana ia masih boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Selanjutnya...

09 April 2009

Kabinet 2009

Sumber:http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/4/9/mstar_berita/20090409160613&sec=mstar_berita |9 April 2009|

Senarai jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:

PERDANA MENTERI:Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yassin

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)

2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)

3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)

4. Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)

Timbalan-timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong

2. Datuk Dr Mashitah Ibrahim

3. Datuk S.K. Devamany

4. Ahmad Maslan

5. T.Murugiah

MENTERI KEWANGAN:Datuk Seri Najib Tun Razak

MENTERI KEWANGAN II:

DATUK AHMAD HUSNI MOHAMAD HANADZLAH

Timbalan:

1. Datuk Chor Chee Heung

2. Datuk Dr Awang Adek Hussin

MENTERI PELAJARAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan:

1. Datuk Dr Wee Ka Siong

2. Dr Mohd Puad Zarkashi

MENTERI PENGANGKUTAN:Datuk Ong Tee Keat

Timbalan:

1. Datuk Abdul Rahim Bakri

2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

MENTERI PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan:

1. Datuk Hamzah Zainudin

MENTERI DALAM NEGERI:

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan:

1. Datuk Wira Abu Seman Yusop

2. Jelaing anak Mersat

MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim

Timbalan:

1. Datuk Joseph Salang Gandum

2. Senator Heng Seai Kie

MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan:

Noriah Kasnon

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan:

1. Datuk Hassan Malek

2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

MENTERI PENGAJIAN TINGGI:

Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan:

1. Datuk Dr Hou Kok Chung

2. Datuk Saifuddin Abdullah

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan:

1. Datuk Mukhriz Mahathir

2. Datuk Jacob Dungau Sagan

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Datuk Dr Maximus Ongkili

Timbalan:

Fadillah Yusof

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan:

Tan Sri Joseph Kurup

MENTERI PELANCONGAN:

Datuk Dr Ng Yen Yen

Timbalan:Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Datuk Noh Omar

Timbalan:

1. Datuk Johari Baharum

2. Datuk Rohani Abdul Karim

MENTERI PERTAHANAN:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan:

Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

MENTERI KERJA RAYA:

Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan:

Datuk Yong Khoon Seng

MENTERI KESIHATAN:

Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan:

Datuk Rosnah Rashid Shirlin

MENTERI BELIA DAN SUKAN:

Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan:

1. Datuk Razali Ibrahim

2. Wee Jeck Seng

MENTERI SUMBER MANUSIA:

Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan:
Datuk Maznah Mazlan

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan:

Datuk Tan Lian Hoe

MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Datuk Kong Cho Ha

Timbalan:

Datuk Lajim Ukin

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Datuk Seri Sharizat Jalil

Timbalan:
Datin Paduka Chew Mei Fun

MENTERI LUAR:

Datuk Anifah Aman

Timbalan:

1. A.Kohilan Pillay

2. Datuk Lee Chee Leong

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN:

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Timbalan:

Datuk M.Saravanan

Selanjutnya...