Sumber: Forum Utusan Malaysia |1 Jun 2009|
TULISAN Ridzuan Mahmud dari Kuala Lumpur bertajuk CUEPACS abaikan lulusan universiti bertarikh 26 Mei lalu mengimbau kenangan sedih, pilu tahun 2007 setelah pelarasan gaji dibuat atas tuntutan CUEPACS.
Saya adalah salah seorang kakitangan kerajaan yang bernasib malang. Saya menyahut cabaran kerajaan supaya kakitangan awam meningkatkan ilmu pengetahuan untuk diri, bangsa dan negara.
Saya tidak pernah menyalahkan kerajaan kerana saya tahu ia adalah ketidakprihatinan manusia sendiri. Saya pasrah dengan rezeki yang Allah telah tentukan untuk saya.
Mungkin disebabkan kes saya ini hanya satu dalam seribu jadi semua pihak tidak begitu sensitif dalam membuat sebarang tuntutan.
Untuk pengetahuan, saya adalah seorang guru DGA29 yang telah menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan cuti separuh gaji pada tahun 2001, iaitu sebanyak RM551.65 sebulan.
Saya terpaksa berulang-alik dari UPSI ke Terengganu setiap minggu kerana saya ada tanggung jawab lain terhadap suami, tiga anak saya yang masih kecil yang berumur antara tiga bulan hingga lima tahun. Juga tanggung jawab terhadap kedua orang tua yang semakin uzur.
Syukur kerana saya diberi pinjaman PTPTN yang membolehkan saya menampung kehidupan saya selama tiga tahun pengajian. Terima kasih PTPTN.
Akhirnya saya dapat menghabiskan pengajian saya tanpa menyusahkan pensyarah, UPSI dan juga kerajaan. Pada tahun 2004, saya dapat menggenggam segulung ijazah yang kini menjadi perangsang kepada anak-anak saya untuk berjaya.
Namun begitu selama tiga tahun pengajian, saya dapati banyak kerugian yang saya alami.
Di antaranya ialah:
*Saya kehilangan separuh dari gaji saya.
*Gaji saya selama 3 tahun adalah statik.
*Saya terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN yang menampung pengajian saya.
*Saya kehilangan masa bersama keluarga terutama dengan anak-anak yang sedang membesar.
*Paling menyedihkan, saya terlepas ke gred DG32.
Jika masa boleh diputarkan semula, saya tidak mungkin memilih untuk belajar sepenuh masa. Lebih baik saya belajar secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang tidak membebankan saya dan memberikan banyak faedah. Di antaranya ialah:
*Bergaji penuh.
*Gaji tidak statik.
*Belajar di maktab yang berdekat dengan rumah.
*Tidak perlu berhutang kerana bergaji penuh.
*Dapat DG32 apabila cukup 10 tahun.
*Tidak membazir wang dan masa.
Pada 16 Mei 2004 saya melapor diri di sebuah sekolah menengah di Besut, Terengganu. Saya menyimpan hasrat untuk menabur bakti yang tidak terhingga untuk anak-anak bangsa saya.
Saya ditawarkan dengan gred DG41 pada mata gaji PIT4 dengan gaji RM1710.60. Pada masa yang sama kawan-kawan saya yang tidak menyambung pengajian memperoleh gaji pada gred DG32 pada mata gaji PiTI dengan gaji RM1932.85 tanpa bersusah payah menimba ilmu.
Pada tahun 2007 pula satu kejutan yang amat tidak munasabah dibuat oleh CUEPACS apabila menuntut pelarasan gaji yang tidak selaras dan tidak peka kepada keadaan semasa.
Bayangkan saya yang sudah bergaji kecil mendapat 15 peratus kenaikan dan kawan-kawan saya mendapat 25 peratus kenaikan.
Orang yang tidak bersekolah pun boleh menghitung perbezaan gaji antara saya dengan kawan-kawan saya. Betapa beruntungnya mereka yang tidak menyambung pengajian.
Ini tidak termasuk peluang kenaikan pangkat menjadi guru kanan.
Hari ini saya sekali lagi kecewa apabila CUEPACS menuntut kenaikan gaji khas untuk pekerja sokongan sahaja.
Dengan kata lain, sebagai kakitangan kerajaan tak payah nak susah-susahkan diri untuk belajar.
Tanpa berbuat demikian pun nasib mereka terus beruntung dan sentiasa dibela sehinggakan mereka yang hanya kelulusan SPM mempunyai gaji jauh lebih tinggi berbanding gaji yang berkelulusan ijazah.
Wajarkah perkara ini berlaku dan haruskah berlaku?
Besut, Terengganu">
www.pendidikmy.net
02 June 2009
Pulangan lanjut pelajaran tidak setimpal
Antara guru, pegawai kerajaan
Sumber: Forum Utusan Malaysia |1 Jun 2009|
Saya adalah salah seorang kaki tangan kerajaan. Isu CUEPACS Abaikan Lulusan Universiti tulisan Ridzuan Mahmud, Kuala Lumpur dan jawapan PTK Bukan Penentu Kenaikan Pangkat oleh Nik Noraini Nik Ya, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Perkhidmatan Awam yang disiarkan di ruangan ini 26 Mei lalu mendorong saya meluahkan isi hati.
Terlebih dahulu saya ingin mengulas tulisan Saudara Ridzuan Mahmud yang menyatakan bahawa golongan pendidik DG 41 dan DG 44 menerima arahan daripada pegawai Pejabat Pendidikan yang mempunyai gred lebih rendah.
Saya sangat bersetuju. Ada ketikanya suara mereka lebih tinggi daripada kami. Kami pula kelihatan seperti kerani bergred rendah.
Sebenarnya bukan itu sahaja. Kami (golongan pengurusan dan profesional) yang berkhidmat di sekolah tidak mendapat hak yang sepatutnya seperti yang diterima oleh rakan-rakan kami yang sama kategori tetapi berkhidmat di jabatan atau kementerian.
Kalau mereka boleh duduk di bilik masing-masing kerana sudah menjadi penolong pengarah sekurang-kurangnya pada gred 41 dan 44, kami di sekolah jauh sekali.
Kami duduk bersesak-sesak dalam satu bilik. Lebih 10 tahun berkhidmat pun masih lagi menjadi guru biasa. Tetapi kami tak kisah kerana ini pilihan kami. Berkhidmat untuk negara.
Kenaikan pangkat rakan kami di jabatan atau kementerian juga lebih cepat berbanding kami.
Kami di sekolah terpaksa menunggu lebih lama ke jawatan sekurang-
kurangnya Penolong Kanan kerana kekosongan yang terhad.
Oleh itu, tidak hairanlah sebahagian besar daripada kami yang pencen dengan jawatan guru biasa sahaja.
Perkara ini hendak buat tak kisah pun tidak boleh juga kerana kami beranggapan kami juga berhak seperti rakan kami di jabatan atau kementerian.
Berilah kami hak yang sama rata dengan rakan-rakan kami di jabatan atau kementerian.
Menteri Pelajaran sebelum ini dan Menteri Pelajaran terkini telah pun mengumumkan pertambahan jawatan Guru Cemerlang dan memperkenalkan jawatan Guru Tingkatan Enam sebagai membantu kenaikan pangkat golongan pendidik. Tetapi perkara yang berlaku tidak seperti yang dikatakan.
Pada tahun 2007, kami beramai-ramai mengisi permohonan jawatan Guru Cemerlang sebagai menyahut seruan Menteri Pelajaran.
Selepas dinilai Jemaah Nazir dan mereka berpuas hati dengan prestasi kami, keputusan yang dinanti dengan penuh debaran tidak kunjung tiba.
Teruk sangatkah kami ini sehingga tidak layak dilantik sebagai Guru Cemerlang sedangkan saban tahun kami melahirkan pelajar cemerlang dan ramai yang memasuki IPT?
Seterusnya saya ingin merujuk tulisan Nik Noraini Nik Ya yang mengatakan bahawa PTK bukan penentu kenaikan pangkat. Terdapat syarat-syarat lain seperti kecekapan, kelayakan, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, sifat-sifat peribadi dan lain-lain.
Sedap hati membacanya. Tetapi kenapakah permohonan kami untuk jawatan Guru Tingkatan Enam ditolak kerana semata-mata telah dilantik ke DG 44, dan tidak atau belum mempunyai keputusan DG 44 pada aras III atau IV, sedangkan kami telah mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengajar kelas tingkatan enam lebih daripada 10 tahun.
Saya terkilan rakan DG 41 yang baru tiga tahun mengajar tingkatan enam (syarat permohonan tiga tahun mengajar tingkatan enam dan lulus PTK) telah dilantik ke jawatan ini dan diberikan kenaikan ke DG 44.
Dengan kata lain, guru yang baru posting pada tingkat DG 41 dengan mudahnya dinaikkan ke DG 44 hanya dalam tempoh tiga tahun.
Bukan iri hati tetapi di manakah logiknya?
Kami yang baru dilantik ke DG 44 awal tahun ini setelah melalui time base selama 10 tahun diketepikan oleh kerajaan.
Kami diminta memohon semula selepas lulus PTK DG 44 yang akan diambil pada Ogos nanti.
Lantikan mungkin akan hanya dibuat pada tahun hadapan. Itu pun kalau kuota 5:3:2 di sekolah masih belum dipenuhi. Kalau kuota DG 48 Guru Tingkatan Enam sudah dipenuhi alamat gigit jarilah kami.
Pada peringkat permulaan ini semua guru yang sedang mengajar tingkatan enam masih dibenarkan mengajar tingkatan enam sehingga 2011.
Selepas itu apakah nasib kami apabila kami tidak dilantik tetapi telah mengajar pelajar tingkatan enam berbelas tahun lamanya? Malah ada dalam kalangan kami merupakan pemeriksa kertas STPM.
Tidakkah ini merugikan? Bukan kenaikan DG yang kami rebut tetapi minat kami yang lebih mendalam untuk mengajar pelajar tingkatan enam ini harap dipertimbangkan.
Jangan jadikan jumlah kami yang ramai ini sebagai alasan untuk menidakkan hak kami. Mohon Menteri Pelajaran membantu kami merungkai masalah ini.
Bukit Mertajam
Pulau Pinang
20 May 2009
Guru lepasan diploma dilupakan
Sumber: Forum Utusan Malaysia |20 Mei 2009|
KITA berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di atas pengumuman beliau pada majlis Perasmian Hari Guru 2009 di Kuala Terengganu 16 Mei lalu mengenai begitu banyak peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru Lepasan Ijazah (PPPS).
Mereka ini kebanyakannya bertugas di sekolah-sekolah menengah, menjadi pegawai di Kementerian Pelajaran (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pensyarah di Institut Perguruan dan Kolej Matrikulasi di seluruh Malaysia.
PPPS ini ada juga yang sudah mula bertugas di sekolah rendah. Tetapi mereka ini adalah kelompok guru-guru lepasan diploma yang menyambung pelajaran secara dalam perkhidmatan dan masih baru serta ada yang belum dilantik dan disahkan dalam jawatan.
Pengumuman Muhyiddin itu sememangnya begitu menggembirakan guru-guru PPPS kerana peluang mereka untuk meningkat ke gred yang lebih tinggi begitu luas dan terbuka.
Tetapi bagaimana pula nasib rakan-rakan guru-guru lepasan diploma (PPPLD) yang rata-rata berada di sekolah rendah, terutama di kawasan-kawasan pedalaman yang terpaksa meredah kesusahan? Mereka ini ada juga yang ditempatkan di KPM, JPN dan PPD tetapi hanyalah sebagai runner kepada pegawai-pegawai atasan.
Bagi saya, jasa dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka ini amat berat dan sentiasa menjadi perhatian dan penilaian daripada semua pihak kerana merekalah pelaksana segala teori-teori, dasar-dasar, rekaan-rekaan dan ciptaan-ciptaan para kaum intelektual atasan.
Sesungguhnya guru lepasan diploma inilah yang sentiasa diasak oleh pelbagai pihak dengan arahan-arahan yang kadang-kala sesak nafas dibuatnya. Bidang ko-kurikulum seperti aktiviti sukan dan badan beruniform, ramailah guru-guru PPPLD ini yang menjadi tunggak utama.
Oleh itu, kita sangat dukacita dengan nasib yang menimpa golongan guru PPPLD ini. Mereka seperti tiada pembelaan.
Pada pelancaran Hari Guru 2009 baru-baru ini, tidak ada langsung habuan yang menggembirakan mereka, seolah-olah mereka ini tidak wujud. Mereka dilupa dan disisih untuk mendapat sedikit habuan.
Setahu saya, pihak kesatuan guru telah pun mengemukakan beberapa memorandum dan permohonan yang dirasakan relevan untuk guru PPPLD ini peroleh.
Sebagai contoh, perubahan laluan kerjaya PPPLD dijadikan lima gred (GGA 29, DGA 32, DGA 34, DGA 36 dan DGA 38) dari tiga gred (DGA 29, DGA 32 dan DGA 34).
Selain itu tambahan elaun kepada guru-guru penolong kanan, wujudkan ketua bidang, elaun keraian guru besar dimasukan dalam slip gaji, kaji semua habuan serta kemudahan bagi guru di pedalaman dan banyak lagi masalah dan rintihan yang telah dikemukakan.
Mungkin kertas kerja yang dikemukakan tidak begitu kemas dan ilmiah kerana yang ramai menjadi pemimpin kesatuan guru adalah daripada kalangan guru-guru PPPLD.
Mereka ini mungkin hanya tahu berhujah secara lisan tetapi tidak secara kertas kerja yang ilmiah. Maklum sajalah, penyedia kertas kerja tersebut tidak ada ijazah.
Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dengan apa yang diberi kepada guru setakat hari ini. Tetapi harapan kami agar pihak atasan berhati-hati ketika hendak memberi habuan atau hadiah agar tidak ada yang tercicir dan tergores hati.
MOHAMAD ISMAIL
Setiausaha Agung Kongres
Kesatuan Guru Dalam
Perkhidmatan Pelajaran
Malaysia (KONGRES)