Teliti isu bahasa Melayu hingga ke akar umbi
DR. SHARIFUDIN LUBISPensyarah Kanan,Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.
Isu cabaran dan penghinaan yang dihadapi bahasa Melayu nampaknya tidak pernah reda. Lepas satu isu, satu isu yang lain pula akan muncul. Setiap kali pula media tidak jemu memaparkannya apatah lagi apabila membabitkan kenyataan dan ulasan oleh para pemimpin negara.
Ada dua isu bahasa Melayu yang timbul setakat beberapa hari ini. Satu ialah berkenaan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan para peguam. Satu lagi ialah berkaitan papan tanda kawasan perumahan dan nama jalan sebuah taman perumahan di Ipoh.
Pada pendapat saya, kedua-dua isu terbaru ini dan isu-isu lain yang berkaitan dengan status bahasa Melayu boleh diselesaikan dengan mendiagnosis akar puncanya. Saya menarik perhatian kepada asas pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Negara, Fasal 152.
Masyarakat sering dikhabarkan bahawa kedudukan bahasa Melayu dijamin oleh Perlembagaan. Namun demikian ada sebahagian fasal tersebut yang dengan jelas menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh dilarang daripada digunakan, malah boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja terutama penutur jati masing- masing.
Walaupun banyak pihak (termasuk Datuk Azian Osman - seorang peguam, Senator, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur yang mempertikaikan papan tanda pelbagai bahasa di kawasannya) yang menyangka bahawa Fasal 152 itu begitu luhur dan dapat menjamin kedudukan bahasa Melayu, tetapi hakikatnya ialah bahasa Melayu terpaksa juga bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
Dalam era dunia yang sangat dikuasai kapitalis, bahasa Melayu langsung tidak berdaya saing dari segi ekonomi dan menjadikannya bahasa yang tidak berkuasa apa-apa, walaupun seolah-olah selamat dalam Perlembagaan.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kuasa politik orang Melayu merudum semenjak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu. Ternampak jelas perkaitannya; apabila kuasa politik Melayu terjejas, daulat bahasa Melayu turut terheret ke lembah penghinaan.
Tiada sesiapa lagi yang peduli akan nasib bahasa ini kerana 'sudahlah miskin, hina pula'!
Sebelum kita menuding jari kepada pihak lain untuk dipersalahkan, saya fikir elok jika kita sendiri bermuhasabah diri. Kedudukan bahasa Melayu menjadi begitu goyah kerana akarnya tidak kemas. Akar yang dimaksudkan di sini ialah dari segi kedudukan sebenarnya dalam Perlembagaan. Fasal 152 itu menjadi rujukan asas kepada pelbagai dasar bahasa yang terbit kemudian.
Pelbagai pindaan dangkal (terutama beralaskan agenda politik) dibuat dan akhirnya menjadikan status bahasa Melayu tidak ubah seperti 'raja tanpa kuasa'. Jika kita benar-benar mahu memartabatkan bahasa Melayu, perkemaskan intipati fasal tersebut dan buat pindaan terhadap setiap perkataan, ungkapan atau ayat yang boleh menggugat status bahasa Melayu.
Secara sedar atau tidak, syarat yang dikenakan dalam fasal itu membolehkan sekolah beraliran jenis kebangsaan ditubuhkan. Para pemimpin pula tidak wajib menggunakan bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi. Banyak situasi majlis rasmi sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa (yang dihadiri oleh hanya seorang dua orang asing) yang memperlihatkan para pemimpin tertinggi negara tidak menggunakan bahasa Melayu.
Masih ramai pula peguam (rakyat Malaysia dan menerima pendidikan bidang guaman sepenuhnya di Malaysia) tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbicaraan di mahkamah. Kesemua mereka tidak boleh disabitkan sebagai melanggar Perlembagaan kerana Perlembagaan membolehkan bahasa lain selain bahasa Melayu digunakan.
Tidak cukup dengan itu, status bahasa Melayu sebagai akar perpaduan rakyat negara ini juga tidak dipedulikan, terutamanya yang membabitkan dasar-dasar sosial termasuk pendidikan.
Dalam keadaan yang goyah, diperkenalkan pula dasar PPSMI yang menjadikan bahasa Melayu terus terpinggir kerana kehilangan peranannya sebagai bahasa pengantar dominan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Sekali lagi para pemimpin tidak bersikap 'kepimpinan melalui teladan'. Bagaimanakah komunikasi antara rakyat berbilang kaum dapat 'dinyah prejudis' jika bahasa pertuturan mereka berlainan? Jurang komunikasi inilah yang menjadikan isu perpaduan kaum semakin parah.
Satu sahaja jalan bagi menyelesaikan kemelut ini iaitu menerusi jalan politik. Sementara kerajaan yang ada masih mempunyai kuasa majoriti, para pemimpin yang telah diberi mandat haruslah meneliti isu bahasa Melayu ini sehingga ke akar umbinya.
Janganlah bermain retorika politik lagi. Pilihlah; sama ada ikhlas untuk mendaulatkan bahasa Melayu atau 'alang-alang menyeluk pekasam' biarkan kita menjadi seperti Singapura.
Kami para pencinta bahasa Melayu sudah jemu bermain dengan perasaan; seperti kata pantun:
Apa diharap padi seberang,
entah berbuah entahkan tidak,
entah dimakan pipit melayang;
apa diharap bahasa tersayang,
entah bertuah entahkan tidak,
entah semakin bertambah hilang!
Sumber: Rencana Utusan Malaysia Online (11 Disember 2008)
2 komen:
Appreciate you bloggiing this
Great post thankss
Post a Comment