Sumber: Berita Harian | 19 Februari 2009
Oleh: Salbiah Ani
Kementerian Pelajaran diminta melihat rasional di sebalik protes
KEMENTERIAN Pelajaran diminta melihat protes penolakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu (PPSMI) sebagai usaha mempertahankan bahasa Melayu dengan fungsi bahasa ilmu dan bukan penentangan kepada menteri mahupun kementerian terbabit.
Seorang bapa, Khairul Anwar (bukan nama sebenar) yang ditemui meminta Kementerian Pelajaran melihat rasional di sebalik penentangan PPSMI di kalangan pejuang bahasa Melayu negara ini sebagai turut mewakili kemelut yang dihadapi sebahagian besar ibu bapa tidak berkemampuan.
“Kami juga mahu anak cemerlang dalam pelajaran apalagi dalam kedua-dua subjek berkenaan. Bagaimana anak kami mahu cemerlang jika mereka tidak faham bahasa yang digunakan untuk PPSMI. Kami pula tidak mampu menghantar mereka untuk mendapatkan tuisyen,” katanya.
Muhammad Basiron (bukan nama sebenar), berkata beberapa anaknya terbabit secara langsung dengan dasar PPSMI dan beliau sudah melihat sendiri kesulitan yang terpaksa dihadapi anak-anaknya bagi memahami subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
“Dasar ini tidak adil untuk anak-anak yang seluruh isi keluarga tidak memahami bahasa Inggeris. Bukan anak-anak saya malas belajar, tetapi halangan bahasa menyebabkan minat mereka mati. Jika dulu ceria mengulang kaji pelajaran, kini seperti bosan dan terpaksa. Saya pula tidak mampu menghantar mereka tuisyen kerana bilangan ahli keluarga yang ramai dan bergaji kecil,” ujarnya.
Norhayati Salleh (bukan nama sebenar) berkata, beliau mendengar sendiri keluhan anaknya mengenai guru yang mengajar kedua-dua subjek berkenaan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris kerana pelajar tidak faham.
“Masa yang diambil untuk memahami sesuatu topik menjadi panjang disebabkan masalah bahasa. Bukan saja guru tertekan dengan situasi ini, tetapi murid turut menerima tempiasnya kerana mereka terkial-kial sama dan akibatnya minat serta tumpuan terjejas.
“Ada juga sesetengah guru tidak menguasai bahasa Inggeris, tetapi terpaksa mengajar meskipun bukan bidangnya kerana mengikut suami berpindah dan kekosongan di sekolah kebetulan hanya untuk kedua-dua subjek berkenaan,” jelasnya.
Seorang ibu, Jamaliah Sidek (bukan nama sebenar) berkata, meskipun beliau tidak menafikan niat baik Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar melalui kedua-dua subjek berkenaan, tetapi baginya PPSMI gagal mencapai matlamat.
“Hendak dikatakan anak saya cemerlang dalam bahasa Inggeris tidak juga. Saya sendiri yang membantu mereka, ada kalanya terpaksa merujuk kamus dan lebih banyak masa terpaksa diluangkan untuk memastikan anak-anak dapat menyelesaikan kerja sekolah.
“Ada baiknya Kementerian Pelajaran memastikan pendekatan pengajaran subjek Bahasa Inggeris yang diberi tumpuan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar kerana kaedah sekarang, kurang membantu ke arah ini,” ujarnya.
Sumber memberitahu Sastera, sesetengah guru PPSMI gembira menerima tanggungjawab terbabit kerana mereka menerima imbuhan lumayan bagi kedua-dua subjek berkenaan, meskipun sedar ada kalanya keupayaan diri terbatas.
“Saya diberitahu guru PPSMI tanpa ijazah mendapat imbuhan tambahan 10 peratus daripada gaji mereka manakala berijazah lima peratus dan kerana itu mereka bersedia dan ternanti-nantikan peluang untuk mengajar kedua-dua subjek berkenaan,” jelasnya.
Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi, pula mengulangi pendirian persatuan terbabit yang mahu PPSMI dimansuhkan segera demi kepentingan pelajar yang tidak menguasai bahasa Inggeris.
“Dalam suasana ketidaktentuan politik negara, isu lompat parti dan peralihan kuasa di Perak serta krisis institusi diraja yang menggamit tumpuan umum, selain masalah ekonomi yang menggugat kestabilan negara, isu penolakan PPSMI tidak sewajarnya dipandang sepi,” katanya.
Baginya, perangkaan yang dikeluarkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) iaitu 625,987 calon menjawab dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk kedua-dua subjek itu berbanding 1,037,232 kertas Sains dan Matematik yang sah diperiksa pada UPSR lalu, ia suatu yang mendukacitakan.
Justeru, PKPIM berpendapat, sewajarnya PPSMI segera dimansuhkan bagi memulihkan prestasi dan kefahaman Sains dan Matematik di kalangan pelajar dan serentak itu memperkasakan program pemantapan Bahasa Inggeris di sekolah dalam usaha mengantarabangsakan pendidikan negara.
0 komen:
Post a Comment