:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

05 November 2008

Dari Mana Datangnya Tatabahasa dan Budi Bahasa


Sumber: Blog Profesor Emiretus Abdullah Hassan

Orang berbudi kita berbahasa.
Orang memberi kita merasa.

Dalam menggunakan bahasa, ada dua jenis peraturan penting. Pertama adalah peraturan-peraturan seperti sebutan, ejaan, tatabahasa, kosa kata, tanda baca dll. Peraturan-peraturan ini dipanggil tatabahasa. Kedua alah peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang, dll. Peraturan-peraturan ini dipanggil budi bahasa. Malah, budi bahasa yang dijelaskan dalam bahagian berikut, adalah lebih penting.
Budi bahasa belum mendapat tempat sewajarnya dalam kursus bahasa Melayu baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Orang-orang Melayu yang tidak bersekolah mahir menggunakan bahasa tanpa belajar budi bahasanya. Mereka pandai menggunakan bahasa hormat apabila bercakap dengan pegawai-pegawai tinggi di pejabat-pejabat kerajaan. Orang-orang bukan Melayu yang belajar tatabahasa bahasa sahaja, mungkin mengalami masalah apabila tidak diajar peraturan-peraturan budi bahasa.


Pada masa ini, akibat adanya anak-anak Melayu yang membesar di luar suasana yang dapat menanamkan budi bahasa ini, kita mula berhadapan dengan keadaan bahawa ada anak-anak Melayu sendiri yang tidak mendapat pendidikan budi bahasa ini secara tradisional, maka berlakulah kelemahan dalam penggunaan bahasa yang santun ini.

Daripada pengalaman kita dapat mengetahui bahawa peraturan-peraturan budi bahasa ini kita pelajari melalui sistem pesekitaran budaya penggunaan bahasa tersebut. Kita dilatih dan diasuh oleh ahli keluarga dalam budaya yang kita amalkan. Ada dua kaedah umum yang dapat kita perhatikan digunakan.

Nilai Tradisional

Pertama, nilai sopan santun berbahasa ini diturunkan kepada kita oleh orang tua-tua. Sejak kecil ibu bapa mengasuh anak-anak supaya menggunakan perkataan-perkataan sopan apabila bercakap dengan orang yang lebih tua, atau orang lebih tinggi kedudukannya. Sebagai contoh: Umpamanya, ibu memebri tahu anak:

* ”Dia itu pangkat abang pada kamu, panggillah dia Abang Long.”
* Orang itu adik bongsu ayah engkau, panggillah beliau Pak Bongsu.”
* ”Beliau itu ketua kampung, kita semua memanggilnya Datuk.”
* ”Itu Tuk Imam sampai, engkau jemput Tuk Imam masuk.”

Anak-anak yang gagal berbuat begitu akan dipanggil ”kurang ajar.” Orang kurang ajar adalah orang yang tidak berbudi bahasa. Orang yang berbudi bahasa dikatakan orang berbudi, orang berbahasa, pandai tutur kata, manis budi bahasa. Dalam budaya timur kita diminta berbudi bahasa. Memberi hormat kepada orang yang dilawan bercakap. Ini adalah sistem panggilam dalam keluarga.

Walau bagaimanapun, sistem panggilan dalam keluarga tidak boleh digunakan di luar keluarga, lebih-lebih lagi dalam konteks rasmi. Apabila ini dilakukan, maka kita melanggar tatabahasa sosial. Katakanlah kita berada di pejabat kerajaan dan bertemu seorang pegawai wanita yang tidak kenali. Tiba-tiba sahaja kita memanggil dia Mak Cik, maka ini tidak menghormati jawatannya. Kita perlu menghormati dia dengan panggilan Puan.

Ajaran Melalui Bidalan dan Pepatah

Kedua, ada banyak tunjuk ajar dalam bidalan dan pepatah bahasa Melayu. Ini semuanya dapat dijadikan pedoman. Berikut adalah beberapa contoh:

* Bahasa menunjukkan bangsa.
* Orang berbudi kita berbahasa.
* Sebab mulut badan binasa.
* Terlajak perahu boleh undur semula; terlajak kata buruk padahnya.
* Bercakap malam dengar-dengar, bercakap siang pandang-pandang

Malah apabila seseorang melakukan kesilapan, dia perlu memohon maaf.

* Kalau nama yang salah sebut,
* Kalau gelar yang salah ucap,
* Kami mohon dimaafkan.

Kita sentiasa diingatkan bahawa dalam bercakap kita perlu memberi perhatian kepada banyak unsur-unsur budaya. Perlakuan beginilah yang dipanggil budi bahasa. Orang yang mengamalkannya dipanggil orang berbudi bahasa.

Apabila kita menggunakan bahasa, ada dua aspek penggunaan bahasa yang perlu diambil kira, dan kedua adalah aspek budi bahasa. Walau bagaimanapun kedua-dua aspek tidaklah tidaklah ketara dalam proses penguasaan bahasa Melayu melalui konteks semula jadi dalam kalangan orang Melayu yang menuturkan bahasa Melayu dalam aktiviti kehidupan harian mereka. Yakni, katakanlah dalam kalangan masyarakat luat bandar yang tidak pelru mencampur adukkan bahasa mereka dengan bahasa Inggeris.

Tatabahasa

Yang dikatakan aspek tatabahasa itu ialah peraturan-peraturan, ejaan, pembentukan perkataan, pembentukan ayat, makna dan peribahasanya. (Anak-anak orang di luar bandar ini dapat menguasai semula semua sistem ini, melainkan pembentukan perkataan dan pembentukan ayat.)

Budi Bahasa

Yang dikatakan aspek budi bahasa itu ialah peraturan-peraturan menggunakan bahasa dlam konteks berkomunikasi. Apabila kita berkomunikasi, kita melibatkan orang lain yang mendengar, menjawab, membalas, dll. Sopan santun adalah amat pelru bagi menjaga iklim komunikasi tersebut.

Dengan demikian tatabahasa menjaga peraturan-peraturan mekanika bahasa supaya menjadi betul sebutan, bentuk perkataan, bentuk ayat, makna atau peribahasa. Seterusnya budi bahasa menjaga penghormatan, sopan santun suaya tidak tersinggung.

Contoh:

Komunikasi lisan yang betul tatabahasa dan salah budi bahasa.

Kerani: Kamu boleh masukkan surat surat yang sudah disain ke dalam kotak itu (memuncung bibir ke arah kotak yang ditunjukkan, dengan muka masam.)

Komunikasi lisan yang betul tata bahasa dan budi bahasanya.

Kerani: Sila Puan Msukkan borang yang lengkap dan sudah ditandatangani itu ke dalam sampul surat ini (sambil menunjukkan sampul surat dengan ibu jari.) dan sila masukkan ke dalam kotak di sana (sambil menunjuk dengan jari ibu menunjukkan ke kotak, dengan muka manis, tidak perlu senyum.)

written by profabdullah

0 komen:

Post a Comment