:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

12 May 2009

Hargai guru di pedalaman

Sumber: Forum Utusan Malaysia |11 Mei 2009|

Apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, mengumumkan cadangan menaikkan elaun bagi guru-guru di pedalaman, saya rasa sangat gembira dan teruja walaupun saya tidak bertugas di pedalaman.

Sebelum ini saya telah berkhidmat di pedalaman selama 10 tahun. Saya hanya menikmati elaun pedalaman pada penghujung perkhidmatan saya di pedalaman. Saya mengerti dan faham akan kesusahan guru-guru yang berada di pedalaman.

Sempena Hari Guru yang bakal menjelang bulan ini, sewajarnya penghargaan seperti menaikkan elaun diberikan kepada guru-guru yang bersedia berkhidmat di kawasan pedalaman.


Tidak semua guru yang sanggup berkhidmat di pedalaman dan ada yang liat hendak berkhidmat di sana dengan pelbagai alasan. Ada pula yang mendirikan rumahtangga supaya cepat berpindah dengan alasan mengikut suami.

Ini semua kerana ketakutan dan kegusaran sesetengah bakal guru dan guru yang sering dihidangkan dengan jerit perih guru di pedalaman.

Memang benar guru yang berkhidmat di pedalaman banyak menghadapi rintangan. Sepuluh tahun saya berdepan dengan pelbagai masalah ketika berkhidmat di pedalaman. Dalam sebulan hanya sekali kami ke bandar, itu pun sebab urusan pembayaran bil, urusan bank dan sebagainya. Kami hanya ada hari Sabtu untuk berurusan.

Selepas pihak bank mengumumkan hari Sabtu adalah hari tidak bekerja maka kami bergegas ke bandar selepas waktu kelas pada hari Jumaat.

Itu pun bagi yang jarak perjalanan yang dekat mungkin sempat berurusan pada hari Jumaat. Tetapi bagi jarak sekolah terlalu jauh dan memakan masa lebih lapan jam tentulah tidak sempat untuk berbuat demikian. Maka terpaksalah memohon ihsan daripada kawan-kawan yang berada di bandar.

Yang lebih perit lagi apabila kami terpaksa menyewa kereta pacuan empat roda untuk kembali ke sekolah dengan bayaran yang sangat mahal. Kadang-kadang kami terpaksa ke bandar bersendirian atas urusan berkursus dan sebagainya.

Perbelanjaan bulanan akan meningkat sekiranya banyak kursus yang perlu dihadiri. Walaupun ada tuntutan perjalanan dibuat tapi ia masih tidak dapat menampung perbelanjaan sebenar yang dikeluarkan.

Bagi guru-guru yang menggunakan pengangkutan air mereka lebih terdedah kepada bahaya. Begitu juga dengan guru-guru yang merentas laluan balak dan sebagainya.

Kepada Menteri Pelajaran yang baru (Tan Sri Muhyiddin Yassin) saya mencadangkan agar guru-guru ini diberi insurans percuma.

Paling memeritkan juga apabila kami di pedalaman tidak mendapat bekalan makanan segar. Kadang-kadang nak makan ikan dan ayam pun susah, apatah lagi nak mendapatkan bekalan sayuran.

Ada pun makanan dihantar, hanya mencukupi untuk murid-murid bagi yang berasrama. Guru-guru pula susah hendak mendapatkan bekalan. Hanya bergantung kepada makanan tin sahaja.

Bersempena Hari Guru ini, saya menyeru kepada pihak Kementerian Pelajaran agar guru-guru yang berkhidmat di luar bandar diberi peruntukan untuk makan bersama murid asrama.

Saya mewakili rakan-rakan saya yang berkhidmat di pedalaman berharap agar Kementerian Pelajaran tidak menganggap isu ini sebagai isu remeh. Disebabkan masalah makanan ini maka saya sekarang menghadapi masalah kesihatan.

Menurut Dr. Mohd. Puad dalam Utusan Malaysia, ada guru yang sanggup memanjat pokok untuk mendapatkan liputan talian telefon. Begitulah rutin harian kami sekiranya hendak berhubung dengan keluarga yang berada jauh.

Ia bukan luar biasa bagi guru-guru di pedalaman tetapi sangat luar biasa bagi orang luar yang tidak tahu pengorbanan guru-guru di pedalaman.

Malah kami hanya berbekalkan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik yang kadang-kala tidak beroperasi disebabkan tiada bekalan minyak atau minyak tidak dapat dihantar kerana masalah-masalah teknikal.

Ada kalanya generator rosak berminggu-minggu hinggakan guru-guru di pedalaman terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam.

Dalam keadaan dunia yang semakin panas, kami di pedalaman tidak pernah menggunakan pendingin udara atau kipas untuk menghilangkan peluh, hanya berbekalkan buku sebagai kipas pada waktu malam.

Malah ada sekolah yang tiada bekalan air bersih dan hanya bergantung kepada air sungai atau air bukit sahaja. Semua ini menuntut pengorbanan yang tidak terhingga demi untuk mendidik anak bangsa.

Itulah di antara pengorbanan yang kami lakukan untuk murid-murid di pedalaman. Kalau hendak saya tuliskan di sini rasa-rasanya satu muka surat pun tidak memadai.

Saya merasa cukup bangga dengan saranan Timbalan Menteri Pelajaran berkenaan dengan elaun pedalaman tersebut. Saya mahu memberikan sokongan saya kepada rakan-rakan saya yang berkhidmat di pedalaman.

Tetapi saya juga menyeru agar Kementerian Pelajaran tidak lupa kepada guru-guru yang berkhidmat di bandar yang ketika ini juga berdepan dengan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat. Jarak sekolah yang jauh dan sewa rumah yang semakin tinggi juga harus diberi perhatian.

Mungkin sesetengah masyarakat beranggapan bahawa tugas guru sangat mudah kerana berkhidmat hanya setengah hari sahaja. Tetapi bagi yang tahu (terutama yang mempunyai ahli keluarga seorang guru) tentu akan menyokong saranan ini.

Tugas guru tidak berakhir pada pukul 1 petang malah kadang-kala sampai pukul 10.00 malam terutama yang memberikan kelas tambahan. Namun kami rela menjadi lilin membakar diri untuk menjadikan anak bangsa Malaysia menjadi rakyat yang berakhlak mulia dan pintar.

CIKGU LEEZA

Sarawak

0 komen:

Post a Comment