Ramai kalangan guru yang menghadapi masalah seperti yang diutarakan oleh pengirim dalam ruangan forum Utusan Malaysia ini. Guru yang ditempatkan berjauhan dengan keluarga memang mematuhi peraturan penempatan mereka. Mereka juga mengikut prosedur untuk memohon pertukaran tetapi pelbagai masalah pula yang timbul. Hal demikian menjadi antara punca yang menjejaskan emosi guru-guru dalam melaksanakan tugas mereka.
Sumber: Forum Utusan Malaysia |28 Mei 2009|
SAYA guru PPPS DG41, kini berkhidmat di SMK Kuala Krau, Temerloh, Pahang sejak Januari 2006 dan telah berkhidmat selama empat tahun. Saya dukacita apabila permohonan pertukaran saya (dari negeri Pahang ke Johor) buat kali ketiga tidak diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya telah memohon pertukaran pada sesi Jun 2008, Januari 2009 dan Jun 2009, tetapi permohonan saya tidak diluluskan.
Saya memohon pertukaran atas sebab-sebab berikut:
# Saya di Temerloh, Pahang manakala isteri dan anak di Kulai, Johor. Isteri saya baru melahirkan anak (April 2009) setelah dua kali keguguran. Isteri tinggal bersendirian dan terpaksa mengurus anak tanpa suami. Bagaimana jika sesuatu berlaku sewaktu ketiadaan saya?
# Isteri saya juga seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Indahpura, Kulai, Johor. Sekolah jenis ini hanya ada dua buah sahaja iaitu di Kulai, Johor dan Shah Alam, Selangor. Apabila berada dalam situasi begini, kenapa pertukaran daripada pihak suami tidak dipertimbangkan dengan sewajarnya?
# Saya terpaksa berulang-alik dari Kuala Krau, Temerloh, ke Kulai, Johor sejauh lebih 950 kilometer (pergi dan balik - bersamaan 13 jam setiap perjalanan) setiap minggu untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Ini melibatkan banyak belanja dan masa.
Masalah yang saya hadapi membuatkan saya tertekan dari segi emosi dan fizikal. Lazimnya pada setiap hari Isnin dan Selasa saya keletihan (fizikal dan mental) kerana perjalanan yang jauh di hujung minggu. Diakui, ia menyebabkan tumpuan saya pada tugas utama untuk mengajar terjejas.
Saya amat mengharapkan pihak-pihak yang berkenaan seperti Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh, Jabatan Pelajaran Pahang serta Kementerian Pelajaran dapat memberi pertimbangan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap permohonan saya.
Kuala Krau,
Pahang
www.pendidikmy.net
28 May 2009
Guru mohon pertukaran dilulus
Labels:
guru,
kebajikan,
kerjaya,
kisah,
pendidikan,
peribadi,
perkhidmatan,
persekolahan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen:
Post a Comment