:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

08 October 2008

Kurikulum baru bentuk murid berwawasan

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian (8/10/2008)

BARU-BARU ini ada cadangan daripada Kementerian Pelajaran yang bakal melaksanakan kurikulum baru sekolah rendah selewat-lewatnya pada 2010 seperti diumumkan Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeluruh serta tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.


Cadangan itu diperjelas Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Ali Abdul Ghani yang menyatakan kurikulum itu lebih menyeronokkan, sekali gus menjanjikan pengalaman baru kepada murid berusia tujuh hingga 12 tahun.

Tidak seperti perubahan drastik kepada pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada 2003, pindaan kepada kurikulum sedia ada tahap UPSR itu disemak dan diteliti sehalus dan terperinci mungkin.
mencapai objektif melahirkan insan berilmu serta berketrampilan dan pekerti terpuji. Kepincangan sosial sebenarnya natijah daripada kepincangan begini.

Yang dituntut Falsafah Pendidikan Negara sejak dulu lagi ialah kelahiran tokoh pemikir di kalangan anak didik selepas mereka menelaah ilmu dalam pelbagai bidang dan disiplin di institusi pengajian tinggi.

Malangnya, hasrat ini tidak tercapai dalam erti kata sebenarnya. Universiti kita semacam sudah basi dengan momokan melahirkan 'produk massa', tiada pemikir tersohor mencecah tahap global.

Mengapakah terjadi begitu? Kurikulum bersepadu sekolah rendah terlalu mementingkan kelulusan cemerlang sekurang-kurangnya 5A tahap UPSR untuk masuk ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara diletakkan sebagai faktor terpenting.

Murid dipaksa menghafal fakta demi fakta, termasuk isi dan gaya penulisan karangan menyebabkan mereka rata-rata menjadi robot.

Kecenderungan begini berlarutan sampai tahap Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan langsung Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebagai contoh, guru berpengalaman menasihati anak didiknya semata-mata menghafal 36 nilai murni yang perlu diamalkan dalam konteks keharmonian hidup di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Kata guru berkenaan, 'murid akan dinilai dari segi mengetahui nilai murni berkenaan. Tidak ada markah untuk ulasan, komen dan cadangan.'

Kaedah menjadikan murid robot dan pengajaran yang 'klise' menjadikan murid pintar menjadi begitu bosan dengan kurikulum sedia ada. Pastinya pengenalan kurikulum baru yang terpaksa ditunggu dua tahun lagi itu disambut baik dan kena pada waktunya.

Pastinya ke arah pencapaian objektif insan pemikir di IPT, sekolah rendah dengan kurikulumnya yang sesuai dan kemas kini sepatutnya menjadi gelanggang penyemaian dan pemupukan bakat terpendam murid tanpa mengira anutan agama, rupa bangsa dan latar belakang kehidupan.

Sudah lama cadangan dibuat, penilaian murid perlu sesuai dengan bakat dan intelektual murid, tetapi situasi tidak pernah berganjak daripada tahap usul saja.

Kini cadangan itu dihidupkan semula seperti kata Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Salbiah Ismail, beberapa pendekatan bakal diterapkan bagi menilai murid, termasuk ujian psikometrik, kegiatan kokurikulum dan sukan.

Masyarakat berharap pendekatan baru ini dapat melahirkan insan seimbang seperti tuntutan Falsafah Pendidikan Negara, yang kemudian menjadi pemikir tersohor, khazanah kepada barisan pemimpin berwibawa dengan celik akal budi murni dan pintar demi terbilang masa depan negara bangsa.

Nampaknya bebanan pendidik bertambah apabila kurikulum baru ini dilaksanakan nanti. Apalah salahnya berkorban kerana dituntut Islam seperti firman Allah dalam Surah al-Kauthar: 1-3 bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus".

DR ILLIAS ZAIDI,
Gombak, Selangor.

0 komen:

Post a Comment