:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

08 November 2008

Bahasa Inggeris bukan jaminan kejayaan

Sudah terbukti bahawa ramai kalangan cendekiawan yang lahir adalah daripada sistem pendidikan yang didasari oleh bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Malahan kajian yang dilakukan oleh Prof. Nurhashimah Jalaludin dari UKM berkaitan pelaksanaan PPSMI juga menunjukkan kesan yang amat membimbangkan dan membayangkan implikasi yang akan dilalui terutama oleh generasi luar bandar.

Saya perturunkan petikan daripada Forum Utusan Malaysia Online untuk renungan bersama. Walau bagaimanapun saya tidak bersetuju dengan klausa pada perenggan akhir forum ini, iaitu:



"Berilah semua peluang yang sama, di luar bandarlah lahirnya pejuang UMNO yang terus setia. Terus kita perjuangkan Utusan Malaysia sebagai akhbar Melayu terulung"



Perjuangan bahasa bukan hak milik kelompok tertentu, tetapi adalah hak milik seluruh rakyat yang cintakan bahasa Melayu.

Bahasa Inggeris bukan jaminan kejayaan

SAYA terpanggil apabila membaca Rintihan Bahasa Melayu oleh Datuk Muhammad Alias bahawa bahasa Melayu telah diabaikan oleh orang Melayu sendiri.

Kita sanggup menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik ke bahasa Inggeris kononnya bagi memajukan bangsa kita bersaing di arena antarabangsa.

Sains dan Matematik, jika dikaji dengan teliti, kaya dengan istilah tertentu dan dalam bahasa apa pun istilah itu bersamaan.

Kedua-dua subjek itu juga kaya dengan budaya bahasa. Malang sekali, bagi kita untuk memperbaiki pengajaran bahasa Inggeris kita buat seperti perumpamaan Melayu, 'lain bengkak, lain bernanah, lain sakit lain diubat'.

Saya terlibat secara langsung tentang cara bagaimana kita mendaulatkan bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa kebangsaan.

Kerajaan kita tubuhkan Maktab Perguruan Bahasa dan di maktab inilah dibuat kajian dan susunan bagaimana bahasa Melayu boleh didaulatkan.

Hasilnya semua pengajaran boleh diajar dalam bahasa Melayu. Guru dan pelajar menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar dilatih oleh guru-guru lepasan Maktab Perguruan Bahasa yang dilatih khas mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.

Hari ini pihak kementerian sepatutnya menubuh Maktab Khas Bahasa Inggeris untuk pengajaran bahasa itu sebagai bahasa kedua. Kajian khusus patut dilakukan bagaimana meningkatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kita menukar Sains dan Matematik ke bahasa Inggeris menunjukkan negara kita tidak yakin kepada bahasa kita sendiri.

Perancis, Jerman dan Jepun terus maju biarpun mereka menggunakan bahasa mereka sendiri. Kekuatan sesuatu bangsa itu amat bergantung kepada semangat juang terhadap bahasa dan bangsanya.

Datuk Muhammad Alias terkejut hanya 200,000 naskhah sahaja akhbar utama Melayu terjual. Kita perlu semak balik, sebelum Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, akhbar Melayu telah dapat mengatasi akhbar berbahasa lain.

Saya melihat tidak ada cacatnya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, anak saya dua orang, seorang belajar jurusan kejuruteraan kimia di Amerika Syarikat dan mengikuti Sains dan Matematik di sana tiada masalah pun.

Begitu juga anak saya yang bongsu belajar Sains Kesihatan dalam bidang aubiologi di Queensland University, Brisbane, Australia hingga mendapat Doktor Falsafah dan dia kini mengajar di UIA, Kuantan.

Menurutnya, dia adalah di antara tiga graduan terulung yang mendapat Ijazah Doktor Falsafah tersebut di kalangan rakyat Malaysia. Beliau tiada masalah apa pun mengenai bahasa.

Masalah kita kini, ada di antara pemimpin lama kita yang dahulunya belajar bahasa pengantar bahasa Inggeris ingin melihat anak-anak mereka fasih betul berbahasa Inggeris dengan cara 'Queen English'.

Rasanya, tidak lewatlah untuk Kementerian Pelajaran menukar semula Sains dan Matematik ke bahasa Melayu, Kementerian Pelajaran dianjurkan menubuhkan Maktab Perguruan Bahasa yang dapat menjana pengajaran bahasa Inggeris terbaik termasuk bahasa al-Quran/bahasa Arab dan lain-lain.

Panglima Bahasa Negara, Allahyarham Tun Syed Nasir, jika masih hidup, tentu beliau menangis kerana usaha yang gigih itu, telah digagalkan oleh golongan yang tidak memahami perjuangan bangsa Melayu era kemerdekaan yang ingin memartabatkan bangsanya seiring dengan bangsa lain di dunia.

Kami dahulu adalah peneroka pelajar Melayu yang mengikuti pengajaran semua mata pelajaran bahasa Melayu, walaupun masa itu semua rujuk dalam bahasa Inggeris.

Kami tidak menghadapi masalah kerana semangat juang untuk meninggikan taraf bahasa Melayu. Kami masuk belajar di Universiti Malaya pada tahun 1968 dan menerima ijazah pada tahun 1971 dengan kelulusan yang baik.

Saya yakin apa yang diutarakan oleh Datuk Muhammad Alias, bekas diplomat Malaysia itu amat wajar mendapat perhatian masyarakat Melayu khususnya di saat-saat ketuanan Melayu dan kedaulatan raja-raja dicabar.

Jika masih kekalkan kedua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris, ia ibarat usaha memencilkan anak-anak Melayu luar bandar yang tidak berlatarbelakangkan bahasa Inggeris di bandar dengan semua kemudahan yang ada.

Berilah semua peluang yang sama, di luar bandarlah lahirnya pejuang UMNO yang terus setia. Terus kita perjuangkan Utusan Malaysia sebagai akhbar Melayu terulung.

DATUK DR. DZULKARNAIN ABDUL RAHMAN
Naib Presiden II
Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia


Sumber: Forum Utusan Malaysia Online(6/11/08)

2 komen:

Anonymous said...

Peringatan Majlis Raja-Raja Melayu patutnya diambil perhatian. Bahasa Melayu jangan sesekali dipersenda. Kalau dah Raja Melayu beri peringatan, maka rakyat Melayu tanpa mengira apa keturunannya harus ambil endah. Jangan tak reti bahasa pula.

Anonymous said...

Kegawatan yang melanda bahasa Melayu adalah disebabkan oleh kalangan politikus Melayu yang gila kuasa.

Post a Comment