Sumber: Blog A Kadir Jasin
SEPERTI biasa, media massa hilang akal (went crazy) menguar-uarkan kecemerlangan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Yang mendapat lima A itulah yang diuar-uarkan.
Begitu jugalah dengan keputusan peperiksaan-peperiksaan yang lain. Pelajar yang berjaya dan cemerlang itulah yang diuar-uarkan, diceritakan kisahnya dan dihebahkan nasihatnya.
Tidak salah mengiktiraf kejayaan. Lagi banyak diuar-uarkan, lagi baik untuk menaikkan semangat dan menjana motivasi.
Tetapi kita juga wajib mengiktiraf bahawa yang menjadi masalah bukan murid atau pelajar yang cemerlang. Yang menjadi masalah adalah mereka yang gagal atau rendah prestasinya.
Beberapa tahun lalu, saya membuat analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan membandingkan tiga buah sekolah di Lembah Klang. Semuanya sekolah biasa atau sekolah harian.
Sebuah di kawasan kelas menengah dan profesional pelbagai kaum di mana komposisi muridnya mencerminkan kepelbagaian kaum dan dua buah sekolah lagi di kawasan majoriti Melayu yang bertaraf ekonomi sederhana dan rendah.
Dalam semua aspek dan mata pelajaran, termasuk bahasa Melayu, Inggeris serta Agama Islam, sekolah campuran pelbagai kaum memperoleh pencapaian yang lebih tinggi.
Hatta pencapaian bahasa Melayu dan Agama Islam pun hambar di sekolah majoriti Melayu – sebuah di Kuala Lumpur dan sebuah lagi di Petaling Jaya.
Majoriti murid sekolah pelbagai kaum itu pergi ke sekolah dengan bas, dihantar oleh ibu bapa dan berjalan kaki.
Kebanyakan murid dua sekolah majoriti Melayu itu pula ke sekolah berjalan kaki, menunggang motosikal atau naik bas sekolah. Kurang sekali yang dihantar oleh ibu bapa.
Berbalik kepada keputusan UPSR tahun ini, mendapat lima atau enam A bagi sekolah campuran di Bukit Damansara, Taman Desa, Bukit Bandaraya dan Petaling Jaya adalah perkara biasa.
Mendapat dua atau tiga A di sekolah sekitar Taman Datuk Harun, Kampung Medan, Ampang dan Gombak adalah satu kejayaan. Apatah lagi di sekolah-sekolah kampung dan pedalaman.
Kalau selepas 51 tahun merdeka, para pendukung pendidikan kita masih gagal menyeragamkan pencapaian pendidikan di bandar, bagaimanakah mereka mampu membawa kecemerlangan ke kawasan luar bandar dan pedalaman?
Kini bukan zaman dulu kala lagi. Kalau zaman saya mula bersekolah pada tahun 1954, kita bolehlah memberi alasan bahawa sistem pendidikan masih kuno kerana kita belum merdeka.
Memang sistem pendidikan kita waktu itu kuno. Di tempat saya di Kedah, lebih banyak sekolah pondok (atau madrasah) daripada sekolah biasa.
Di sebelah rumah saya ada dua pondok – Pondok Haji Abdul Rahman yang pro Umno dan Pondok Haji Abdullah yang pro Pas. Mereka adik beradik.
Saya ke sekolah Melayu Pendang, lima kilometer dari rumah. Saya masuk sekolah umur tujuh tahun. Itu pun saya ditipu. Saya memang tidak mahu ke sekolah. Pertama, saya memang takut hendak ke sekolah dan kedua, saya risau siapa akan menjaga ayam didik, ikan pelaga dan burung ciak tuli saya.
Bagi ayah saya pula, dia tunggu sehingga saya cukup besar supaya boleh dihantar bersama-sama kakak saya ke sekolah. Jadi terpaksalah kakak saya menunggu hingga usia 10 tahun.
Tetapi tujuh dan 10 tahun adalah muda kerana ada rakan sedarjah kami yang berusia 14 atau 15 tahun. Waktu itu, usia bukan kriteria utama. Kriteria utama ialah kemahuan dan kemampuan datang ke sekolah.
Pada musim menanam dan menuai padi, ramai yang ponteng kelas kerana menolong ibu bapa di sawah atau di kebun getah.
Menjelang darjah empat, tinggal separuh yang bersekolah. Ini kerana waktu itu, setiap hujung tahun ada peperiksaan dan kalau tidak lulus tidak naik darjah. Kalau umur muda boleh ulang. Yang lain berhenti kerana sudah boleh baca abc, alif ba ta dan mengira sampai 100.
Namun majoriti murid berhenti kerana menolong ibu bapa di sawah dan kebun getah atau seperti kakak saya, kerana sudah jadi anak dara dan tidak manis bergaul lelaki perempuan.
Berbalik kepada cerita saya ditipu ke sekolah. Ayah saya gagal memujuk saya untuk dibawa melaporkan diri tiga hari berturut-turut, iaitu Ahad, Isnin dan Selasa. Setiap pagi saya akan lari ke rumah nenek dan bersembunyi di dalam belukar hingga lepas waktu ke sekolah.
Bagaimanapun ada hari Rabu, ayah menyuruh saya bangun awal dan pakai pakaian elok dengan alasan kami akan ke pekan sehari seperti biasa. Pucuk dicita, ulam mendatang.
Malang seribu kali malang, ayah tiba-tiba mengayuh basikal dengan laju dan di Pekan Simpang Tiga dia berpusing ke kanan, ke arah Pendang dan tidak ke kiri ke arah pekan sehari.
Setengah jam selepas itu bermulalah “persekolahan paksa” saya yang berterusan selama lima tahun di Pendang dan 10 tahun di Alor Setar.
Saya ingat lagi guru besar, Allahyarham Datuk Haji Shaari Abu Bakar mencabut tiang pagar yang diperbuat daripada buluh dan memberi kata dua bahawa siapa yang nakal atau menangis akan dibelasah dengan tiang itu.
Tangisan berhenti setiap kali Cikgu Shaari lalu dengan tiang pagarnya. Cikgu Shaari kemudian masuk politik, jadi adun, exco dan akhir sekali Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.
Sehingga hari ini, sekolah kampung seperti Sekolah Kebangsaan Pendang masih belum mampu menyaingi sekolah terpilih di bandar-bandar besar.
Maka tidak hairanlah kalau murid luar bandar yang majoriti Melayu dan Bumiputera masih gagal memperoleh pendidikan awal yang mantap dan kompetitif sehingga memaksa ramai ibu bapa bersusah payah menghantar anak-anak mereka berpuluh-puluh kilometer jauh ke sekolah di bandar dengan harapan mereka memperoleh “foundation” yang lebih kukuh.
Selepas 51 tahun merdeka dan semua Perdana Menteri adalah bekas Menteri Pelajaran (kecuali Tunku Abdul Rahman Putera), kita tidak boleh lagi menerima alasan dan keadaan di mana sekolah luar bandar lebih rendah tarafnya daripada sekolah di bandar.
Begitu pun apa halnya dengan sekolah bandar yang kaum terbesar muridnya adalah Melayu, tetapi masih hambar pencapaiannya? Kalau keadaan ini kita terima sebagai kebetulan, maka janganlah kita mengeluh kalau ramai murid yang datang ke sekolah dengan menunggang motosikal itu akhirnya menjadi mat dan minah rempit.
Ingatlah, bukan murid dan pelajar cemerlang yang menjadi masalah. Masalahnya adalah murid dan pelajar yang buruk pencapaiannya.
Hal ini yang perlu kita atasi segera. Pihak sekolah juga janganlah memberi tumpuan kepada murid yang cerdik sahaja dan mengabaikan yang lemah. Pengasingan kelas antara murid pintar dan lemah memang elok, tetapi jangan sampai mengabaikan kelas yang paling mundur hanya semata-mata kerana mengetahui murid di kelas itu lemah dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi.
Posted by A KADIR JASIN at 8:10 AM
http://kadirjasin.blogspot.com/2008/11/upsrprestasi-buruk-itu-yang-menjadi.html
www.pendidikmy.net
18 November 2008
UPSR:Prestasi Buruk Itu Yang Menjadi Masalah
Labels:
pendidikan,
peperiksaan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 komen:
Kesilapan KPM juga hinggakan semua sekolah tergila2 mengejar kelulusan Akibatnya pelajar2 yg lemah terus ketinggalan. Analisis peperiksaan juga dibangga2kan dengan % kelulusan yg meningkat...tetapi pelajar yg dapt D/E tidak pernah dianalisa dan cuba dipulihkan kelemahan.
Post a Comment