:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

07 October 2008

Nasib guru senior terus terabai, pengalaman tak bantu kenaikan pangkat

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian (7/10/2008)

MERUJUK kepada tulisan 'Guru Biasa' , Batu Caves, Selangor dalam ruangan ini, baru-baru ini, mengenai Kementerian Pelajaran abai nasib guru sambung belajar, saya ingin turut memberi maklum balas apa yang dinyatakan itu.

Saya mungkin bernasib baik kerana tiada musibah yang menimpa selama empat tahun berulang alik dari Kangar, Perlis ke Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, 10 tahun lalu.


Tidak berbaloi rasanya mendapat ijazah dengan bersusah payah sebegitu jika apa yang diharapkan mengecewakan.

Saya ingin menyentuh mengenai guru yang sambung belajar ijazah pertama dulu kerana ini menjadi duri dalam daging yang sudah sekian lama tertanam. Saya nyatakan di sini mengenai tiga kategori guru untuk perbandingan:

# Kategori A � Guru DG29 yang sambung belajar kemudian dilantik ke DG41.

# Kategori B � Guru DG29 yang baru habis belajar dilantik ke DG32 dulu kemudian dilantik ke DG41.

# Kategori C � Guru DG29 yang tidak sambung belajar kemudian dilantik ke DG32.

Dalam tiga kategori itu, paling untung ialah guru kategori B. Pada mulanya mereka ini dilantik ke DG41 sebaik saja mereka tamat belajar.

Sama seperti kategori A, tetapi mereka mendesak supaya dilantik ke DG32 dulu sebelum ke DG41. Kenaikan gaji daripada DG29 ke DG32 ibarat mendapat durian runtuh kerana mereka diberi tunggakan berbelas ribu ringgit.

Pada ketika itu, gaji mereka mengatasi guru kategori A walaupun lebih 10 tahun junior berbanding kategori A.

Selepas itu dilantik pula ke DG41, sekali lagi gaji mereka dinaikkan. Apabila kerajaan mengumumkan baru-baru ini, tiga tahun pengalaman ketika DG29 dikira satu tahun pengalaman pada DG41, sekali lagi mereka mendapat untung. Untung mereka berganda-ganda.

Sementara itu bagi guru kategori C, mereka dilantik daripada DG29 ke DG32 dengan mendapat tunggakan antara RM5,000 hingga RM20,000. Hal ini juga menjadi rungutan di kalangan guru DG32 kerana lantikan ke DG32 tidak mengira senioriti.

Sekarang ini guru lama dengan guru baru DG32 mendapat gaji sama banyak, sedangkan pengalaman guru lama ada yang mencecah 20 tahun berbanding guru baru yang hanya lima tahun. Kini gaji guru DG32 rata-rata melebihi gaji guru kategori A.

Saya berada dalam kategori A, kecewa dengan situasi ini. Sudahlah tidak pernah berasa apa-apa tunggakan, menjawat jawatan lain pun jauh sekali. Untuk naik pangkat 'time base' ke DG44 pun ada banyak kerenah dan halangan, sedangkan guru DG29 yang naik ke DG32 begitu mudah sekali walaupun baru mengajar sekitar lima tahun.

Selama 10 tahun dalam DG29 tambah 11 tahun dalam GD41 menjadikan saya sudah 21 tahun berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran tetapi amat mengecewakan. Umur sudah mencecah 50 tahun tetapi tiada kemajuan dalam kerjaya.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dicanang ke seluruh negara ada menyebut mengenai 'martabat profesion perguruan'. Nampaknya ada yang tersisih dan dipinggirkan dan langsung tiada martabat.

GURU LAMA,
Kangar Perlis.

2 komen:

Anonymous said...

Benar sangat2 apa yang diutarakan. Namun yang peliknya, pihak bertanggungjawab seolah2 pejam mata dan membuat perkiraan yang tidak menguntungkan. Apakah pihak2 berkenaan tidak mahir dalam menyelesaikan masalah ini. Di samping itu, NUTP juga dilihat seolah2 kerbau dicucuk hidung saja. NUTP sedar kerugian dan juga mempunyai fakta kes tentang guru2 2941 ini. Namun kenapa masih mahu menerima formula 3:1 kepada tempoh perkhidmatan. Cuepacs pula terus berdiam diri setelah perjuangannya untuk golongan sokongan tercapai...sedangkan 2941 juga bermula dari kumpulan sokongan! Jagalah perut masing2!

kak long said...

Siapa cakap guru DGA 29 mengajar 5 tahun dapat time based dg a32. Hakikat sebenarnya, 10 tahun di tangga DGA29 barulah boleh naik ke DGA32. itupun dengan syarat lulus PTK, prestasi cemerlang (80 % ke atas) dan mendapat sokongan guru besar. Kalau tak cukup syarat jangan mimpilah nak dapat. DG 41 ke DG 44 cuma 8 tahun sahaja. kan ada dalam pekeliling. Tak baca ke?

Post a Comment