Sumber: http://www.yadim.com.my/Komentar/UlasanFull.asp?Id=592
Oleh ZALILA ISA
Seramai 4,749 orang pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun hadapan. Ini merupakan angka rasmi yang dilaporkan oleh majikan, kebanyakannya dalam industri elektronik kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini.
Majlis Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramalkan gawat pada suku tahun pertama dan kedua 2009.
Ini merupakan kesan daripada krisis ekonomi global. Kelembapan ekonomi menyebabkan pemberhentian pekerja merupakan langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan kos.
Ketika ini, masyarakat mula bimbang. Menekuni nasib mereka yang entah stabil atau tidak dengan kegawatan ekonomi ini. Masing-masing mula mencari jalan terbaik sebagai satu jaminan agar mereka tidak diberhentikan kerja ataupun jika diberhentikan, mereka akan dapat hidup dengan cara yang lain.
Masyarakat mula memikirkan hal-hal yang berkaitan. Ini termasuklah nasib pekerja yang diberhentikan, peluang pekerjaan lain serta masalah yang bakal timbul jika masalah pemberhentian ini tidak ditangani sebaiknya.
Bagi pekerja yang diberhentikan, mereka perlu memastikan pihak majikan memberi notis pemberhentian dan membayar faedah pemberhentian kerja seperti mana yang ditetapkan dalam Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Kerja [Faedah-Faedah Penamatan dan Hentikerja Sementara] 1980 di bawah Akta kerja 1995.
Selain itu, wujud beberapa cadangan yang tujuannya mahu memelihara nasib pekerja yang bakal diberhentikan kelak. Sebagi contoh, cadangan MEF bagi menubuhkan satu Tabung Pemberhentian Pekerja yang memperoleh dananya melalui caruman pekerja dan majikan sama seperti caruman KWSP dan Perkeso. Pengurusan dana ini boleh ditadbir oleh PERKESO bagi memastikan caruman terhadap pekerja dapat dilakukan.
Kerajaan juga dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru dan disaran melaksanakan skim latihan semasa kerja bagi mengurangkan jumlah pemberhentian pekerja. Latihan berkenaan penting untuk para pekerja mempelajari dan menguasai kemahiran baru seiring dengan permintaan pasaran. Dengan ini pergantungan kepada pekerja asing akan berkurang.
Hal wang faedah pemberhentian kerja harus digunakan sebaiknya. Sebaiknya bermaksud memikirkan cara terbaik membelanjakan wang itu dan sebolehnya biarlah wang itu memberi pulangan yang berbaloi.
Pelbagai cara boleh dilaksanakan sebaik diberhentikan kerja. Perlu diingat perkara ‘berbakti dengan tanah’ juga boleh diambil kira bagi memenuhi tuntutan kehidupan. Sudah ramai petani yang berjaya dalam bidang pertanian yang semakin berpotensi besar.
Hal kewangan setelah tidak bekerja harus dipandang teliti. Menguruskan kewangan sebaiknya bakal menghindar segala kemungkinan yang negatif.
Itu persediaan bagi mereka yang bakal diberhentikan kerja. Bagaimana pula dengan mereka yang masih bekerja?
Hidup Untuk Bekerja, Hargai Pekerjaan
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud; "Allah mencintai apabila tugas diamanahkan kepada kamu maka laksanakanlah tugas tersebut dengan cemerlang yang mungkin". (Al-Baihaqi)
Mengapa kita perlu bekerja? Dalam bidang pekerjaan sama ada dalam bentuk organisasi kecil dan besar ataupun bekerja sendiri, persoalan yang sama akan timbul iaitu untuk apa kita bekerja.
Setiap orang punya sebab tersendiri untuk bekerja. Apa yang pasti dengan bekerja kita akan memperolehi gaji (berbentuk wang), yang akan digunakan untuk memperbaiki diri, membangunkan keluarga, bangsa dan negara. Terlebih baik jika tujuan bekerja itu dilaksanakan kerana ibadah kepada Allah s.w.t. Mencari rezeki yang halal dituntut dalam Islam, dan bertepatan dengan firman Allah dalam surah Taubah, ayat 105 yang bermaksud,"Katakanlah (Wahai Muhammad), beramal dan bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan."
Ini bermakna, Allah menciptakan manusia bukan sahaja untuk menjadi hamba yang bertaqwa kepadanya. Kehidupan umat Islam harus dilengkapi dengan hal-hal duniawi dan ukhrawi kerana pertalian antara keduanya tidak akan terputus.
Firman Allah dalam surah Jumuah, ayat 10 yang bermaksud; "Dan apabila solat telah ditunaikan, maka bertaburanlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya. Semoga kamu berjaya."
Oleh hal yang demikian, setelah kita menetapkan apakah tujuan kita bekerja, maka perkara yang harus kita tanyakan pada diri sendiri adalah matlamat kerjaya yang telah dipilih dan juga perancangan kerjaya yang akan disusun untuk membentuk manusia yang berjaya di dunia dan akhirat.
Melihat kepada situasi pemberhentian kerja secara beramai-ramai, betapa bersyukurnya mereka yang masih punya pekerjaan. Melihat pengangguran yang berlaku di negara ini juga seharusnya memberitahu secara jelas betapa pekerjaan amat penting dalam meneruskan kelangsungan hidup sesiapa sahaja.
Menghargai pekerjaan bukan semudah yang disangka. Konsisten dalam semangat bekerja sering terganggu oleh beberapa hal yang sebenarnya kecil. Dalam hal ini, terlebih penting adalah jatidiri serta pandangan hidup seseorang terhadap perjalanan hidupnya.
Secara sedarnya, dalam kehidupan terutama masyarakat Islam, beberapa perkara harus dijadikan pegangan dalam bekerja iaitu bekerja kerana Allah s.w.t yang ditunjangi keimanan (kerja sebagai ibadah), bekerja dalam bentuk pasukan (amal jama’i) dan juga bekerja dengan kasih sayang.
Kerana itu, dalam bekerja setiap individu punya peranan dan kekuatan tersendiri. Dan kekuatan itu membentuk organisasi seterusnya negara, bangsa dan tamadun.
Dalam sesebuah organisasi, pelaksanaan konsep syura, ukhuwah dan saling bekerjasama yang diterapkan akan membentuk satu kekuatan ekonomi yang akan saling memberi pulangan yang bernilai dalam setiap individu. Hal ini harus ditikberatkan tidak kira kedudukan seseorang itu sebagai majikan (pemimpin) atau pekerja (pengikut).
Bagi individu yang bekerja sendiri pula, tidak kiralah sebagai petani, peniaga atau apa-apa sahaja, mereka masih terikat dengan konsep bekerja sebagai ibadah, merancang kerja serta bantu-membantu dengan pihak yang lain. Hal ini tidak boleh dinafikan kerana setiap manusia tidak boleh hidup dengan sendiri.
Melengkapkan diri dengan kekuatan hati untuk bekerja tidak semudah yang disangka apatah lagi dengan segala ujian dan halangan yang pasti datang merencahkan perjalanan kehidupan.
Individu yang bekerja terutamanya, sewajarnya memiliki sahsiah sawiyyah iaitu sahsiah yang seimbang. Sahsiah seimbang ini boleh dicapai apabila setiap individu mempunyai keupayaan mengadaptasi persekitaran dengan dirinya.
Bersikap dinamik, bijaksana, fleksibel, bertanggungjawab, redha dengan kerjanya, berilmu dan beramal, berwawasan dan sentiasa berdaya saing serta paling utama melaksanakan tugas atas landasan ‘ibadah’ kepada Allah s.w.t.
Pekerja yang begini juga akan menjadi aset yang berharga bukan sahaja kepada organisasi kerjanya tetapi juga kepada masyarakat. Kekuatan dalaman ini akan membentuk diri yang cekal dan sentiasa melihat peluang yang baik dihadapannya walaupun diberhentikan kerja. Apabila khidmatnya tidak diperlukan di organisasi itu, pekerja cemerlang ini tidak akan lelah mencari peluang lain yang boleh digunakan untuk mencari rezeki. Hal ini boleh dikaitkan dengan pepatah lama yang berbunyi, “benih yang baik, tercampak ke laut akan menjadi pulau”.
Sudah tentu hal ini berbeza dengan pekerja yang tidak mempunyai sahsiah yang baik. Tidak dapat membezakan kerja rasmi dengan hal peribadi malahan pula sering mencampuradukkan kedua-dua hal itu sehingga memporakperandakan kerja yang harus dilaksanakan. Bersikap tidak baik sesama rakan sekerja malah tidak amanah dalam melaksanakan tugas harian merupakan sikap yang sering berlaku pada mereka yang tidak menghargai rezeki yang diberi. Pekerja sebegini menjadi liabiliti kepada organisasi seterusnya memberi pengaruh yang buruk terhadap orang lain dan jatuh bangunnya sesebuah organisasi.
Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berhormat Tuan Haji Shabudin Yahaya, dalam satu kursus yang diadakan baru-baru ini, menjelaskan terdapat ‘pengangguran tidak ketara’ yang sering berlaku sehingga sesebuah organisasi dilihat tidak produktif.
Pengangguran tidak ketara ini juga dianalogikan sebagai pekerja berbudaya ‘Camel Trophy’, ‘Malboro’ dan ‘Salem High Country’. Kedengaran agak melucukan tetapi itulah hakikatnya. Budaya ini disamakan dengan sikap suka berjalan atau merayau-rayau ke meja kerja rakan pejabat yang lain, mengumpat dan memperkatakan tentang rakan sepejabat yang lain serta ada juga pekerja yang mengambil sikap endah tak endah dengan persekitarannya (tidak ambil tahu hal orang lain).
Dalam ertikata yang lain, berlaku ‘pengangguran tidak ketara’ walaupun bergelar pekerja.
Menurut beliau lagi, pekerja begini selalunya tidak akan ambil kisah dengan hadis nabi yang bermaksud;
"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.iaitu masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa mudamu sebelum datang masa tua, dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Hal yang berkaitan `masa` dan `pengisiannya` ini amat bermakna buat mereka yang masih bekerja, bakal diberhentikan atau buat mereka yang masih belum bekerja. Apapun kerja yang dilaksanakan, jadikan diri sebagai aset yang bermakna bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada diri sendiri dan masyarakat. Banyak cara yang boleh dilaksanakan agar kita mampu menjadi aset yang berharga dan bukannya liabiliti yang akhirnya bukan sahaja merugikan diri sendiri malah agama, bangsa dan negara.
www.pendidikmy.net
03 January 2009
Aset atau Liabiliti?
Labels:
kerjaya,
perkhidmatan,
tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen:
Post a Comment