:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

15 January 2009

Tolak tradisi ilmu kolonial

Sumber: Rencana Utama Kosmo

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
shaharomtm@yahoo.com


Menjajah sesebuah negara bukan hanya dari segi fizikal atau geo-politik tetapi juga menerusi ilmu kolonis untuk menguasai minda peribumi.

DI Malaysia, penjajah hanya mengambil masa dua abad untuk melakukan analisis tentang struktur sosial Melayu dan peribumi.

DARI segi sejarah, proses pembentukan negara moden cukup bergantung terhadap sumbangan serta kualiti ilmu pengetahuan yang mendukungnya.

Malah, terbinanya negara moden itu adalah berasaskan ilmu pengetahuan yang cukup terperinci lagi mendalam, bukan sahaja bersifat sains sosial dan kemanusiaan, bahkan juga yang bersifat sains tabii.

Mengiringi ilmu pengetahuan dalam menegakkan negara moden tersebut adalah analisis sosial. Kalaulah ilmu pengetahuan mengisi historiografi dan ideologi sesebuah negara, maka analisis sosial pula berperanan sebagai kerangka untuk menilai pertumbuhan negara berkenaan, khususnya dari sudut politik dan ekonomi.

Kalau disingkap kembali sejarah imperialisme dan kolonialisme Barat, kita akan bertemu dengan bukti jelas tentang peri pentingnya ilmu dan analisis sosial untuk pemerintahan melalui wahana ilmu kolonial.

Ia merupakan sesuatu yang penting bagi sesebuah kuasa imperialis mengasaskan kekuasaannya di kawasan jajahannya. Kalau kekuatan ketenteraannya membolehkan sebarang kuasa penjajah menakluki secara fizikal sesebuah ruang geo-politik, melalui ilmu kolonial pula penjajah mampu menakluki ruang epistemologi.

Ia adalah ruang sistem pemikiran dan intelektual masyarakat peribumi yang dijajah. Paling membimbangkan apabila wacana ilmu kolonial telah berakar umbi dalam masyarakat dan sumbangannya telah dianggap sebagai sesuatu yang semula jadi dalam dimensi kehidupan kita.

Paling penting dalam wacana ilmu kolonial ialah metodologi atau pembinaan ilmu yang digunakan dalam menghimpun segala macam fakta dan maklumat, yang komprehensif dari segi kandungan, kuantiti serta kualiti mengenai masyarakat yang dijajah.

Lebih penting lagi sebahagian besar fakta dan maklumat itu masih digunakan hingga sekarang dan dianggap relevan kepada kerajaan pascakolonial di negara-negara yang pernah dijajah.

Seorang sarjana tempatan ternama, Shamsul Amri Baharuddin yang banyak mengkritik tentang wacana ilmu kolonial, dalam tulisannya PascaKolonial dan Ilmu Kolonial: Satu Pandangan telah menegaskan, dalam memantapkan metodologi kolonialisme ilmu, penjajah melakukan dan merancang kaedah-kaedah untuk mengumpul maklumat dan pengetahuan mengenai masyarakat yang dijajah dengan secara praktikal dan strategik melalui langkah-langkah berikut:

Langkah pertama adalah untuk menguasai bahasa anak peribumi untuk membolehkan sang penjajah berkomunikasi dengan masyarakat tempatan dalam usaha mereka menguatkuasakan sistem perundangan yang diimport dari negara asal sang penjajah tersebut.

Langkah kedua adalah menjalankan kaji selidik demi kaji selidik untuk mengumpulkan maklumat terperinci bukan sahaja mengenai kehidupan sosial masyarakat peribumi, bahkan juga maklumat tentang alam sekitar fizikal masyarakat berkenaan.

Pelbagai bentuk peta, daftar serta laporan rasmi terhasil daripada kajian itu yang membolehkan pemerintah kolonial mendapat gambaran terperinci tentang alam sosial dan fizikal masyarakat berkenaan.

Langkah ketiga adalah mengumpul maklumat statistik mengenai tanah jajahan melalui kegiatan banci. Untuk itu, pelbagai kategori sosial diperkenal untuk mengklasifikasi manusia kepada kelompok-kelompok yang mudah dikenal pasti. Himpunan maklumat perangkaan itu bukan sahaja untuk dicerna guna menjadi fakta-fakta, malah lalu diterima sebagai kenyataan sosiologikal mengenai masyarakat yang dijajah tersebut.

Langkah keempat adalah menyimpan pelbagai bahan dan artifak yang telah dikutip daripada kajian dan bancian tersebut untuk dipamer dan ditonton di muzium, zoo, taman bunga dan koleksi peribadi. Ia sebagai membuktikan kepada masyarakat yang menjajah dan dijajah tentang sejarah serta kedudukan peradaban peribumi dalam trajektori evolusi dan hierarki peradaban sejagat.

Melalui langkah itu juga, beberapa imej stereotaip mengenai sesebuah masyarakat peribumi terpahat dan diabadikan dalam bentuk logo, patung dan tugu, kepala surat dan dalam beberapa bentuk lain yang diperakukan sebagai imej rasmi seperti orang Melayu dengan songkok dan sarongnya.

Langkah kelima adalah untuk mengasaskan suatu sistem pengintipan dan perisikan, yang dianggap perlu bagi menjamin keselamatan serta kestabilan politik pemerintahan kolonial tersebut.

Langkah keenam adalah membina suatu perpustakaan historiografi yang dicap sebagai hak milik peribumi yang kemudian dijadikan sebagai bahan pengajaran untuk diperturunkan secara mass consumption melalui sistem pendidikan kolonial guna dihayati oleh masyarakat peribumi sebagai sejarahnya.

Kerangka konseptual yang mengikat perpustakaan historiografi tersebut adalah sistem klasifikasi dan teori sosial Eropah.

Tergambar dalam setiap langkah itu adalah analisis sosial yang membolehkan kuasa kolonial menilai keadaan semasa, menelaah keadaan masa depan, menggubal dan melaksanakan pelbagai polisi yang mengesankan kehidupan masyarakat peribumi tetapi sebahagian besarnya didapati menguntungkan mereka.

Begitu luar biasa sekali kesannya ilmu pengetahuan dan analisis sosial yang telah diaplikasikan mereka sehingga meninggalkan kesan sehingga sekarang.

Dalam kes Malaysia, selama hampir dua abad, suatu himpunan ilmu kolonial mengenai orang Melayu dan kaum peribumi selainnya telah berjaya dikumpulkan oleh penjajah.

Sebahagian daripada ilmu itu diterbitkan sebagai laporan rasmi kerajaan dan ada juga yang diterbitkan sebagai artikel jurnal atau dalam bentuk monograf yang diketengahkan sebagai tulisan ilmiah.

Penerbitan ini kemudian telah tersebar luas di seluruh Eropah dan tanah jajahan Inggeris sebagai sumber akademik yang dianggap otentik mengenai masyarakat peribumi di Malaya.

Ahli tadbir sekali gus sarjana terbesar dalam bidang ilmu kolonial Melayu ialah Stamford Raffles. Beliaulah orang pertama yang telah memperkenalkan konsep the Malay Nation, the Malay race, wilayah Melayu dan mengkonsepsi sejarah orang Melayu berdasarkan teori sosial dan biologi Eropah.

WACANA ilmu kolonial menjadi metadologi penjajah untuk membentuk pemikiran kaum peribumi.

Seorang lagi sarjana tempatan, Allahyarham Prof. Syed Hussein Alatas, yang amat kritikal terhadap wacana ilmu kolonial dan orientalisme, dalam karya besarnya The Myth of the Lazy Native telah mengemukakan teori bahawa anggapan tentang peribumi malas yang selalu digambarkan oleh pihak kolonial sebenarnya satu mitos yang akhirnya berkembang sebagai satu analisis sosial.

Idea kolonial tentang peribumi malas itu adalah hasil daripada kekuasaan kolonial yang pada umumnya terjadi pada abad ke-19 ketika kekuasaan terhadap tanah jajahan mencapai puncaknya dan tatkala eksploitasi kolonial memerlukan penguasaan meluas terhadap daerah tersebut.

Sementara itu Zawiah Yahya dalam kajiannya yang dibukukan, Resisting Colonialist Discourse, telah menganjurkan satu kaedah penolakan wacana ilmu kolonial melalui pendekatan strategi pembacaan.

Strategi tersebut cuba mendedahkan serta merungkai wacana ilmu dan kekuasaan kolonial yang sering disifatkan sebagai universal dan objektif dan menyedarkan masyarakat tentang kehalusan psikologis yang ditanamkan oleh pihak kolonial.

0 komen:

Post a Comment