:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

09 March 2009

70 000 Bekerja Bangladesh Bakal Datang

Gambar-gambar dapat dilihat di blog Mazidul Akmal

Makmurnya negara kita hinggakan makin menjadi tumpuan ramai pekerja asing. Anehnya dalam kegawatan dan ramai kalangan rakyat tempatan dibuang kerja akibat ekonomi dunia merudum, dan pekerja-pekerja asing yang masih lagi merempat kerana ketiadaan kerja, kini akan datang lagi 70 000 pekerja Bangladesh.

Tidak mustahil komuniti ini akan dapat membentuk sebuah 'negeri kecil' di negara kita suatu masa nanti jika tidak dibendung kemasukan yang seakan-akan tidak terkawal ini.
..............
Lagi 70,000 pekerja Bangladesh tiba di Malaysia
Sumber: Berita Harian (9 MAc 2009)

Ketika ramai pekerja asing terpaksa merempat kerana dibuang kerja atau masih menunggu peluang pekerjaan, lebih 70,000 lagi warga Bangladesh dijangka tiba di negara ini tidak lama lagi.

Penasihat Buruh di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di sini, Talat Mahmud Khan, berkata pekerja terbabit dibawa masuk untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, walaupun sektor perkhidmatan di negara ini membekukan sementara pengambilan pekerja asing, visa bagi pekerja Bangladesh itu sudah diluluskan sebelum peraturan berkenaan berkuat kuasa.

Talat dipetik Bernama sebagai berkata, dengan kedatangan pekerja baru itu, jumlah warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia akan meningkat kepada hampir 500,000 orang termasuk 2,000 wanita.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dihubungi Berita Harian, bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu kerana jumlah berkenaan dianggap terlalu besar.

"Saya akan memeriksa semula perkara ini bagi memastikan sama ada angka itu adalah kuota sebenar seperti yang diperuntukkan kerajaan kepada pekerja asing bagi sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan.

"Memang pekerja luar masih dibenarkan bekerja di sektor itu, tetapi tidaklah sampai memerlukan pengambilan secara besar-besaran sehingga 70,000 pekerja," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, mendesak kerajaan membekukan serta merta pengambilan pekerja asing bagi melindungi pekerja tempatan.

Beliau berkata, kemasukan 70,000 pekerja Bangladesh itu tidak seharusnya berlaku ketika kerajaan sedang berusaha menangani isu pemberhentian pekerja tempatan dan mahu mengurangkan tenaga kerja asing menjelang 2010.

Malah, bulan lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah, berkata pihaknya sedang merangka mekanisme termasuk kemungkinan menghantar pulang semua pekerja asing yang gagal mendapatkan pekerjaan sejajar dengan dasar kerajaan yang mengutamakan pekerja tempatan.

0 komen:

Post a Comment