:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

21 March 2009

Kurangkan sukatan pelajaran peperiksaan SPM

Sumber:Utusan Malaysia |19 Mac 2009|

Kementerian Pelajaran bercadang untuk mengurangkan sukatan pelajaran bagi beberapa kertas peperiksaan berbentuk subjektif dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr. Haili Dolhan berkata, cadangan itu bertujuan mempercepatkan proses penyemakan dan pengumuman keputusan peperiksaan SPM yang mengambil masa agak lama untuk diumumkan.

Katanya, cadangan berkenaan tidak bermakna akan memendekkan sukatan pelajaran sebaliknya bertujuan mengurangkan penumpuan kepada aspek penilaian keputusan SPM berasaskan peperiksaan.

''Sebagai contoh, keputusan SPM tidak lagi tertumpu kepada keputusan peperiksaan 100 peratus malah bergantung kepada kemahiran sampingan berkaitan mata pelajaran tertentu seperti menghasilkan kertas projek, amali dan sebagainya.

''Bagaimanapun, cadangan ini masih dalam rangka kajian dan memerlukan penelitian terperinci memandangkan kertas peperiksaan SPM mempunyai standard peperiksaan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sepetang Bersama Media sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini semalam.

Cadangan itu ialah antara pendekatan yang akan digunakan kementerian tersebut untuk mengatasi masalah penyemakan dan pengumuman kertas peperiksaan SPM yang mengambil masa agak lama.

Menurut Haili, kementerian itu juga bercadang untuk menambah bilangan guru pemeriksa kertas peperiksaan SPM bagi mempercepatkan proses penyemakan.

''Buat masa ini, kita mempunyai bilangan pemeriksa kertas SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang agak kecil jika dibandingkan peningkatan jumlah pelajar dan mata pelajaran yang diambil.

''Ada pelajar yang mendaftar sehingga 20 mata pelajaran dalam SPM dan ini mengambil masa agak lama untuk disemak memandangkan jumlah pemeriksa yang terhad,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, cadangan-cadangan ini masih dalam pertimbangan dan sekiranya relevan untuk diaplikasikan dalam peperiksaan SPM, ia akan diperkenalkan awal tahun depan.

0 komen:

Post a Comment