:: Ilmu umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah, tadahlah dengan hati yang merendah kepada Tuhan

www.pendidikmy.net

09 March 2009

Pengalaman seorang guru, jurulatih dan pengkaji

Sumber: Forum Utusan Malaysia (6 Mac 2009)

PADA tahun 2003, saya telah terbabit sebagai salah seorang jurulatih program Kursus Kepemimpinan Ketua-ketua Pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan pada ketika itu hangat diperkatakan tentang usaha pihak Sektor SBP Kementerian Pelajaran untuk menghapuskan konsep Senior-Junior di SBP.

Dalam usaha untuk menghapuskan konsep yang menjadi amalan tradisi ini, SBP memperkenalkan konsep sistem rumah di sekolah-sekolah berasrama penuh.

Melalui sistem rumah, semua pelajar disatukan mengikut rumah masing-masing seperti Rumah Biru, Merah, Kuning dan sebagainya dan dijenamakan mengikut kreativiti; misalnya ada yang menamakan Zamrud, Intan dan lain-lain berdasarkan sekolah.

Melalui sistem rumah, setiap apa jua sumbangan pelajar atau kesalahan pelajar akan diberi merit/demerit sama ada dalam kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya dan akan dikumpul mengikut rumah.

Markah-markah akan diumumkan dan dipaparkan di papan kenyataan. Tujuan sistem rumah adalah untuk membolehkan para pelajar bersaing secara sihat dan bersaing dalam satu keluarga, bukan mengikut batch; misalnya tingkatan satu lawan tingkatan tiga. Ini kerana sistem rumah menyatukan pelajar berbilang tingkatan dalam satu rumah.

Satu lagi usaha yang dilakukan ialah menyatukan pelajar berbagai-bagai tingkatan dalam satu bilik/dorm, bukan berasingan dorm. Selain itu, mentor-mentee juga diperkenalkan juga disesuaikan berdasarkan sistem rumah.

Melalui kaedah ini, setiap dorm mempunyai mentor yang akan memberi bimbingan, asuhan, kawal selia pada setiap minggu.

Bukan mudah sebenarnya menghapuskan konsep senior-junior di sekolah-sekolah berasrama. Ketika saya mengemudi latihan kepimpinan ketua-ketua pelajar SBP pada tahun 2003, saya menganjurkan perdebatan dalam kalangan ketua-ketua pelajar mengenai perlunya penghapusan konsep senior-junior. Saya dapati dalam kalangan ketua-ketua pelajar kebanyakan sekolah berasrama penuh yang elit, mereka begitu mempertahankan konsep ini. Sebaliknya, bagi SBP yang bersifat bongsu dan baru bercambah seperti SBP Integrasi, mereka kurang berminat mempertahankan tradisi turun-temurun ini.

Dalam pengamatan saya, konsep senior-junior ada baik dan buruknya. Kebaikannya sebagaimana hujah para penyokong dalam kalangan pelajar malah sesetengah guru dan warden di sekolah berasrama ialah memupuk budaya hormat-menghormati dan semangat kekitaan dalam kalangan pelajar satu batch.

Namun khilaf atau buruknya senior-junior di sekolah-sekolah adalah pemupukan sikap ketuanan yang ekstrem khasnya dalam kalangan pelajar senior. Hanya merasakan mereka sebagai senior, maka junior boleh dikerah sesuka hati.

Seperkara lagi, konsep senior-junior juga memupuk 'mahkamah rakyat' di sekolah-sekolah berasrama. Maksud saya dengan mahkamah rakyat adalah tindakan para pelajar menghakimi 'kes' dalam kalangan pelajar secara 'dalaman' tanpa membabitkan pihak pengurusan sekolah.

Nakal sangatkah pelajar yang membuli sebegini? Sebenarnya bagi saya yang kini dalam proses menyiapkan kajian mengenai masalah buli, tingkah laku buli dalam kalangan pelajar harus dilihat dalam perspektif yang lebih menyeluruh.

Kajian perlu dilakukan dari segi punca-punca seseorang itu membuli daripada menyalahkan itu dan ini. Saya pernah bersemuka dengan bekas pelajar yang pernah terlibat membuli pelajar yang kini mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di IPTA. Pelajar yang terlibat dalam membuli ada kala mungkin berasa tercabar dari segi harga diri, ingin mempertahankan konsep senioriti, atau ada kala sebenarnya menghadapi masalah kawalan emosi natijah tekanan yang dialami di sekolah.

Usaha penghapusan buli dan menghapuskan konsep senior-junior sebenarnya bergantung rapat kepada sejauh mana telus dan giatnya usaha pentadbiran sekolah.

Pemupukan semangat kekeluargaan seperti melalui sistem rumah yang diamalkan di SBP sekarang dan mentor-mentee, pemupukan sikap I CARE dan WAYS (Walking Around Your School) yang diamalkan oleh Pengetua boleh mencegah gejala ini dalam jangka panjang.

ADIPUTERAJAGAT

UPSI, Tanjung Malim

0 komen:

Post a Comment