Ketidakpuasan kalangan guru-guru DG2941 masih kedapatan. Rata-rata mereka yang terlibat kecewa dengan penyelesaian kaedah 3:1 dikira untuk tujuan lantikan ke DG44. Masalah pokok yang dipertikaikan ialah gaji yang menurun berbanding jika kekal dalam skim PPPLD dahulu. Pertikaian ini bermula apabila pelarasan gaji yang dilakukan oleh kerajaan pada 2007. Sebelum itu, tiada rungutan dan rasa tidak puas hati dikemukakan secara terbuka.
Sumber: http://yourwebapps.com/WebApps/db-view.cgi?db=123382
Saya adalah guru berkelulusan STP (Katagori C1) semasa mula bertugas 20 tahun lalu. Pada masa itu semua guru di sekolah tempat saya bertugas (sebuah sekolah rendah), terdiri daripada guru berkelulusan SPM ( Katagori C2). Gaji lulusan STP lebih sedikit berbanding lulusan SPM. Oleh sebab itu ada sebilangan rakan sekerja yang berusaha mengambil peperiksaan STP untuk menambah pendapatan. Tetapi ramai yang malas, dan mereka kekal dalam Kategori C2.
Dalam pada itu saya berusaha untuk jadi guru siswazah pula. Gaji guru siswazah lebih tinggi . Pada masa itu hanya keputusan STP/ STPM yang baik sahaja yang dipilih ke universiti. Bukan semudah yang di sangka, saya ambil STP/STPM sehingga 7 kali. Maklum sahaja lah mengajar di kampung terpencil kelas tuisyen pun tidak ada, sangat sukar bagi saya untuk skor A dalam STP/STPM itu.
Ketika itu guru-guru “diseru” supaya meningkatkan tahap pencapaian akedemik untuk menambah pendapatan. Seruan itu datang daripada orang besar-besar di Kementerian Pelajaran, Menteri Pelajaran dan juga Perdana Menteri. Sampai sekarang pun seruan itu masih kedengaran. Ramai juga yang menyahut seruan itu. Tetapi lebih ramai yang tidak menghiraukannya.
Hampir 10 tahun berusaha akhirnya saya ditawarkan program kembar maktab perguruan dengan universiti tempatan. Panel temuduga kagum dengan kegigihan dan usaha saya (Saya tunjukkan 7 slip keputusan STP/STPM itu) dan mereka memberi peluang kepada saya. Kegigihan dan usaha saya berbaloi kerana saya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Kedua Tinggi . Ketika itu umur saya 37 tahun , sudah ada 3 anak dan belajar dalam kepayahan. Kegigihan itu terbawa-bawa kedalam apa juga tugas yang dilaksanakan kini. Inilah yang dikatakan modal insan kelas pertama (berilmu dan gigih). Seperti yang disebut-sebut oleh Perdana Menteri kita.
Sebelum masuk universiti saya ditawarkan jawatan penolong kanan gred DG 5 yang gajinya RM 1500.00. Saya menolak kerana ingin sangat menjadi guru siswazah. Pada masa itu saya berpendapat guru siswazah ada kelasnya tersendiri. Disamping berharap akan ada penambahbaikkan dalam skim perkhidmatannya dari masa ke semasa (Skim yang sedia ada menafikan hak senioriti guru).
Episod duka bermula . Gaji saya sebanyak RM 1304.00 pada ketika itu telah di potong separuh. Tidak ada kenaikkan gaji selama 4 tahun . Potongan itu menyebabkan saya kehilangan pendapatan sebanyak lebih kurang RM 35, 000.00 (termasuk elaun) dalam tempoh 4 tahun itu. Kerana tidak cukup wang belanja saya terpaksa pinjam daripada kerajaan negeri sebanyak RM 12,000.00. Anggaran kasar modal yang saya keluarkan untuk mendapat ijazah itu keseluruhannya ialah kira-kira RM 55,000.00.
Masuk “skim siswazah DG 41” saya di bayar gaji RM 1360.00, bezanya terlalu kecil berbanding gaji sebelumnya.Setelah hampir 10 tahun bekerja dalam gred DG 41, lebihan pendapatan yang saya peroleh tidak balik modal. Suku daripada modal pun belum terbayar. Usah harap saya akan dapat balik modal RM 55,000.00 itu. Perkhidmatan saya pun hanya tinggal 9 tahun sahaja lagi. Atas kesilapan kerana menyahut seruan itu, tekanan perasaan mula terasa.
Berbanding dengan mereka yang tidak menyahut seruan dan bermalas-malas tadi, gaji mereka lebih banyak kerana mendapat kenaikkan setiap tahun. Ketika kami bertungkus lumus membayar hutang untuk segulung ijazah , mereka dengan senang hati membayar hutang rumah atau kereta baru. Apabila selesai hutang saya hanya dapat kertas !, sementara mereka dapat sebuah rumah atau kereta. Pendek kata mereka tidak kehilangan apa-apa. Ada pula diantara mereka yang dapat Bayaran Intensif Subjek Pendidikan (BISP) 10% berbanding saya yang mendapat hanya dapat 5 % elaun kritikal. Bermakna gaji bersih mereka jauh lebih banyak daripada gaji kami .Lulusan ijazah telah diperlekeh oleh” skim siswazah” itu sendiri. Dimana kelasnya?. Skim itu masih di takuk lama!
Sekarang sudah dua puluh tahun saya menjadi guru. Tetapi senioriti tidak di kira , menyebabkan saya gagal memohon kenaikkan pangkat ke DG 44. Sedangkan mereka sudah melangkan ke DG 32 dengan gaji RM 2719.35 ( tambah lagi elaun BISP 10%) . Berbanding DG 41 iaitu RM 2418.45 (tambah 5 % elaun kritikal) sahaja. Tekanan menjadi semakin hebat.
Kemuncak tekanan tiba apabila diumumkan gaji baru. Guru SPM naik 25% (RM 679.83 ). RM 2719.35 + RM 679.83 = RM 3399.18. Guru Ijazah naik 15 % (362.76). RM 2418.45 + RM 362.76 = RM 2781.21 . Pendapatan golongan sokongan yang dianggap rendah itu tidak benar sama sekali. Gaji pokok SPM kini RM 3399.18, sementara gaji pokok Ijazah ialah RM 2781.21 . Beza sebanyak RM 617.97 . Terlalu besar bezanya. Boleh bayar sebulan gaji seorang Pembantu Rendah Am di sekolah!
Kenaikkan gaji baru itu bermentaliti “subsidi” bukan berasaskan kepada “kualiti” .Tanpa perlu bersusah payah ada orang yang mendapat habuan berlipat ganda. Keadaan tidak kondusif guru-guru yang sambung belajar ini sering disuarakan semenjak 2 dekad yang lalu, tetapi tidak pernah di ambil peduli. Pernah juga disuarakan melalui NUTP. Tetapi jawapan/ alasan JPA di terima bulat-bulat oleh NUTP bahawa guru siswazah terikat dengan “Skim Perkhidmatan DG 41” dan akan kekal begitu untuk selamanya. Skim ini melemahkan motivasi guru serta bertentangan dengan beberapa perkara dalam Tonggak 12 Perkhidmatan Awam (sila rujuk buku PTK)
Untuk menjadikan lebih adil skim itu perlu dikaji semula. Adakah pengubahsuaiannya terlalu sukar sehingga memerlukan kelulusan parlimen? Jika memerlukan sokongan parlimen sekalipun, saya yakin akan disokong kerana individu yang pernah membuat seruan itu dulu pun orang dalam parlimen juga. Kami sedar bahawa NUTP tidak bersungguh-sungguh memperjuangkannya kerana barisan kepimpinan NUTP terdiri daripada majoriti guru SPM. Sepatutnya NUTP mendesak, seperti yang pernah dibuat oleh Cuepacs sehingga gaji kakitangan awam “dibolehkan” naik sedemikian rupa!
Saya mewakili rakan-rakan yang sewaktu dengannya, ingin pula “menyeru” mana-mana pihak yang terlibat supaya menyemak semula Skim Perkhidmatan DG 41 yang lapuk itu. Saya mencadangkan diberi 4 kenaikkan gaji kepada semua guru yang dipotong separuh gaji dahulu, mulai gaji baru ini. Permintaan ini hanya sekadar meminta balik apa yang telah diambil daripada kami sahaja. Bukan meminta ganjaran istimewa seperti anggota keselamatan yang dapat lagi 20% (percuma tanpa sebarang rayuan) tambahan gaji itu. Kami telah merayu selama 2 dekat!. Sekurang-kurangnya gaji kami sama dengan gaji DG 32. Walau pun masih tidak balik modal, tetapi boleh mengurangkan sedikit tekanan dan beban ribuan guru yang di timpa nasib malang sejak sekian lama itu.
Atau pun sebagai alternatif, benarkan kami kembali kepada skim gaji DG 32 / DG 34 sahaja untuk mengurangkan kerugian berterusan. Ijazah yang tidak ada nilai komersil boleh disamakan dengan sehelai kertas sahaja. Lebih baik buang ke dalam tong sampah jika ia hanya menjadi batu penghalang dalam kerjaya dan motivasi kita. Jika saya tidak berijazah, sekarang saya sudah menjadi guru besar DG 34 yang gajinya RM2876.65 + 805.46 ( 25%) = RM 3682.11 . Saya boleh tersenyum bangga. Guru Besar juga diberi kelebihan berganda , selain daripada ditawarkan “ijazah percuma” berpeluang pula menjadi guru besar cemerlang. Saya pasti saya akan menjadi salah seorang guru besar cemerlang itu jika di beri peluang. Terlalu banyak keistimewaan diberikan kepada guru-guru SPM . Malang sungguh guru-guru siswazah!.
www.pendidikmy.net
20 March 2009
Berjaya dalam pelajaran tapi kerugian dalam perkhidmatan
Labels:
dg2941,
DG41,
guru,
kerjaya,
kisah,
pendidikan,
perkhidmatan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen:
Post a Comment